Bab 15- selalu ada

Romance Completed 248233

Ini satu penyeksaan. Sungguh jarum jam terlalu lambat berdetik. Rasa macam satu azab nak menunggu ke pukul lima petang.

Telefon bimbit yang tiba-tiba menyala dikerling seketika. Apa yang Jep nak ni? Mesej dari Jep dibuka.

'ok tak tu? Perlukan bantuan? Kalau nak menangis macam semalam bagitau awal-awal. Aku sediakan tisu dan dada aku untuk kau.'

Sarah berdecit sedikit. Penyibuk! Hal semalam tak payah di sentuh hari ini. Kau ingat aku perempuan lembik ke? Semalam je aku terlebih emosi. Ini Sarah Hayla lah. Pantang mundur kecuali jalan mati.

' tolong duduk rumah diam-diam. Jaga anak tu.'

Telefon diletak kembali ke atas meja. Tiba-tiba Sarah terperasan orang di cubicles sebelah sana seakan bersokseh sambil buang pandang padanya. Tak cerdik! Kalau nak bergosip pun tak payah lah nampak sangat.

Sarah buat tak tahu. Satu dua file di atas meja diambil dan diselak bersahaja. Canggung pula rasa bila dia kembali ke department lamanya sebelum dinaik pangkat menjadi PA boss.

Dulu masa mula-mula masuk kerja memang Sarah berkhidmat di bahagian ini sebelum pindah ke tingkat atas. Apa boleh buat, adat pipit. Bila suka diangkat tinggi, bila tak suka ditendang pergi.

"tengoklah apa yang jadi kalau orang berangan terlalu tinggi. Kesudahnya jatuh ditempat yang sama juga! Kalau aku jadi dia, sumpah aku angkat kaki. Malu muka derr.."

"dulu berlagak sangat berpasangan dengan bos besar. Sekali big boss kahwin dengan orang lain daaa..." serentak ketawa jahat kedengaran. Mengejek.

Sarah pejam matanya rapat. Bersandar lemah di kerusi. Hatinya menangis. Perlu ke perli-perli?

Seorang Sarah sungguh tak berdaya nak berperang dengan sesiapa tika ini. Dia hanya mampu bergelut dengan perasaan dan rasa kecewanya sahaja. Sakit bila cinta tak kesampaian kini ditambah lagi dengan kata-kata yang merundum emosi yang cuba dibina positif semula dengan susah payah.

"Tapi sepadan sungguh kan boss dengan Puan Alina. Tenang je hati aku tengok diaorang. Sweet habis macam Romeo dengan Juliet. Kau nampak tak depa berpimpin tangan pagi tadi? "

"betul! Aku yang tengok depa bercinta depan mata ni pun syok tersengih-sengih sendiri. Encik Zarul tu charming sungguh. Serious, rugi orang tu cuma boleh kawin dengan hero kampung je."

"aku dengar orang tu yang buat perangai. Kena tangkap basah katanya! Itu yang big boss kita kecewa teruk sampai sanggup kahwin dengan bestfriend orang tu sendiri. Sadis kan?"

"itu bukan sadis.. Itu bodoh namanya. Orang gatal, tak reti bersyukur memang perangai lagu tu. Dah ada yang elok, masih tak cukup. Padan muka akhirnya habuk pun tak dapat. Yang ada cuma title loser!"

Sarah tahan diri agar tak mudah melatah bila diprovok. Dia hanya mampu tadah telinga dengar umpatan dan perlian dari kumpulan itu yang dipanaskan oleh Zara dan Mira. Semenangnya mereka berdua langsung tak sebulu dengan Sarah dari dulu. Ada saja yang tak kena. Padahal Sarah tak pernah pun cari pasal dengan mereka. Tak habis-habis nak fitnah dan buat cerita. Tak penat ke?

Bunyi telefon bimbit mengejutkan Sarah dari lena. Istighfar panjang. Pejabat dah kosong. Orang-orang di sekeliling dah hilang pergi lunch.

Batang hidung Mira dan Zana yang giat mengumpatnya tadi pun sudah tidak kelihatan. Penat layan perlian orang sampai tertidur! Haru betul perangai.

Muka diraup kasar. Telefon yang kembali berdering dicapai. Jep lagi. Keluhnya.

"kenapa?"

"dah makan belum?"

"dah lunch hour mestilah dah makan." Tipu Sarah.

"ok good to hear that." talian dimatikan.

Sarah tarik nafas sebelum bangun ke toilet. Dalam hati rasa kosong sangat. Sarah tak pernah rasa kosong macam ni. Macam tak ada arah tujuan!

Air paip disimpah berkali-kali ke muka. Menjemput aura jernih dalam diri. Wake up Sarah! Wake up! Lama ditenung wajah sendiri yang basah dalam cermin.

Kelakarkan sarah? Hidup kau dah berubah 360 darjah. Mana kawan-kawan kau? Rehat seorang diri ke Sarah? Tak ada kawan ke yang boleh comfort kau time-time sukar macam ni? Kesian...

Kau tak ada kawan Sarah! Hidup kau selama ini asyik berkepit dengan Zarul je. Makan dengan Zarul. Meeting dengan Zarul. Pergi keje dengan Zarul, balik dengan Zarul. Lepak dengan Zarul. Dating dengan Zarul.

Semua kau buat dengan Zarul. Kadang-kadang kau hang out dengan Alina sebab dia kawan baik kau. Tapi tengok sekarang ni. Orang - orang yang rapat dengan kau dah bergabung, dah berpaling tadah dari kau. Apa lagi yang kau ada?

'Angkat kaki lah Sarah. Pergi dari sini. Dah tak ada apa dah untuk kau dekat sini.'

Tak! Aku tak boleh mengalah! Zarul tipu. Masih ada cinta untuk aku dalam hidup dia. Aku tahu macam mana dia sayangkan aku. Dia sengaja nak sakitkan hati aku. Aku tahu tu.

' Zarul milik Alina. Terimalah hakikat. Dia lelaki setia. Ijab kabul bukan satu permainan dalam hidup dia. Kau tahu itu!'

Zarul cinta aku! Aku tahu tu. Dia takkan sesenang itu buang aku..

Suara hatinya mentertawakan sarah dengan kuat. Goodluck Sarah. Tawanya masih kuat kedengaran buat Sarah sakit hati.

Sarah tunduk. Pantas tisu diambil. Muka yang basah dilap rakus. Masa untuk tangkap leleh dah habis Sarah. Kini masa untuk kau pikat dia semula! Usaha demi cinta kau.

Tas tangan di meja, diambil. Semangat! You can do it! Sarah melangkah dengan lebih bermotivasi. Ada eloknya dia pergi melantak dulu. Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati.

Keluar sahaja dari perut lif di lobby, Sarah dihidangkan dengan satu pemandangan yang meruntun jiwa, merundum habis emosinya ke laut dalam. Lemah terus jiwanya yang sedaya boleh dikobarkan tadi.

Sangat mesra!

Sarah hanya mampu pandang kelibat zarul dan Alina yang berpegangan tangan keluar dari bangunan itu. Cukup bahagia. Entah apa yang diborakkan sampai keduanya tergelak manis.

Tak sedetik pun Sarah alihkan pandangan buat pasangan merpati dua sejoli yang tak kekok mempamerkan kemesraan mereka pada umum.

Sarah dapat lihat dengan jelasnya bahagia Zarul saat itu. Dia tahu bahagia yang terlihat di wajah kekasihnya bukan satu lakonan dan olok-olok. Mereka sudah lama bersama. Sarah yakin Zarul memang sedang meniti bahagia yang benar.

Alina menampar manja lengan Zarul kerana merosakkan awning tudungnya sebelum menutup pintu kereta si isteri dan menapak dengan riang ke pintu belah pemandu pula.

Sarah tak buta menilai kebahagiaan mereka. Kereta meluncur pergi.

Sarah langsung tak sedar bila air matanya jatuh. Dia terkaku di tengah lobby. Tak tahu nak buat apa. Automatik kaku. Berdiri tegak disitu bagai tugu.

"Nah. Lap air mata tu. Malu orang tengok." sehelai tisu disua dari tepi. Sarah pandang ke sisi. Jep?

"Jom makan. Aku bawa bekal." melihat sarah masih beku. Tisu ditangan dibawa ke pipi sarah. Lembut saja perlakuannya.. Minah ni kalau bab cinta memang teruk!

Sarah hanya menurut bila ditarik pergi oleh Jep.

Jep... Kau selalu ada..

*******

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience