Bab 14
1999 - Catatan Kezus – 8
Dr. Lara bukan tercipta untukku. Aku sudah lama menerima hakikat itu. Hidup mesti diteruskan dan perjuanganku di kampus sudah menghampiri penghujungnya. Semester akhir aku tempuh dengan hati yang lebih cekal dan tidak pedulikan sebarang perkara remeh-temeh dalam hidup. Impianku hanya satu, iaitu untuk bergraduasi dengan cemerlang dan teruskan hasrat untuk mengejar cita-cita. Terasa seperti sudah begitu hampir untuk aku gapai apa yang selama ini aku impikan.
Menjelang minggu-minggu terakhir pada semester terakhir, aku didatangi oleh salah seorang pensyarah kanan fakulti. Orangnya penuh misteri. Perwatakannya menarik, sungguhpun tak ramai rakan-rakanku yang mengenalinya. Pensyarah-pensyarah lain juga tiada yang benar-benar rapat dengannya.
Namanya Professor Hans. Katanya dia sudah sepuluh tahun menjadi pensyarah kanan di fakulti ini tetapi dia jarang menonjolkan diri kerana terlalu sibuk dengan bidang kajiannya. Pertama kali berbual-bual dengannya, aku sudah tertarik dengan personaliti Professor Hans. Dia seorang yang gemar membaca dan mengembara. Melihatkan susuk tubuhnya, aku yakin dia juga seorang ahli sukan yang aktif.
"Saya suka berlari dan berenang. Awak patut cuba," nasihatnya kepadaku pada suatu hari. "Bila awak berlari, fikiran awak akan menerawang dan bercabang-cabang. Saya dapat bermacam-macam idea ketika saya berlari. Kadang-kadang saya dapat selesaikan masalah yang paling kompleks ketika saya berlari di kawasan bukit-bukau di belakang kampus ini."
"Saya bukan atlit, Prof. Tak pernah ada pengalaman berlari dan tak pandai berenang langsung."
Professor Hans menepuk bahuku dan berkata dengan penuh bersemangat. "Awak boleh mula dari sekarang. Projek tahun akhir dah selesai. Peperiksaan pun dah nak habis. Awak tunggu apa lagi? Ini masa yang terbaik untuk mula!" Dia memberikan kata-kata perangsang kepadaku.
Lama juga aku memikirkan cadangan Professor Hans. Akhirnya, lima hari sebelum tamat semester, aku bersetuju untuk ikutnya berlari.
"Saya takkan dera awak. Kita lari di kawasan tasik saja. Kemudian, buat senaman ringan. Selepas itu, kita akan berlari panjat bukit tu." Professor Hans menuding ke arah salah sebuah bukit yang telah dibina laluan untuk pejalan kaki yang ingin bersiar-siar di situ.
Setelah berusaha gigih, aku akhirnya berjaya memanjat bukit dengan Professor Hans. Aku termengah-mengah menghela nafas sambil cuba menghirup pemandangan dari atas bukit yang penuh panorama. Setelah bertahun menuntut di sini, ini pertama kali aku menjejakkan kaki ke puncak bukit ini - sungguhpun kedudukannya hanyalah 500 meter di belakang kolej kediamanku.
"Rasa berbaloi tak?" Tanya Professor Hans. Aku hanya sekadar mengangguk, belum mampu berkata-kata. Akibat sudah terlalu lama tidak bersukan, aku hampir termuntah ketika berlari memanjat bukit. Professor Hans memperlahankan lariannya untuk pastikan aku tidak ketinggalan.
Kami berehat selama hampir setengah jam di puncak bukit itu. Professor Hans bertenggek di atas sebuah batu besar manakala aku terbaring di atas rumput hijau yang masih ada sisa-sisa embun. Aku teringin sekali memejamkan mata dan lena seketika tetapi Professor Hans minta aku fikirkan beberapa perkara.
"Kamu bakal bergraduasi dari universiti. Jadi, kamu mahu jadi pencipta atau pengguna ciptaan-ciptaan yang datang dari luar?" Soalan pertama yang begitu sukar dilontarkannya kepadaku.
Aku ingin sekali menjawab dengan satu soalan lain, tapi otakku terlalu lembap pagi ini untuk memikirkan satu soalan yang benar-benar cerdik. "Saya mahu jadi pencipta. Seorang saintis yang hebat, semestinya akan mencipta sesuatu, bukan?"
"Betul. Sama ada kamu cipta sesuatu yang baru, atau selesaikan satu-satu masalah. Itu memang tugas saintis." Professor Hans mengangguk-angguk ke arahku.
"Atau mengkaji sesuatu yang sudah dihasilkan sebelum ini dan buat pembaikan?" Soalanku yang lebih merupakan sebuah cadangan.
"Betul juga. Walaupun orang kata 'You don't have to reinvent the wheels', kita perlu buat pembaikan untuk teknologi-teknologi yang sesuai."
Aku tersenyum senang kerana Professor Hans bersetuju denganku.
"Jadi, kamu benar-benar berminat untuk menjadi pencipta?" Soalnya sekali lagi membuatkan aku mula meneka-neka apa tujuan sebenarnya mengajakku berlari pada pagi ini.
"Ya. Betul," jawabku. "Itu memang cita-cita saya sejak kecil."
Ada satu senyum kepuasan terbentuk di wajah Professor Hans. Aku bangun dari rumput dan duduk di batu besar berhampirannya.
"Bagus. Datang ke makmal saya pagi esok. Saya nak bincang tentang peluang awak untuk menyambung pelajaran dalam bidang sarjana."
Kata-kata Professor Hans membuatkan lidahku terkelu sebentar. Seperti tak percaya apa yang baru kudengar. "Prof nak jadi supervisor saya?" Soalku macam orang bodoh.
"Ya. Saya dah fikirkan kajian apa yang sesuai untuk awak. Awak akan turut serta dalam sebahagian kajian saya juga."
Aku bagaikan sesak nafas buat seketika. Ia sesuatu yang baru aku rancangkan dalam angan-angan sahaja. Tanpa diduga apa yang terlintas di fikiran, tiba-tiba terhidang di depan mata.
Esoknya, setelah selesai kertas peperiksaan yang terakhir, aku bergegas ke makmal Professor Hans. Aku disambut oleh beberapa lagi pelajar sarjana di bawah bimbingannya. Seorang pelajar wanita dan tiga orang pelajar lelaki. Aku pernah bertemu mereka di fakulti tetapi tidak pernah berbual mesra.
Perbincanganku dengan Professor Hans di makmalnya pagi itu adalah titik permulaan sebuah perubahan paling besar dalam hidupku. Telah aku tinggalkan segala kisah lama - aku lupakan Dr. Lara, Douv dan sikap acuh tak acuhku di awal kehidupan di kampus. Aku kini jadi orang baru. Aku mahu teruskan usaha untuk menjadi seorang santis hebat yang menempa nama dalam sejarah negara. Biar seluruh keluargaku rasa bangga.
"Kajian yang bakal awak lakukan akan perlukan awak pergi ke beberapa tempat asing," kata Professor Hans. Aku mengetap bibir. Sebenarnya aku tak pernah keluar dari negara sendiri. Keluargaku tidak mampu membawaku bercuti ke luar negara. Peluang lain pun tak pernah menjengah untuk aku melihat-lihat tempat orang. Mungkin inilah peluang pertamaku.
Selepas berkenalan dengan pelajar-pelajar sarjana yang lain, Professor Hans membawaku ke biliknya. Di situ dia menerangkan kajian yang sedang dilakukannya atas perbelanjaan sendiri. Aku berasa sedikit hairan kerana pihak fakulti menyediakan banyak peruntukan untuk kajian seperti yang dilakukannya.
"Ini sekadar hobi saya, Kezus. Jangan bimbang. Pihak universiti maklum tentang kajian ini. Mereka tak ada masalah," dia meyakinkan aku. "Buat masa ni ada banyak kerja-kerja memungut data yang perlu dilakukan. Sebab itu saya perlukan penglibatan kamu."
Aku sekadar tersenyum dan secara otomatik aku bersetuju untuk membantu kajiannya. Tidak mungkin aku akan berkata 'Tidak' memandangkan Professor Hans sudah berjanji untuk menguruskan segala borang permohonan dan bayaran untuk aku melanjutkan pelajaran di bidang sarjana. Mungkin itu adalah khabar paling bagus yang pernah aku sampaikan kepada kedua orang tuaku sepanjang aku belajar di universiti.
Share this novel