TIGA PULUH LIMA

Drama Series 16075

SEMINGGU BERLALU...

MEREKA kembali ke Malaysia setelah seminggu berbulan madu di Korea. Seminggu itu digunakan dengan cukup baik. Berjalan, bermain salji bahkan menginap di hotel-hotel berbeza. Tidak kurang juga, mengambil banyak gambar sebagai kenangan.

"Penatnya..." keluh Nissa setelah membaringkan tubuh di atas katil. Rasa lama pula di Korea. Hatinya mulai rindu pada cuaca dan suasana di Malaysia.

Azhar masuk ke dalam bilik dengan dua buah bagasi besar. Dia tersengih melihat Nissa yang sedang menatapnya.

"Sorry sayang! Nissa penat sangat sampai lupa nak tolong abang" Nissa bangun dari katil dan membantu suaminya.

"It's okay sayang! Dah, takpe. Biar abang je angkut semua ni" Azhar melarang Nissa daripada membantunya.

"Nissa peninglah bang! Rasa mual pun ada"

"Rehatlah dulu. Nanti abang masak ye? Sayang nak makan apa?"

"Tak nak. Nissa nak rehat je!"

"Okey, get some rest first!" Dahi Nissa dikucup.

Kemudian dia segera mengemas barang-barang mereka dan membiarkan Nissa berehat.

MALAM itu, tepat jam 2 pagi lena Nissa seolah diganggu. Dia tersedar daripada tidur. Perutnya terasa sakit dan memulas saja. Kepalanya pening. Tekaknya rasa mual.

Laju dia berlari menuju ke bilik air dan memuntahkan segala isi di dalam perut. Dia tak pernah rasa sakit seperti itu selama hidupnya. Rasa bisa dan perit di bahagian perut dan ari-arinya.

"Sayang, kenapa ni?" Azhar berdiri di belakang Nissa. Diurut-urut belakang isterinya yang tak henti-henti muntah itu.

"Nak pergi klinik?"

Nissa menggeleng. "Tak nak!"

"Tapi teruk sangat dah ni sayang!" Azhar meluahkan kebimbangannya. Hatinya mula rasa tak sedap. Dan paniknya kian menyapa tatkala Nissa rebah di dalam rangkulannya.

"Sayang!"

SESUDAH pulang dari hospital, Azhar memapah Nissa ke dalam bilik. Dibaringkan tubuh itu secara perlahan-lahan di atas katil.

"Dah rasa okey sikit?"

Nissa mengangguk lemah. Wajahnya pucat. Untung saja tidak ada apa-apa yang serius hasil pemeriksaan tadi. Menurut doktor, Nissa hanya sakit perut biasa. Mungkin tidak biasa dengan perubahan angin di Korea.

Belas Azhar menatap wajah pucat isterinya. Balik saja dari berbulan madu, Nissa pula terkena sakit.

"Sayang rehat ye?"

"Abang pergi mana?" Tangan Azhar ditarik semula. "Temankan Nissa. Nissa takut!"

"Sayang takut apa? Mana ada ada apa-apa sayang!"

Nissa menggeleng kepala. Wajahnya sudah basah dengan air mata. "Temankan Nissa please!"

Azhar hairan. Pertama kali dia melihat isterinya bertingkah seperti itu. Padahal Nissa bukanlah seorang penakut! "Ye ye. Abang temankan!"

SETELAH hampir dua minggu bercuti, Azhar kembali bekerja. Itupun atas desakan Nissa sendiri. Jika diikutkan, dia masih mahu melanjutkan cutinya kerana masih bimbangkan isterinya itu. Namun Nissa sentiasa positif. Tak mahu Azhar risau sahaja.

"Wuuu pengantin baru dah balik dari honeymoon!" getus Rizal tatkala melihat tampang Azhar pagi itu. Laju saja langkah kakinya menapak ke arah meja kerja Azhar.

"Apa?" sergah Azhar dengan wajah seriusnya.

"Takkan takde ole-ole?" tukas Rizal dengan sengihannya.

"Kau ni, nak ole-ole aje! Nah, ambik dalam kereta!" Azhar menikam kunci kereta kepada Rizal.

"Serius ke ni? Aku gurau je tadi!" Mata Rizal bersinar-sinar.

"Adalah! Aku lupa nak bawak masuk. Ambiklah! Sorang satu" ujar Azhar. Dia masih memikirkan akan isterinya yang kurang sihat itu. Risau dengan keadaan kesihatannya.

"Yes!! Thank you boss!" ucap Rizal lantas berlari keluar. Tak ubah macam budak-budak!

Dokumen di atas meja dibelek. Dia harus mengosongkan fikiran demi tugasnya itu. Itu juga janjinya pada Nissa.

"Umar!" panggilnya dengan suara lantang.

"Tuan!" Umar sudah berdiri di hadapannya.

"Masih takde clue pasal kehilangan Rebecca ni?"

"Belum tuan. Tapi apa yang kami tahu, dia ada menaiki flight ke Kemboja"

"Kenapa tak kejar dia sebelum dia fly?"

"Err err..." Umar telan liur. Masaklah dia! Mood Azhar tampak tidak bagus pagi itu.

"Jadi semasa aku takde kat sini, korang tak buat apa-apa? Kena tunggu aku jugak?"

Umar diam.

"Jawab!" bentak Azhar dengan suara kerasnya.

"Maaf tuan! Kami dapat maklumat tu sejam selepas dia berlepas"

Azhar mendengus kasar. Apabila mangsa sudah ke Kemboja, itu bererti kes ini semakin parah! Kerana sudah melibatkan campur tangan negara luar! Dan yang pasti, banyak kerja yang harus diuruskan!

TELEFON BIMBIT dikerling. Sejak beberapa hari ini, Kak Uteh sudah banyak kali menelefonnya. Namun dia selalu tak sempat nak menghubungi wanita itu kembali.

"Assalamualaikum kak" Azhar memberi salam terlebih dahulu.

"Waalaikummussalam. Haa ada pun kau Har! Akak call banyak kali, kenapa baru sekarang kau call?"

"Maaf kak. Har baru je balik dari Korea dengan Nissa. Kita orang honeymoon kat sana" Mengingat kembali kenangan mereka di sana, dia tersenyum senang. Entah bagaimana hidupnya jika kehilangan Nissa suatu hari nanti. Ya Allah, apa aku merepek ni?!

"Laa yeke? Sorrylah, akak tak tahu kau kat ke sana. Patutlah susah sangat nak menyambung talian ke sana. Kau dan Nissa apa khabar?"

"Alhamdulillah kita orang okey kak. Cuma Nissa tu, semalam asyik pening dan mual je..."

"Haaa Nissa pregnant ke? Nak jadi bapa dan mak ke kamu berdua?"

Azhar kaget. Pada mulanya, dia juga menyangkakan perkara itu terjadi. Tetapi menurut kata doktor, Nissa cuma sakit perut biasa saja.

"Ehh taklah kak! Dia sakit perut biasa je. Mungkin baru balik bercuti. Cuaca kat sana kan sejuk. Balik Malaysia pulak, cuaca dia panas"

"Ohh yelah tu"

"Kenapa akak call Har? Ada apa-apa jadi kat rumah ke? Mama sihat?"

"Semua sihat. Mama kau tu biasalah, sakit-sakit orang tua. Nak berkebunlah, nak bersawahlah. Balik je dari berkebun, sakit segala lutut dia tu!" ujar Kak Uteh dengan tawa kecilnya.

Azhar berdecit. Dia tahu benar sikap mama yang tak suka duduk diam itu. Nanti dah sakit, dia sendiri yang mengeluh dan mengadu!

"Ni Har...akak nak tanya. Sebenarnya nak mintak tolong"

"Mintak tolong apa ye kak?"

"Kau ada nombor Nissa kan?" Apalah kak Uteh ni! Mestilah Azhar ada, tu kan isteri dia!

"Ada kak. Akak nak nombor dia ke?"

"Haah!"

"Ooh okey nanti Har bagi. Tapi kenapa ye kak?"

Azhar mengangguk tatkala Rizal menggamitnya dari arah luar bilik. Nampak gayanya, ada maklumat terbaru yang mereka perolehi.

"Ni pasal Mimi"

Mendengar nama Mimi, Azhar jadi teringat akan pertemuannya dengan wanita itu beberapa bulan yang lepas. Wajahnya nampak cengkung dan tidak bermaya sahaja.

"Akak rasa, Iqbal dera dia!"

"Haa?" Azhar tersentak. Dia benar-benar kaget. Masakan sikap Iqbal seperti itu? Bukankah mereka adalah pasangan saling mencintai? Sehingga tega menyakiti hati Nissa!

"Kak, Har kena pergi. Ada kerja. Nanti Har WhatsApp nombor Nissa"

Panggilan dimatikan. Seraya, dia menghantar nombor Nissa kepada Kak Uteh. Seiring itu, otaknya berfikir akan cerita Kak Uteh tadi. Tapi kenapa? Arghh!! Lantaklah! Urusan rumah tangga mereka tidak ada kena-mengena dengannya.

SETELAH mendapat keizinan daripada Azhar, Nissa bersiap-siap untuk keluar. Itupun mereka hampir bergaduh. Azhar sangat susah memberi keizinan kepadanya kerana risau dengan keadaannya. Namun dia meyakinkan suaminya semuanya akan membaik sahaja. Lagipula dia ingin membeli barang keperluan dapur. Balik saja dari Korea semalam, mereka terlupa untuk membeli barang basah.

Sudahnya, pagi tadi mereka hanya sarapan dengan sandwich roti dan air kopi.

Nissa sudah meloloskan diri di dalam keretanya. Baru saja nak meneruskan pemanduannya, tiba-tiba kepalanya kembali berpusing. Perut dan bahagian ari-arinya mula terasa sakit. Dia menyentuh bahagian situ sambil berselawat. Berniat agar sakitnya dikurangkan dengan izin Allah.

Setelah kembali tenang, Nissa menghela nafas dalam-dalam lalu menghidupkan enjin kereta. Dia harus segera menyelesaikan urusannya agar dapat berehat semula.

SEDANG dia ralit memilih barangan basah, trolinya dilanggar oleh seseorang. Nissa tersentak lantas mengalihkan trolinya ke tepi.

"Sorry" ucap perempuan itu.

"Ohh takpe" sahut Nissa lantas mengangkat wajah. Ketika itu senyumannya mati tatkala wajah Lili di hadapan sedang memandangnya. Nissa mengerut dahi. Tiba-tiba bayangan lampau bergentayangan di ruang fikirannya. Trauma dek perkara itu, dia cepat-cepat menolak troli, menjauhi Lili.

"Nissa! Kejap!" Lili mengejar Nissa dengan menolak trolinya juga. "Nissa!"

Troli Nissa berjaya dihadang. Nafasnya tercungap-cungap kerana kepenatan dek mengejar Nissa.

"Kejap. Saya ada hal nak tanya"

"Maaf, awak salah orang!"

"Kalau saya salah orang, kenapa awak melarikan diri?"

Nissa tertangkap! Arghh sudah! Dia belum mampu melupakan sinar kebencian pada wajah itu tiga tahun lepas. Disebabkan itulah, dia benar-benar trauma. Dipermalukan di hadapan ramai orang tanpa belas kasihan!

"Saya takde niat jahat! Please, kalau awak ragu-ragu, kita cakap kat sini je" Lili separuh merayu. Lega hatinya ketemu Nissa di situ. Dia berharap sangat agar Nissa dapat membantunya.

"Okey, awak nak apa?"

"Saya nak tanya pasal Mimi"

Nissa mengerut dahi. Mimi? Sudah tiga tahun mereka tidak berjumpa. Agaknya, mungkin Mimi kini sudah mempunyai anak. Tetapi kenapa Iqbal mencarinya beberapa hari sebelum majlisnya?

"Kenapa dengan Mimi?"

Kali ini, giliran Lili pula yang tersentak. Pertanyaan Nissa membuktikan mereka tidak ada berhubung sama sekali. Terus, di mana keberadaan Nissa selama ini?

"Awak tak tahu apa-apa ke?"

"Kalau saya tahu pun, awak takkan percaya saya kan?"

Lili terasa disindir. Dia tahu, Nissa masih belum bisa melupakan kejadian tiga tahun lepas. Dan semua itu juga berpunca daripadanya. Jadi dia tak bisa menyalahkan Nissa.

Nafas panjang dihela. Riak kosong Nissa ditatap.

"Akak tahu, Nissa masih belum dapat melupakan apa yang berlaku antara kita dulu"

Nissa sedikit kaget apabila Lili membahasakan dirinya 'kakak' kepada Nissa. Namun perubahan itu bikin hati Nissa tersentuh. Mungkin Lili ingin berdamai. Dan dia bersedia untuk itu.

"Akak nak mintak maaf pasal perkara tu. Akak tahu akak salah. Tak sepatutnya akak buat Nissa macam tu. Akak minta maaf?" Lili menghulur tangan untuk berjabat. Perkara itu sudah lama berlalu. Dia tak mahu menyimpan dendam. Lagipula, Nissa tak salah apa-apa terhadap dia mahupun keluarganya.

Perlahan-lahan, Nissa menyambut huluran tangan Lili lantas melemparkan senyuman. Lili sudah menghulur tangan perdamaian, siapalah dia hendak terus berdendam?

"Boleh kita bercakap kat kafe bawah sana?"

Nissa mengangguk, mencapai kata sepakat bersama.

SETELAH selesai menceritakan segala-galanya kepasa Nissa, nafas lega ditarik dalam-dalam. Segala cerita mengenai kisah lampau Mimi kini terbongkar di hadapan mata Nissa.

Dan kecurigaannya terhadap tingkah laku Iqbal juga menjadi antara topik utama perbualannya. Dia yakin, Mimi sedang disembunyikan oleh Iqbal. Namun dia tak berani menuduh sembarangan tanpa sebarang bukti. Disebabkan itulah, dia memerlukan pertolongan Nissa.

"Sebenarnya kak, lepas kes penceraian saya dengan Iqbal selesai tiga tahun lepas, saya dah tak jumpa mereka. Mimi mahupun Iqbal. Saya teruskan hidup sendiri. Sehingga berkahwin dengan.."

"Azhar kan?" Cepat saja Lili mencantas. Dia tahu akan perkara itu. Berita perkahwinan mereka menjadi topik utama di setiap berita dan corong radio.
Mana tidaknya, Azhar adalah antara pegawai terbaik dan yang digeruni musuh. Musuh juga sudah banyak tewas di tangannya.

"Akak tahu. Berita tu ada di mana-mana. Tahniah akak ucapkan" ujar Lili tatkala wajah keliru Nissa menghampiri.

Nissa mengangguk. Tidak disangka, Azhar dikenali seperti itu.

"Sejak dari hari tu, saya memang tak contact dengan dia"

"Akak dan mama ada mencari Mimi di rumah. Tapi menurut Iqbal, Mimi melarikan diri bersama lelaki lain. Mama mungkin percaya tapi akak tak. Akak kenal Mimi macam mana. Dia bukan macam tu"

Nissa diam. Dia juga terkejut dengan cerita Lili itu. Tidak diduga, Mimi mempunyai seorang anak perempuan yang berusia lapan tahun. Itu adalah alasan utamanya melarikan diri dari majlis perkahwinannya dengan Iqbal sembilan tahun yang lalu. Gara-gara itu, dia yang harus menjadi kambing hitamnya! Namun dia tak menyalahkan Mimi. Semua yang terjadi pasti ada alasannya tersendiri.

"Dan akak percaya kalau Mimi kena dera!"

Mendengarkan itu, serta-merta Nissa terkejut. Dia memandang Lili dengan riak tak percaya.

"Ya, susah nak percaya kan? Tapi firasat akak mengatakan sedemikian. Cuma, akak takde bukti. Sebab tu akak nak mintak tolong Nissa. Tolong carikan Mimi di rumah tu"

Nissa membatu. Kembali ke rumah tersebut umpama menikam diri sendiri dengan pisau. Traumanya masih belum hilang, apatah lagi jika harus berdepan dengan Mak Uda!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience