ENAM

Drama Series 2708

PAGI ITU, Azhar tersedar dari tidur. Badannya terasa lenguh, mungkin kerana semalaman tidur bersandarkan dinding pintu yang keras itu.

Dia sempat menguap seraya menggaru belakang tengkuknya. Dia lihat tangannya sudah berbekas merah dek kerana gigitan nyamuk.

"Hishh, untung yer kau nyamuk!! Berapa tan agaknya darah aku yang kau dah hisap?! Hishh!" rungut Azhar sambil menggaru-garu arah bekas gigitan nyamuk.

Dia kemudian bangkit dari duduknya dan termangu seketika dan berdiri di hadapan pintu stor itu. Bungkusan makanan semalam juga sudah tidak ada di situ. Dahinya mengerut.

"Dia tak bangun lagi ke?"

Azhar pulas tombol pintu. Kakinya menapak ke dalam stor yang agak luas itu untuk mencari kelibat Nissa. Namun tiada sesiapa di situ.

Azhar mengeluh. Tahulah dia akan akal wanita itu. Nissa keluar melalui pintu stor yang satu lagi. Agaknya makanan semalam juga mungkin dimakan oleh Nissa.

"Nissa.. Nissa.."

Ujarnya sambil menggeleng kepala.

"NISSA tidur mana semalam?"

Kaget dengan kehadiran Iqbal di dalam kamarnya, Nissa pamer wajah selamba.

"Bila abang balik? Abang kan tidur di rumah Mimi semalam"

Ada getaran pada suara itu. Sebolehnya dia berlagak tenang.

"Pagi tadi. Balik sekejap je. Abang nak kemas barang..."

"Abang nak pergi mana?" laju saja Nissa memotong. Suara sebaknya sudah kedengaran. Adakah Iqbal akan berpindah keluar dari rumah itu?

"Abang nak ke Korea"

Nissa menahan getar yang kian menerpa di dada.

"Honeymoon..." Teragak-agak Iqbal berkata-kata. "Dengan Mimi"

Nafas panjang dihela perlahan. Dia hampir lupa akan tanggungjawab Iqbal terhadap madunya itu. Iya, pergi honeymoon juga antara tanggungjawab suaminya!

"Nissa..Nissa nak ikut ke?"

Soalan yang terpancul dari bibir Iqbal itu dibalas dengan gelengan. Masakan dia mahu meyertai mereka dan mengganggu percutian mereka. Lagipula, dia risau hatinya bakal terhiris dengan kemesraan mereka nanti.

Iqbal menghela nafas lega dalam diam. Dia sengaja memperlawa Nissa kerana tak mahu isterinya itu terasa dengan rancangannya. Dia tahu Nissa tak akan bersetuju. Makanya dia berani untuk mengajaknya.

"Okey. Abang pergi petang ni jugak. Mungkin kat sana dalam 7 ke 8 hari"

Cerita Iqbal tanpa dipinta. Dia sudah melabuhkan punggung di atas katil. Matanya dipejam seketika. Haruman dan wangian dari tubuh dan rambut Nissa menyenangkan hatinya. Dia jadi teringat akan peristiwa tadi. Mimi mendesaknya untuk ke Korea kerana dia tidak pernah ke sana.

Pada mulanya Iqbal mahu menolak dengan lembut kerana dia tahu akan masalah kewangan yang sedang dihadapinya. Namun pada masa yang sama, dia juga tak sampai hati nak mengecewakan Mimi. Kalau hanya berjalan atau bermalam di sekitar Malaysia, dia masih mampu. Tetapi untuk ke Korea, kewangannya agak terbatas. Makanya dia balik sekejap untuk meminta bantuan dari mama, sekaligus mengemas barangnya.

Yang paling mengejutkannya, rupa-rupanya Mimi sudah memesan tiket penerbangan ke Korea dua hari sebelum perkahwinan mereka. Itu pun tanpa sepengetahuannya. Jadi secara tidak langsung, dia tak mampu hendak menolak atau berkata tidak.

"Abang berehatlah. Nissa nak keluar dulu"

"Tak nak teman abang ke? Lama dah abang tak berdua dengan Nissa"

Langkah kaki Nissa terhenti. Hatinya hendak marah saja dengan sikap Iqbal itu. Seolah punya masalah berat, dialah yang akan dicari. Tetapi apabila sebaliknya, dia ditinggalkan sendirian, mengemis kasih sayang tanpa rasa segan-silu. Arghh! Dia letih. Dia penat harus sentiasa menjadi insan kedua di dalam kehidupan suaminya.

"Nissa selalu ada kat sini. Abang yang selalu hilangkan diri" luah Nissa secara spontan.

Omongan Nissa mengagetkan sekeping hati Iqbal. Jadi selama ini, Nissa rupa-rupanya memendam rasa terhadapnya. Rasa bersalahnya terhadap Nissa takkan pernah padam. Entah sampai kapan dia harus menanggung rasa itu meski dia tahu semuanya berpunca dari dia sendiri.

"Abang mintak maaf..." tutur Iqbal seraya bangkit dari pembaringannya. Dia sudah berdiri di belakang Nissa.

"Takpe. Nissa dah terbiasa" sahut Nissa berbaur sindiran.

"Cuma Nissa mintak satu.." Nissa memalingkan tubuhnya. Kini pandangan mereka sudah bersatu.

"Jangan seksa Nissa lagi"

Serentak itu, tubuh Iqbal dirangkul dengan erat. Di situ, tangisannya pecah. Sebaknya menggunung.

Sekali lagi, Iqbal kaget. Namun kali ini dengan tamparan yang maha hebat. Apakah maksud Nissa itu?

Perlahan-lahan, pelukan Nissa dibalas. Semakin erat dan penuh sayang.

"NANTI kalau si Iqbal tu pergi Korea dengan Mimi, aku haraplah dorang tu bagi cucu kat kita kan?" ujar Mak Uda sambil mengunyah perlahan daun sirihnya. Giginya sudah kemerahan dek daun sirih dan buah pinang yang dimakannya.

Soal keberangkatan Iqbal dan Mimi ke Korea sudah diketahuinya melalui Salmah. Dia kaget apabila Iqbal datang seawal jam tujuh pagi hanya gara-gara mahu meminjam wang dari Salmah. Apabila diselidiki, rupa-rupanya untuk kegunaan ke Korea nanti. Apalagi dia, mulalah masuk jarum!!

Bibir Salmah menguntum dengan senyuman tipis. Dia malas hendak memikirkan soal itu. Baginya, dikurniakan cucu adalah kurniaan dari Allah. Tiada cucu juga dia tidak pernah komplen. Asalkan anak-anaknya bahagia, itu sudah memadai.

"Manalah tahu, dapat cucu made in Korea!" sambung Mak Uda lagi dengan tawa di hujung bicaranya. Senang hatinya jika perkara itu berlaku. Jadi segala perhatian akan diberikan sepenuhnya kepada Mimi, bukannya Nissa! Dia tahu, Nissa takkan pernah mengandung kerana dia sudah meracuni pemikiran Iqbal.

"Halah halah halah! Pandai jugak ye Mak Uda sebut perkataan omputeh tu!!" selar Kak Uteh yang dari tadi sibuk memasak. Ketawanya menyambung pula dengan Salmah, majikannya itu.

"Apa kau ingat aku ni tak sekolah ke? Uiii, sebodoh-bodoh aku ni, pandailah jugak nyebutnyerr!" Mak Uda bela diri.

"Hmm, nak harapkan si Nissa tu buntin, hmm.. Susah nak cakap! Entah-entah mandul! Sampai sekarang tak beranak!" sambung Mak Uda lagi.

"Uda!!" sergah Salmah. Namun dalam nada yang masih mampu dikawal.

Mak Uda kunci mulut. Hishh, pantanglah orang nak umpat keji menantu dia!

"Tak betul ke apa yang aku cakap? Dah enam tahun tau?! Masih sekarang takde isi! Tu bukan takde rezeki, tu namanya mandul!"

"Lebih baik orang yang mandul, takde anak daripada ada anak, tapi menyusahkan orang tua!" sahut Azhar yang muncul secara tiba-tiba lalu menapak ke arah penapis air Coway. Diisi air di dalam segelas cawan lalu diminum dengan rakus.

Dari tadi, dia mendengar umpatan Mak Uda kepada Nissa. Hatinya benar-benar sakit dengan setiap ucapan wanita tua itu. Seakan tak punya akal fikiran sebelum berbicara, tergamaknya mulut itu menyakiti hati orang lain.

"Apa maksud kamu?"

Mak Uda kerling Azhar. Ada je dia ni nak menyampuk!

"Mak Uda sebelum nak mengata orang, pandanglah kiri kanan dulu! Risau pulak terkena batang hidung sendiri" sindir Azhar lagi.

"Azhar..." Salmah memberi amaran pertama. Meskipun Mak Uda bermulut laser, tetapi itu tetap mak saudaranya. Jadi Azhar masih harus terus menghormati wanita itu.

Azhar membatukan diri. Tatkala Salmah sudah bersuara, tiada siapa yang berani menyampuk.

"Sorry ma! Kat dunia ni, kadang kita lupa yang roda tu sentiasa berputar. Hari ni kita cemuh orang ,kita gelakkan orang, nanti kemudian hari giliran kita pulak dilayan macam tu! Har cuma nak ingatkan jer! Kalau tak boleh terima, Har mintak maaf"

Bidas Azhar lantas berlalu dari situ. Dia tidak mahu memanjangkan isu tersebut kerana risau Salmah akan menekannya. Jadi biarlah dia beralah. Ada hari, pasti akan teruk dibidasnya Mak Uda itu! Tunggu saja!

"NIS...SA..."

Azhar terpana melihat figura Nissa berdiri di sebalik langsir ungu tersebut. Matanya berkaca, tubuhnya mengeras. Bagaikan terkena renjatan elektrik saja gaya Nissa itu.

Adakah Nissa menguping perbualan mereka sebentar tadi? Jika ya, bererti dia sudah mendengar omongan Mak Uda.

"Aku nak masuk bilik" ujar Nissa dengan derap kaki yang seakan lemah saja hendak melangkah.

Iya, dia mandul! Dia tak bisa melahirkan anak! Dia tak mampu nak bagi keturunan pada Iqbal! Itu semua sempat singgah di cuping telinganya sebentar tadi.

Namun tahukah mereka, dia tidak pernah disentuh oleh Iqbal selama perkahwinan mereka? Dia tak pernah dimanja atau dibelai seperti isteri-isteri lain. Dia tak mampu membangkitkan keghairahan sang suami kerana suaminya sendiri yang mencipta sempadan itu.

Malah dia sendiri buntu dengan tingkah Iqbal sebegitu. Janjinya hanya tinggal janji.

Derap kaki Nissa dihantar dengan seribu pandangan. Hati Azhar kesal dengan apa yang barusan terjadi. Tiada seorang pun dari ahli keluarganya yang menghormati dan menghargai Nissa.

AZHAR menghenyak punggung di atas sofa seraya mendengus kasar. Nafas yang dihela ditarik dengan tak sabar. Bilik bacaan yang sunyi itu mash tak mampu menenangkan hatinya yang gundah-gulana itu. Dia masih kepikiran soal tadi. Sebolehnya dia ingin membawa Nissa jauh dari situ namun dia sendiri tak berdaya. Dia selalu dianggap tak berguna kerana tak punya pekerjaan yang terjamin.

Dia hanya membantu di kedai makan milik mamanya sahaja. Gajinya hanya seciput itu. Nak hidupkan anak dara orang pun belum tentu cukup. Kadangkala, dia sendiri selalu 'sesak' dengan ekonomi.

Mungkin kerana itu dia dibenci dan tak disenangi oleh keluarganya sendiri. Dia ingin mengubah nasibnya kerana dia mahu membahagiakan orang yang dia sayang.

Beberapa hari yang lepas, dia ada ketemu dengan Syafiq, anak bongsu Mak Uda. Meskipun hubungannya dengan Mak Uda tidak begitu baik, tetapi dia dan Syafiq tetap berkawan.

"Ada pengambilan polis terbuka minggu depan. Kau pergilah interview. Kau bukannya tak bijak, cuma nasib je tak menyebelahi. Trylah. Siapa tahu, kita sepasukan nanti"

Kata-kata Syafiq terngiang-ngiang di cuping telinganya.

Benar kata sepupunya itu. Dia bukannya tak bijak, bahkan dia merupakan pelajar harapan di sekolah suatu ketika dulu. Namun nasib dan rezeki tak pernah menyebelahinya.

"Kau ada tubuh badan yang sasa, tegap, tinggi. Kau jugak ada riak muka yang boleh buat orang takut. Lagipun ,kau jugak atlet masa sekolah dulu"

Secara tidak langsung, Syafiq menyuntik beribu semangat ke dalam dirinya. Dia ingin Azhar juga berjaya seperti dirinya agar tidak ada yang akan meremehkannya lagi. Bukan dia tidak tahu akan mulut ibunya itu.

Sudah beribu nasihat diberikan namun ianya seperti mencurah air ke daun keladi. Mak Uda tetap angkuh dan degil. Memperlakukan seolah dunia ini dia yang berkuasa sehingga lupa pada Yang Maha Kuasa.

"Kalau aku tak berjaya macam mana?"

Terbit pula kebimbangan itu benak fikiran Azhar. Dia risau jika kembali dengan tangan kosong dan mengecewakan semua orang, lebih-lebih lagi Nissa.

Syafiq tertawa kecil. Bahu Azhar ditepuk.

"Trylah dulu! Tak cuba, tak tahu kan? Lepas tu doa banyak-banyak. Nanti aku tolong kau"

"Ehh tak payah! Aku tak nak kena rasuah atau dirasuah"

Sekali lagi, tawa kecil kedengaran di bibir Syafiq. Dia faham akan sikap jujur Azhar itu.

"Sebab tu aku nak kau join interview ni. Kau orang yang jujur. Trylah dulu. Jangan risau, aku takkan jadi orang dalam. Ni lah masanya kau buktikan pada semua orang yang kau boleh berjaya. Aku rimas tau, ibu tu tak habis-habis mengutuk engkau. Kesian pulak aku dengan kau" luah Syafiq, jujur.

Azhar senyum tipis. Wajah Syafiq dipandang. Benar omongan Syafiq. Inilah masanya untuk membuktikan yang dia bisa berhasil.

"Kalau kau tak berjaya, kita guna plan B" cadang Syafiq.

Kening Azhar bertaut. "Plan B?"

Syafiq mengangguk.

"Apa plan B?"

"Belum fikir lagi!" tukas Syafiq lalu tergelak. Azhar ikut tergelak. Kini dia semakin bersemangat untuk menyertai temuduga itu.

Semoga aku berhasil!

AZHAR menarik nafas dalam-dalam. Dia lihat sekeliling. Bilik bacaan itu sudah lama tak dimasuki oleh orang. Hanya dia saja yang sering menjadi penghuni di situ. Langkah kakinya menapak ke arah rak novel. Pelbagai jenis buku dan cerita tersusun di situ.

Dia menarik sebuah buku. 'Malam Pertama di Alam Barzakh!' Entah kenapa hatinya begitu tertarik dengan tajuknya.

Sambil membaca, dia mengatur langkah ke arah sofa dan melabuh duduk di situ. Satu-persatu tulisannya dibaca dan dihayati. Seketika dia insafi kekhilafan diri.

"Dunia ini fana. Dan ianya kepunyaan Allah Yang Maha Esa. Tak ada satu pun harta atau manusia di dunia ini kepunyaan kita yang nyata. Namun yang nyatanya, Allah ialah pemiliknya yang abadi. Oleh itu, jangan sombong dan angkuh kerana sebesar hama pun harta yang kau miliki, takkan mampu kau bawa ke liang lahad"

Azhar berhenti di situ. Dia benar-benar rasa jiwanya dijentik dengan kalimat itu. Dia bersetuju dengan kenyataan yang satu itu.

Dia menyambung kembali pembacaannya. Dibelek muka surat seterusnya. Ketika itu, dia kaget melihat ada sepucuk surat yang ditinggalkan beserta dengan surat beranak seseorang.

Tanpa membuang masa, Azhar melihat segala maklumat di atas surat beranak itu. Hatinya tersentak. Seakan dia tak mampu nak mempercayainya.

Air mata hampir bergenang. Surat yang ditinggalkan turut dibaca. Betapa dia kesal dengan setiap luahan perasaan pengutus surat itu.

Ya Allah, kebenaran apakah ini?!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience