Chapter 26

Romance Completed 14626

Bab 26

Krusita, Disember 2083

“Zarel!” Suara itu mengejutkannya. Dia cuba mengangkat mukanya yang lebam dan membengkak. Kaki dan tangan yang dirantai menyukarkannya untuk berpaling, apa lagi untuk duduk di atas katil keras. Sel penjara tidak menjanjikan tilam empuk, setiap pergerakan kecil akan membuatkan otot-ototnya terasa bagai direjam dengan batu. Timbul rasa menyesal bergaduh dengan banduan-banduan lain di tepi padang semalam.

“Peguam kamu ingin bertemu,” kata pegawai penjara bertubuh sasa dan bersuara lantang yang sedang membuka kunci sel.

Dia menggagahkan diri untuk mengangkat kepala, seterusnya batang tubuh. Mungkin peguamnya datang membawa khabar gembira. Dia memaksa dirinya bangun berbekalkan segunung harapan.

“Adakah rayuan saya diterima?” soalan pertama yang diajukan kepada peguamnya sebaik sahaja memasuki bilik pertemuan. Mereka dipisahkan oleh dinding kaca kalis peluru.

“Selamat pagi Zarel. Aku datang ke sini mengenai dua perkara. Pertama, rayuan kau ditolak lagi….”

“Sudah!” dia memotong percakapan peguamnya. “Kalau rayuanku ditolak lagi, tiada guna aku mendengar perkhabaran yang seterusnya. Walau apa pun khabar yang kau bawa, aku akan terus meringkuk di sini hingga aku mati. Aku tak akan ada peluang lagi untuk mengecap kehidupan seperti orang lain.”

“Dengar dulu Zarel. Perkara kedua ialah berkenaan peluang yang kau inginkan,” ujar peguamnya dengan penuh sabar. Bibirnya melengkung membentuk senyuman.

“Peluang apa? Hidup bebas? Keluar dari penjara?” Dia mencemik sebelum tersenyum mengejek. Peguamnya mengeluarkan dokumen dari fail plastik yang dibawanya.

“Ya, kedua-duanya. Asalkan kau sanggup melakukan satu khidmat untuk negara.”

“Apa?” Dia terkedu seketika. Saat itu dirasakan seperti mimpi. Dia memandang sekeliling untuk memastikan dia masih di alam nyata.

“Berkhidmat untuk negara – untuk Asetia,” ulang peguamnya dengan lebih jelas.

“Apa yang harus aku lakukan?” Dia mula menunjukkan minat dengan perbualan mereka.

“Kau akan membantu North Asetia Intelligence Agency atau singkatannya N.A.I.A untuk melaksanakan sebuah misi,” ujar peguamnya sambil menayangkan dokumen setebal seinci di tangannya. “Misi ini akan dilaksanakan di negara asal kau, Hi-Mueliya. Aku akan beri kau baca perjanjian ini dan bila sudah benar-benar faham, turunkan tandatangan.”

Apabila dokumen perjanjian tersebut sampai ke tangannya sejam kemudian, dia tidak berfikir panjang lantas menurunkan tanda tangan. Apa yang perlu ditimbang lagi, peluang untuk hidup bebas tidak akan datang berkali-kali.

***

“Zarel!” Namanya diseru oleh pakar bius. Baju hospital berwarna biru mengingatkannya tentang kebebasan yang bakal dikecapi tidak lama lagi. Baju itu mengingatkannya pada langit cerah tidak berawan dan cahaya matahari yang memancar terang. Hari-hari suramnya di dalam penjara bakal berakhir.

“Prosedur ini tidak lama. Sebentar lagi kamu akan pengsan dan pembedahan akan dijalankan selama kira-kira dua jam. Saya akan sentiasa berada di sini sepanjang prosedur,” pakar bius memberikan penerangan tentang apa yang akan berlaku.

“Baiklah, saya faham,” balasnya sambil mengukir senyuman. Sudah terbayang-bayang di ruangan mata taman-taman indah yang pernah dikunjungi dan gedung-gedung beli belah yang mempamerkan barangan mewah, wanita-wanita jelita yang bakal menemaninya dan makanan yang enak-enak yang sudah lama tidak singgah di tekaknya. Sungguhpun kebebasan yang bakal dikecapinya mungkin bersifat sementara, tetapi dia yakin, dia akan memanfaatkan peluang ini sepenuhnya.

****

“Zarel!” seru Esky, juruteknik dari N.A.I.A yang ditugaskan untuk menemaninya semasa proses penyembuhan. Dia tidak menyahut.

“Kezus Hemira!” seru Esky lagi. Dia lantas membuka mata, merenung siling seketika dan kemudian berpaling mengadap seorang lelaki kurus, berwajah pucat dengan rambut yang tidak terurus. “Selamat datang ke Los Volvimos, Encik Kezus Hemira!” ucap Esky.

“Los Volvimos?” Dia kelihatan ragu-ragu. “Sejak bila aku sampai ke mari?” soalnya.

“Sejak dua minggu lepas. Di sini lebih selesa, bukan, berbanding penjara di Krusita?” Esky senyum menyeringai.

“Apa yang aku perlu buat di sini?” soalnya sambil memerhati sekitar bilik yang kelihatan begitu asing.

“Latihan kau akan dimulakan tak lama lagi. Esok aku akan bawa kau berjumpa Brad, ketua jurulatih.” Esky bangun dari kerusi lantas menyingkap tirai buluh di tepi katil. Cahaya matahari menerpa masuk, menghangatkan wajah dan tubuh mereka.

“Selepas itu?” soalnya lagi.

Esky berkira-kira sebelum menjawab soalan itu. Mungkin sukar untuk dipercayai bagi mereka yang kali pertama mendengarnya. “Okey, selepas tamat latihan, kita akan merentas masa, kembali ke tahun 2020. Ada misi penting yang kita mesti laksanakan.”

“Apa??” Matanya terbeliak mendengar jawapan dari lelaki kurus dan pucat di hadapannya.

“Aku dah agak kau akan berikan reaksi sebegitu,” ujar Esky sambil tersenyum menyeringai lagi. “Jangan bimbang Encik Kezus, semuanya akan baik-baik saja.” Esky tersenyum bangga, bagaikan tidak percaya dengan hasil kerja mereka. Identiti dan ingatan Kezus Hemira sudah dimasukkan ke dalam tubuh Zarel, banduan yang digunakan dan akan dikorbankan untuk misi ini.

Esky memeriksa data yang baru dianalisa tadi. Keadaan fizikal adalah stabil manakala keadaan mental perlu ditingkatkan sedikit sebelum dihantar ke tempat latihan. Dia sudah menghubungi jurulatih untuk memaklumkan apa yang perlu dipantau. Kezus Hemira seorang yang pintar. Dia setia dan taat menurut perintah, tapi ada kemungkinan juga dia akan memberontak jika emosinya terganggu.

***

New Belzeya, April 2083

Kapten Salika merenung wajah Mejar Huza lama-lama, tidak percaya dengan apa yang baru dikhabarkannya. Ahli pasukannya menunggu dengan penuh debar apa yang bakal berlaku.

“Perisik kita di Los Volvimos sudah memantau tempat latihan itu selama lebih dua minggu. Menurutnya, pasukan seramai tujuh orang itu bakal melaksanakan sebuah misi di Hi-Mueliya,” Mejar Huza mengulangi kata-katanya tadi setelah melihat reaksi di wajah Kapten Salika.

“Apa yang mereka mahukan di Hi-Mueliya?” soal Kapten Salika.

Mejar Huza merenung setiap wajah ahli pasukan yang baru ditubuhkannya enam bulan yang lalu. Seorang demi seorang diperhatikannya sebelum menjawab soalan Kapten Salika.

“Mereka ingin melumpuhkan kerajaan Hi-Mueliya.” Jawapan daripada Mejar Huza mengejutkan semua ahli pasukannya.

“Tapi, apa yang kerajaan kita telah lakukan kepada mereka?” Kapten Salika tidak berpuas hati. Apa sahaja alasan mereka, pasti dia tidak akan terima.

“Bukan kerajaan Hi-Mueliya yang ada sekarang, tapi kerajaan Hi-Mueliya pada tahun 2020. Pada saat negara ini mencapai status negara maju. Ketika itu kita mula mengecapi zaman gemilang,” terang Mejar Huza satu persatu tetapi ahli pasukannya masih mempamerkan wajah keliru.

“Maksud tuan?” Kapten Salika bersuara.

“Mereka akan pergi merentas masa dan kembali ke tahun 2020 untuk melemahkan kerajaan pemerintah di Hi-Mueliya atas alasan yang kita belum dapat pastikan. Oleh sebab itu kita akan menentang mereka di sana. Kita akan gagalkan misi mereka itu dan pastikan kerajaan Hi-Mueliya terus berdiri teguh dan kita takkan biarkan mereka mengubah sejarah negara ini,” tegas Mejar Huza dengan suara yang bersemangat.

“Pasukan saya sedia berkhidmat, tuan!” Kapten Salika bangun dari kerusi dan memberikan tabik hormat, diikuti oleh lima belas orang ahli pasukannya.

Mejar Huza membalas tabik. “Persiapkan diri kamu sekarang. Portal akan dibuka selepas taklimat tidak lama lagi.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience