Chapter 5

Romance Completed 14626

Bab 5

2078 - Catatan Salika -2

Di tempat asalku ada polis moral. Mereka meronda di merata tempat - di bandar-bandar, di kampung-kampung, di sekolah-sekolah, di kawasan komersial, di tempat riadah. Paling ramai akan menyelit di celah-celah ribuan penonton di stadium-stadium sukan - terutama bila ada perlawanan bola sepak, badminton, hoki dan ragbi.

Anggota polis moral akan menegur barangsiapa yang berkelakuan kurang sopan ataupun mengeluarkan kata-kata nista yang boleh mencetuskan ketegangan di antara ahli masyarakat. Mereka diwujudkan bila keadaan masyarakat di tempatku sudah terlalu pincang, tiada budi-bahasa, enggan bertolak-ansur dan pergaduhan yang kerap berlaku di tempat-tempat awam.

Seminggu selepas Aumi ditemui membunuh diri, aku diberi amaran oleh anggota polis moral. Oleh sebab itu, telah tercatat satu rekod buruk dalam failku. Memandangkan umurku masih belum mencapai 18, amaran tersebut hanya dicatat sebagai 'Nasihat untuk berkelakuan sopan dan menghormati orang yang lebih tua.'

Petang itu aku menziarah pusara Aumi buat pertama kali. Tak sangka ibubapanya turut datang membawa sejambak besar bunga daisi. Aku langsung tak berniat untuk meninggikan suara kepada mereka, tetapi setiap perkataan yang keluar daripada mulut mereka benar-benar menduga kesabaran.

"Awak kawan Aumi, bukan?" Tanya ibunya dengan suara garau. Dia tak memandang tepat padaku.

"Ya, kawan sekolah," jawabku.

"Awak tahu tak awak yang bertanggungjawab merosakkan hidup dia? Sampai dia rasa tertekan. Sampai dia ambil keputusan untuk bunuh diri?"

"Ha?" Aku terkaget. Ibunya menuduh aku tanpa usul periksa.

"Kami tahu awak sudah curi-curi baca diari digital milik Aumi. Awak rahsiakan pada dia dan pura-pura baik, kan?" Kata ayah Aumi pula. Aku berada dalam dilema sama ada mahu mengangguk atau geleng.

Aku boleh saja meneruskan pembohonganku dengan menggeleng dan menidakkan. Tapi hari itu aku sudah serik dan menyesal. Tak ada gunanya terus menipu untuk melepaskan diri. Entah apa lagi kecelakaan yang bakal terjadi kalau aku berterusan jadi orang tidak jujur.

"Ya, saya ada baca," aku mengakui. "Tapi saya tak pernah cerita pada orang lain maklumat yang saya dapat dari diari tu. Sungguhpun saya tak setuju dengan cara makcik dan pakcik layan Aumi, saya rahsiakan setiap kisah yang saya dah baca."

"Jangan ajar kami macam mana nak jaga anak." Bapa Aumi menuding ke mukaku.

"Kami boleh laporkan kepada polis awak yang sebabkan kematian Aumi," gertak ibu Aumi pula.

"Saya cuma baca diari tu tapi saya rahsiakan semua isi kandungannya. Itu tak ada kaitan dengan kematian Aumi!" Saat itu suaraku mula meninggi. Ibubapa Aumi berpandangan seketika.

"Dia beritahu kami, dia kecewa sebab kamu berkawan dengan dia penuh pura-pura. Dia sedih sebab kena tipu dengan orang yang disangka kawan. Macam mana awak rasa awak tak bersalah?" Kata ibu Aumi.

"Makcik dan pakcik yang dera dia sampai dia jadi pelajar bermasalah! Jangan nak salahkan saya!" Aku menjerit sekuat hati di tanah perkuburan sehingga kakiku mula menggigil.

Belum sempat gigilku hilang, dua anggota polis moral sudah datang berlari ke arah kami. Entah dari mana mereka muncul, aku tak tahu. Di tempat ini, jika ada kebakaran dan pergaduhan yang berlaku serentak, kata orang polis moral yang akan terlebih dahulu sampai ke tempat pergaduhan sebelum pihak bomba yang dihubungi untuk memadam kebakaran.

Aku dibawa ke pejabat polis moral untuk diberi kaunseling selama dua jam. Ibubapa Aumi tidak turut serta setelah mereka berpuashati mendengar permohonan maafku di hadapan dua orang anggota polis moral ketika di tanah perkuburan. Tapi sebelum aku meninggalkan kawasan itu, berkali-kali mereka mengingatkan aku bahawa akulah penyebab utama masalah-masalah yang dihadapi Aumi selama ini. Aku pekakkan telinga.

Selepas sesi kaunseling itu, ahli keluarga mula menganggap aku tergolong dalam kalangan pelajar bermasalah. Ibu dan ayah lebih berhati-hati bila berbicara denganku. Mereka mula mahu menggunakan pendekatan psikologi. Aku jadi mual dengan cara mereka melayan aku - seolah-olah aku pesakit mental yang belum tentu ada harapan untuk pulih.

Sebaik sahaja tamat pengajian menengah, aku lari dari rumah. Aku lari ke tempat yang langsung ibu dan ayah tak mampu teka. Jika mereka buat laporan polis, aku yakin mereka hanya akan berikan tempat-tempat yang aku biasa kunjungi - gelanggang tenis di pusat sukan, toko-toko buku, pusat beli-belah untuk remaja dan mungkin juga rumah Aumi. Mereka takkan menyangka bahawa aku telah mengemas dua buah beg - sebuah beg ambung dan sebuah beg selimpang. Aku sumbat beberapa peket makanan segera dan minuman kotak dalam ambung manakala beg selimpang aku isi dengan buku-buku kosong, tanpa garis. Destinasi aku ialah Gunung Mawral. Lokasinya kira-kira 5KM sahaja dari rumah. Aumi adalah orang pertama yang membawa aku ke situ kira-kira dua bulan sebelum kematiannya.

"Ini tempat untuk berfikir dan menyesal. Kemudian fikir sikit lagi, dan menyesal lebih banyak," kata Aumi yang membuat aku kagum seketika. Dia sangat jarang berkata-kata. Bila dia berkata begitu banyak patah perkataan ketika kami sampai ke kaki Gunung Mawral, aku tatap wajahnya lama-lama - mahu pastikan bahawa dia bukan dirasuk kuasa jahat.

Kami mendaki kira-kira 100M dan sampai ke kawasan yang agak datar. Kemudian kami berjalan merentasi belukar tebal selama 20 minit dan kelihatan sebuah pondok kayu yang usang.

"Ini tempat untuk menyesal," kata Aumi.

Kami naik ke atas pondok dan duduk bersila menghadap dinding. Aumi terus membatukan diri dan tidak bersuara selepas itu. Aku meniru apa yang dia lakukan. Duduk bersila dan tundukkan kepala. Setelah beberapa lama, aku masih tak tahu apa yang patut aku fikir, dan apa yang patut aku kesalkan. Sayup-sayup terdengar suara esakan Aumi. Dia cuba mengawal tangisannya. Mungkin itu penyesalan yang pertama - kami tak sepatutnya datang ke sini kerana ia telah buatkan Aumi bersedih.

Tapi kedatanganku kali ini tanpa Aumi dan tiada kesedihan. Aku datang membawa seribu kemarahan yang sudah membuatkan diriku rasa terbeban. Aku marah dengan keluarga, marah dengan sekolah, marah dengan sistem pemerintahan negara, marah dengan kemelesetan ekonomi, marah dengan cuaca, marah dengan pencemaran, marah dengan segala krisis dan masalah sosial yang aku baca di akhbar. Paling teruk, aku sebenarnya marah dengan diri sendiri. Kian hari aku kian jadi manusia yang tidak peduli. Dan aku selalu salahkan semuanya pada persekitaran. Walhal bukan aku tak tahu itu semua datang dari dalam diri aku sendiri. Minda dan cara berfikir yang mempengaruhi tindak-tanduk dan perlakuan.

Jadi aku bertapa di sini - di pondok penyesalan Aumi. Aku terus berfikir dan menyesal tanpa henti selama 5 hari. Banyak yang aku fikirkan tapi tak banyak yang aku kesalkan. Bila bekalan makanan hampir habis, aku kemas beg dan berjalan menuruni Gunung Mawral. Kemudian aku berjalan kaki lagi sejauh 5KM dan sampai ke rumah.

Kereta polis, ambulan dan bomba memenuhi laman rumah waktu aku sampai. Ayah berlari kepadaku sebaik sahaja ada yang memberitahunya tentang kepulanganku. Ayah menangis dan melaung-laung kesedihan. Aku tak faham apa yang cuba diperkatakannya. Makin lama tangisannya makin kuat dan dia memeluk aku kian erat. Setelah dia berhenti melaung-laung, sepupuku menghampiri dan memberitahu apa yang telah berlaku.

"Ibu awak dah meninggal, Salika. Dia gantung diri dalam bilik awak pagi tadi."

Aku terduduk di tengah halaman. Ayahpun terduduk sama. Kata sepupu aku, ibu terlalu kecewa bila aku melarikan diri. Dia rasa dia telah gagal membesarkan seorang anak.

Hanya itu kata-kata yang dapat aku tangkap dari mulut sepupuku. Telingaku terus berdesing selepas itu. Kalau selama 5 hari ni aku tak pasti apa yang patut aku kesalkan, ini adalah penyesalan paling hebat yang aku terpaksa tanggung hingga akhir hayat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience