Bab 56
Douv menggelisah di dalam trak. "Dah lebih 10 minit ni. Mana Kezus belum muncul-muncul lagi?" Dia mendengus.
Manod sudah berkali-kali cuba menghubungi Kezus namun tidak berjaya. "Ah! Jangan-jangan dia diberkas dua orang anggota polis tadi. Aku lihat dia seperti tak bergerak-gerak dari tingkat 6. Atau mungkin loket pengesan yang dipakainya sudah dibuang? Apa harus kita lakukan sekarang?"
"Kita perlu bergerak sekarang. Mesti ikut perancangan, jika tidak kita sendiri yang terperangkap," ujar Douv sambil mengisyaratkan kepada Mark agar pergi ke tempat pemandu. Mengikut perancangan terbaru, semua bangunan kerajaan yang disasarkan mesti diledakkan sebelum pukul 8 pagi. Portal bakal dibuka pada jam 9. Semuanya mesti tepat waktu. Tiada ruang untuk kesilapan kecil pun.
Mark menghidupkan enjin. Timothy dan Esky sudah bersedia di konsol masing-masing.
"Semua peledak sudah terpasang dan dalam keadaan aktif," Esky melaporkan dengan lantang. Douv hanya mengangkat ibu jari. Dia masih tertanya-tanya apa yang telah terjadi kepada Kezus. Skrin pemantau yang tertera di hadapannya menunjukkan lokasi Kezus masih di tingkat 6. Atau mungkin juga hanya loket pengesan yang tertinggal di situ.
"Bagus. Kezus dah sempurnakan tugas dia. Aku tak mahu tahu ke mana dia dah pergi. Kalau dia dedahkan identiti kita kepada polis sekali pun, mereka tak mampu buat apa-apa, melainkan mereka mampu merentas masa dan pergi ke Asetia pada tahun 2083." Manod menyeringai penuh angkuh. "Sekarang kita akan letupkan bangunan-bangunan itu. Kemudian, kita boleh pulang dan tunggu saja habuan bonus daripada boss." Dia ketawa berdekah-dekah.
Trak halimunan bergerak laju di jalan yang sudah agak lengang selepas berpuluh-puluh bas sekolah meninggalkan kawasan Belzeya. Mark memandu dengan tenang menuju ke Salfari, di mana portal mereka akan dibuka dan mereka akan dibawa pulang ke tahun 2083. Bagaikan sudah terbayang-bayang wang sebanyak dua juta dolar yang dijanjikan padanya.
Kira-kira 100 meter selepas Jambatan Warisan, Douv memberikan arahan kepada Esky untuk meledakkan bangunan pertama. Esky tersenyum penuh teruja, menggosok-gosok kedua tangan dan kemudian meniup-niupnya. Dia menekan lokasi Jabatan Imigresen di skrin sesentuh dan kemudian menekan punat merah. Douv mengintai melalui tingkap, separuh tersenyum dan sudah bersedia untuk menyaksikan serpihan konkrit berterbangan diikuti oleh asap kelabu hitam memenuhi ruang angkasa Belzeya. Tetapi dia hampa, tiada apa-apa yang berlaku.
"Tekan sekali lagi! Bangunan tak meletup!" Dia memberi arahan kepada Esky.
"Tak boleh, Douv! Status di sini sudah bertukar kepada 'tidak aktif'," jawab Esky dengan wajah ketakutan. Apa yang silap?
"Kalau begitu, letupkan bangunan lain!" arah Douv lagi.
Esky memilih bangunan Jabatan Pendaftaran lalu menekan punat merah. Kezus mengintai ke luar tingkap dengan teropongnya. Tiada apa-apa yang berlaku juga.
"Cuba kesemuanya! Mungkin ada masalah konfigurasi pada dua bangunan tadi!" Suara Douv makin garang. Matanya bernyala-nyala ketika merenung ke arah Esky. Jari jemari Esky mula terketar-ketar ketika dia memilih semua lokasi dan menekan punat merah. Tetap tiada apa yang berlaku. Suasana pagi di Belzeya terus sunyi.
"Apa yang dah berlaku ni? Apa yang salah?" Douv terus menyinga di hadapan Esky dan Manod.
"N..n...nanti, saya periksa sekali lagi," tergagap-gagap Esky saat bertentang mata dengan Douv. Trak sudah dihentikan di bahu jalan. Esky membuka kabinet besi di tepi meja konsolnya, meraba-raba mencari UltraPad yang disimpan di situ.
Tiada.
Dia mengerling ke arah kabinet di mana baki bahan peledak disimpan. Semuanya sudah bernyala dengan status ‘Aktif’.
* * *
Salika bangun dengan penuh kepayahan lalu menghampiri Eran yang mengerang di tepi dinding.
"Cepat bangun, Eran! Kita mungkin masih punya masa," bisiknya lemah ke telinga Eran.
Eran membuka mata dan memandang keliling. "Mana dia pergi? Mana?" Dia tercari-cari.
Salika mengaduh perlahan lalu mengampu perutnya yang senak akibat rempuhan Kezus tadi. "Aku dengar dia berlari naik tangga dan tak lama kemudian aku dengar dia berlari turun. Mungkin dia sudah pergi ke bangunan lain pula." Salika menghulurkan tangannya kepada Eran yang sedang mencuba untuk bangun.
"Cepat! Kita tak boleh kehilangan Kezus lagi!" Eran lantas berlari terhencot-hencot menuju ke arah lif. "Mari! Lif dah berfungsi," jeritnya kepada Salika yang melangkah perlahan-lahan.
"Tolong tahan sekejap, aku tak boleh lari." Salika berjalan membongkok, tangan kanan masih memegang perut.
"Nanti kau tunggu di bawah bangunan ni, biar aku kejar dia. Kau mungkin ada kecederaan dalaman." Eran mengeluarkan telefon bimbit lalu menghubungi Wilma. Salika cuma mengangguk.
"Wilma, datang ke Sektor 2, bangunan Pusat Audit Negara sekarang! Salika tercedera. Kami diserang oleh Kezus tadi," kata Eran dengan nada cemas. Tangan kanannya memaut tubuh Salika yang tidak mampu berdiri dengan sempurna.
"Kita perlu pergi ke kawasan lapang. Di sini bahaya," usul Salika dan Eran bersetuju. Dia memapah tubuh Salika sehingga ke kawasan parkir terbuka yang berada tidak jauh dari situ.
Di sebalik rimbunan pokok hiasan yang menghijau Eran terpandang sesusuk tubuh yang sedang duduk seakan-akan bertafakur. Mereka berhenti melangkah untuk memerhatikan tindak tanduknya.
Jarak diantara mereka dengan Kezus adalah kira-kira 50 meter. Salika tergerak hati untuk melaungkan nama Kezus tetapi suaranya tersangkut di kerongkong bila lelaki itu tiba-tiba bangun dan berpaling ke arah mereka. Dia merenung kosong jauh entah ke mana, menembusi segala objek yang berada di hadapannya.
Tiba-tiba Kezus mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya yang kelihatan agak sarat. Sebuah UltraPad berwarna perak diletak di atas telapak tangannya. Skrin diangkat dan dia menekan-nekan beberapa kekunci hologram.
Eran dan Salika hanya mampu terpegun di situ, menanti dengan penuh debar. Adakah dia akan meletupkan bangunan-bangunan seperti yang telah mereka rancangkan? Jarak mereka agak jauh untuk Eran berlari dan menghalang Kezus dari meneruskan niatnya itu.
Tiada kedengaran sebarang ledakan selepas Kezus selesai menekan-nekan kekunci UltraPad. Eran dan Salika bersabung pandang. Kelihatan Kezus menutup kembali UltraPad dan melemparnya jauh ke kawasan berumput. Air mukanya tiada menggambarkan apa-apa. Dia kembali ke posisi duduk sebelum merebahkan tubuhnya seolah-olah sedang bersujud.
Eran baru saja hendak mengatur langkah untuk menghampiri Kezus bila tiba-tiba satu letupan kuat menggegarkan tanah tempat mereka berpijak. Secara refleks, Eran dan Salika menutup wajah dengan tangan. Bila mereka membuka mata semula, Kezus sudah lenyap dari pandangan. Debu-debu berterbangan diiringi bau bahan terbakar dan campuran kimia yang hangit dan sengit, mencucuk-cucuk hidung. Eran berlari-lari anak menuju tempat di mana Kezus bersujud tadi, namun dia terhenti separuh jalan. Salika mengheret kaki lalu menghampirinya.
"Ada apa?" tanya Salika. Eran menuding ke tanah.
Di atas rumput-rumput liar, kelihatan beberapa helai kain berwarna gelap yang sudah carik-carik dan berasap. Di sebelahnya terdapat beberapa cebisan daging manusia yang sudah bercerai dari tulang.
"Kezus!" Salika meraup tangan ke wajah penuh kesalan.
Serentak itu telefon bimbit Salika berdecit. Panggilan daripada Wilma.
"Hello Salika! Aku dalam perjalanan untuk jemput kau. Mungkin lambat sikit sampai. Ada trak besar warna merah baru saja meledak dan terbakar di tepi jalan utama tak jauh dari Jambatan Warisan. Bomba dan ambulans belum sampai ke tempat kejadian. Trafik tengah sesak kat sini."
"Okey, aku tunggu di sini," Salika menjawab lemah.
Dia dan Eran terus duduk bertafakur buat seketika mengenangkan nasib Kezus sambil tertanya-tanya, apa yang telah berlaku sebenarnya? Perlahan-lahan Salika mengeluarkan uncang pasir dari beg tangan. Uncang pasir yang telah diamanahkan oleh Dr. Lara Helza kepadanya. Tali pengikat uncang dilonggarkan lalu Salika menuang semua pasir yang ada ke telapak tangannya. Pasir itu digenggam seketika sebelum ditaburkan perlahan-lahan di sekitar kawasan di mana Kezus bersujud sebentar tadi, sebelum dia meletupkan dirinya sendiri. Salika tahu, Kezus tidak mati sia-sia. Dia telah membuktikan kesetiaannya kepada negara - hingga ke hujung nyawa.
Share this novel