Chapter 12

Romance Completed 14626

Bab 12

1996 - Catatan Kezus – 7

Betul kata mak aku dulu, masa aku masih di bangku sekolah rendah: Orang lambat selalu terlepas. Dulu aku selalu liat bangun pagi. Emak dan kakak bergilir-gilir mengejutkanku. Bila dah lambat, aku tak sempat bersarapan dan terpaksa berlari ke sekolah. Ada juga masanya terlepas perhimpunan pagi dan dimarahi guru.

Kali ini aku betul-betul terlambat dan terlepas. Walaupun tiada siapa yang memarahi aku kecuali diriku sendiri, ini kes lambat yang benar-benar aku kesalkan.

Kalau difikir-fikirkan, bukan aku sengaja melambat-lambatkan atau menangguhkan apa yang aku sudah rancang sebegitu rapi, tapi keadaan yang memaksa aku.

Semuanya bermula bila satu malam Douv datang ke bilik dengan wajah yang merah dan berpeluh-peluh. Bilikku di tingkat 4 dan dia berlari naik tangga. Dia memelukku sebaik sahaja pintu dibuka. Aku nyaris terlentang bila berat badannya merempuh tubuhku yang tidak segagah mana. Aku biarkan dia memelukku beberapa saat sebelum aku menolak tubuhnya.

"Kenapa ni?" Soalku.

Douv, yang masih termengah-mengah, tersenyum lebar sambil menyeka peluh. "Tadi aku pergi jumpa Dr. Lara."

"Di fakulti?"

"Tak. Di perpustakaan." Douv duduk di katilku dan bersandar di dinding. "Dia minta aku baca manuskrip dia. Katanya baru siap. Malam tadi dia dapat idea macam mana nak sudahkan cerita tu."

"Jadi, macam mana ceritanya? Menarik?" Aku terpaksa sembunyikan rasa cemburu yang meluap-luap bila dapat tahu Dr. Lara memberi keistimewaan kepada Douv untuk jadi orang yang pertama (mungkin) untuk membaca manuskripnya. Dalam diam selama ini aku mengharapkan aku diberi peluang untuk membaca manuskrip itu sebelum bukunya diterbitkan.

"Cerita yang Dr. Lara tulis tu sebenarnya kisah sedih dan tragis tapi ada banyak falsafah kehidupan," kata Douv. Matanya merenung kosong ke arah poster kumpulan muzik yang tertampal di dinding bilik. "Selama ni aku dengar macam-macam cerita tentang pengorbanan. Tapi, lepas aku baca manuskrip Dr. Lara, baru aku betul-betul mengerti apa itu pengorbanan."

Aku jadi makin cemburu. Pasti ada banyak luahan hati Dr. Lara sendiri dalam cerita itu, dan aku bukan orang pertama yang membacanya. Pada ketika itu aku mula mempersoalkan: siapakah aku dari kacamata Dr. Lara dan apakah tanggapan sebenarnya terhadapku?

"Kau tahu, ada satu ayat dari manuskrip tu yang betul-betul melekat dalam fikiran aku," kata Douv sambil menepuk bahuku. Aku tersentak. "Bila tinggal cuma satu pilihan dalam hidup, ambillah tanpa buang masa menanti peluang yang lain. Itu adalah pilihan terbaik," Douv memetik kata-kata daripada manuskrip Dr. Lara membuatkan aku makin tak sabar untuk membaca keseluruhan cerita itu. Apa mungkin Dr. Lara akan beriku peluang untuk baca dan berkongsi pendapat tentangnya?

"Kau rasa apa yang Dr. Lara tulis tu seratus peratus berdasarkan kisah benar? Kisah antara Tok Yang Beda dan Ayang Jeha?" Aku masih ingat apa yang dikatakan Dr. Lara ketika kami berbual-bual di dalam keretanya.

"Aku tanya dia tadi, katanya separuh fiksyen. Ada banyak benda yang dia tokok tambah untuk buatkan cerita tu lebih menarik."

"Apa yang kau baca tentang dua orang tua tu kau rasa benar?" Aku sebenarnya tak begitu berminat tentang kisah orang tua berdua itu. Aku lebih berminat untuk tahu apa sebenarnya yang dibincangkan oleh Douv dengan Dr. Lara.

Douv mengangguk. "Apa yang diceritakan tentang orang tua berdua tu semuanya benar. Cuma, Dr. Lara ada cipta watak-watak sampingan yang tak wujudpun dalam kehidupan kedua-dua orang tua tu."

"Ada watak nama Kezus tak?" Aku cuba berseloroh dan Douv kelihatan teruja lalu menepuk tangannya sekali.

"Hah! Memang ada! Terlupa pulak aku nak beritahu kau. Tapi, watak kecil ajelah. Kalau buat filem, watak Kezus tu pak pacak aje yang pegang." Douv melepaskan tawa besar yang menjengkelkan. Aku tumbuk lembut bahu kanannya.

Aku tak berapa ingat bila saatnya wajah Douv tiba-tiba jadi serius selepas itu. Mungkin selepas aku membancuh dua cawan kopi atau selepas aku mula mengeluarkan beberapa nota kuliah untuk aku semak sementara dia berehat di katilku. Tetapi baki perbualan kami hari itu agak kurang menyenangkan. Douv, yang masih bersandar di dinding menghirup kopi perlahan-lahan dan memerhati aku membaca nota.

"Ada sesuatu yang aku mesti beritahu kau," kata Douv yang membuatkan aku mengangkat muka dan merenung tepat padanya.

"Apa dia?"

"Lepas aku baca manuskrip Dr. Lara tadi, aku rasa macam aku dah kenal 80% dirinya. Apa yang selama ini tak dapat kita nampak pada zahirnya, semua jadi jelas dalam cerita tu. Ada banyak bahagian dalam manuskrip tu yang aku baca berulang-kali sebab aku yakin itu sebenarnya perasaan dan pendirian Dr. Lara sendiri, langsung tak ada kaitan dengan Tok Yang Beda dan Ayang Jeha. Kau faham tak apa yang aku cuba cakap ni?" Soal Douv bila aku mengalih-alih pandangan, seperti tidak begitu memberikan tumpuan.

"Hmm... faham, kot," jawabku acuh tak acuh.

"Lepas baca manuskrip tu, aku bukan saja mulai faham erti pengorbanan, aku juga mula mengerti hati dan perasaan Dr. Lara." Douv meletakkan tangannya di dadaku. Aku tak pasti sama ada dia melakukannya secara luar sedar ataupun dia sebenarnya mahu memeriksa kederasan degup jantungku.

"Jadi, apa kau cakap dekat dia lepas kau habis baca cerita tu?" Aku cuba mengorek lagi. Entah apa lagi yang telah mereka bincangkan.

Douv meletakkan cawan kopi di meja belajar dan dia membetulkan duduknya sebelum berkata, "Aku beritahu Dr. Lara, 'Dr. saya rasa saya dah jatuh cinta dengan Dr. lepas baca cerita ni. It's a really beautiful love story'. Dr. patut teruskan menulis. Mesti ramai orang yang nak baca."

Darah aku terus mendidih mendengar cerita Douv. Sepatutnya aku jadi orang pertama yang melafazkan kalimah cinta kepada Dr. Lara, bukan dia!

"Dia jawab apa?" Soalku dengan suara yang tersangkut-sangkut. Bukan mudah untuk mengawal kemarahan dan menjaga ekspresi muka pada saat-saat mencabar begini.

"Dia kata dia belum pernah bercinta, jadi kisah cinta yang dia tulis dalam tu kebanyakannya berdasarkan apa yang dia dengar daripada kedua-dua moyang saudaranya tu." Douv tersenyum sebentar sebelum menyambung, "Aku beri cadangan dekat dia, bila dah bercinta nanti, dia patut tulis lagi satu manuskrip yang betul-betul berdasarkan pengalaman sendiri."

"Dia setuju ke?"

"Dia tak cakap apa-apa. Tapi, kalau dia tak tulis buku lain lepas ni pun, aku rasa tak mengapa. Kisah Tok Yang Beda dengan Ayang Jeha ni pun dah cukup hebat."

"Untunglah kau dah dapat baca," aku tak dapat lagi menyembunyikan rasa cemburu.

"Sebenarnya, Kezus..." Douv terdiam seketika. "Sebenarnya, lepas aku baca manuskrip tu aku betul-betul dah jatuh cinta dengan Dr. Lara. Aku serius ni. Dan sekarang aku tak tahu apa yang aku patut buat sebab aku tak pernah rasa macam ni."

Pada saat itu aku sudah dapat agak Dr. Lara akan terlepas dari genggamanku. Bila dia makin kerap mempelawa Douv untuk menolongnya melakukan suntingan terhadap manuskrip itu, aku yakin Dr. Lara juga menyimpan perasaan terhadap Douv. Mereka jadi makin karib dan aku kian dipinggirkan. Selama ini aku betul-betul silap tentang perasaan dan tanggapan Dr. Lara terhadapku. Tapi aku tetap menyalahkan diri sendiri dalam hal ini. Aku tidak sepatutnya bertangguh-tangguh untuk meluahkan perasaan kepadanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience