Chapter 54

Romance Completed 14626

Bab 54

Salika dan Dakara kembali ke kawasan sekitar Jabatan Imigresen pada jam 6.15 pagi. Seragam Polis Hi-Mueliya yang membalut tubuh mengurangkan rasa dingin yang menggigit.

"Mengapa kita kembali ke sini?" soal Dakara. Dia terpaksa meninggalkan pasukannya di Kementerian Dalam Negeri bila Salika mengarahkannya untuk memeriksa keadaan di Sektor 2,3 dan 4.

"Aku rasa tak sedap hati," jawabnya, pendek. "Ejen-ejen N.A.I.A sering bertindak tanpa terduga. Dan mereka bergerak dan bekerja dengan sangat pantas. Kita tak boleh rasa selesa dengan pemeriksaan yang kita sudah lakukan semalam. Kezus ialah seorang ejen yang cekap dan tangkas. Dia mampu bertindak seorang diri, Dakara. Dia tidak perlukan skuad pengebom ataupun pasukan tempur untuk membantunya." Salika menggosok-gosok matanya yang sudah memerah. Jantungnya yang berdebar-debar menghalang rasa mengantuk dari bertandang, sungguhpun sudah dua malam dia dan pasukannya bersengkang mata.

"Jadi, kau mahu aku periksa semula semua bangunan di sini?" Dakara meminta kepastian dan Salika mengangguk.

"Ya, kita terpaksa lakukan secara rawak."

"Mari kita mulakan dari hujung sana. Bangunan itu yang mula-mula kami periksa semalam," cadang Dakara, menuding ke arah Pusat Audit Negara.

"Ayuh!" Salika mempercepatkan langkah.

Bila menghampiri Kementerian Kewangan, telinga mereka menangkap bunyi deruman enjin bas yang makin lama makin kuat. Dari jauh kelihatan puluhan, malah ratusan para pelajar sekolah mengerumuni beberapa orang petugas dan salah seorang daripada mereka sedang memegang pembesar suara.

"Aku harap mereka batalkan raptai hari ini. Kalau boleh, batalkan saja sambutan Hari Kebangsaan di sini," bisik Salika. Dakara masih memerhatikan beberapa buah bas yang beratur di ruang parkir sementara.

"Kalau sambutan Hari Kebangsaan dibatalkan terus, apa akibatnya?" soal Dakara. Salika angkat bahu.

"Tak ada apa-apa. VVIP semua boleh diterbangkan ke bandar lain untuk sambutan ni. Tak ada salahnya kalau acara ini tidak diadakan di kawasan New Belzeya. Lagipun New Belzeya sudah terlalu sesak, bukan?"

"Ah, aku tak fikir sambutan ini akan dibatalkan. Ini sambutan pada tahun 2020. Kita sendiri sudah baca cerita dan lihat gambar-gambarnya dalam buku-buku di perpustakaan. Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun 2020 adalah yang paling meriah dalam sejarah." Dakara berpegang teguh pada teorinya: ejen-ejen N.A.I.A takkan mampu melumpuhkan Hi-Mueliya mahupun melemahkan kerajaannya, kerana semua itu tiada dalam lipatan sejarah. Sungguhpun sudah ramai yang mampu merentas masa, tiada siapa yang mampu mengubah sejarah.

"Tapi, kita dah berjaya memesongkan ingatan dan pemikiran seorang manusia bernama Kezus. Kita dah mengubah sejarah hidupnya. Jadi itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan, bukan?" sangkal Salika.

“Tapi, kita tak berjaya sepenuhnya,” Dakara menyangkal balik, tidak berminat untuk menyambung perbalahan mereka tentang teori itu.

Selepas bangunan Kementerian Kewangan, mereka membelok ke kanan untuk melalui jalan pintas di tepi bangunan Jabatan Kastam. Di situ Salika dan Dakara terpaku. Seorang remaja lelaki sedang duduk mencangkung di hadapan seorang anggota polis yang mengenakan seragam pasukan pemusnah bom yang bersila di laluan pejalan kaki. Mereka tahu lelaki yang berbalut seragam itu bukan seorang anggota polis. Dari jarak 20 meter pun mereka hampir pasti itu adalah Kezus. Kezus yang mereka buru semenjak berhari-hari.

Jantung Salika terus berdegup pantas. Tangannya menggenggam erat tali beg tangan. Uncang pasir pemberian Dr. Lara Helza masih berada dalam beg. Dia tahu lelaki itu Kezus. Dia mesti diberkas dan pada masa yang sama dia harus berikan uncang pasir ini kepadanya, tapi bagaimana? Dia pasti lelaki itu akan terus lari jika didekati.

* * *

Borain tidak pasti apa yang ingin diperkatakan kepada lelaki yang memakai seragam gelap di hadapannya. Hatinya tersentuh ketika lelaki itu memanggil namanya sebentar tadi. Ada sesuatu di dalam suaranya dan cara dia menyebut nama 'Borain' yang membuatkan dia menggenggam kemas tangan lelaki itu sekarang.

"Pakcik Zarel, saya risaukan kawan-kawan saya," kata Borain lalu duduk mencangkung dan menarik tangan lelaki yang dipegangnya. Lelaki itu terduduk sama.

"Mengapa dengan kawan-kawan kamu, Borain?" lelaki itu mengurut lembut bahunya.

"Saya tak jumpa mereka. Saya perlu beri mereka amaran tentang tempat ini. Kami semua perlu tinggalkan tempat ini secepat mungkin!" Borain berbicara begitu pantas hingga termengah-mengah.

"Janganlah risau. Mungkin juga mereka berada dalam bas-bas yang sudah berlepas tadi," pujuk lelaki itu tetapi tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada Borain.

"Mereka tak naik bas, pakcik. Mereka naik kereta. Mereka naik kereta emak Dassa. Selalunya waktu begini mereka sudah sampai, tapi saya tak dapat cari mereka. Pakcik boleh maklumkan kepada pegawai polis lain yang bertugas di sini?" tanya Borain dan wajah lelaki yang digelarnya Pakcik Zarel itu tiba-tiba berubah.

"Ah... baiklah. Borain tunggu di sini. Pakcik nak pergi cari anggota polis di belakang sana. Pakcik tak bawa alat komunikasi sekarang," ujar lelaki itu, sedikit tergagap. Borain hanya mengangguk.

Tanpa sebarang kata, lelaki itu lantas bangun dan berlari ke arah deretan pokok hiasan di tepi bangunan Jabatan Kastam. Kemudian dia lantas menghilang. Borain meninjau-ninjau dari tempatnya berdiri, lelaki itu tidak kelihatan lagi.

* * *

Kezus masuk ke dalam trak dengan wajah sedikit pucat.

"Ada dua orang polis mengintai kau tadi, semasa kau buang masa berbual-bual dengan budak lelaki tu," tegur Douv.

"Apa?" Kezus sendiri tidak menyedari bahawa dirinya diperhati.

"Lakaran muka kau dah keluar televisyen dan semua akhbar utama hari ini. Entah berapa ribu anggota polis yang sedang mencari kau sekarang." Douv menunjukkan sebuah laman akhbar atas talian yang dibacanya sebentar tadi. "Nampaknya ada saksi yang nampak kau semasa di bangunan Pungutan Hasil. Kau ada berborak-borak dengan pekerja di situ, bukan?" soal Douv dengan suara yang meninggi. "Kan aku dah pesan, jangan sesekali bercakap atau bertentang mata dengan sesiapa pun!" tegas Douv lagi.

Kezus hanya terdiam. Beberapa set bahan peledak dimasukkan ke dalam beg sandang. Dia sedar, memang kesilapannya mengarahkan para pekerja yang berada di dalam pusat data agar segera beredar. Mungkin ada di antara mereka yang menyedari keanehan situasi tersebut, lantas melaporkannya kepada pihak polis. Dia tidak boleh menyalahkan orang lain dalam hal itu.

"Lekas! Pasang semua tu di bangunan terakhir. Kita dah tak ada masa lagi. Makin lama kita di sini, makin banyak kesilapan yang kau buat!" Lantang suara Douv mengkritik Kezus.

Manod, Mark dan Esky yang turut sama di dalam trak hanya mengunci mulut. Tugas mereka yang terakhir di situ ialah untuk menekan punat merah yang terletak di konsol di hadapan Esky. Punat merah yang akan ditekan beberapa kali -- sekali untuk setiap bangunan yang bakal diletupkan. Selepas itu, Belzeya akan jadi gegak gempita. Dentuman demi dentuman akan mengejutkan semua yang masih enak diulit mimpi.

Kezus mengutip set peledak yang terakhir lalu memasukkan ke dalam beg sandang. Kemudian dia berdiri di sebelah Esky, beg sandang diletakkan di tepi konsol. "Aku akan lakukan pemasangan terakhir sekarang. Sebelum itu, aku mahu minta maaf kalau kesilapan dan gangguan emosi aku menyusahkan kamu semua. Aku sedar ini hanya salah satu daripada misi-misi besar kamu semua. Maafkan aku kalau kamu semua rasa aku ni tak cukup bagus untuk pasukan ini."

Tanpa menanti jawapan daripada rakan-rakan sepasukannya, Kezus membuka pintu trak halimunan dan mengatur langkah ke arah bangunan Pusat Audit Negara. Beg sandang dipegang erat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience