Bab 16
2000 - Catatan Kezus – 9
Pada bulan kedua aku berada di bawah bimbingan Professor Hans, aku telah dibawa ke Asetia, negara besar yang masyhur dengan kemajuan sains dan teknologi. Itu adalah kali pertama aku menaiki penerbangan selama lebih 15 jam dan sebenarnya itulah kali pertama aku menaiki kapal terbang. Professor Hans membawaku menghadiri sebuah persidangan akademik peringkat antarabangsa. Menurutnya, ada banyak sesi perbincangan di sepanjang persidangan itu yang berkait rapat dengan bidang kajianku.
Kami berada di Los Volvimos, sebuah kota besar di barat daya Asetia. Aku bagaikan seekor rusa masuk kampung bila pertama kali bersiar-siar di sekitar Los Volvimos. Cuacanya tidak terlalu panas tetapi sedikit kering. Bibirku mula pecah-pecah pada hari kedua menghadiri persidangan.
Aku dan Professor Hans tidak bersama sepanjang masa sewaktu persidangan. Dia telah menyenaraikan sesi perbincangan yang aku perlu hadiri manakala dia menyertai kumpulan lain. Peluang itu aku gunakan sepenuhnya untuk bertukar-tukar pendapat dengan ahli akademik dan para penyelidik dari beberapa negara yang memiliki latar belakang berbeza. Cuma aku berasa sedikit rendah diri kerana kajianku masih di peringkat awal. Tidak banyak yang boleh aku kongsikan dengan mereka.
Professor Hans memperkenalkan aku kepada ramai pensyarah dari universiti-universiti berprestij di Asetia. Mereka kelihatan seperti rakan lama. Professor Hans begitu selesa dengan mereka sehinggakan salah seorang daripada pensyarah itu mengundang kami untuk bermalam di rumahnya.
"Kata Hans, awak ni berbakat dan penuh potensi, Kezus," rakan Professor Hans memuji aku malam itu. Namanya Dr. Seaman. Lelaki berusia lebih 50 tahun itu tampak segak dan masih mampu menyertai sukan triathlon. Tangannya yang berotot begitu terserlah bila dia mengenakan sehelai t-shirt kelabu sendat yang dipadankan dengan seluar jeans biru. Hanya uban di kepala yang memberikan sedikit gambaran usia sebenarnya.
"Dia akan bantu serba sedikit kajian saya pada tahun ini," Professor Hans memberitahu rakannya.
"Bagus!" Dr. Seaman kelihatan gembira. "Selepas dua tahun membantu Hans, awak patut datang ke sini dan turut serta dalam penyelidikan saya juga." Tawaran Dr. Seaman itu adalah serius, walaupun daripada nada suaranya seolah-olah bergurau.
"Awak setuju Kezus?" Tanya Professor Hans bila dia melihat aku sekadar mendiamkan diri. "Kajian saya pun dah hampir ke penghujung. Bila awak dah lapang sikit nanti, awak boleh sertai Dr. Seaman di sini. Makmalnya jauh lebih canggih daripada makmal kita di universiti."
Sejak hari itu aku tidak memandang ke belakang lagi. Aku terus menumpukan seluruh tenaga dan masaku kepada penyelidikan. Menurut Douv, rakan baik yang cuma aku temui dua kali setahun, aku sudah jadi hamba abdi sains dan teknologi. Aku tahu dia masih keluar dengan Dr. Lara dan perhubungan mereka kian mesra. Seluruh fakulti berbicara tentang mereka. Aku sudah tiada tenaga untuk disalurkan kepada hati dan perasaan, jadi soal cemburu sudah tidak wujud. Persahabatan dengan manusia lain juga seperti sudah tiada dalam agenda kehidupan. Aku tenggelamkan diri dalam penyelidikan demi penyelidikan.
Nuklear menjadi perkataan utama dalam kamus hidupku kini. Kajianku berkait rapat dengan penggunaan nuklear sebagai sumber tenaga baru. Kajian Professor Hans pula berkaitan guna semula tenaga. Kajian kami ada beberapa persamaan, jadi ini memudahkanku untuk melakukan kedua-duanya serentak.
Hari-hariku terisi dengan sesi di makmal, pertemuan dengan para penyelidik lain, perbincangan dengan Professor Hans dan sekali-sekala sesi persidangan video dengan Dr. Seaman yang menunjukkan minat mendalam pada kajian kami.
"Saya tak sabar menanti kehadiran kamu di makmal saya di Los Volvimos," kata Dr. Seaman setiap kami persidangan video hampir tamat. Aku hanya mampu tersenyum kerana aku belum membuat sebarang persediaan untuk menyertai pasukan penyelidiknya.
"Prof. ada sebarang maklumat tentang kajian yang dilakukan oleh Dr. Seaman?" Tanyaku pada Professor Hans pada suatu hari, ketika kami baru saja selesai membuat pembentangan di fakulti, di hadapan beberapa orang pelawat dari luar negara.
"Saya tak ada maklumat terperinci, tapi dia pernah beritahu dia banyak terlibat dengan kajian tenaga dan senjata. Awak dah bersedia untuk ke Los Volvimos? Tentu awak teruja, kan? Kerja-kerja awak di sini pun banyak yang dah siap."
"Senjata?" Aku hampir tergamam mendengar perkataan itu dari mulut Professor Hans. "Dr. Seaman cipta senjata?" Tanyaku tetapi tidak mendapat jawapan pasti daripada Professor Hans. Dia seolah-olah menyesal akibat ketelanjurannya menyebut perkataan itu tadi.
"Er... kadang-kadang, dia ada bekerjasama dengan pihak tentera untuk mengkaji senjata yang digunakan. Sayapun kurang pasti. Semua projek sebegitu katanya, Top Secret. Saya tak boleh tanya lebih-lebih." Professor Hans tersenyum tawar. Aku tahu dia cuba melindungi sesuatu.
Kami tidak pernah membincangkan hal itu lagi, atau apa-apa berkenaan Dr. Seaman sehinggalah kajianku lengkap dan pengajianku dalam bidang sarjana tamat. Professor Hans kelihatan begitu berat hati untuk melepaskan aku dari fakulti, dari menjadi pembantu penyelidikannya. Sepanjang tiga tahun aku bekerja di bawah bimbingannya, dia begitu banyak memberikan sokongan dan tunjuk ajar. Pada hari konvokesyen, aku perkenalkan ibu dan ayahku dengan Professor Hans. Ayah mengalirkan airmata mendengar kata-kata pujian tentang diriku yang terkeluar daripada mulutnya. Emak memelukku beberapa kali kerana terlalu bangga dan gembira.
Douv dan Dr. Lara juga hadir ke majlis konvokesyen. Douv sudah bekerja sebagai seorang jurutera kimia manakala Dr. Lara masih menjadi pensyarah di universiti. Aku sempat berbual panjang dengan Douv dan mendengar kisah bagaimana minatnya boleh berubah daripada bidang matematik kepada kimia. Selama ini dia menyangka dia hanya dapat kepuasan bila mampu selesaikan masalah-masalah matematik, tetapi sejak berkenalan dengan Dr. Lara, baru dia sedar banyak lagi potensi dirinya yang lain yang boleh diterokai.
"Takkan sampai tua aku nak jadi cikgu matematik, kan?" Gurau Douv ketika kami minum di kafetaria fakulti buat kali terakhir. Waktu itu Dr. Lara pergi ke tandas sebentar. "Kalau kau tak ada apa-apa rancangan, di syarikat aku kerja tu ada beberapa jawatan kosong. Kau nak cuba?" Tanya Douv.
Aku masih memikirkan tawaran Dr. Seaman. Sebenarnya aku berminat untuk pergi ke Los Volvimos dan menyertai pasukan Dr. Seaman, tapi pada masa yang sama, aku mahu membina tapak di tanah air sendiri. Dan cadangan daripada Douv itu turut menarik minatku.
Share this novel