EMPAT PULUH ENAM

Drama Series 16075

TAK berkedip dia menatap wajah pucat itu. Seakan tak puas rasa hatinya melepas rindu yang semalam. Terimbau kembali saat Nissa pergi meninggalkannya, dia benar-benar tidak sanggup!

"Kenapa pandang Nissa macam tu?" Wajah Azhar dielus.

Air mata yang mengalir diseka perlahan. "Abang nak tatap puas-puas. Abang takut.."

Suara Azhar tenggelam timbul. Sebu rasa dadanya. Dia bersyukur mendapatkan Nissa kembali di sisi.

"Nissa kan dah ada depan mata abang? Abang nak takut apa?"

"Tak tahu!" Azhar merapati si isteri. Kemudian, kepalanya dibenamkan ke dada isterinya. Menumpahkan segala tangisan dan isi hati yang terbuku.

"Abang..." Nissa kaget dengan perlakuan suaminya. Namun laju saja tangannya mengusap lembut kepala Azhar. Di situ, kucupannya berlabuh.

"Abang takut sangat tengok sayang dibalut dengan kain kapan. Bukan abang tak redha, cuma abang belum bersedia. Abang tak ready kehilangan sayang secepat ni.."

Azhar sudah mengongoi di dalam pelukan sang isteri. Kisah itu umpama mimpi ngeri. Dia trauma. Dia fobia. Dia benar-benar takut jika bangun tidur, Nissa tiada di sisi.

Nissa senyum manja. Dia juga takut berpisah dengan Azhar kerana dia juga belum bersedia dengan segala kemungkinan.

"Tapi mati itu pasti"

Mendengar bicara Nissa, cepat-cepat Azhar peluk erat tubuh itu. Takut jika Nissa meninggalkan dia lagi.

"Dan, kita sedia atau tidak, kita kena rela melepaskan.."

Azhar menggeleng kepala. Telatahnya bak anak kecil. Mengongoi, menangis dan menggeleng kepala berkali-kali.

"Abang.. kenapa macam budak-budak ni?" Nissa hampir tergelak dengan sikap suaminya.

"Tolonglah, abang merayu..jangan tinggalkan abang lagi! Please.. abang tak kuat!"

Wajah Azhar sudah basah dengan linangan air matanya. Perasaan takut itu terlalu menguasai diri. Dia tak tega menghadap kejadian itu buat kali kedua.

"Okey, Nissa janji! Nissa takkan tinggalkan abang. Nissa janji. Tapi kuasa Allah kita tak boleh menidakkan. Ya abang?"

Azhar mengangguk kepala. Dakapan itu semakin erat dan seakan tidak mahu dilepaskan. Azhar mahu seperti itu semalaman. Tidak mahu merelakan Nissa pergi ke mana-mana.

"I love you!" ucap Nissa lantas membalas dakapan sang suami. Mengalir hebat rasa cinta itu buat Azhar.

"And I love you more..." Azhar balas ucapan Nissa. Malam itu, dia hanya ingin mereka berpelukan seperti itu. Masing-masing berkongsi rasa cinta dan sayang, yang hanya mereka bisa merasakan.

"KORANG tido sini ke?" tanya Nuh kepada Rizal dan beberapa rakan sekerja Azhar yang lain.

Dia perasan Lili seakan mengelak daripada berpandangan dengannya. Jika mereka berpampasan, pasti Lili terlebih dahulu melarikan diri. Dia ada buat salah ke?

"Tak kot! Lagipun kau ada sini kan? Kita orang ada yang bertugas malam ni. Esok pun sama. So kena bergilir-gilir" balas Rizal.

Nuh mengangguk. "Okey. Malam ni, aku dengan kak Raudhah tidur sini. Ana pun sama. Aku rasa, maybe Kak Uteh dan Mak Kiah pun sama. Sekali dengan mama Azhar"

"Baguslah tu! Dorang masih risau kot"

"Ye betul tu. Kami masih risau. Tapi in Shaa Allah, takde apa-apa berlaku" Nuh meyakinkan. Dia percaya, Allah ada.

Ustaz Hamzah dan Ziman baru selesai melakukan kerja mereka. Selesai bersalaman dengan Tan Sri Aziz dan Sulaiman, dia mendekati Nuh dan yang lain.

"Kami nak balik ni. Semua tempat dah kena azan. In Shaa Allah, takde apa-apa berlaku lepas ni"

Nuh mengangguk. "Yelah ustaz. Terima kasih di atas bantuan ustaz. Kalau takde ustaz, mungkin semua ni takkan selesai"

"Sama-sama. Anggap saja Allah gerakkan hati saya nak tolong kamu semua. Azhar mana ye?"

"Dia masih kat atas ustaz. Agaknya mungkin sedang berehat. Atau dah tidur. Dia nampak penat sangat tadi. Ustaz nak jumpa dia ke?"

Ustaz Hamzah tersenyum. Dia mengerti itu. Wajah Azhar memang tampak penat saja.

"Takpelah! Nanti sampaikan salam saya pada dia"

"Ye ustaz. Oh ye, ustaz mengajar kat mana ye?"

"Kat masjid hujung sana. Saya selalu ajar mengaji. Kadang-kadang, bagi ceramah jugak. Ada masa, jemputlah datang ke masjid. Mengimbarah masjid, sama-sama dapat pahala"

Nuh tersenyum seraya mengangguk kepala. Sudah agak lama dia tidak jejak kaki ke sana. Nampak sangat sering lupa ke rumah Allah.

"In Shaa Allah ustaz, dah lama jugak saya tak ke masjid"

"Okey, kalau macam tu, kami jalan dulu. Tayar kereta pun dah siap ditukar tu.Assalamualaikum"

"Waalaikummussalam"

TAN SRI AZIZ dan isterinya tidak pulang ke rumah. Sebaliknya, mereka bermalam di rumah Azhar kerana masih mahu bertemu dengan Nissa. Mimi dan Lili juga sama. Sofi dititipkan kepada Amran dari pagi tadi. Awal-awal lagi Mimi sudah memesan bermacam-macam perkara kepada Amran. Lelaki itu hanya mengangguk faham.

Sulaiman juga sudah pulang tadi. Dia tak bisa bermalam di situ kerana harus bekerja esok hari. Dia hanya menitipkan salam untuk Azhar dan Nissa.

"Kenapa baru sekarang kami tahu yang Nissa tu anak kamu?" tanya Salmah kepada Tan Sri Aziz. Kak Uteh dan Mak Kiah juga menyertai perbualan itu.

Tan Sri Aziz mengeluh berat. "Saya ingatkan anak saya dengan Hanita dah takde. Sebab Hanita hilang tanpa jejak. Bila bertemu dengan Nissa tempoh hari, wajah dia mengingatkan saya pada Hanita. Jadi saya upah seseorang untuk menyiasat tentang Nissa. Dan tak silap lagi, Nissa memang anak saya dengan Hanita"

Salmah mengangguk faham. Pertemuan semula di antara Nissa dan Tan Sri Aziz mengharukan hatinya. Tidak disangka, anak yang dijaga oleh arwah Rosiah rupa-rupanya milik kepada seorang lelaki ternama dan terkaya. Aturan Allah itu memang sungguh indah.

"Dari kecik arwah Ros jaga dia. Baik budaknya. Rajin, bijak, dan tak pernah menyakiti hati sesiapa. Sedih betul saya bila tahu ada orang sekejam ni pada dia" Air mata di hujung mata diseka dengan jari. Jika dia tahu gerangan manusia tersebut, belum tentu dia mampu memaafkannya.

"Kami pun tak pernah menyangka perkara ni akan berlaku pada dia. Tapi semuanya kehendak Allah. Dan saya yakin, anak saya kuat. Dia pasti dapat menangani perkara ni"

"Betul tu! Nissa orang yang sangat cekal hatinya. Dia pasti kuat" sahut Mimi pula. Teringat bagaimana Iqbal meladeni Nissa dulu, dia tak mampu bayangkan sekuat itu hati Nissa! Kini, tak disangka bekas madunya merupakan adik tirinya. Bagaimana agaknya penerimaan Nissa nanti? Arghh! Tak sabarnya. Mesti seronok punya adik dan dipanggil kakak! Mimi tersengih.

"Apasal ni angah?" Lili menegur. Ketika itu, matanya bertemu dengan anak mata milik Nuh. Cepat-cepat dia melarikan diri.

"Aku bayangkan, Nissa panggil kita kakak. Mesti best kan?"

Lili tergelak. Dia juga sama. Bangga sebenarnya punya adik seperti Nissa. "Nanti dia panggil aku along, kau pulak angah"

"Aah lah kan? Betullah tu"

"Lepas tu, kalau ada adik lagi, panggil baby" seloroh Lili. Omongannya disambut tawa. Mimi mencubit lengan Lili. Tak senonoh!

"Bila kamu nak bagitahu Nissa pasal hal ni?" tanya Salmah lagi.

Tan Sri Aziz dan Puan Sri Linda saling berpandangan. Mereka sama-sama melemparkan senyuman.

"Kalau boleh, nak bagitahu sekarang jugak! Tapi Nissa perlukan rehat. Jadi kami harap sangat dapat bagitahu dia esok hari" Wajah Tan Sri Aziz ceria saat mengatakan itu. Tak sabar nak bersatu kembali dengan anaknya.

"Yelah! Kita biarkan mereka berdua berehat dulu. Takut nanti dorang terkejut" Salmah bersetuju.

"Itulah rancangan dia" sahut Puan Sri Linda pula.

Dari depan pintu, Nuh perhatikan saja wajah ceria dan gelak tawa Lili itu. Mana mungkin dia bisa lupa pada budak nakal di sekolahnya suatu masa dulu.

Tidak disangka, budak nakal yang gemar ponteng kelas dan selalu lambat datang ke sekolah itu kini berada di hadapan matanya.

Nuh mempamerkan senyuman. Dia menggeleng kepala.

LILI mundar-mandir di dalam bilik tidur. Rasa bersalahnya terhadap Nuh kembali menerpa. Gara-gara itulah, dia tak berani nak menatap wajah itu lama-lama. Dia takut jika Nuh bisa mengenalinya. Wajah lena Mimi di atas katil ditatap. Fuhh! Dia lena betul!

Nafasnya dihela perlahan. Ternyata, Nuh adalah pengawas di sekolahnya suatu masa dulu. Bagaimana dia boleh lupa akan wajah yang sentiasa penuh dengan senyuman itu?

Lili berdiri di balkoni bilik yang menghadap jalan raya. Nafas ditarik dalam-dalam. Dia terimbau kenangan lalu...

LOCENG sekolah sudah berbunyi. Semua pelajar berpusu-pusu memasuki kelas masing-masing. Hanya dia yang masih tercegat di hadapan pagar sekolah.

Merayu dan meminta belas kasihan daripada pengawas itu. Pengawas yang sama selama dua minggu ini! Tangan pengawas itu disentuh kejap.

"Please, benarkan saya masuk!" Lili merayu. Nama pada tagnya dipandang. Nuh Mukminin!

Nuh melemparkan senyuman. Nama Lili dicatat di dalam buku rekod. Masuk kali ini, sudah lapan hari berturut-turut dia lewat ke sekolah.

"Awak tahu tak, awak dah lapan hari datang lewat ke sekolah. Awak buat apa je? Malam hari bekerja ke? Pastu siang hari bangun lewat? Tak tahu diri sekolah ke?"

Pegangan Lili ditolak lembut. Segan pula apabila disentuh oleh perempuan seperti itu.

Lili hampir menangis. Masaklah dia! Semalam, dia tak tidur gara-gara menemani Mimi 'dating' ! Hampir pukul satu pagi mereka baru balik ke rumah.

Tangan dihimpun bersama. Dia tayang wajah kasihan. "Please..lepaskan saya kali ni je bang! Esok sebelum matahari terbit, saya dah berdiri depan ni!"

Kening Nuh terangkat tatkala Lili memanggilnya dengan panggilan 'abang'. Baru dia tahu Lili merupakan pelajar juniornya.

Nuh mengeluh panjang. "Kalau awak baru je buat hal, saya boleh lepaskan. Tapi ni dah lapan kali tau? Nama awak dalam rekod ni ada lapan kali. Lapan hari. Tahu tak?"

"Tak boleh ke ada exception?" Lili masih cuba merayu.

"Nope!" Wajah Nuh serius. Dia tunduk menulis nama Lili. Lili Shaheeda! Cantik namanya, secantik orangnya! Tapi disiplin, hmmm kelaut!

Riak Lili masam. Dia menggempal penumbuk. Tunggulah, aku balas kau nanti!

"Fine!! Kau tunggu erk?!"

Lili merempuh pintu pagar dengan kasar. Akibatnya, dia mengaduh sendiri. Nuh tahan tawa. Nak gelak, tak sampai hati melihat wajah Lili yang minta kasihan itu!

MENGINGAT kembali peristiwa itu, hati Nuh tercuit. Sejak dari peristiwa itu, Lili sering membuli dan menyusahkan kerjanya. Namun dia tak pernah sekalipun mengeluh. Setiap kali Lili buat hal, dialah yang akan menghukum. Dan akibat itu, Lili selalu berdendam dengannya. Ada saja hal yang sengaja Lili buat hanya untuk menyakiti hatinya.

Ada satu ketika, dia merasakan itulah titik terendahnya sebagai seorang lelaki, sekaligus merampas gelaran pelajar lelaki harapan di sekolah. Tengah hari itu, dia menangkap Lili ponteng kelas tambahan dan lepak di tandas perempuan. Dia cuba menahan Lili dan membawanya ke bilik kaunseling. Namun Lili pula sengaja menuduhnya dengan cubaan mencabul di dalam tandas.

Nuh malu kerana perkara itu tersebar secepat itu. Apatah lagi semua bukti menunjuk ke arahnya. Rambut Lili yang tak teratur dan seragam sekolahnya yang terkoyak di bahagian bahu menjadi bukti akan pertuduhan Lili itu.

Sejak dari hari itu, Nuh pindah sekolah dan tidak pernah bertemu dengan Lili lagi. Dia pindah sekolah bukan kerana malu tetapi kerana marah akan tuduhan Lili itu. Bimbang sekiranya dia tak dapat menahan amarahnya, Lili bakal menjadi mangsa. Makanya dia mengambil keputusan untuk pindah sekolah. Tetapi dia benar-benar tidak menyangka mereka dipertemukan dalam situasi ini setelah hampir 14 tahun berlalu.

Lili tak jauh berubah. Rambutnya yang lurus paras bahu itu masih sama seperti dulu. Suara dan senyuman sinis itu langsung tak berubah.

Adakah kerana peristiwa 14 tahun yang lalu bikin Lili malu bertembung dengannya? Jika iya, dia rasa Lili bertingkah seperti keanak-anakan. Dia pula sudah lama melupakan peristiwa itu. Nak berdendam atau sakit hati pun tak memberi apa-apa manfaat kepadanya.

Cuma, besarlah harapannya jika Lili mahu merendahkan ego dan meminta maaf kepadanya. Tapi itulah, soal hati siapa yang tahu kan?

Nuh mengeluh sambil menjongket bahu. Tatkala dia berpusing, dia tersentak melihat Lili yang memandangnya dari atas balkoni. Wajah itu seakan sukar untuk dimengerti. Masing-masing merona merah. Dan iya benar, tiada siapa yang mampu mengerti soal hati.

Dup dap dup dap...

nah, kita bagi manis2 sikit utk nuh dan lili :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience