MELIHAT pada nama yang tertera pada kad undangan tersebut, hati Mak Uda terbakar. Dia mendengus. Terbayang-bayang di matanya akan kebahagiaan mereka berdua.
"Anak gampang dan anak gampang nak kawen! Huh!! Dasar dua-dua anak tak sah taraf!" cemuhnya sambil mengepal penumbuk.
Dokumen penting yang disimpan elok di dalam almari pakaian ditarik keluar. Satu-persatu kandungannya dibaca. Senyumannya sinis.
"Kau kena janji pada aku Uda. Harta ni akan sah menjadi milik Nissa bila dia berusia 18 tahun. Kau kena beri dia balik hak dia ni. Ini amanat terakhir aku"
Itu pesanan arwah Rosiah ketika dia melawat arwah kakaknya itu di hospital 13 tahun lalu. Mak Uda ketika itu hanya mengangguk namun dalam hati, berbakul-bakul sumpah seranah dia hamburkan pada kakaknya itu.
"Harta ni hak Nissa?! Ni kan hak aku! Aku yang jaga harta ni daripada dirampas oleh orang lain! Senang-senang je nak bagi budak gampang tu! Dahlah menyusahkan orang!! Hishh tak hingin aku!"
Dokumen tadi dikucup berkali-kali. Kali ini, dia akan pastikan harta tersebut tidak jatuh ke tangan Nissa. Hanya dia yang berhak ke atas harta tersebut. Dia yang menjaga segala makan minum arwah dulu. Jadi kenapa harus Nissa yang mendapat ganjarannya?
"Mati hidup balik pun, takkan ada sesiapa yang akan dapat merampas harta ni! Termasuklah si anak gampang tu!"
Dokumen tersebut disimpan kembali di dalam laci. Dikunci rapat-rapat agar tak siapa dapat membukanya.
"Nak kawen ea? Nanti kita tengok macam mana korang nak hadap malu nanti" ujar Mak Uda dengan tawa sinisnya.
MIMI mengesat air mata yang mengalir. Tetapi semakin diseka, semakin deras air matanya gugur. Dia rindukan ahli keluarganya. Dia rindukan Sofi.
Setahun selepas perkahwinannya dengan Iqbal, segala-galanya berubah jauh. Iqbal berubah, keluarganya juga berubah. Mereka semua tiba-tiba membencinya. Dia terimbau kenangan lalu.
"Kenapa Mimi tipu kami? Mimi kata, Iqbal tu bukan suami orang. Masih lagi bujang. Tapi rupa-rupanya dia dah berkahwin! Sampai hati Mimi buat mama dan papa macam ni. Kami kecewa dengan Mimi!" luah Puan Sri Linda dengan perasaan kecewa.
Pandangannya jatuh pada wajah mendung Mimi dan Iqbal. Mereka berdua berani menipunya.Tidak tertahan perasaan kecewanya ketika itu.
"Tapi ma, kita orang saling menyayangi. Iqbal cintakan Mimi. Dan Mimi yakin yang Iqbal akan jaga Mimi dengan baik" Mimi berusaha meyakinkan mamanya. Tan Sri Aziz sudah tak mampu nak berkata-kata lagi.
"Sayang? Cinta? Kamu fikir dengan cinta, dengan sayang kamu mampu bahagia? Bukan itu je. Tanggungjawab terhadap isteri sangat berat. Inikan pulak dua isteri!"
Perasaan Puan Sri Linda tersangat kecewa. Dia mengharapkan anak yang satu it tidak akan mengecewakannya namun dia silap. Mimi dan Iqbal belum pernah tahu betapa sakitnya diduakan. Bukan satu hati yang terluka tapi tiga keping hati!
"Baliklah Mimi! Bawak suami kamu ni balik. Ingat satu je pesan mama. Nanti kamu akan sedar, kalau sebenarnya bukan satu hati yang sedang kamu lukai. Tapi tiga hati!! Tiga hati!!"
LAJU air matanya mengalir. Benar kata mama. Bukan hati Nissa saja yang terluka akibat perkahwinan yang terjadi di antaranya dengan Iqbal. Tetapi hati dia, hati Iqbal juga turut terluka. Dia terluka kerana sikap dan tingkah Iqbal yang jauh sudah berubah. Sedangkan Iqbal terluka kerana penyesalan yang datang dari tindak-tanduknya sendiri.
Baru kini dia mengerti perasaan mama. Seperti mama kecewa dengan dirinya, seperti itu juga dia kecewa dengan apa yang sedang berlaku. Namun dia masih mampu bersyukur kerana Nissa sudah menemui bahagianya. Dan dia pasti suatu hari nanti dia juga akan menemui bahagianya.
Sejak dari peristiwa itu, mama bahkan seluruh ahli keluarganya tak mahu menghubunginya lagi. Seolah-olah mereka telah membuangnya jauh. Dia kini umpama anak tersisih. Hanya mengharapkan kasih sayang dari sang suami. Namun sang suami pula meratapi bekas isteri pertamanya.
Dia jadi teringat pada Sofi. Dia rindukan anaknya. Apa agaknya khabar Sofi? Semenjak dilarang oleh Iqbal untuk menghubungi sesiapa, dia sudah tak punya teman lagi. Merindu dari jauh saja. Meskipun rasa terseksa, namun atas sifat hormatkan sang suami, dia menuruti saja. Dia yakin hati Iqbal akan lembut suatu hari nanti.
DARI tadi, Mak Uda perhatikan saja tingkah Mimi yang seakan-akan kebuluran itu. Mencari makanan di setiap penjuru rumah. Keadaan dirinya juga sudah tidak terurus.
Wajahnya cengkung. Tubuhnya juga semakin mengecil. Dia perasan ada bekas lebam pada lengannya.
"Kamu cari apa tu Mimi?"
"Err...tak..takde apa!"
Mimi nak melangkah keluar dari dapur, tetapi Mak Uda terlebih dahulu menarik tangannya. Mimi mengaduh kesakitan.
"Kenapa dengan tangan kamu ni?"
"Mimi tak sengaja terjatuh dari katil semalam" Mimi berbohong. Dia tidak boleh memberitahu perkara sebenar. Risau sekiranya Iqbal bertindak lebih kasar terhadapnya. Sakit dikasari Iqbal lebih perit berbanding sakit lebam itu.
"Betul ke ni?" Mak Uda tidak percaya. Namun dia tidak kisah pula. Bukan hal rumah tangganya atau anak-anaknya.
"Kau nak makan ke Mimi?" tanya Mak Kiah yang baru muncul di hadapan pintu. Kak Uteh pula di sebelahnya.
Mimi mengangguk lemah. Dia benar-benar kelaparan. "Tu ada sikit ayam goreng dan sayur bayam Kak Uteh masak tadi. Dalam almari tu. Ambiklah"
Laju saja Mimi menapak ke arah almari. Melihat dua jenis lauk di situ, bergegas dia mengambil lalu diletakkan di atas meja.
Melihat tingkah Mimi yang agak pelik itu, Kak Uteh dan Mak Kiah saling berpandangan. Mak Uda dari tadi sudah berlalu ke ruang tamu.
"Apasal kau ni nampak kelaparan sangat ni?" tegur Kak Uteh setelah menghenyak punggung di hadapan Mimi. Mak Kiah ke kabinet mengambil dua biji gelas. Kemudian kembali menyertai Mimi dan Kak Uteh.
"Sebab Mimi memang lapar! Sedaplah lauk ni. Akak ke yang masak?"
"Yelah! Aku ni nak masak, dia tak bagi. Dia suruh aku rehat je" sahut Mak Kiah lalu mengajukan sebiji gelas tadi yang sudah berisi kopi kepada Kak Uteh.
"Mak Kiah kan tengah tak sihat. Takkanlah aku nak bagi Mak Kiah buat kerja?" sahut Kak Uteh pula.
"Ni, kau sihat ke tak ni? Macam orang sakit je aku tengok kau ni! Lebam ni, kenapa?" Kak Uteh sentuh bahagian lebam itu. Sedikit aneh melihat penampilan dan tingkah Mimi sejak beberapa bulan ini. Sudah tidak berani keluar rumah. Asyik terperap di dalam bilik saja. Kasihan pula dia dengan Mimi itu. Ibarat terpenjara di dalam istana yang suaminya ciptakan.
"Mimi jatuh katil hari tu"
"Sampai lebam-lebam macam ni? Tak cayalah aku!"
"Apa yang tak percayanya Kak Uteh?" Tiba-tiba Iqba muncul lantas menyampuk. Dia bergerak ke arah Mimi lantas mengucup dahi isterinya. Peran suami baik harus dilakonkan di hadapan mereka.
Mimi tersentak. Jam baru pukul 1 petang. Awal betul dia balik kerja? Mimi mula rasa tak sedap hati.
"Hari tu, Mimi jatuh katil. Maklumlah, suami isteri... Ala Kak Uteh ni, nak cakap pun takkan faham punya!" getus Iqbal lagi. Tangannya naik pada bahu kanan Mimi. Dicubit perlahan bahu itu.
Mimi menahan sakit. Seleranya mati tiba-tiba. Perut yang terasa perih dek kelaparan tadi tiba-tiba saja terasa kekenyangan.
Kak Uteh memandang pelik. Ada sesuatu yang dapat dihidunya. Dia yakin, Mimi kena pukul oleh suaminya.
"Ni, kamu berdua pergi tak majlis Nissa dan Azhar nanti?" tanya Mak Kiah sekaligus mematikan perbualan mereka tadi.
Riak Iqbal berubah. Dia menuju ke kabinet dan mengambil sebiji gelas di situ. Kemudian kembali semula kepada mereka.
"Buat apa kita nak pergi? Paling pun, si Azhar tu nak tunjuk dia paling bahagia sebab dapat Nissa!" dengki Iqbal lantas menuang air kopi ke dalam gelasnya.
Mak Kiah dan Kak Uteh saling berpandangan. Ada sesuatu yang tidak kena pada Iqbal.
"Ala apa salahnya?! Dorang memang layak bahagia pun. Selama ni aku tengok Nissa tu memendam rasa je. Bila tengok kad undangan tu, aku yakin sangat Nissa mesti rasa bahagia" ujar Kak Uten tanpa mempedulikan riak Iqbal yang berubah bengis itu.
"Jadi betullah kot yang dorang memang ada hubungan? Secepat tu nak kawen! Rasa kena bodoh pun ada!!" cemuh Iqbal. Dia lupa seketika akan kebaikan dan kebenaran sebelum ini.
"Ehh taklah! Kalau betul dorang tu ada hubungan, mestilah Nissa tu dah lama ikut Azhar ke KL masa jadi Azhar jadi pelatih" Kak Uteh membela Nissa. Dia tahu, Nissa bukan seperti itu.
"Tahu pulak Kak Uteh ye?" sindir Iqbal penuh dalam.
"Tak perlu nak tahu atau berlagak tahu. Kita boleh nampak bahagia atau derita seseorang hanya dari air muka dia je" tempelak Kak Uteh lagi. Serentak itu, pandangannya jatuh pada wajah kosong Mimi.
Mimi tersentak. Sebolehnya dia menyembunyikan kebenaran namun Kak Uteh seakan dapat membacanya saja.
Iqbal menggenggam penumbuk. Tahulah nasib Mimi nanti!
"Pergi ke tak?" tanya Mak Kiah, memaksudkan pertanyaannya yang tadi.
"Pergi! Tak tahulah orang lain" sahut Kak Uteh lagi.
"Tengoklah! Kalau Iqbal pergi, karang rosak pulak majlis tu"
Sinis ucapannya, diiringi tawanya.
DI DALAM BILIK, Mimi mengesat air matanya. Baru tadi, dia 'dikerjakan' oleh Iqbal. Habis segala sumpah seranahnya turut terhambur. Mimi menahan sakit yang bukan sedikit. Bukan saja dipukul, malah dia dipaksa untuk bersama. Dia bukannya tidak mahu bersama namun jika dipaksa sebegitu, jiwa dan perasaannya terguris.
"Sampai hati you buat I macam ni Iqbal! I ni isteri you. Bukan tempat untuk you puaskan nafsu you semata!" Mimi sudah merengek. Pada masa itu, dia teringatkan mama dan papa. Rindunya pada mereka, Allah saja yang tahu. Nak menyesal pun tiada guna!
"Dah terlanjur kau serahkan tubuh badan kau pada lelaki tu, apalah salahnya kau layan aku kan?! Bukan orang lain pun, suami kau jugak! Dapat pahala pulak tu!"
Perit rasa hati Mimi tatkala Iqbal berkata seperti itu usai mereka bersama tadi. Tiada lagi rayuan manja dan belaian penuh kasih dari lelaki itu. Gara-gara satu kesilapannya, Iqbal terus menghukum tanpa mahu menerima penjelasannya. Paling menyakitkan, Iqbal tak sudi dan tak mahu menerima anaknya, Sofi.
"Mama janji, mama akan keluar dari sini dan kita akan hidup bahagia. Ye sayang?" ujar Mimi sambil membayangkan wajah Sofi di hadapannya.
Entah apa khabar agaknya anaknya itu. Iqbal memang kejam! Sanggup memisahkan dia dari anaknya. Dia terseksa hampir setiap hari. Hidup di dalam penjara ciptaan Iqbal sungguh menyeksakan.
Mimi mengeluh panjang. Dia jadi teringat akan dosanya pada Nissa. Dulu sebelum bertemu empat pasang mata dengan Nissa, dia siap bertekad untuk merebut perhatian dan kasih sayang Iqbal daripada Nissa. Bahkan dia sempat berdoa agar Nisa berpisah dengan Iqbal. Namun setelah bertemu sendiri dengan Nissa, baru dia sedar betapa baik dan ikhlasnya wanita itu. Kini dia benar-benar menyesal di atas sikap jahatnya yang sempat singgah dalam hati pada wanita sebaik Nissa.
Allah telah membalas doanya dengan kesengsaraan yang dialaminya kini. Dia benar-benar menyesal.
"Ya Allah, semoga aku mampu bebas dari sini!"
Share this novel