Chapter 6

Romance Completed 14626

Bab 6

1995 - Catatan Kezus – 4

Dr. Lara Helza.... Lara Helza ... Lara .... Sayangku Lara.. Cinta hatiku, Lara. Sumber inspirasiku, Lara. Pengubat dukaku, Lara. Tak ada nama lain dalam seluruh ingatan dan setiap hembus nafasku kecuali Lara.

Bangun pagi, teringatkan Lara. Berjalan kaki, terfikirkan Lara. Makan tengahari di kafeteria, berangan-angankan Lara. Masuk ke makmal, terbayang-bayang Lara. Waktu ulangkaji, hanya Lara di mata.

Pendek kata hidupku jadi haru-biru seketika bila asyik melayankan perasaan terhadap Lara. Ada kalanya semua itu tak dapat aku kawal. Beberapa rakan sekuliah mungkin nampak perubahan pada diriku. Ada yang bertanya adakah aku sakit atau alami masalah peribadi. Aku sekadar geleng; ini bukan masalah, bukan penyakit, tapi satu rahmat. Perasaan sebegini adalah sesuatu yang indah - tak semua orang dapat rasa. Sepanjang hidup aku pun, ini baru kali pertama aku dapat merasakannya.

Tapi rasa ini aku hanya simpan dalam diri. Semua ingatan, fikiran dan angan-angan terhadap Lara aku hanya mampu sembunyikan. Aku tak ada keberanian untuk bersemuka dan menyatakan yang sebenar kepadanya.

Pada semester berikutnya, aku masih dikategorikan oleh fakulti sebagai salah seorang pelajar yang agak lemah, ketinggalan dan perlu diawasi oleh salah seorang pensyarah. Sekali lagi aku berada di bawah pengawasan Dr. Lara Helza.

Pertemuan pertama pada semester itu berjalan dengan lancar. Dia masih sama - bijak, cantik, prihatin dan aku mula dapat rasakan dia juga seperti ada menyimpan satu perasaan terhadapku. Tapi aku tak fikir ini masa yang sesuai untuk bertindak dan berterus-terang dengannya. Tunggulah dulu, kata hatiku menyabarkan diri. Aku cuma bimbang, seandainya aku sekadar bertepuk sebelah tangan, mungkin Dr. Lara akan minta aku diawasi oleh pensyarah lain pula. Tak mengapalah, biarlah aku sorokkan perasaan ini dahulu. Kalau mendengar suaranyapun sudah boleh buat aku gembira, pasti aku boleh bertahan untuk beberapa semester lagi sebelum berusaha untuk menjadikan dia milikku.

Kawanku yang genius, anak si tukang kasut juga membawakan berita gembira.

"Dua minggu lagi aku jumpa kau di kampus," katanya dalam telefon.

"Ha? betul?" Aku tak pernah menerima kunjungannya selama ini. Dia terlalu sibuk dengan kelas-kelas tambahan yang diajarnya saban hari dan sejak dia menuruti jejak langkah ayahnya, dia hanya pernah menelefonku dua kali.

"Aku baru dapat surat tawaran minggu lepas," katanya yang membuatkan aku terdiam sebentar untuk berfikir.

"Surat tawaran? Tawaran apa?"

"Oh, kau tak tahu!" Dia ketawa besar di hujung talian. "Akhirnya aku diterima masuk universiti. Aku sengaja tak beritahu kau yang aku ambil peperiksaan semula. Kali ni aku berjaya lulus cemerlang semua subjek. Jadi aku hantar permohonan ke universiti."

Aku turut sama ketawa gembira. "Oh! Tahniah! Aku langsung tak tahu. Pandai kau sembunyikan daripada aku, ye?"

Seterusnya kawanku yang genius menceritakan segala susah payah yang terpaksa ditempuhinya sepanjang lebih setahun kebelakangan ini. Dia terpaksa membantu keluarganya mencari wang dan pada masa yang sama dia terpaksa belajar sendiri untuk mempastikan dia boleh lulus semua subjek. Perniagaan kasut yang dimulakan oleh bapanya juga tidak kesampaian bila mereka ditipu oleh beberapa pembekal dan pelanggan. Setelah perniagaan itu berkubur, mereka sekeluarga terpaksa pula melunaskan hutang-piutang.

"Aku dah rasa macam orang tua," kata kawanku. "Dalam masa tak sampai dua tahun, macam-macam benda aku dah lalui. Pengalaman yang aku dan keluargaku dapat kali ini benar-benar mahal. Aku harap lepas ni aku akan jadi lebih matang dan lebih pandai membuat pilihan."

"Dan rancang masa depan," tambah aku, mengulangi kata-kata yang begitu kerap dituturkan oleh Dr. Lara Helza. Selain daripada itu dia juga kerap berkata, jangan fikirkan sangat masa silam, ingat tentang masa depan yang bakal datang. Sementara itu, hargai masa sekarang.

Aku terfikir juga untuk bercerita kepada kawan baikku tentang Dr. Lara Helza, tetapi aku tak mahu beritahu melalui telefon. Lagipun dia akan mendaftar diri di kampus dalam masa dua minggu saja lagi. Aku akan beritahu selepas urusannya selesai kelak.

Aku adalah orang yang pertama dicarinya setelah dia mendaftarkan diri dan selesai menguruskan bilik di kolej kediaman. Entah bagaimana dia dapat mencari aku, akupun tak tahu. Kampus ini besar. Jarak dari bilik kolej aku ke fakulti pun sudah hampir 1.5KM.

Dia melanjutkan pengajian dalam bidang Matematik. Fakultinya juga tidak jauh daripada fakultiku. Kolej kediaman kami terpisah agak jauh. Tapi, itu tak jadi masalah kerana rakan baikku sudah membeli sebuah kereta daripada wang hasil titik peluhnya mengajar matematik.

"Aku boleh ambil kau pagi-pagi untuk pergi kuliah," cadangnya. "Kau tak payah susah-susah jalan kaki lagi. Penatlah nanti. Kalau badan berpeluh, macam mana nak concentrate dalam kuliah?"

"Tak jauhpun aku jalan kaki pagi-pagi. Lima belas minit dah boleh sampai." Aku sebenarnya malu untuk terus menerima tawaran kawanku itu. Sejak melangkah kaki ke universiti aku sendiri sudah seolah-olah mengabaikannya. Apa lagi sejak aku sudah jatuh cinta dengan Dr. Lara, aku sebenarnya langsung tidak terfikirkan sahabat-sahabat baikku.

"Ah, sudahlah! Kalau Mesim ada sini, aku akan jemput dia juga pagi-pagi," kata kawanku.

"Apa khabar Mesim? Dia langsung tak telefon aku. Dekat luar negara tak ada network coverage ke?" Gurauku, tetapi kawanku terus muram.

"Bukan senang duduk jauh di perantauan, Kezus. Kali terakhir dia hantar emel, aku rasa nak menangis baca. Selain belajar, dia terpaksa buat dua kerja untuk menampung duit belanja. Sebenarnya, aku tak habis baca emel yang dia kirim. Tak sampai hati. Jadi, hari esoknya, aku kirimkan duit padanya."

Aku ternganga mendengar cerita rakanku. Tak mungkin begitu sekali nasib Mesim. Selama ini aku tak pernah bayangkan keadaan pelajar yang menuntut di luar negara. Sangkaku mereka mewah dengan wang biasiswa yang diterima.

"Semester pertama lagi Mesim dah ada repeat paper," kata kawanku lagi.

"Huh?" Sekali lagi aku terkejut. "Dia intelligent, kan? Tak mungkinlah dia sampai kena repeat paper."

"Aku faham masalah Mesim. Akupun lalui benda yang sama dengan dia. Belajar sambil cari duit. Bukan senang, Kezus."

Aku mengangguk dengan penuh rasa bersalah. Terasa seolah-olah selama ini aku tak pernah cuba memahami masalah-masalah yang dihadapi rakan-rakanku. Aku sudah jadi makin mementingkan diri. Aku terlalu asyik dengan perasaan cintaku terhadap Dr. Lara Helza, hinggakan aku terlupa tentang hal-hal kemanusiaan.

Serentak itu juga susuk tubuh Dr. Lara Helza muncul berhampiran kami. Pada mulanya aku sangkakan aku bermimpi atau mungkin hanyut dalam angan-angan, tapi memang itu benar-benar dia - dengan skirt labuh berwarna merah tua dan blaus putih, mengelek beberapa buah fail.

"Hai! Kawan awak ke ni, Kezus? Tak pernah nampak pun dekat sini?" Dr. Lara merenung kawanku dengan perasaan hairan.

Walaupun aku belum menceritakan tentangnya kepada kawanku, tapi aku rasa tak ada salahnya kalau aku memperkenalkan mereka terlebih dahulu. Sambil itu aku berharap sangat agar mereka boleh berkawan, jadi nanti tidaklah janggal sangat jika aku perlu keluar dengan mereka berdua. Sekurang-kurangnya Dr. Lara boleh berbual-bual dengan rakanku tanpa rasa janggal.

"Ini Dr. Lara Helza," kataku sambil mencuit bahu rakanku. "Dr. Lara, ini Douv, kawan baik saya sejak sekolah dulu. Dia baru mendaftar di kampus hari ni."

Dr. Lara memandang rakanku, Douv dengan pandangan yang sangat aneh. Lama juga dia terdiam sambil menggaru-garu dagunya - sesuatu yang dia akan lakukan bila dia sedang asyik memikirkan sesuatu.

"Kenapa saya rasa macam saya pernah nampak awak, ya?" Tanya Dr. Lara.

Aku dan Douv berpandangan seketika sebelum aku tolong jawabkan, "Dr. Lara, Douv ni Maths genius. Dulu selalu keluar TV, keluar surat khabar, majalah. Mungkin Dr. Lara pernah ternampak gambar dia."

"Oh! Yes!" Dr. Lara begitu teruja. "Yes! Patutlah awak nampak very familiar. Adik saya pernah attend seminar awak tak lama dulu."

"Alamak!" Douv termalu-malu, wajahnya memerah. Aku hanya menepuk-nepuk belakangnya.

"Saya harap, dia tak apa-apakan adik Dr.," gurauku. Dr. Lara ketawa sepenuh hati.

"Tak. Adik saya okey aje. Saya mesti berterima kasih kepada awak, Douv. Adik saya jadi best student Matematik lepas hadir seminar awak tu. Sebelum tu dia memang asyik gagal masa exam."

Aku lihat Douv tersenyum puas hati, dan ada tercalit sedikit rasa bangga, mungkin. Itulah balasan baik yang diberi oleh tuhan kepada para guru. Sedikit pujian dan rasa terima kasihpun sudah cukup untuk membuatkan mereka rasa sumbangan mereka kepada masyarakat dihargai.

"Jom! Saya belanja awak berdua minum!" Pelawa Dr. Lara yang membuatkan aku sedikit serba salah. Aku perlu ceritakan perasaanku terhadap Dr. Lara kepada Douv sebelum kami terus keluar bersama - bertiga. Aku bimbang Douv akan bertanya soalan-soalan mengejut di hadapan Dr. Lara nanti. Kalau dia malukan aku, mungkin aku perlu menyorok atau kecilkan tubuhku sekecil-kecilnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience