Chapter 44

Romance Completed 14626

Bab 44

Wilma terus memandu berpusing-pusing di kawasan Datun. Entah berapa kali mereka sudah melakukan pusingan di beberapa u-turn dan bulatan-bulatan. Dia terjenguk-jenguk mencari kelibat MPV yang mereka ekori sejak dari Lebuh Raya Elterra ELITE. Salika mengeluh kekecewaan di dalam kereta.

"Puan Salika, saya rasa kita dah kehilangan mereka. Sejak kita terlepas tadi, saya dah tak nampak MPV tu lagi," ujar Wilma yang sudah kelihatan agak kepenatan. MPV itu dipandu makin laju sejak mereka tiba di persimpangan masuk ke Datun. Mereka tidak dapat pastikan ke mana arah tuju kereta yang dipandu oleh rakan Kezus tadi, tetapi ketika mereka berjaya menghampiri sebentar tadi, jelas kelihatan ada tiga lelaki dewasa berada di dalam. Selepas plaza tol, MPV itu memecut terus, manakala kereta yang dipandu Wilma terpaksa berhenti bila lampu isyarat bertukar merah.

"Eran, kau betul-betul pasti lelaki yang duduk di tempat duduk belakang tadi tu adalah Kezus?" sekali lagi Salika bertanya.

"Betul, puan," kata Eran penuh yakin. Dia menghulurkan UltraPad dan menunjukkan imej yang berjaya dirakamkan ketika kereta mereka berada hampir dengan MPV itu tadi. Salika meneliti imej itu beberapa ketika.

"Ya, memang betul dia." Salika mengangkat muka lalu merenung rakan-rakan sepasukannya. "Jadi, apa lagi ikhtiar kita? Kita mesti hentikan misi mereka. Esok dah 30 Ogos. Mereka akan hancurkan Belzeya esok. Apa cara sekalipun, kita mesti cari dan hentikan mereka hari ini juga!" Tegas bercampur cemas suara Salika.

Wilma mengemam bibir sebelum berkata-kata. "Kita boleh pergi le Lapangan Terbang Elterra," cadangnya.

"Untuk apa?" soal Dakara yang sedari tadi membisu.

"Kita boleh sewa helikopter!" Wilma tersenyum lebar.

Tanpa berlengah Eran mencapai UltraPad yang berada di tangan Salika dan melancarkan aplikasi GPS dan enjin carian. "Ya, betul kata kau Wilma. Kita boleh sewa helikopter dengan syarikat BX Aviation. Mereka ada slot kosong untuk petang ini."

Sebelum Salika sempat berkata apa-apa, Wilma terus menginjak pedal minyak sekuat hati dan melakukan pusingan U untuk menuju ke arah Elterra. Bunyi tayar bergesel keras dengan jalan raya membingit telinga. Semua yang berada di dalam kereta menahan nafas seketika.

* * *

Hatinya masih rusuh sekembali dari pusat beli belah. Borain masuk ke bilik selepas mengucap salam pada emak. Arkun masih di ruang tamu, berbual-bual kosong dengan emak sambil menonton televisyen.

Borain terus menghidupkan komputer, cuba menenangkan perasaan dengan menonton beberapa video atas talian. Tiada satupun yang mampu mengubat rusuh hatinya. Komputer dimatikan dan Borain merehatkan diri di katil. Telefon bimbit dicapai dan terus dia mendail nombor Dassa.

"Seronok ke shopping tadi?" tanya Dassa selepas mereka bertukar ucap salam.

"Tak beli apa-apa pun; teman abang saja tadi. Saya terlupa nak bawa duit," cerita Borain dengan wajah yang sedikit keruh. Kalau Dassa ada di hadapannya sekarang, pasti dia sudah dapat menangkap apa yang merisaukannya.

"Lain macam saja bunyinya suara awak ni? Ada apa-apa yang tak kena ke?" Sudah bertahun mereka berkawan, Dassa dapat mengagak ada sesuatu yang mengganggu rakan baiknya itu.

Borain mengeluh perlahan sebelum menjawab, "Saya baru tahu sesuatu tentang ayah saya. Tadi emak saya dah beritahu tentang apa yang berlaku, kemudian abang saya pun ada cerita sikit-sikit. Banyak perkara yang saya tak tahu selama ni rupanya. Sekarang saya betul-betul rasa tak sedap hati."

"Ada apa-apa yang kami boleh tolong ke?" Dassa sentiasa menggunakan perkataan 'kami', mewakili dirinya, Eranie Khoo dan Manisha. Mereka tiga sekawan sedaya upaya meluangkan masa untuk membantu rakan-rakan yang bermasalah, termasuklah Borain. Sejak akhir-akhir ini Borain memang diberikan perhatian yang lebih.

"Entahlah Dassa, polis sendiri pun tak mampu tolong," ujar Borain, sarat dengan nada kecewa.

"Serius betul tu. Apa kaitannya dengan kehilangan ayah awak tiga bulan lepas?"

"Kalau saya ceritakan, awak mesti tak percaya, Dassa." Borain merendahkan suara, bimbang emak dan Arkun memasang telinga. Usahkan Dassa, dia sendiri masih belum mampu menghadam sepenuhnya cerita yang disampaikan abangnya tadi. Ayah hanyalah seorang pensyarah universiti, bagaimana pekerjaan sebagai pensyarah boleh mendatangkan bahaya sebegitu besar? Mungkinkah ayah pernah bersahabat dengan orang yang terlibat dengan aktiviti pengganas? Atau mungkinkah ada ahli kongsi gelap yang mahukan sesuatu daripada ayah? Terlalu banyak persoalan dan kemungkinan yang tak sanggup untuk difikirkan.

"Jangan risaulah, saya akan percaya cerita awak. Takkanlah awak nak bohong dengan saya, kan?" Lembut sahaja suara Dassa di hujung talian membuatkan dada Borain sedikit sebak. Rasa terharu bila ada rakan yang benar-benar mengambil berat.

"Ayah saya diugut untuk melakukan kerja yang dia tak suka. Sekarang nyawa ayah saya dalam bahaya," ujar Borain, tersangkut-sangkut menahan sebak.

"Hah? Betul ke ni? Kerja apa, Borain?" Dassa jadi cemas. Selama ini mereka menyangkakan Pakcik Kezus menghilangkan diri atas sebab peribadi, mungkin perselisihan faham dengan ahli keluarga terdekat ataupun masalah kewangan. Tiada siapa pernah menjangka ia jauh lebih kompleks.

"Keluarga saya syak ayah mungkin terlibat dengan jenayah terancang. Mungkin dia dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab."

"Maksud awak? Penyeludupan? Rompakan? Pembunuhan?" Dassa berbisik di telefon. Suaranya mula bergetar.

Borain memicit-micit dahi sambil memejamkan mata. "Emak saya syak mungkin kerja-kerja perisikan yang membawa kepada pembunuhan." Suaranya antara kedengaran dengan tidak. Dia yakin, Dassa pasti sedang terlopong sambil memegang telefon. Tiada siapa akan menduga ahli keluarga mereka akan terlibat dengan perkara sebegitu.

"Jadi.... apa yang keluarga awak akan buat sekarang?"

"Ayah nasihatkan agar kami jangan buat apa-apa. Dia cuma minta kami berpindah ke tempat baru dan jangan campur tangan," Borain mengulangi cerita yang diungkapkan abangnya Arkun petang tadi.

"Berhati-hati Borain. Mungkin keluarga awak juga sedang diperhatikan. Saya bimbang kalau awak pun sebenarnya dalam bahaya sekarang." Tiba-tiba Dassa terfikir tentang keselamatan keluarga rakannya.

"Saya pun rasa macam tu jugak, Dassa. Kata emak, kalau ayah gagal, keluarga kami mungkin akan jadi galang gantinya." Begitu payah Borain hendak melontarkan kata-kata itu. Selama ini dia berasa cukup selamat dan selesa dengan kehidupannya. Hi-Mueliya ialah sebuah negara yang aman dengan penduduk yang mengambil berat. Kini sangkaannya ternyata meleset. Sesetengah penjenayah mungkin terlalu kebal dan bebas berbuat sesuka hati mereka.

"Ayah awak orang baik, Borain. Saya betul-betul harap ayah awak tak akan dicop sebagai penjenayah. Dia dipaksa untuk bersekongkol. Itu bukan salah dia, awak mesti ingat tu. Awak jangan fikir yang buruk-buruk tentang dia, ya?" Dassa cuba memujuk.

"Ya, saya faham tentang itu. Tapi, yang paling penting saya mahu ayah saya selamat, supaya dia boleh pulang ke pangkuan kami sekeluarga satu hari nanti."

* * *

Bunyi deruan kipas helikopter menyemarakkan semula semangat Salika dan rakan-rakannya. Hanya Eran dan Salika masuk ke dalam helikopter manakala Wilma dan Dakara menunggu di pejabat kecil BX Aviation di Elterra.

"Pengesan ada dengan kau?" tanya Salika kepada Eran, usai memasang tali pinggang keselamatan. Mereka di tempat duduk bahagian belakang. Eran mengangguk sambil jari-jemarinya masih sibuk melakukan aturan untuk alat yang berada di atas ribaan.

"Boleh kita terbang rendah?" Eran menghulurkan kepalanya ke bahagian depan, bertanya kepada Kamal, juruterbang mereka pada hari itu.

"Walaupun kawasan ini tiada bangunan tinggi, saya masih perlu patuhi had. Tuan dan puan masih boleh memerhati trafik pada paras itu," Kamal menerangkan.

"Kami perlu mengesan sebuah kereta. Sekurang-kurangnya, alat pengesan ini boleh membaca nombor plet." Eran menyuakan alat pengesannya kepada Kamal.

"Berapa jauh had bacaan alat pengesan tuan?"

"5 km," sahut Eran, sedikit menjerit kerana suaranya kian ditenggelami bunyi kipas dan enjin helikopter yang kian membingit.

Kamal tersenyum dan mengangguk. "Saya rasa boleh, taka da masalah," ujarnya sebelum meminta Salika dan Eran bersedia. "Kita akan mulakan dengan kawasan Hikmirzap dan kemudian Datun, ya?"

Bangunan-bangunan dan jalan raya mula kelihatan makin mengecil di bawah. Teropong berwarna hitam likat bersaiz kecil digunakan oleh Salika untuk meninjau. Eran pula menghalakan lensa pengesannya ke arah lebuh raya. Alat pengesannya mampu mengimbas dan melakukan padanan untuk dua ribu objek sesaat. Setiap nombor kenderaan yang dikesan akan dibandingkan dengan data di dalam sistem untuk menentukan jenis, buatan dan pemiliknya.

Helikopter terbang terus tanpa mengganggu proses cerapan yang dilakukan oleh Eran. Seterusnya mereka dibawa melewati ruang udara sekitar bandar Hikmirzap. Trafik penuh sesak walaupun bukan pada waktu puncak.

"Ada apa-apa Eran?" tanya Salika yang masih tidak melepaskan teropong kecilnya.

"Belum," jawab Eran, pendek.

Salika menghubungi Wilma yang sepatutnya meneruskan pencarian menggunakan kereta. "Wilma, jalan-jalan utama di Hikmirzap dan Datun dah terlalu jam. Rasanya lagi baik kalau awak dengan Dakara tunggu saja di situ. Saya dengan Eran akan cuba kesan kereta tadi."

Kamal mengekalkan paras ketinggian mereka ketika helikopter mula memasuki ruang udara kawasan Datun. Deretan rumah-rumah kelihatan seakan-akan kotak-kotak yang disusun kemas mengikut barisan, ada yang berkelompok, ada yang dalam barisan lengkung dan ada rumah sebuah-sebuah dengan kawasan tanah yang luas.

Tiba-tiba Eran mengetuk-ngetuk alat pengesannya.

"Kenapa Eran? Anything wrong?" tanya Salika. Wajah Eran kelihatan keliru dan gusar.

"Scanner ni asyik tersangkut-sangkutlah. Tak boleh proses. Apa pulak problemnya ni?"

"Berapa banyak tak dapat proses?" Salika pula jadi bimbang.

Eran tidak menjawab sebaliknya meminta teropong di tangan Salika. Dia meninjau kawasan yang tidak dapat diproses tadi. "Ada satu kenderaan yang Nampak macam pelik sikit dekat situ."

"MPV tadi ke? Aku tak nampak lagi MPV tu," kata Salika mula teruja.

"Bukanlah. Bukan MPV tu yang bagi problem kat scanner ni." Eran terus meneropong. "Ada satu trak yang diparkir. Tak boleh diproses!"

"Trak?" Teropong bertukar tangan semula dan Salika terus mencari-cari trak yang dimaksudkan. "Trak berkepala merah darah yang bawak kontena putih tu, ya?"

"Betul. Dah try a few times pun masih tak boleh proses."

Salika melakukan sedikit penukaran aturan kepada alat pengimbas dan meninjau trafik kembali. Data berjaya diproses. "Nampaknya, trak yang kau dapat kesan tu bukan dari sini. Sebab itu sejak dari tadi sistem tak boleh proses."

"Maksud kau? Trak dari luar ataupun trak yang memang tak ada dalam system?" soal Eran, sedikit meninggikan suara.

Menyedari dia terlepas cakap, Salika meletakkan jari telunjuk di hujung bibir. Dia tidak mahu Kamal terdengar perbualan mereka. Juruterbang itu tidak tahu identiti mereka dan apa tujuan mereka berada dalam helicopter itu sebenarnya. Alat pengimbas dipulangkan semula kepada Eran lalu Salika menuding ke arah data yang baru dicerap dan versi pangkalan data yang digunakan.

Eran mengerling sekilas sebelum mengangguk-angguk faham ke arah Salika.

Jelas tertera di skrin pengimbas: Tarikh dikilangkan: Ogos 2081. Versi pangkalan data: 2083.1.1

"Jadi, mereka mungkin sudah ada portal di Hi-Mueliya juga? Trak sebesar tu pun mereka dah boleh bawak ke sini? This is news to me. Selama ni, setahu aku cuma manusia saja yang boleh merentas. Apa lagi yang diorang dah bawak agaknya?" Soalan daripada Eran dibiarkan oleh Salika tergantung-gantung begitu sahaja. Kemusykilan Eran itu perlu disampaikan kepada Mejar Huza dengan segera. Mereka perlukan persediaan lain dan sokongan tambahan. Salika tak begitu yakin mereka punya cukup masa untuk semua itu. Hari semakin lewat dan masa makin singkat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience