Chapter 27

Romance Completed 14626

Bab 27

27 Ogos 2020

Kezus terjaga dari lena saat pemandu airport Limo mengetuk kaca tebal yang memisahkan mereka. Pemandu itu mengangguk dan tersenyum sopan.

"Dah sampai?" tanya Kezus dalam keadaan yang masih terpinga-pinga.

"Kita sudah berada di Kota Suranga. Selamat pulang, tuan," ucap pemandu lalu keluar untuk membuka pintu bagi Kezus. Bagasi dikeluarkan dari bonet dan disusun di hadapan pintu pagar.

"Terima kasih." Kezus mengeluarkan segugus kunci rumah dari beg. Pemandu airport Limo mengangkat tangan sebelum keretanya perlahan-lahan bergerak meninggalkan Kezus.

Bagasi diketepikan sedikit ketika Kezus cuba mencapai mangga di sebelah dalam pagar rumah. Sudah dua bulan rumah itu ditinggalkan, rumput sudah meliar di laman. Pelbagai iklan dan brosur bersepahan di tepi peti surat. Kezus memasukkan kunci ke dalam mangga dan pulas sekali. Kunci tak bergerak. Mangga terasa ketat. Kezus cuba beberapa kali lagi. Tetap gagal.

Kezus membelek-belek mangga yang kelihatan sedikit berkarat. Dia mengeluh sendirian dan memandang keliling. Dia bercadang untuk memanjat pagar rumahnya sendiri. Beberapa remaja yang berbasikal melintasi rumahnya merenung kehairanan. Pakaian yang renyuk dan rambut yang berserabut pasti menimbulkan syak si pemerhati. Kezus cuba bertenang, menarik nafas dalam-dalam dan cuba membuka mangga sekali lagi. Hampa.

Seketul batu putih di tepi jalan pantas dikutip. Dengan sedikit payah Kezus cuba mengetuk mangga dengan batu. Mungkin karat yang sudah berkumpul membuatkannya ketat. Melengking bunyi batu bertemu besi. Kezus ketuk lagi berkali-kali. Cahaya matahari yang membakar tubuh tidak dipedulikan. Peluh mulai merenik dan tengkuknya mula berasa berlengas.

"Encik mahu buat apa?" suara lantang dari dalam rumah memeranjatkan Kezus. Lantas dia berhenti mengetuk mangga. Ada seseorang di dalam rumahnya. Seraut wajah lelaki berkulit gelap muncul di sebalik langsir, di celah-celah jeriji pintu kaca. Kezus memerhati dengan penuh curiga.

"Apa awak buat dalam rumah saya?" Kezus tidak dapat menyembunyikan perasaan marah. Dia tidak berpesan kepada sesiapa untuk menjaga rumah sepanjang pemergiannya ke Los Volvimos. "Awak ini siapa?"

Pintu utama rumah terbuka perlahan. Lelaki bersinglet putih dan berseluar jeans biru berjalan keluar. Kezus menatap wajahnya dan begitu pasti dia tidak mengenali lelaki itu.

"Assalamualaikum, saya Ghaffur," ujar lelaki itu lalu menghulurkan tangan.

"Waalaikumsalam. Saya Kezus dan ini rumah saya. Siapa benarkan awak masuk ke dalam semasa ketiadaan saya?" Kezus menjabat tangan Ghaffur separuh hati.

"Mungkin ada salah faham, tuan. Saya sudah dua tahun menyewa di sini. Rumah ini milik Tuan Malik bin Naufal."

Kezus cuba mengintai-intai ke dalam rumah menerusi pintu utama. Sofa, almari, bangku, lukisan dan pasu-pasu yang kelihatan memang miliknya. Lelaki bernama Ghaffur ini mungkin penceroboh.

"Kamu nak mencuri ya?" Kezus jadi geram lalu cuba menarik singlet putih lelaki itu tetapi dia berundur beberapa langkah. "Ini rumah saya! Saya mahu kamu keluar sekarang!" Kezus meninggikan suara dan Ghaffur cuma beristighfar.

Muncul seorang wanita yang mengendong seorang anak kecil dari dalam rumah. Dia mengenakan sari dan berkulit gelap seperti Ghaffur.

"Kenapa abang? Siapa dia ni?" tanya wanita itu kepada Ghaffur.

Ghaffur merenung wanita itu dan mengurut lembut belakang anak kecil yang didukung. "Nama dia Kezus. Katanya ini rumah dia." Wanita itu terus merenung Kezus dengan penuh tanda tanya.

"Tuan, ini rumah Tuan Malik bin Naufal dan kami menyewa di sini. Adakah tuan ini adik Tuan Malik?" Wanita itu menghampiri pagar untuk melihat wajah Kezus dengan lebih dekat.

"Tidak. Saya tak kenal Tuan Malik. Saya bukan adik dia. Dan ini memang rumah saya. No. 36, Jalan Puteri 2/16. Apa kamu semua buat di sini? Saya baru pergi dua bulan, kamu sudah berani pecah masuk?"

"Minta maaf Tuan. Bukan dua bulan, kami sudah tinggal di sini lebih dua tahun. Tuan boleh tanya jiran-jiran semua," ujar wanita yang mendukung anak kecil yang sedang menghisap ibu jari.

Kezus melepaskan keluhan marah. "Kalau kamu semua tidak keluar dari rumah saya sekarang, saya akan telefon polis." Telefon bimbit dibawa keluar dari saku.

Serentak itu juga kedengaran bunyi enjin motor di belakang Kezus. Seorang polis peronda bermotorsikal berhenti dan memberi salam. "Ada sebarang masalah di sini?" soalnya dengan suara serak. Tanda nama Amran terpampang di dada - berpangkat Korporal.

Ghaffur dan wanita yang mendukung anak tidak berganjak dan tidak membuka pintu pagar. "Tuan, lelaki ini cuba memecahkan mangga pagar saya tadi. Katanya ini rumah dia," terang Ghaffur dengan tenang.

"Ini memang rumah saya, tuan," Kezus cuba meyakinkan Korporal Amran.

"Ada bukti?" tanya Korporal Amran, tegas.

Kezus mengeluarkan dompet lalu menarik keluar kad pengenalan dan lesen memandu. Korporal Amran memeriksa kedua-duanya lalu tersenyum.

"Tuan beralamat di Einden, bukan menggunakan alamat rumah ini." Korporal Amran mengembalikan kedua-dua kad kepada Kezus.

Keliru dengan kata-kata polis peronda itu, Kezus memeriksa sendiri dokumen dirinya. Apartmen Mahsuri, Persiaran Einden. "Tapi....." Kezus tidak mampu berkata-kata. Dia jadi bingung. Wajah Ghaffur dan wanita tadi ditenung lagi. "Ini tak mungkin..... tak mungkin....." Kezus pasti ini rumahnya. No 36, Jalan Puteri 2/16, Kota Suranga. Mana mungkin dia terlupa alamat sendiri. Alamat rumah yang telah beberapa tahun didiami. Aneh.

"Ini benar-benar rumah tuan?" Korporal Amran mengajukan soalan kepada Ghaffur. Dia mengangguk. "Benar, tuan. Tunggu sebentar saya ambil bil telefon." Ghaffur berlari ke dalam rumah dan muncul semula tidak lama kemudian.

Korporal Amran menyambut tiga keping bil telefon yang dihulurkannya berserta kad pengenalan.

"Nampaknya, Tuan Ghaffur memang menetap di sini. Sekurang-kurangnya selama tiga bulan kebelakangan ini." Dia menjajakan nama Ghaffur yang terpampang pada bil telefon. Kezus hanya mampu ternganga. Tiga bulan lepas dia masih berada di rumah ini. Bagaimana Ghaffur boleh menggunakan alamatnya?

Fikiran Kezus ligat berputar, cuba mengulang tayang apa yang berlaku di rumah ini pada hari sebelum dia berangkat ke Los Volvimos. Tiada apa-apa keganjilan. Pintu, tingkap, pagar dikunci kemas. Dia masih tidak mampu membuat sebarang andaian bagaimana keluarga Ghaffur boleh menghuni rumah itu.

"Saya rasa tuan patut beredar." Korporal Amran menghampiri Kezus.

Saat itu baru Kezus tersedar dia perlu mencari tempat untuk dituju. Matanya meliar memandang sekeliling. Kereta aku! Kezus terus menyeluk saku dan mengeluarkan kunci kereta. Alat kawalan jauh ditekan dan kedengaran bunyi penggera kereta tidak jauh dari sebelah kiri. Keretanya diparkir di tepi jalan bersebelahan padang permainan.

Kezus dan Korporal Amran bertukar pandangan. Kezus kehairanan, Korporal Amran lega.

"Biar saya tolong tuan dengan beg-beg pakaian ni," polis peronda itu menawarkan diri.

"Terima kasih." Kezus menarik beg yang besar dan beroda manakala Korporal Amran menjinjing yang kecil. Mereka berjalan menuju ke kereta Tayda berwarna keemasan.

"Kalau ada sebarang masalah di kawasan ini, tuan boleh hubungi pasukan peronda kami." Korporal Amran menghulurkan kad kecil yang mengandungi peta ke pondok polis berdekatan. Kezus hanya mengangkat tangan dan mengangguk. Dia mula memulas kunci, menghidupkan enjin kereta. Penanda aras minyak naik suntuk - penuh.

Sekali lagi Kezus kehairanan. Enjin hidup dengan lancar, minyak penuh - tiada tanda-tanda kereta ini seperti sudah dua bulan tidak dihidupkan. Yang lebih menghairankan, mengapa ia diparkir di tepi jalan. Padahal ketika ditinggalkan, ia berada di dalam pagar rumah dan disungkup dengan kanvas.

Korporal Amran telah berlalu dengan motorsikalnya. Ghaffur dan wanita tadi masih berdiri di tepi pagar. Kezus menukar gear dan menekan minyak perlahan-lahan menuju ke arah rumahnya. Dia menurunkan cermin dan mengangkat tangan kepada Ghaffur yang kelihatan agak cemas - mungkin menyangkakan Kezus akan turun dari kereta untuk bertengkar dengannya lagi. Kezus cuma tersenyum.

Aku akan cari apa muslihat kamu semua. Ini rumah aku!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience