EMPAT

Drama Series 6436

IQBAL menghempas tubuh di atas katil. Selesai sudah majlis merisik sebentar tadi. Hatinya senang dengan penerimaan keluarga Mimi meskipun mereka belum mengetahui duduk perkara sebenar.

Dia belum mampu membayangkan reaksi yang bakal diterimanya sekiranya keluarga Mimi menghidu akan perkara sebenar. Tegakah dia kehilangan Mimi untuk kali yang kedua?

Wajah sugul diraup beberapa kali. Meskipun hatinya senang dengan apa yang berlaku, namun pada masa yang sama dia tetap merasa tak nyaman terhadap Nissa. Dia tahu betapa terlukanya Nissa dengan semua yang telah berlaku.

Namun dia juga gagal menolak perasaan yang kian mendalam terhadap Mimi.

"Ya Allah, luruskanlah jalanku! Tautlah kami dalam jalan menuju keredhaanMu" ucap Iqbal dalam penuh keyakinan.

Iqbal teringat akan perbualannya dengan Mimi tadi.

"Family you tak tahu lagi ke pasal I dengan Nissa?"

Mimi menggeleng kepala.

"I tak nak dorang tahu. You pun tahu kan, family I orang terhormat. Lagipun, mama I melarang keras I kawen dengan suami orang. Tapi disebabkan perasaan I yang terlalu dalam pada you, I sanggup telan semua. I harap you layan dan jaga I dengan baik"

Omongan Mimi lebih kepada merayu. Dia mempertaruhkan segala-galanya hanya untuk bersama lelaki yang dicintainya itu. Masakan dia harus mengalah dan berhenti di tengah jalan?

Iqbal melakar senyum. Rupa-rupanya Mimi juga turut berkorban di dalam melestarikan hubungan mereka.

"Jangan risau. I janji, I akan jaga dan layan you dengan baik"

"Tapi sampai bila kita nak rahsiakan perkara ni? Cepat atau lambat, family I mesti tahu"

Mimi memuntahkan kebimbangan. Seriau juga kalau memikirkan akan akibatnya.

Iqbal diam. Seutuhnya, dia tak punya apa-apa rencana buat permasalahan itu. Dia sudah buntu. Apa yang harus dilakukan?

"ABANG..."

Nissa tersentak menerima kehadiran suaminya di situ. Bila entah lelaki itu sampai, dia tidak perasan akan itu.

"Sorry kalau kejutkan Nissa. Abang rasa nak baring sini. Tak boleh ke?" tanya Iqbal dalam nada lembut.

Nissa senyum. Seraya itu, derap kaki dihayun ke arah sang suami. Duduk bersebelahan lalu menatap wajah kacak si dia. Wajah itu yang sering muncul dalam tidurnya. Yang sering membuat tidurnya tak lena. Dan kini wajah itu juga akan dikongsi dengan wanita lain.

"Abang kan suami Nissa. Takkan tak boleh pulak. Tidur sini lagilah boleh"

Senyuman di wajah Nissa menghantar seribu penyesalan dalam gelung hatinya. Entah kenapa, dia merasa semacam saja pada wajah dan senyuman itu.

"Nissa menangis ke?"

Tersentak dengan pertanyaan sang suami, Nissa berlagak biasa. Namun dia tahu dia tak bisa lama-lama menyembunyikan perasaan.

"Hmmm.." Perlahan-lahan Nissa mengangguk. Mengiyakan kata-kata Iqbal.

"Hati isteri mana yang tak terluka kalau suami dia nak kawen lain? Nissa bukan bidadari, yang terlampau sempurna untuk terus sabar dan menerima segalanya. Tapi Nissa cuba..demi kebahagiaan dan kesenangan abang. So Nissa ikhlas. Walaupun dalam terpaksa"

Jawapan Nissa menyentapkan hati Iqbal. Ikhlas dalam terpaksa? Tetapi dia tak mampu nak menyalahkan Nissa. Semua yang terjadi berpunca dari olahnya sendiri.

"I'm sorry..."

Jari-jemari Nissa digenggam erat. Tunduk saja dia mengucup tangan lembut itu.

Nissa berlagak biasa. Terluka? Sangat dalam rasanya. Namun dia tidak tahu bagaimana hendak mengutarakan perasaan itu. Kalau diluahkan sekalipun, mahukah Iqbal mendengar dan menerimanya?

"It's okay. Nissa dah biasa lalui semua ni. Nissa tak mampu nak buat apa-apa. Nissa hanya mampu untuk bersabar dan redha. Kalau ini yang mampu buat abang bahagia, maka Nissa redha. Cuma Nissa mintak, tolonglah berlaku adil. Nissa jugak isteri abang"

Luluh ucapan Nissa dalam menahan sebak. Bukan mudah melalui semua ini. Jika ada yang menganggap dia lemah, mereka itu silap. Kerana jika dia lemah, pasti dia tidak mampu bangkit lagi.

"Abang janji pada Nissa. Abang akan berlaku adil"

Tubuh Nissa dibawa dalam pelukan. Sebu rasa hatinya, entah kenapa.

Nissa beriak biasa. Tak membalas setiap perlakuan Iqbal padanya. Tubuhnya kaku, sekaku hatinya saat itu.

"Kenapa abang rahsiakan perkahwinan kita daripada keluarga Mimi? Nanti abang kawen, Nissa tak ikutlah kan? Keluarga abang macam mana? Dorang tak marah ke bila abang bohong pada keluarga Mimi?"

Persoalan demi persoalan dari bibir itu menyentakkan hati Iqbal. Nada suara Nissa juga kedengaran meninggi.

"Keluarga abang dah tahu semua. Dorang hanya mampu bersetuju sebab itu keputusan abang. Dan abang tak nak keluarga Mimi tahu atas sebab peribadi. Jadi abang harap sangat yang Nissa takkan ungkit tu lagi ye?"

Wajah Nissa berubah riak. Atas sebab peribadi? Dia memandang wajah Iqbal yang seakan meraih simpati itu.

"Pasal majlis abang, Nissa hadirlah. Abang takkan larang Nissa pergi" ucap Iqbal sambil tersenyum.

Senyuman Iqbal dibiarkan tanpa balasan. Sungguh dia tak mampu nak memahami perasaan lelaki di hadapannya itu. Entahlah, hati ini pun keliru...

MAJLIS PERKAHWINAN Mimi dan Iqbal berlangsung dengan sangat gah dan mewah. Ribuan jemputan dari pelbagai taraf dan kedudukan turut diundang bagi memeriahkan suasana.

Pelbagai juadah dan menu yang berbeza turut terhidang. Kelopak bunga dan hiasan mewah bangga ditayangkan di sana sini.

Pelamin juga tersergam indah dengan ratusan permata yang menghiasi. Sangat cantik! Tak jemu mata memandang.

"Ni dah macam wedding of the year ni! Bukan main mewah lagi" puji Azhar tanpa sedar. Bersinar-sinar matanya melihat perhiasan tergantung sana sini.

Nissa menyetujui dalam diam. Jauh di sudut hati, dia cemburu dengan persediaan perkahwinan itu. Dia menjeruk rasa dalam kawanan ribuan manusia.

Hari itu, dia hadir bukan sebagai isteri pertama Iqbal tetapi sebagai salah satu tetamu yang diundang. Sakitnya terasa ngilu. Bahkan lebih ngilu daripada melihat akad Iqbal sebentar nanti.

"Kau okey ke?" tegur Azhar yang berdiri di sisinya.

"Okey je" sahut Nissa sepatah.

"Sure?" tanya Azhar lagi. Matanya tak berhenti memandang wanita itu. Tampak anggun mengenakan abaya berwarna biru dan dipadankan dengan tudung berwarna putih. Sangat menyerlahkan kulitnya yang sedia putih itu. Riasan pula hanya sederhana sahaja. Tidak tebal tetapi cukup menaikkan pesonanya. Kalaulah Nissa bukan kakak iparnya, sudah pasti gadis itu disunting terlebih dahulu. Hmm, jodoh itu memang aturan Allah!

"Aku okeylah! Kenapa tak percaya ni?!!" rungut Nissa lantas membalas pandangan Azhar. Matanya tampak berkaca memandang wajah selamba Azhar. Benarlah, dia tak mampu nak menipu lelaki itu.

"Aku dah cakap kan, jangan nak tipu aku! Kan dah malu sendiri" tutur Azhar selamba namun masih dalam nada lembut.

Kali ini, giliran Azhar pula membuang pandang. Dia tak mampu untuk terus menatap wajah tenang itu. Bukan kerana kasihan, tetapi gelojak perasaannya yang kian menebal buat wanita itu. Dia tak mahu hanyut dalam lautan perasaan yang hanya mendatangkan musibah nanti.

"Janganlah tanya lagi! Aku tak bolehlah..." Nissa sembunyi sebak. Suaranya antara dengar dengan tidak sahaja.

"Kau hebat Nissa! Tak semua isteri mampu seperti kau. Kalau ada orang cakap kau lemah, mereka sangat silap. Kerana kelemahan takkan mampu bawak kau sampai ke sini"

Nissa mengulum senyuman.

"Cukup kau saja tahu perasaan aku. Tak perlu orang lain..." ungkap Nissa dalam sebaknya.

"Kalau dari dulu kau kawen dengan aku, kau takkan terseksa macam ni. Tapi kau jenis yang tak pernah nak faham perasaan aku.."

Nissa mengerut dahi. Betul! Dia tak bisa nak memahami perasaan dan kata-kata Azhar itu.

"Maksud kau?"

Tengok! Azhar sudah agak itu. Lama dia menghela nafas, kemudian dilepaskan.

"Takde apa. Aku cuma..."

"Nissa kan?" Seseorang datang lalu mengganggu perbualan mereka.

"Ya saya" sahut Nissa perlahan.

Lili tersenyum sinis. Cantik jugak isteri pertama Iqbal ni!

"Saya Lili. Lili Shaheeda. Kakak kepada pengantin perempuan.." Lili memperkenalkan diri. Dia sudah mengetahui segala-galanya melalui Mimi. Jika bukan kerana rayuan Mimi, sudah pasti dia tidak akan bersetuju dengan pernikahan ini. Dan atas desakan Mimi juga, dia terpaksa mencari wanita bernama Nissa itu.

"Ohh ye..." Nissa jawab ringkas. Dia tak punya mood untuk berkenalan dengan ahli keluarga bakal madunya itu. Kalau boleh, dia tak ingin nak lihat pun wajah mereka.

"Mimi nak jumpa awak. Kat dalam bilik pengantin"

Nissa dan Azhar sama-sama menoleh. Keduanya mengerut dahi.

"Cuma perbualan biasa. Bukan sesuatu yang menyakitkan hati"

Seolah dapat mengagak fikiran Nissa, awal-awal lagi Lili sudah menyatakan tujuan itu. Dia tak mahu Nissa salah faham akan niat baik adiknya.

"Kenapa ye?" soal Azhar pula. Dia tak senang melepaskan Nissa begitu saja. Risau jika hati wanita itu disakiti.

"And you are?" Lili pandnag wajah Azhar.

"Adik Iqbal. Azhar" Azhar memperkenalkan diri.

Lili pandang figura itu dari atas sampai ke bawah. Jauh betul wajah mereka. Sangat tak sama! Yang ini sangat tak kemas penampilannya!

"Ohh okay. By the way, saya tak tahu kenapa Mimi nak jumpa awak. Saya cuma sampaikan pesan. Pergilah jumpa dia sekejap. Sebelum majlis bermula" Lili seakan mendesak.

"Jumpa dia untuk sakitkan hati Nissa ke?" Azhar tak puas hati. Wajah berlagak Lili ditenung dalam-dalam.

"Heh, kalau saya tahu apa tujuan dia nak jumpa Nissa, takkanlah saya nak berdiam?!" gerutu Lili.

Wajah Azhar yang serius itu dipandang. Mereka berdua nampak sepadan saja. Sama-sama selekeh. Sama-sama bau orang miskin! Cemuh Lili dalam hati. Dahlah dua-dua pakai baju match colour. Hmm sesuatu sangat!

"Har..." Nissa melarang tatkala Azhar nak lancarkan serangannya lagi.

"Kau nak jumpa dia?" tanya Azhar.

Nissa mengangguk laju.

"Aku ikut!" Azhar pelawa diri.

"Heyy, tu bilik pengantin perempuanlah! Awak lelaki. Tak boleh masuk. Awak ingat, adik saya tu orang jahat? Nak buat macam-macam kat kakak ipar awak?"

"Kalau tak jahat, taklah dia rebut suami orang!" selar Azhar, selamba.

Wajah Lili kemerahan. Malu pulak apabila dikenakan oleh Azhar, di hadapan Nissa lagi!

"Har.."

"Betul apa?! Kau jangan nak takut sangat berhadapan dengan orang macam ni. Bagi je sebijik, tapi sepedas cili padi!"

"Dah! Dah! Nissa, naiklah atas. Mimi dah lama sangat tunggu tu"

Kalau tidak mengenangkan itu majlis adiknya, pasti dilawannya habis-habisan si Azhar itu! Heihh, takde adab punya orang!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience