MELIHAT dari luar rumah, Ustaz Hamzah merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Bulu romanya naik semacam. Dia rasa macam diganggu oleh sesuatu. Ada sesuatu seolah-olah sedang membisikkan ke telinganya, menyuruh dia pergi.
"Kenapa ustaz?" tanya Ziman apabila Ustaz Hamzah dilihatnya memejam mata sambil memusing kepala berkali-kali.
Ustaz Hamzah mencelikkan mata. Wajah Ziman yang sedang menatapnya dipandang serius. Dia hanya menggeleng kepala sambil tersenyum hambar. Setelah membaca ayat Kursi, bisikan tadi beransur-ansur hilang.
"Takde apa-apa" sahut Ustaz Hamzah. Dia dan Ziman meneruskan langkah. Tiba di hadapan pintu, dia memberi salam.
"Waalaikummussalam. Ye cari siapa ye?" tanya Rizal penuh tertib.
"Saya Ziman. Ni ustaz Hamzah. Kami ni kebetulan lalu kat sini. Kereta saya rosak. Tayar dia pecah. Err ustaz..." Ziman tak meneruskan ayatnya. Bingung entah bagaimana hendak menjelaskan kedudukan sebenar. Dia menoleh ke belakang. Memberi kesempatan kepada Ustaz Hamzah sendiri yang menerangkan.
"Begini..sebelum tu, saya mintak maaf. Kami ni tak diundang. Kami ni dalam perjalanan nak ke masjid. Saya ada ceramah kat sana. Tu yang melalui kawasan rumah ni. Tapi boleh saya tahu, ada apa ye dengan rumah ni?"
"Ohh ustaz. Ni rumah pegawai saya. Isteri dia baru meninggal dunia. Pagi tadi, sebelum Subuh. Jadi kami pun buat apa yang patut sebelum kebumikan dia..." jelas Rizal dengan senyuman.
Ustaz Hamzah mengangguk kepala. Matanya menangkap sesuatu di hujung sana. Namun bagaimana harus dia menjelaskan secara logika?
"Boleh saya berjumpa dengan pemilik rumah ni? Ada sesuatu yang tak kena sebenarnya"
Rizal mengerut dahi. Kata-kata Ustaz Hamzah menganggu fikirannya. Apa yang tidak kena?
"Tapi ustaz, sekarang ni dia tak berapa nak tenang. Asyik menangis terkenangkan arwah isteri dia. Saya risau kalau..."
"Saya cuma perlu beberapa minit. Ini penting" cantas Ustaz Hamzah lagi.
Rizal memuntahkan keluhan. Dia bukannya apa, tadi dia baru saja dimarahi oleh Azhar gara-gara tak sengaja terpecahkan gambar Nissa. Takut pula dia jika kali ini dia 'disembur' lagi oleh Azhar.
"Yelah ustaz. Masuklah dulu" Mahu tak mahu, Rizal terpaksa juga mengalah. Nanti dia mintak tolong Nuh sajalah!
Ziman melangkah masuk dulu. Kemudian diikuti oleh Ustaz Hamzah. Tatkala kaki kanannya memasuki kawasan rumah, dia bagaikan ditolak oleh sesuatu dan hampir saja terjatuh ke bawah. Ustaz Hamzah mengucap panjang. Dia bertahan pada tiang pintu.
"Ustaz!!" jerit Ziman sedikit.
"Takpe! Saya okey" ujar Ustaz Hamzah sambil membetulkan langkahnya. Dia melangkah lagi dan kali ini dia merasakan seperti terkena renjatan elektrik. Jelas, ada sesuatu yang tak mahu dia di situ.
Ustaz Hamzah membaca Ayatul Kursi selama tiga kali, diiringi ayat tiga Kul. Selesai saja membaca Surah Al-Ikhlas, dia ternampak satu lembaga hitam sedang duduk di tepi kepala mayat Nissa yang berbalut itu. Wajahnya hodoh dan seakan menahan diri saja.
"Allah!!"
TAN SRI AZIZ tiba tepat di hadapan rumah Azhar setelah lokasinya dikirimkam oleh Kak Uteh kepada Mimi. Tergesa-gesa dia keluar dari dalam kereta dan mendapatkan anak yang tak pernah diketahui wujudnya sebelum ini.
"Ya Allah, anak aku!!" lirih suara Tan Sri Aziz dari luar rumah. Air matanya berguguran membasahi pipi.
Usai memberi salam, dia terus menerpa ke arah Nissa yang sudah berbalut dengan kain kapan itu. Wajahnya yang tenang dengan senyuman direnung dengan linangan air mata.
"Anak papa!! Papa datang ni nak.. papa dah datang" rintih Tan Sri Aziz. Dia diulit dengan kesedihan tatkala menerima keadaan anaknya yang sudah berbalut itu.
Mimi, Lili dan Puan Sri Linda sudah teresak-esak. Mereka turut menangisi kepermegian Nissa yang secara mendadak itu.
Papa? Salmah kerut dahi. Itu kan Tan Sri Aziz, besannya. Tetapi kenapa dia membahasakan dirinya papa kepada Nissa?
"Mama..." Mimi menerpa ke arah Salmah yang hanya berkerusi roda itu. Semenjak bebas dari Iqbal, dia sudah jarang menelefon Salmah dan bertanya khabar. Kaget dia melihat keadaan Salmah itu.
"Kenapa.." Mimi tak jadi meneruskan ayatnya. Wajahnya sudah basah dengan air mata. Terlalu banyak persoalan sedang bermain dalam benaknya.
"Nissa dah takde!" getus Salmah dalam sebaknya.
Salmah dan Mimi berpelukan. Masing-masing mengenang kebaikan dan kelembutan wajah itu. Nissa Ardini, insan baik yang sepanjang hayatnya tak pernah mengkhianati atau menyakiti sesiapapun!
Dari luar rumah, Sulaiman tercengang melihat mayat Nissa di situ. Laju saja derap kakinya melangkah mendekati Nissa. Air matanya berlinangan.
"Ya Allah, Nissa!!" ucapnya antara dengar dan tidak.
"Sulaiman?" Tan Sri Aziz terkejut melihat Sulaiman di situ. Sahabat lama yang juga lama menghilang.
"Aziz!" Kedua-dua mereka berpelukan. Sulaiman mengeluh berat. Aziz adalah lelaki yang dicintai oleh Hanita, wanita kesayangannya suatu masa dulu. Nissa, kau dah bersatu dengan ayah kandung kau tapi kenapa takdir menemukan kalian dalam keadaan seperti ini?
SULAIMAN tak pernah menyangka, lelaki yang merebut hati Hanita dahulu kala kini sudah kembali untuk anaknya. Dan dia juga tak pernah mengetahui selama ini Tan Sri Aziz merupakan ayah mertua Iqbal. Kerana semasa majlis perkahwinan Iqbal dan Mimi berlangsung, dia tidak hadirkan diri. Betapa kecilnya dunia ini!
Sulaiman terkejut tatkala diberitahu oleh Shafiq yang juga merupakan rakan setugas Azhar akan berita kematian Nissa. Dia bergegas ke sana setelah meminta izin untuk cuti. Mak Uda ditelefon banyak kali, namun tidak ada respon. Shima pula akan ke sana bersama suaminya nanti.
"Aku tak pernah pun yang kau bapa saudara Iqbal" Tan Sri Aziz kaget.
"Kecik betul dunia ni! Macam baru semalam kita lepak kedai kopi. Tapi rupa-rupanya dah 26 tahun berlalu" sahut Sulaiman pula.
Tan Sri Aziz menggumam. Dia dan Sulaiman pernah rapat suatu ketika dulu. Dan Sulaiman juga adalah saksi betapa utuhnya cinta dia buat Hanita.
"Aku dah jumpa anak aku Man! Tapi Allah hantar dia pada aku dalam keadaan berbalut" Tan Sri Aziz menangis. Menyesali kerana tidak pernah mencari Nissa lebih awal. Jika tidak, pasti Nissa masih hidup.
"Allah lebih sayangkan dia Ziz. Aku pun tak sangka benda jadi macam ni" keluh Sulaiman.
"Apa dosa anak aku Man? Anak-anak aku semua cakap dia baik. Tak menyakiti hati sesiapa. Tapi kenapa Allah ambik dia secepat ni? Aku tak sempat nak mencurahkan kasih sayang aku pada dia.." luah Tan Sri Aziz. Sedaya upaya mengesat air mata namun semakin deras ianya berlinangan.
"Percayalah Ziz! Ada hikmah yang sedang Allah tunjukkan pada kita. Mungkin kita yang tak sedar"
Tan Sri Aziz terdiam. Dia bukannya tidak mensyukuri pertemuan ini, namun dia mengharapkan sesuatu yang lebih indah bakal berlaku.
"Sabarlah Ziz! Doa banyak-banyak"
GAUN PUTIH milik Nissa masih setia dalam pelukan. Tak mahu dia lepaskan walau sesaat. Hatinya merintih seribu kedukaan. Tadi ketika dia memandikan jenazah Nissa, bau harum dari tubuh itu benar-benar mengharukan hatinya. Dia pandang wajah tenang itu. Hatinya terusik. Emosinya terjentik. Dia tak mampu nak menahan rasa. Pecah juga tangisannya saat memandikan jenazah itu.
Azhar benar-benar belum bersedia dengan kehilangan ini. Dia masih rindukan sang isteri yang dinikahi selama dua bulan.
"Nissa nak anak dengan abang!"
"Nissa cintakan abang!"
"Nissa nak abang!!"
Antara ayat-ayat yang selalu keluar dari bibir wanita itu. Pasti dia akan merindui untuk mendengar ayat-ayat tersebut. Ya Allah, sakitnya rasa dada ini!
"Kenapa sayang tinggalkan abang secepat ni? Abang masih perlukan sayang! Abang masih nak merindui sayang, nak memeluk sayang, nak mencium sayang. Kita dah janji untuk membina keluarga sendiri.." rintih Azhar dalam tangisan. Ya Allah, sungguh berat ujian yang Kau berikan kali ini Ya Allah! Aku tak kuat Ya Allah!!
Azhar yang duduk di dalam bilik tak sanggup nak berdepan dengan semua orang. Bahkan untuk menatap jenazah Nissa juga hatinya belum cukup kuat. Dia tak tahu apa yang berlaku di luar sana. Yang pasti, di dalam bilik itu tercipta beribu kenangannya bersama Nissa!
"Har..." Nuh menghampiri. Setelah Azhar sedikit tenang, barulah dia berani menghadap lelaki itu.
Azhar hanya menoleh. Tiada suara kedengaran. Dia tidak larat hendak berbuat apa-apa. Jasadnya seakan turut terbang melayang.
"Ada ustaz nak jumpa kau. Katanya ada sesuatu yang tak kena" ujar Nuh dengan wajah mengharap. Berharap agar Azhar mahu lembutkan hati untuk berbincang.
"Aku tak nak jumpa sesiapa!" adu Azhar dengan suara yang lemah.
Nuh menghela nafas. Setelah diberitahu oleh ustaz tadi, dia juga yakin memang ada sesuatu yang tidak kena pada cara kematian Nissa. Setidak-tidaknya, mereka masih punya peluang untuk mengetahui lebih lanjut.
"Har, aku tahu ni bukan waktu yang sesuai untuk bagitahu benda ni pada kau. Tapi kau tak rasa pelik ke dengan cara kematian Nissa? Doktor cakap dia sihat kan? Takde apa-apa dalam tubuh badan dia. Kau jugak cakap yang dia selalu mengadu sakit perut. Kau tak rasa pelik ke dengan semua tu?"
Azhar mendongak memandang wajah Nuh. Dia berusaha mencerna kata-kata Nuh dengan sebaik mungkin. Namun otaknya langsung tak mampu berfungsi buat masa sekarang.
"Kalau kau tak faham, baik kau pergi jumpa ustaz tu. Aku rasa, dia lebih tahu"
"USTAZ, apa jadi pada isteri saya? Kenapa ustaz nak jumpa saya?"
Belum sempat memperkenalkan diri, Azhar terlebih dahulu bertanya.
"Saya ustaz Hamzah. Sebelum tu, saya nak bagitahu ada benda tak elok dalam rumah kamu ni. Masa kat luar, saya nampak ada beberapa lembaga hitam sedang berlegar-legar di luar rumah kamu. Dan masa saya nak masuk ke dalam rumah, saya ditolak oleh sesuatu benda, rasa macam kena renjatan elektrik pun ada. Dan masa saya masuk dalam rumah, saya dapat melihat satu lembaga hitam sedang duduk di tepi isteri kamu. Kemungkinan besar sedang mengawal dia"
Semua yang mendengar serta-merta kaget. Seakan-akan tak mampu nak dipercaya akan perkara itu.
"A...apa maksud...saya...saya tak faham" Azhar mengerut dahi. Suaranya tenggelam timbul, menahan sebak yang naik ke dada.
"Kemungkinan besar isteri kamu sebenarnya kena buatan orang!"
Sekali lagi, semua tersentak dengan bicara Ustaz Hamzah. Kalau pun benar, siapa yang tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu?
"Siapa yang sanggup buat anak saya macam tu?" Tan Sri Aziz pula menanya. Sungguh cetek ilmu agama orang itu!
Azhar mengetap bibir. Anak? Dia ayah Nissa? Tan Sri Aziz? Kenapa banyak betul perkara yang dia tidak tahu-menahu?
"Ya Allah, kesiannya menantu aku!" Salmah menangisi keadaan Nissa.
Wajah Azhar sudah lencun dengan air mata. Hari itu, banyak perkara mengejutkan sedang berlaku. Dia tak mampu nak mencerna segalanya dengan baik.
Perasaannya bercampur-baur. Isterinya sudah meninggal pun, masih ada yang sanggup menganiayanya! Ya Allah, sekejam itu manusia tersebut kepada isterinya!
"Dan kalau ikut perkiraan saya, mungkin isteri kamu jugak sedang mengandung!"
Sekali lagi, Azhar terpempan. Wajah yang lain juga tampak terkejut.
"Maksud ustaz?" Azhar hampir kehilangan suara. Berita itu sesuatu yang cukup menggembirakan tetapi harus diterima dalam situasi yang menyedihkan!
"Saya dengar dari Nuh yang isteri kamu sering sakit perut? Betul ke?"
Azhar mengangguk.
"Kesakitan tu mungkin berpunca daripada 'barang' yang dia hantar pada isteri kamu. Atau sebetulnya, dia mungkin cuba nak bunuh anak kamu jugak!"
Air mata Azhar semakin deras mengalir. Ya Allah, tak puas menyiksa Nissa, kini anak mereka yang belum lahir juga menjadi mangsa.
Salmah tersentak. Dia teringat akan kata-kata Mak Uda tempoh hari. Tidak mungkin Mak Uda setega itu! Ya Allah, aku harap bukan dia!
"Ya Allah, apa aku nak buat ni? Aku dah hilang isteri dan anak aku sekaligus"
Kekecewaan di hatinya berganda-ganda. Impian mereka untuk punya anak sudah termakbul. Namun belum sempat dimiliki, Allah terlebih dahulu mengambilnya.
"Ustaz, siapa yang aniaya isteri dan anak saya ustaz?" Lemah suara Azhar bertanya. Sesungguhnya segala tenaganya sudah dihabiskan tanpa sempat digunakan sama sekali.
"Itu saya tak pasti. Tapi satu yang kamu perlu tahu, isteri dan anak kamu sebenarnya masih hidup!"
nah, permintaan ramai. last bab ye? esok kiki sambung lagi..silalah meriahkan komen korang ;) hapoy reading uolls *,*
Share this novel
sapa lah yg dengki dgn Nissa? kalau mak uda harap benda tu berbalik pd mak uda semula...geram plak dgn mak uda ni..