Chapter 51

Romance Completed 14626

Bab 51

Perbincangan singkat selama 15 minit dengan Perdana Menteri tidak menghasilkan sebarang penyelesaian. Beberapa tetamu kehormat dari Dhiabi sedang menunggu giliran untuk berbicara dengan beliau. Panglima Aziman terpaksa menceritakan situasi yang dihadapi dengan tergesa-gesa.

Perdana Menteri menyerahkan kepada Panglima Aziman untuk menangani krisis itu. Yang penting, tiada nyawa terkorban dan kumpulan pengugut itu dapat ditumpaskan. Ucapan yang bakal disampaikan oleh Perdana Menteri semasa persidangan Persatuan Pengeluar-pengeluar Minyak Dunia akan diteruskan. Sebagai jemputan khas, Hi-Mueliya sepatutnya menggunakan peluang itu dengan sebaik-baiknya. Untuk kepentingan masyarakat dunia, tegas Perdana Menteri lagi. Panglima Aziman terpaksa akur.

Unit pengesan dan pemusnah bom sudah dikerahkan ke Belzeya. Mejar Mahaleel mengepalai misi mengejut untuk menjejak dan menumpaskan kumpulan pengebom yang tiba-tiba muncul itu. Beberapa pegawai yang baru tiba ke suite di hotel Seri Negara sedang menumpukan perhatian kepada penerangan yang diberikan oleh Mejar Mahaleel.

"Apa yang bakal kita katakan kepada ejen N.A.I.A itu nanti, Panglima?" Mejar Mahaleel sudah menerangkan tadi bahawa mereka perlu lebih masa untuk memeriksa setiap kompleks dan bangunan kerajaan di Belzeya.

"Saya akan pujuk mereka untuk berunding. Kita masih belum mengerti mengapa mereka mahu Perdana Menteri membatalkan ucapannya di persidangan Persatuan Pengeluar-pengeluar Minyak Dunia. Ucapan kali ini tidak banyak beza dengan ucapan yang pernah disampaikan sebelum-sebelum ini." Panglima Aziman masih bingung.

“Mungkin Asetia mahu pemimpin Hi-Mueliya berhenti daripada mempengaruhi pemikiran pemimpin-pemimpin Persatuan Pengeluar-pengeluar Minyak Dunia. Mereka seboleh-bolehnya mahu kepala negara-negara pengeluar minyak berada di bawah telunjuk mereka. Jika semua ketua negara-negara pengeluar minyak bersatu dan bersepakat, kita mampu menjadi jauh lebih kuat daripada kuasa Asetia. Entahlah, itu sekadar telahan saya,” ujar Mejar Mahaleel sambil membetulkan duduknya.

Panglima Aziman hanya membisu. Tidak memberikan sebarang komen terhadap pendapat Mejar Mahaleel. Dia bergerak ke arah tingkap untuk meninjau apa yang sedang berlaku di bawah. Kelihatan kereta-kereta mewah sedang beransur-ansur meninggalkan pekarangan hotel Seri Negara. Para tetamu majlis makan malam dengan Perdana Menteri ada yang sedang bersalaman sesama sendiri sebelum berangkat pulang. Kereta Perdana Menteri belum kelihatan, mungkin beliau masih berada di dalam bangunan.

Panglima Aziman berpaling ke arah Mejar Mahaleel. "Saya perlu berbincang semula dengan Perdana Menteri."

* * *

Salika dan Wilma masih berada di Celzera. Setelah orang ramai mulai surut di sekitar bangunan Pungutan Hasil, mereka menghampiri beberapa pegawai pemusnah bom yang sedang berbincang sesama sendiri. Mereka tidak lagi berbincang tentang siasatan di Pungutan Hasil, tetapi arahan daripada pihak atasan yang baru diterima kira-kira 20 minit yang lepas -- semua pemusnah bom diarahkan ke Belzeya. Pemeriksaan terhadap setiap bangunan perlu dilakukan sekarang juga.

Salika merenung Wilma penuh makna. Pihak berkuasa mungkin sudah mengetahui tentang situasi sebenar dan sedang cuba mengelakkan malapetaka yang lebih besar menimpa. Mereka mula menapak ke arah kereta yang diparkir agak jauh. Salika terus menghubungi Eran.

"Ada jumpa apa-apa di sana, Eran?" soalnya, mengharapkan mereka mampu menjejak Kezus dan pasukannya.

"Kami baru selesai periksa empat kementerian. Tak jumpa sebarang peledak. Sekarang kami terpaksa keluar kerana pihak polis sudah mengarahkan semua pekerja mengosongkan pejabat. Kami tak boleh menyamar masuk sekarang."

Salika meninjau sekeliling sebelum meneruskan, "Tak lama lagi pasukan pengesan dan pemusnah bom akan tiba ke sana. Kau cari jalan untuk turut serta dengan mereka."

"Baiklah. Mereka mengesan menggunakan apa?"

"Aku tak nampak sebarang peralatan elektronik yang mereka bawa ke sini untuk mengesan peledak. Mereka lebih percayakan kebolehan anjing pengesan, nampaknya." Salika menoleh sebentar ke arah beberapa kumpulan pegawai polis dan bomba yang masih berada di perkarangan bangunan Pungutan Hasil. Dua ekor anjing pengesan berwarna hitam kelihatan di situ, baru sahaja di bawa turun dari bangunan.

"Bagus, ia takkan menghasilkan gangguan kepada alat pengesan kita," kata Eran. "Aku dan Dakara akan masuk dan periksa bangunan yang berlainan. Jadi, kau akan dapat status daripada kami berdua."

"Tolong terangkan kepada pegawai-pegawai bantuan kita yang baru tiba. Jangan sampai pasukan polis mencurigai kita," pesan Salika. "Cukup tak seragam polis untuk semua orang?"

"Ada. Rafiki bawa satu van penuh dengan seragam polis, bomba, doktor dan jururawat tadi, cukup untuk penyamaran semua ahli pasukan," Eran merujuk kepada salah seorang pegawai yang baru tiba ke Belzeya bersama sepuluh orang lagi yang dihantar oleh Mejar Huza.

"Kamu semua hati-hati, ya?" pesan Salika. "Mungkin Kezus dan kawan-kawannya masih di Belzeya. Entah-entah merekapun menyamar sama."

Salika tak mampu meneka tindak-tanduk Kezus dan pasukannya. Daripada seorang yang asyik ditenggelami buku-buku akademik dan laporan-laporan penyelidikan, kini sudah menjadi salah seorang pakar pengeboman. Apa lagi yang boleh dilakukan oleh lelaki bernama Kezus dan rakan-rakannya?

* * *

Tiba di banglo di Datun, ketiga-tiga mereka bergegas naik ke tingkat atas. Mark, Timothy dan Esky sedang tekun bekerja, tertunduk-tunduk mengadap skrin komputer.

"Baru pulang?" tegur Esky tanpa mengangkat kepala.

"Ya, tolong pamerkan status peledak yang Kezus pasang di Belzeya tadi," Douv memberikan arahan. Esky dengan pantas menekan punat kuning di terminal bersebelahan komputernya.

"Keadaannya bagus. Aktif. Hanya menanti kita menghantar isyarat untuk meletupkannya," ujar Esky lalu berpaling untuk bersemuka dengan Kezus yang berdiri di sampingnya.

"Bolehkah kau kesan kalau ada manusia yang tiba-tiba berada di sekitar peledak itu?" soal Kezus dengan wajah risau. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu ada korban nyawa.

Esky menggeleng perlahan dan tertawa pendek. "Tak boleh Kezus. Kita hanya boleh tekan butang merah ni untuk meledakkan bom dari jarak jauh. Tiada alat pengesan pada bom itu. Kalau aku perlu lakukan konfigurasi tambahan dari jarak jauh, aku perlu gunakan UltraPad aku ni." Esky menuding ke arah UltraPad yang diletak di atas mejanya.

Jawapan daripada Esky mengundang penyesalan yang makin menebal dalam jiwa Kezus. Douv merenungnya dengan perasaan yang bercampur aduk.

"Kawal perasaan kau tu, Kezus. Misi kita dah hampir selesai. Jangan fikirkan sangat tentang manusia di sini. Kau perlu fokus kepada pekerjaan kau sendiri." Douv meninggikan sedikit suara, membuatkan Mark dan Timothy berhenti dari melakukan kerja mereka dan pantas menoleh. Bila melihat air muka Douv yang keruh, Mark bangun dari kerusi, diikuti oleh rakannya Timothy.

"Ingat pesanan aku dulu, Kezus,” kata Mark. “Kalau kau buat hal lagi, kami takkan ulang prosedur haritu, tapi kami akan terus tamatkan saja riwayat kau!" Mark memberikan amaran.

Kezus merengus keras, sarat dengan protes. Dia tahu ini tanggung jawabnya untuk memastikan misi ini berjaya tetapi dia terus-terusan berperang dengan nalurinya sendiri. Ini naluri Kezus, dia sedar. Naluri milik Kezus yang asal. Orangnya penyayang dan mendukung nilai-nilai moral yang tinggi. Kezus seorang yang patriotik, yang lebih rela menabur bakti di tanah air sendiri dan melepaskan peluang untuk miliki pendapatan tinggi di negara orang.

"Jangan buat hal, Kezus," Manod mencelah. "Kalau kau tiba-tiba tarik diri, ingat apa yang akan terjadi pada emak dan anak-anak kau juga. Kau mungkin tak sayang nyawa kau sendiri, tapi sanggupkah kau biarkan orang-orang yang kau sayang jadi mangsa akibat perbuatan kau?" Manod mengingatkannya tentang emak, Borain dan Arkun. Sekarang dia faham mengapa identiti Kezus dimasukkan ke dalam dirinya. Kezus sayangkan keluarganya dan mudah digertak. Jika dia datang ke sini sebagai dirinya yang asal -- seorang penjenayah kejam, dia mungkin akan memberontak dan mendatangkan masalah yang lebih besar.

"Sudah! Sudah! Diam semua! Aku nak telefon orang tua tadi." Douv mengangkat tangan kanannya tinggi-tinggi sambil tangan kiri mendail nombor Panglima Aziman. Telefon berdering lebih lima kali baru kedengaran suara sedikit serak yang terbatuk-batuk.

"Apa khabar ejen N.A.I.A?" perli Panglima Aziman. "Memang bersungguh-sungguh kamu ni."

"Tak perlu nak berbasa-basi, Panglima. Sekarang beritahu saya apa kata Perdana Menteri kesayangan rakyat Hi-Mueliya."

Panglima Aziman terdiam sejenak, menghela nafas. "Perdana Menteri minta kamu beri kami sedikit masa lagi. Kami belum dapat berbincang semeja sejak tadi. Terlalu ramai tetamu sedang bertemu dengannya."

Douv menghentak meja di hadapannya. Semua yang berada di dalam bilik itu terkejut. "Saya dah beri satu setengah jam, Panglima. Takkanlah Perdana Menteri tak boleh luangkan lima minit pun untuk berbincang tentang permintaan saya. Ini ugutan yang serius, Panglima. Jangan ambil mudah!"

"Tolonglah," lelaki bergelar Panglima itu merayu. "Tolong beri sejam sahaja lagi. Tetamu Perdana Menteri dah mula berangkat pulang. Sebentar lagi dia akan datang bertemu saya."

Wajah Douv merah padam menahan marah. "Minta maaf Panglima. Saya kesuntukan masa." Dia menamatkan perbualan lalu menerpa ke konsol di sebelah Esky dan terus menekan punat merah. Semua yang berada dalam bilik hanya mampu terkedu.

Sementara itu, suasana sunyi di kawasan Sektor 4, Belzeya bertukar gegak gempita bila ledakan demi ledakan menghamburkan pecahan-pecahan konkrit, besi dan kaca ke sekitar bangunan Menara Tani. Gegaran beberapa ketika membuatkan semua yang di sekitar kawasan menyedari sesuatu yang buruk sedang menimpa. Sistem penggera yang terpasang berbunyi membingit dan pasukan pengesan bom berkejaran turun dari bangunan-bangunan berdekatan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience