Bab 50
Panglima Aziman mengambil masa untuk berfikir masak-masak di dalam kereta dari Lebuhraya Maju sehingga mereka memasuki Lebuhraya Jaya. Mejar Mahaleel menghubungi Balai Polis Belzeya dan mengeluarkan arahan untuk mengosongkan semua bangunan kerajaan. Alasan yang diberikan ialah untuk memastikan raptai akhir sambutan Hari Kebangsaan akan berjalan dengan lebih lancar pada hari esok.
"Arahan sudah dikeluarkan, Panglima. Semua bangunan patut dikosongkan sebelum 10 malam," ujar Mejar Mahaleel.
"Bagus. Pastikan para pegawai kita dan penjawat awam tidak mengesyaki apa-apa. Kita tak mahu orang ramai jadi panik." Panglima Aziman cuba kelihatan setenang mungkin sambil bersandar di tempat duduk belakang.
"Perdana Menteri masih berada di majlis makan malam, Panglima. Kita terpaksa mengganggu majlis tersebut." Mejar Mahaleel menunjukkan pesanan ringkas yang baru diterimanya daripada pembantu khas Perdana Menteri.
"Maklumkan kita akan sampai dalam masa 15 minit. Ambil satu suite di hotel. Kita perlukan bilik operasi tergempar!" tegas Panglima Mahaleel sambil mengerling jam di tangan. Mereka hanya ada satu jam sebelum ejen N.A.I.A menelefon semula. Keputusan dan rancangan perlu dibuat dalam masa kurang dari satu jam.
"Baik, Panglima." Mejar Mahaleel terus mendail nombor yang sudah lima kali dipanggil sejak tadi. Sungguhpun Panglima Aziman tidak banyak bercakap selepas menerima panggilan daripada ejen N.A.I.A tadi, dia yakin negara sedang berhadapan dengan krisis besar.
* * *
Borain dan Arkun masih membincangkan tentang berita-berita berkenaan letupan di Pungutan Hasil selepas makan malam. Mereka berbaring di katil masing-masing sambil radio dipasang perlahan. Lagu-lagu pop diputarkan dan selang lima, enam lagu, berita terkini tentang ledakan bom akan disiarkan.
Telefon bimbit Arkun berdering nyaring. Dia meraih dengan pantas.
"Hello Kiflie. Ya, aku okey. Kau macam mana sekarang? Mak kau tak ada apa-apa?" Arkun bangun dari katil dan berbual dengan rakannya di tepi tingkap. Borain hanya memerhati. Dia beranjak sedikit dan duduk merapati radio untuk mendengar berita terbaharu dengan lebih jelas.
Punca letupan sudah ditemui oleh pihak polis dan bomba. Serpihan daripada dua peledak berkuasa tinggi sedang dianalisa di makmal. Pihak polis percaya ia mungkin perbuatan khianat kumpulan yang tidak bertanggung jawab. Mereka menolak kemungkinan ia dilakukan oleh orang perseorangan kerana bahan peledak itu bukan buatan sendiri.
Arkun menghenyakkan punggungnya di sebelah Borain dan mencuit bahu adiknya beberapa kali untuk mendapatkan perhatian.
"Kenapa?" tanya Borain yang masih khusyuk mendengar laporan berita.
"Berita buruk," ujar Arkun sambil menggeleng-geleng. Dahinya bergumal.
"Apa terjadi pada Kiflie?" Borain yakin berita buruk itu ada kaitan dengan Kiflie yang baru saja menelefon. Arkun menggeleng lagi.
"Bukan. Bukan Kiflie. Dia telefon cuma beritahu tentang kawan-kawan mak dia. Mereka bekerja malam tadi di Kementerian Perumahan dan Jabatan Imigresen. Kemudian polis datang dan minta mereka kosongkan pejabat dan jangan kembali sehingga diberitahu kelak."
"Ada kaitan dengan pengeboman petang tadi?" soal Borain, matanya mencerlang, rasa curiga mula beraja.
"Mereka kata untuk memudahkan logistik raptai penuh hari esok. Betulkah?" tanya Arkun. Borain mengangkat bahu.
"Selama ini tak ada masalah semasa raptai dan latihan pada hari bekerja. Mengapa perlu mereka kosongkan pejabat-pejabat di Belzeya pula?"
"Itulah yang menjadi kemusykilan sekarang." Arkun menyimpan telefon bimbit dan mereka berdua berkejaran ke ruang tamu. Televisyen dipasang dan butang alat kawalan jauh ditekan berkali-kali untuk mencari siaran berita. Hampir semua melaporkan berita yang sama. Berita yang mereka sendiri sudah hampir hafal. Semuanya berkaitan dengan pengeboman di Pungutan Hasil dan lakaran wajah saspek disiarkan berkali-kali. Tiada satupun berita atau pengumuman tentang pengosongan bangunan-bangunan pejabat di Belzeya.
Borain dan Arkun berpandangan. Benar, ada sesuatu yang tidak kena.
* * *
Manod bersiul-siul senang sambil memandu menghala ke Datun. Kezus hanya duduk membatu di kerusi belakang, manakala Douv sibuk menyusun dan mengarang ayat dalam kepala. Ayat-ayat yang bakal dilantunkan kepada Panglima Aziman dalam masa kurang sejam dari sekarang.
"Letupan di Menara Tani nanti jauh lebih dahsyat daripada apa yang berlaku di Pungutan Hasil," ujar Manod, memberi amaran tentang kemusnahan yang bakal disaksikan oleh seluruh rakyat Hi-Mueliya. Kezus masih terkenangkan peledak-peledak yang dipasangnya di bangunan itu tadi. Jumlah peledak dan kekuatannya tiga kali lebih daripada apa yang dipasang di Pungutan Hasil. Kezus memejamkan mata, masih terbayang-bayang di kepalanya ratusan penjawat awam yang lari bertempiaran dan menjerit penuh cemas dalam ketakutan. Pasti mereka akan mengalami trauma buat jangkamasa yang panjang selepas ini.
"Aku harap Panglima Aziman akan buat keputusan yang bijak," Douv mematahkan anganan Kezus. "Dia sebenarnya lebih dari tahu apa yang Perdana Menteri akan lakukan semasa persidangan Persatuan Pengeluar-pengeluar Minyak dunia. Buat masa sekarang perancangan itu memang kelihatan seperti bijak, tapi mereka tak tahu apa bakal berlaku 60 tahun dari sekarang. Kita yang akan menanggung akibatnya."
Kezus mengeluh sebelum menekupkan tangan ke wajahnya. "Maksud kau, rakyat Asetia yang menanggung akibatnya?" Kata-kata sinis dari Kezus membuatkan Douv menjelingnya tajam.
"Bersyukurlah kau masih bernyawa, Kezus. Sekarang, kau cuma tumpukan perhatian untuk menyudahkan misi ini. Yang selebihnya, kau tak perlu ambil tahu dan kau tak sepatutnya persoalkan," tempelak Douv.
Kezus mengangkat muka. "Apa maksud kau? Aku seharusnya sudah matikah?"
Manod sudah berhenti bersiul dan merenung sekilas ke arah rakan-rakannya. "Mesti kau dah tak ingat, Kezus. Kau sebenarnya hanyalah seorang banduan yang menunggu hukuman di tempat asal kita. Cuma di Hi-Mueliya ini, kau seorang pensyarah universiti yang dihormati. Bersyukurlah dengan apa yang kau nikmati sekarang. Apa yang kau ada sekarang, hanyalah pinjam-pinjaman."
Kezus melemparkan pandangan ke luar. Cahaya lampu-lampu jalan menyilaukan dan keadaan trafik yang bertali arus, mula terasa menyesakkan. Kekesalan masih terpasak di jiwanya. Dia tidak pernah rela melakukan kemusnahan sebegini, apa lagi mengorbankan nyawa manusia. Cuma dia terperangkap dalam keadaan yang di luar kawalannya.
"Aku dah tak punya naluri pembunuh tu, kau harus ingat. Aku kini memiliki ingatan dan perasaan Kezus. Situasi semacam ini membuatkan aku dalam dilema,' Kezus bersuara lambat-lambat. Douv tersentak, sedikit risau.
"Sebab itu, aku nasihatkan kau agar jangan terlalu memikirkannya. Kau hanya perlu laksanakan tugas yang telah diamanahkan kepada kau dan kemudian kita akan pergi dari sini." Douv bimbang naluri milik Kezus akan memesongkan hati dan perasaan rakan sepasukannya itu. Ia pernah terjadi. Tak mustahil akan berlaku lagi.
"Tapi, bila aku kembali ke tempat asal, aku akan menerima hukuman sebenar aku, bukan?" soal Kezus, membuatkan mulut Douv terkunci.
"Sumbangan kau dalam misi ini akan memberi kau peluang untuk membuat rayuan agar hukuman kau diringankan, Kezus. Kau mungkin tak ingat apa yang kau dah bincangkan dengan peguam kau dulu, tapi setahu aku hukuman bunuh ke atas kau tak akan diteruskan," Manod cuba memberi keyakinan baru.
"Kau betul-betul pasti? Ataupun ini semua setakat nak sedapkan hati aku dan aku tak retaliate?" soal Kezus kembali. Giliran Manod pula membisu.
Share this novel