MIMI SYAHEERA! Gadis cantik kacukan Arab yang mampu membuat suaminya berangan tak sudah. Gadis yang datang dari keluarga berada, keluarga yang jelas, gadis yang menjadi kegilaan suaminya.
Sedangkan dia? Hanyalah seorang gadis sebatang kara yang menumpang kasih seorang lelaki yang tak pernah cintakan dia. Dia tak cantik, dia bukan orang kaya. Dia jauh dari kesempurnaan itu.
"Abang dah jumpa Mimi!"
Kata-kata itu terngiang-ngiang kembali di telinganya. Peritnya rasa hati hanya Allah saja yang tahu.
"Nissa..."
Panggilan lembut Iqbal membawa Nissa ke alam nyata. Perlahan-lahan dia seka air mata yang gugur ke wajah. Dia menoleh. Pandangannya jatuh pada wajah itu.
"Ye bang.."
"Duduk sini"
Iqbal menampar lembut tilam itu. Memberi tanda untuk Nissa akur akan arahannya.
"Abang ada hal sikit nak cakap"
Nissa sudah duduk di sebelah Iqbal.
"Nissa nangis?"
Mata kemerahan itu mencuri perhatian Iqbal. Sedihkah dia?
"Ohh taklah! Tadi Nissa gosok mata. Tu yang merah. Nissa gosok kuat sangat agaknya"
Nissa berpura-pura mengesat mata, walhal dia sudah menjerit di dalam hati. Ya Allah, kuatkanlah aku! Redhakanlah aku!
"Okey. Abang ingatkan Nissa menangis"
"Tak bang. Oh ye, tadi abang nak cakap apa?"
Hatinya bergetar. Dia dapat mengagak topik perbualan mereka. Namun dia masih berharap agar bukan itu tunjang perbualan mereka.
"Pasal..." Anak mata Iqbal laju menangkap riak wajah Nissa yang agak cemas itu. Dia jadi serba-salah namun dia harus katakan juga. Jika tidak, dia dan Nissa akan merana.
"Pasal Mimi"
Mendengarkan itu, sekali lagi hati Nissa ditimpa walang. Matanya hampir berkaca. Dia tahan sebaik mungkin. Dia tak mahu menangis di hadapan Iqbal.
"Abang ada jumpa dia. Tiga tahun yang lepas"
Pengakuan Iqbal benar-benar bikin Nissa kecewa. Dia hampir hilang pertimbangan dan merasakan hatinya dipermainkan. Selama tiga tahun, Iqbal senyap-senyap berjumpa dengan bekas tunangnya tanpa pengetahuannya. Itu bererti selama tempoh itu Iqbal juga telah membohonginya.
Ya Allah, jiwa Nissa rasa seperti ditekan. Sakitnya bukan kepalang. Tidak mampu menahan sebak, air mata akhirnya jatuh berguguran.
"Ti...tiga tahun?"
Suara Nissa tenggelam timbul dengan nada sebaknya. Sungguh, dia tak mampu mempercayai kenyataan itu. Suami yang dipuja, yang disayang, memadu kasih dengan orang lain di belakangnya.
"Abang cuba jelaskan pada Nissa. Tapi abang takde kekuatan. Abang...abang takut lukakan hati Nissa"
"Tapi abang dah lukakan Nissa!"
Tangisan Nissa memenuhi ruangan bilik mereka. Wajahnya sudah lencun dek air mata itu.
"Abang tahu. Abang minta maaf!"
Tubuh Nissa dikunci rapat dalam dakapan. Melihat Nissa menangis, dia turut sama menangis. Anehnya perasaan itu. Seharusnya dia bersyukur kerana telah meluahkan kebenaran tetapi justeru kenapa hatinya juga terasa sakit?
"Abang sayangkan Nissa. Tapi abang tak mampu nak menidakkan perasaan abang pada Mimi. Dan jujur abang katakan, perasaan pada Mimi tu lebih kuat..."
Mendengarkan itu, jiwa Nissa meronta. Perasaannya hancur berkecai. Dia melepaskan diri dari pelukan Iqbal, namun Iqbal juga tak mahu mengalah.
"Kenapa buat Nissa macam ni?!"
Tubuh Iqbal ditolak kasar sehingga pelukan mereka terlerai. Untuk apa memeluk dia jika akhirnya pelukan itu hanya menambah derita dalam jiwa??
"Abang tak sanggup nak menipu Nissa terus. Abang... abang... keliru dengan perasaan abang sendiri. Abang..."
"Abang sayangkan Nissa. Tapi abang cintakan Mimi. Macam tu ke?" tanya Nissa, inginkan kepastian.
Perlahan-lahan Iqbal mengangguk.
Nissa mengesat air mata. Nafas dihela perlahan. Wajah Iqbal diamati.
"Nissa pun tak mampu nak faham perasaan abang. Sayang dan cinta tu dua benda yang berbeza kan? Tapi kalau kena memilih, tentulah kita akan pilih yang kita cinta. Nissa rela. Dan redha jika abang lepaskan Nissa"
Menuturkan itu membuatkan hatinya sendiri sakit. Sakit kerana dibohongi, sakit kerana menyayangi. Ya Allah! Tak cukup tulus ke perasaan aku pada dia?!
Iqbal mengerut dahi.
"Abang takkan lepaskan Nissa!"
"Jadi abang nak buat apa?"
Iqbal menghela nafas dalam-dalam. Jari-jemari Nissa digenggam erat. Lembutnya jemari itu. Rasa-rasanya enam tahun yang lepas adalah kali pertama dan terakhir dia menggenggam jemari itu. Ya Allah, kejamkah aku?
"Izinkan abang bernikah dengan Mimi.."
Sekali lagi, Nissa rasa terpukul. Dia akan dimadukan? Dalam saat-saat seperti ini?
"Abang janji akan berlaku adil. Please..."
Wajah Iqbal sugul. Nadanya separuh merayu.
Nissa memejam mata. Dia harap semuanya hanyalah mimpi. Dia tak mahu semua itu berlaku. Mana mungkin dia mahu merelakan Iqbal bersama wanita lain.
Berlaku adil? Mampukah Iqbal? Wanita yang akan dinikahinya adalah wanita yang pernah dicintainya. Bisakah dia melihat kebahagiaan keduanya bergentayangan di hadapan mata? Namun jika dia bersetuju, ikhlaskah dia?
Ya Allah, dia tak kuat!
MELIHAT figura itu melangkah ke dapur, hatinya tak senang duduk. Akal jahatnya mula bekerja. Dia harus melakukan sesuatu sementelah dia sedang dilanda kebosanan saat itu.
Mak Uda membuang kulit pisang ke lantai dengan sengaja. Bukan satu tetapi lima helai.
Azhar mendengus. Ada saja karenah mak saudaranya itu untuk membangkit kemarahannya.
Dia buat tak tahu saja tatkala Mak Uda galak mengenakannya. Dia berlalu ke sinki dan mencuci tangan di situ.
Kemudian, langkah diatur menuju ke ruang depan. Namun baru beberapa tapak, suara Mak Uda kembali menyengat di cupingnya.
"Kutiplah kulit pisang tu! Tengok je buat apa?"
Wajah sengih Mak Uda diamati. Kalau bukan mengenangkan usianya yang tua, mahu saja dia layangkan tumbukan ke wajah itu.
"Apasal tengok aku macam tu? Tak puas hati?"
Mak Uda sudah menghampiri Azhar. Ditunjal kepala itu beberapa kali. Dia geram dan benci dengan anak saudara yang satu itu. Sudahlah tak bekerja, duit pun harapkan duit keluarga. Dasar tak tahu untung!
"Jangan buat Har hilang sabar!" sergah Azhar berbaur amarah.
"Marah? Sakit hati? Ehh! Aku ni lagilah sakit hati menengok muka engkau ni! Masuk je dalam rumah ni, muka engkau dulu yang muncul. Hilang mood aku tau?!"
"Dah tu, buat apa datang sini? Macam takde rumah!" bidas Azhar, geram.
Mak Uda menggumam. Rasa nak ditamparnya wajah itu.
"Kurang ajar kau ye? Aku ni tua dari kau tahu tak? Kau tak ada hak nak tengking aku!" Mak Uda juga tak mahu mengalah.
"Siapa yang mulakan dulu? Saya ke? Mak Uda tu lah yang kurang ajar. Takde adab!"
Papp! Satu tamparan mengena ke wajahnya.
Azhar terpempan. Dia memegang pipinya yang terasa sakit. Namun lebih sakit kerana yang menamparnya adalah mama.
"Mama..."
"Aku tak pernah ajar anak-anak aku biadab dengan orang lagi tua! Apatah lagi keluarga sendiri"
Air mata Azhar menitik laju.
"Mama..."
"Haaa padanlah dengan muka tu! Dah makan penampar, baru tahu erti senyap! Tu baru mama kau yang tampar. Kalau aku, aku dah seret kat tengah jalan sana. Biar mampus kena langgar lori!" Mak Uda meluahkan rasa geram di hati. Puas hatinya melihat Azhar diladeni sebegitu.
"Uda!!" Salmah mengerling. Tatapannya tajam memandang si kakak.
"Mak Uda cakap apa ni?" Azhar mula melenting. Tak puas hati tatkala kesalahan dilemparkan ke bahunya saja.
"Azhar!! Mama cakap, cukup! Masuk bilik kamu sekarang!" Salmah memberi amaran. Keras dan penuh tegas.
"Tapi mama..."
"Sekarang!"
SEJAK dari kecil lagi, dia tahu Mak Uda tak pernah sukakan dia. Dan sejak dari dia lahir lagi, ada saja adegan jahat mak saudaranya itu untuk menghancurkan dia.
Dia sendiri tak tahu apa salah dan dosanya pada wanita itu. Dia tak pernah ganggu sesiapa, apatah lagi nak berdendam. Namun wajah Mak Uda setiap kali mereka bertemu sungguh mengerikan!
Air mata yang beguguran segera diseka. Dia ketika itu duduk di pangkin, di bawah pokok betik. Jauh sikit dari halaman rumahnya. Siang hari pun orang takkan nampak sebab pangkin tersebut ditutupi oleh pokok betik dan pokok bunga orkid yang mengembang mekar.
Setiap kali sedih atau tertekan, pangkin itulah tempat dia dan Nissa bersembunyi. Dari kecil lagi dia dan Nissa bagaikan sehati. Ada saja masalah yang menimpa. Dan tempat itulah peneman mereka.
Azhar tersenyum teringatkan Nissa. Siang tadi dia bawak Nissa lari ke pangkin itu. Tak jauh mana pun. Azab dia kalau bawak lari isteri orang jauh-jauh!
"Dah agak dah kau kat sini!"
Suara lembut Nissa menyentakkan Azhar. Dia laju menyeka air matanya kerana tak mahu dihidu oleh Nissa.
"Aku nampaklah!"
Nissa sudah melabuh punggung di sebelah Azhar. Matanya melihat ke atas. Betapa cantiknya kerdipan bintang nun di atas sana. Alangkah indahnya kalau hidup dipenuhi sinar itu.
"Apa?" Azhar seolah menafikan.
"Air mata lelaki!" sakat Nissa namun dalam nada serius.
"Aku tak nangislah!" Azhar masih menafikan.
"Aku tak cakap pun kau menangis"
Azhar diam. Tak mampu dah nak berhujah dengan Nissa. Perasaannya masih kecewa dan sedih.
"Ada masalah ke? Hmm? Kau boleh share dengan aku"
Lama Azhar membatu. Dengan Nissa, dia tak pernah mampu nak sorok apa-apa. Nissa bijak meneka perasaannya. Sebabkan itulah dia rasa selesa dengan Nissa. Dan disebabkan itu jugalah dia masih bertahan di rumah itu.
"Gaduh dengan Mak Uda lagi ke?" tebak Nissa. Tadi dia terserempak dengan Mak Uda di dapur. Serta-merta dia kena tempias juga. Melihat Azhar bersembunyi di situ, dia pasti ada sesuatu yang telah berlaku antara mereka.
"Mana kau tahu?"
Bijak betul si Nissa ni meneka. Hmm...mana dia nak lari dah?
"Tadi aku terserempak dengan dia kat dapur"
"Dia sound kau jugak ke?"
Nissa mengangguk kepala. Siapalah tak kenal dengan Mak Uda tu? Semenjak dia jadi anak angkat arwah mummy Rosiah lagi, Mak Uda dah tak berkenan dengan dia. Lepas dia kahwin dengan Iqbal, bertambah-tambahlah perasaan benci Mak Uda tu pada dia. Katanya, dia yang merampas Iqbal dari Mimi padahal Mimi yang melarikan diri dari perkahwinan mereka.
Dan sejak dia menjadi isteri Iqbal, tak pernah sedikit pun Mak Uda bercakap lembut dengannya. Ada je yang tak kena di mata dia. Namun Nissa bertahan selama itu hanya kerana statusnya sebagai seorang isteri. Jika tidak, pasti sudah lama dia tinggalkan rumah itu bersama Iqbal.
"Aku tak tahu kenapa semua orang dalam keluarga ni benci aku. Macam aku ni bukan anak dorang. Aku rasa tersisih dalam keluarga aku sendiri" Azhar meluahkan perasaan.
"Mana ada semua orang bencikan kau. Aku tak bencikan kau! Aku sayang kau"
Luahan Nissa bikin Azhar terpana. Dia bersabung pandangan dengan anak mata Nissa. Hatinya berdebar. Ya Allah, perasaan ni tak seharusnya wujud!
"Tapi kau kawen dengan abang aku. Kalau kau sayang aku, kau sepatutnya kawen dengan aku"
Wajah Azhar serius. Dalam tak sedar, dia hampir tersasul meluahkan perasaannya.
Nissa menggigit bibir. Aduh Nissa! Azhar dah salah faham!
"Har!"
Azhar berpaling.
"Kenapa kau setuju kawen dengan Iqbal? Sebab dia ada kerja tetap ke? Atau sebab dia lebih kacak dari aku?"
Azhar meluah tanpa melihat wajah itu. Dari dulu lagi, itu saja persoalan yang singgah di benaknya.
"Anggap jelah jodoh aku dengan dia"
"Jodoh sampai bila?"
"Apa maksud kau?"
"Kalau tengok dari layanan Iqbal pada kau, aku tak rasa Iqbal anggap kau isteri dia.."
"Har, stop it!"
Nissa mula mengongoi. Sedihnya hati mengenangkan perkara itu. Apatah lagi setelah mengenangkan dirinya yang bakal menerima madu tak lama lagi.
"Kau kena ingat satu benda. Kau berhak untuk bahagia. Wanita sebaik kau tak layak untuk lelaki sekejam Iqbal"
"Tapi lelaki yang kejam tu suami aku. Abang kau"
"Ye..betul. Kenapa kita takde keberanian untuk melangkah keluar dari rumah ni?"
Nissa menyepi. Sudah tentulah alasannya adalah Iqbal. Kerana tempat seorang isteri adalah di sisi suami.
"Soalan tu aku patut tanya pada kau" Nissa pandang wajah Azhar.
"Aku?" Azhar tunding jari pada dirinya sendiri. Nissa angguk kepala.
"Banyak orang cakap, takde tempat yang selesa melainkan di rumah sendiri. Tapi bagi aku, tempat paling selesa adalah di sisi kau"
Pengakuan ikhlas Azhar membuatkan Nissa tergamam. Mulutnya terkunci. Empat pasang mata saling menatap dalam suatu perasaan yang sukar untuk ditafsirkan.
"Sebab tu aku masih kat sini. Sebab aku tahu, kita berdua tak diperlukan di rumah ni. Tapi kau, kau bertahan sebab Iqbal. Dan aku bertahan sebab kau. Andai kata suatu hari nanti kau jugak melangkah pergi dari rumah ni, aku jugak akan buat keputusan sama"
Nissa rasa terbuai oleh kata-kata itu. Dalam tak sedar, dia mula membandingkan sikap Iqbal dan Azhar terhadap dirinya. Bukannya dia menyesali atau tak bersyukur, namun ada masanya dia terfikir kenapa bukan Azhar yang menjadi suaminya.
"Kadang-kadang kan, aku fikir. Kenapa bukan kau yang aku kawen dulu?"
Azhar senyum dalam diam.
"Kalau macam tu, aku akan tetap single sampailah suatu hari nanti kau kawen dengan aku!" usik Azhar dalam tawa.
"Azhar!!"
Nissa ikut gelak.
Malam itu, bintang bercahaya sungguh terang. Dan dua hati mulai berdamai dengan takdir.
Namun bisakah takdir mengerti nasib mereka?
Share this novel