DOKUMEN rahsia tersebut ditatap lama sebelum hatinya sebulat dengan keputusan itu. Dia tahu, itu bukan waktu yang sesuai untuk memberitahu perkara sebenar kepada isterinya. Namun dia tidak punya pilihan.
Cepat atau lambat, mahu atau tidak, Nissa harus mengetahui perkara sebenar!
Dihampiri sang isteri yang sedang duduk bersantai di atas kerusi. Seketika, pandangan keduanya bersabung. Masing-masing mengukir senyuman.
"Buat apa sayang?" tanya Azhar lantas melabuhkan punggung bersebelahan dengan isterinya.
"Ni, shopping online! Tengah tengok barang baby" ujar Nissa dengan wajah ceria. Aplikasi Shopee menjadi pilihan utamanya.
"Ohh yeke? Cukup tak duit dalam akaun tu? Nak abang tambah lagi?"
Laju Nissa menggeleng. "Eh tak payah! Abang dah bagi banyak sangat. Tu dah lebih dari cukup"
Nissa teringat dua hari lepas Azhar ada memasukkan sepuluh ribu ke dalam akaunnya. Wang yang sebelum ini pun dia jarang guna. Dia rasa kurang enak meskipun itu memang tanggungjawab Azhar kepadanya.
"Okey! Nanti tak cukup, bagitau tau? Abang tambah" kata Azhar lantas melabuhkan ciumannya pada pipi gebu itu.
Nissa mengangguk. Asyik saja matanya terpaku pada barang-barang bayi di dalam aplikasi tersebut.
Azhar menggumam. Dia sedang mengatur ayat untuk menceritakan perkara sebenar kepada Nissa. Dia tahu, hati Nissa belum cukup pulih dari peristiwa tempoh hari. Kini, berita terbaru ini pula datang menerpa. Dia buntu dengan penerimaan Nissa nanti.
"Sayang..." seru Azhar dengan suara lembut.
"Iya bang?"
"Pandang abang kejap boleh?"
Nissa akur. Telefon bimbit diletakkan ke tepi. "Kenapa bang?"
"Sayang masih sedih kan pasal Mak Uda?"
Wajah Azhar diamati. Dia mengeluh berat. Sejujurnya, dia memang masih bersedih. Namun dia lega kerana Mak Uda sudah insaf akan perbuatannya.
"Sedih sikit je. Tapi Nissa redha. Nissa percaya, ada hikmah semuanya. Yang penting, Mak Uda dah insaf" jelas Nissa lalu memaut leher suaminya. Kucupannya singgah pada kedua wajah itu.
Azhar diam. Dibiarkan saja perbuatan Nissa terhadap dirinya. Dapat dia rasakan bibirnya bersatu dengan bibir Nissa.
"Abang okey? Ada masalah ke? Kenapa diam je?" Nissa perasan suaminya agak lain. Biasanya apabila digoda seperti itu, Azhar laju membalas.
"Abang ada benda nak kena bagitahu sayang. Tapi abang risau sayang sedih dan tak boleh terima"
"Apa tu bang?"
Azhar menyerahkan dokumen tersebut kepada Nissa. Wajahnya serius, berselang-seli dengan senyuman hambar. Dalam hati, dia berharap agar Nissa sudah redha dan sedia menerima berita tersebut.
MALAM itu, setelah diceritakan oleh Lili kepadanya mengenai apa yang terjadi kepada Nissa, hatinya bungkam. Tidak mampu dipercaya akan perkara tersebut. Kejamnya Mak Uda terhadap Nissa!
Hampir saja mereka kehilangan Nissa gara-gara perbuatan terkutuk Mak Uda itu. Entah bagaimana Nissa menerima kenyataan tersebut.
"Kita nak balik ke mama?"
Mimi mengukir senyum. Kepalanya mengangguk.
"Kita nak jumpa maksu. Sofi dah lama tak jumpa maksu kan?"
Mendengar nama maksu, lebar saja senyuman Sofi. Dia benar-benar sukakan Nissa. Maksunya baik dan sangat penyayang. Dia rasa selamat dengan Nissa.
"Betul ke mama? Kita jumpa maksu?"
Mimi mengangguk lagi. Mereka sudah berada di hadapan kereta.
"Yeayy! Sofi suka maksu! Maksu baik"
Mimi tersengih. Senang hatinya dengan penerimaan Sofi. Sedangkan dia tahu Sofi seorang budak yang agak pendiam dan susah menerima orang baru. Namun dia selesa dengan Nissa, itu menunjukkan tanda-tanda yang positif. Tidak salah lagi, Nissa memang orang yang baik!
"Tapi promise mama something. Jangan susahkan maksu. Maksu ada baby dalam belly dia. Boleh?"
Sofi senyum lantas mengangguk.
"Boleh! Nanti Sofi tolong jagakan maksu!"
Mimi tertawa kecil. Sofi sudah besar. Bisa mengerti dan memahami sesuatu keadaan.
"Dah, jom kita balik!"
"Okey!"
Pintu kereta dibuka. Serentak itu, namanya dipanggil seseorang dari arah belakang.
"Amran!" Mimi terkejut menerima kehadiran lelaki itu di situ. Tambah mengagetkan, lelaki itu tampak santai dengan blouse cream dan seluar slack hitamnya.
"Papa!" Sofi berlari ke arah Amran. Tubuh itu dipeluk erat.
"Rindu papa!" luah Sofi. Sudah agak lama mereka tidak bertemu. Agak-agaknya sudah tiga bulan lebih sejak dia dan mamanya berpindah ke tempat baru. Mimi juga dipercayai Tan Sri Aziz untuk menguruskan syarikat di Putrajaya.
"Papa pun rindu!" balas Amran namun matanya melekap pada seraut wajah cantik Mimi. Cuba mengungkapkan perasaan melalui kata-kata tersebut.
"You sihat?" tanya Amran setelah berhadapan dengan Mimi. Rindunya pada wanita itu, Allah saja yang tahu. Kerana kerinduan itulah, dia sanggup terbang dari Brunei semata-mata buat kesayangannya!
Mimi mengangguk perlahan-lahan. Dia masih kaget menerima kunjungan lelaki itu.
"You dekat Brunei kan? Ada business kat sana I dengar"
"Aah. Tapi I lari sekejap. I need something" ucapnya romantik. Matanya tak lari dari terus-menerus memandang wajah itu.
Wajah Mimi membahang. Walaupun ucapan itu nampak tersirat, namun dia mampu untuk mengertinya.
"Oh! I see. So dah dapat apa yang you perlukan?"
Amran memaniskan wajah. Nafas dihela. Dia mengangguk. "Yeah, I got what I need!"
"MANA abang dapat berita ni?"
Air mata Nissa jatuh berlinangan. Tersedu-sedan dia membaca isi kandungan itu. Berita itu benar-benar telah meragut ketenangannya. Ya Allah, dia seakan tidak kuat!
"Abang suruh orang siasat pasal perkara ni. Abang pun terkejut. I'm so sorry sayang! Kalau berita ni buat sayang sedih.." Tangan Nissa digenggam erat. Wajah yang sudah basah dengan air mata itu ditatap lama.
"Dari Nissa lahir, Nissa tak pernah jumpa dan kenal ibu. Tapi bila dah jumpa dia, Nissa cuma dapat batu nisan dia! Nissa sedih sangat"
Azhar membawa tubuh itu ke dalam pelukan. Dia juga kaget menerima berita kematian Hanita yang sudah berlalu selama dua belas tahun itu. Baru kini mereka mengetahui perkara itu. Dia faham kelukaan Nissa.
"Sabar ye sayang? Kita doa banyak-banyak. Allahb sedang uji kita" Rambut Nissa diusap perlahan. Mendengar tangisan Nissa, dia juga turut sama menangis.
"Nissa dah takde ibu! Nissa dah hilang doa dan berkat dari seorang ibu" adu Nissa.
"Jangan cakap macam tu. Sayang masih ada mama, angah. Dorang pun ibu jugak kan? Sayang pun ada along, papa dan ada abang yang sentiasa bagi sokongan pada sayang. Dan yang paling penting, sayang kan nak jadi seorang ibu tak lama lagi?"
Nissa meleraikan pelukan. Wajah Azhar ditatap. Sebaik mungkin, dia berusaha mencari kekuatan melalui genggaman sang suami.
"Wajah ni dah terlalu banyak menangis dan sedih. Sekarang, kita dah nak ada family sendiri. Jadi kita kena sentiasa bersedia menerima sebarang kemungkinan. Kita tak tahu apa akan jadi pada masa akan datang. Yang penting, kena sentiasa ikhlas dan redha"
Dahi Nissa dikucup. Dia mahu Nissa kuat demi mereka. Dia juga tahu, Nissa bisa kuat kerana mereka.
"Okey? Kita kan ada, saling melengkapi"
Nissa angguk. Dia kembali memeluk tubuh itu. Bahkan dengan sangat erat. Memuntahkan segala tangisan dan kesedihan di situ. "Nanti Nissa nak lawat kubur ibu"
"Iye sayang. Nanti kita pergi"
"PAKSU, mana maksu?" tanya Sofi setelah melihat Azhar menuruni anak tangga.
"Laa Sofi dan angah rupanya! Maksu tidur sayang!" Kaget dia menerima kehadiran mereka di situ. Semenjak Mimi dan Sofi pindah ke Putrajaya, mereka sudah jarang ketemu.
Sofi menyalami tangan Azhar.
"Hmm Sofi rindulah dengan maksu!"
"Sofi, apa mama cakap tadi?" Mimi mengingatkan. Dia bimbang jika Sofi ada menyusahkan Nissa, apatah lagi Nissa kini sudah berbadan dua.
Azhar senyum. Faham benar dengan keakraban Nissa dan Sofi itu.
"Sorry paksu! Esok boleh kan kalau Sofi jumpa maksu?" Mata Sofi bercahaya.
Azhar tergelak. Kepala Sofi diusap. "Ya sayang! Esok jumpa maksu. Malam ni bagi maksu rehat dulu"
"Okey paksu!"
"Sofi, masuk bilik sayang. Mama ada nak cakap dengan paksu kejap"
Sofi angguk. Derap kaki diatur menuju ke kamar.
"I dengar pasal Nissa dan Mak Uda. Is that true?"
Azhar mengangguk. Dia berjalan ke dapur dan membancuh kopi panas. "You nak?"
"Tak! I tak boleh minum kopi malam. Tak boleh tidur"
Azhar memahami itu. Selesai membancuh kopi, dia melabuh duduk di atas kerusi. Tepat di hadapan Mimi yang sedang termenung.
"Menung apa tu?" tegur Azhar.
"Terfikir pasal benda tu. Macam tak percaya yang Mak Uda sanggup buat benda tu semata-mata sebab benci"
"Orang kalau dah benci, macam-macam cara dorang buat untuk puaskan hati. I pun susah nak percaya. Tapi semua bukti tu dah ada depan mata. Hari tu kita orang balik kampung. Kat situlah semuanya terbongkar. You tahu tak, Mak Uda macam tenat sangat. I tak boleh bayangkan keadaan dia tu. She looked miserable!"
"Serious? I dah lama tak jumpa dia. Tapi sebenarnya I masih trauma nak jumpa dorang. Nasib baiklah kes cerai I dengan Iqbal dah selesai"
Azhar mencicipi air kopinya. Dia mengangguk faham. Kes cerai Mimi dan Iqbal sudah selesai dua bulan lepas. Pada mulanya agak sukar untuk Iqbal melepaskan talak. Katanya, dia masih sayangkan Mimi. Hatinya masih ingin memulihkan hubungan mereka. Namun Mimi berkeras tidak mahu meneruskan hubungan mereka. Jadi Mimi terpaksa mencari segala bukti penderaan Iqbal terhadapnya. Dan ketika bukti itu sudah ditemui, barulah Iqbal mahu melafaz talak. Dan bukti tersebut ada pada tubuh badan Mimi sendiri!
"I harap, you tak berdendam pada keluarga I" pinta Azhar dengan rendah diri. Walaupun dia tahu dia cuma anak angkat, namun dia masih tetap menjalankan tanggungjawabnya. Kesihatan Salmah masih lagi dititikberatkan. Sekiranya ada waktu terluang, dia akan membawa Salmah ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan dirinya.
"You jangan risau. I dididik untuk tak berdendam. Lagipun I tahu dendam tu tak bagus. Nanti makan diri"
Azhar dan Mimi saling berbalas senyuman. Senang hati dengan bicara masing-masing. Teringat pula pertemuannya dengan Amran tadi. Hatinya berdebar semacam. Kenapa Amran kembali kepadanya? Adakah kerana Sofi? Ya, dia yakin kerana Sofi. Tidak mungkin Amran masih menyayanginya. Lelaki itu puas ditolak dan disakiti suatu ketika dulu.
"Haihh, menung lagi!" gerutu Azhar sambil melayangkan tangan ke udara.
"I tengah fikir pasal sesuatu"
"Pasal apa?"
"Perasaan!" tingkah Mimi, pantas.
Azhar mengangkat kening. Lili dan Nuh pun ada masalah perasaan juga. Mimi pun mengalami benda yang sama. Aishh!
"Perasaan? Kenapa?"
Pandangan Mimi jatuh pada wajah serius Azhar. Kemudian, nafasnya dihela perlahan. Boleh ke dia meluahkan segala-galanya kepada adik iparnya itu?
"Abang...."
Suara lemah Nissa menggamit perhatian mereka. Mimi dan Azhar menoleh ke arah Nissa yang sudah muram itu.
"Sayang..." Wajah Azhar ceria. Dia mendekati Nissa. "Kenapa bangun ni?"
"Tak boleh bangun ke?"
Nada Nissa kedengaran cemburu. Wajahnya masam. Azhar gelak. Nissa sudah salah faham.
"Adek..." panggil Mimi. Dia sudah berdiri di hadapan Nissa. "Angah balik nak jumpa adek. Tapi kita cakap esok je ye?"
Nissa mengangguk sambil mengukir senyuman hambar. Dia cemburu namun dia tahu tidak mungkin Azhar dan Mimi akan mengkhianatinya.
"Angah masuk bilik dulu. Sofi dah tunggu" Mimi pamit. Sempat dia bisikkan sesuatu ke telinga Nissa. "Jangan cemburu dek! Azhar tu setia orangnya"
Nissa angguk namun wajahnya masih masam. Setelah Mimi berlalu, wajah masam Nissa ditatap.
"Nissa nak masuk bilik!" Nada itu kedengaran merajuk.
"Sayang cemburu ke?" Azhar sengaja menduga. Dia suka Nissa cemburu. Itu ertinya Nissa sayangkan dia.
"Tak tahu!" jawab Nissa. Langkahnya disaingi oleh Azhar. Mana tak cemburunya, mesra sangat mereka berbual. Hu hu
"Ohh ada orang cemburulah! Nak buat macam mana ye?"
Nissa tak menjawab. Dia mempercepatkan langkah. Namun dengan keadaan dirinya berbadan dua itu agak sukar untuknya bergerak dengan laju. Apatah lagi dengan menaiki anak tangga itu.
"Janganlah laju sangat! Nanti sayang jatuh" Azhar memimpin tangan Nissa.
"Nak dukung!" rengek Nissa manja. Muncung sudah sedepa.
Azhar tertawa kecil. Tubuh kecil Nissa digendong.
"Nissa berat tak?"
Alamak, soalan cepumas ni! Karang dia mengiyakan, Nissa merajuk pulak. Tapi kalau menidakkan, Nissa kata dia tipu! Nak jawab apa ni?!
"Berat atau tak, abang masih kuat lagi nak gendong sayang"
"Betul?" tanya Nissa sambil memaut leher suaminya.
"Iya sayang"
Nissa gelak. Rajuk dan cemburunya sudah reda. Wajah Azhar dikucup manja.
"Jangan nak goda abang ye?"
"Nak goda jugak!"
Azhar telan liur. Laju saja langkahnya menuju ke kamar mereka. Nissa sudah menggodanya. Gelora itu sedang membuak-buak dalam diri.
Sesungguhnya Nissa benar-benar bikin dia obses!
Share this novel