KAWASAN rumah sudah mulai dipenuhi manusia. Rata-ratanya dari taman itu juga. Rakan-rakan sekerja juga berkumpul di satu tempat. Nuh, Ana dan Raudhah sudah ada di situ sejak pagi lagi.
Kak Uteh dan Mak Kiah serta Salmah juga berada di situ. Terkejut menerima berita itu, mereka bergegas menemui Azhar. Seakan tak percaya dengan berita yang satu itu.
Rizal dan Nuh menghampiri Azhar yang dari tadi menangis sambil mencium gaun putih kepunyaan Nissa. Wajahnya tampak tak bermaya. Matanya sembab dek mutiara jernih yang tak putus-putus mengisi tubir mata.
"Har..." Bahu Azhar disentuh oleh Nuh. Dia menghela nafas berat, sukar untuk mengungkapkan itu. Namun Azhar harus diberitahu juga.
"Dorang suruh kau..." jeda Nuh seketika. Pandangannya jatuh pada wajah muram Rizal pula. Serba salah dan tidak tahu cara menyampaikan perkara itu.
"Nissa, dia..." Nuh tidak tahu bagaimana hendak menyusun ayatnya. Dia lihat Azhar mengongoi tak henti-henti. Rasa macam tak mampu nak dipercaya akan berita itu. Baru semalam dia dan Nissa berborak sambil bergelak tawa. Dan kini, Nissa telah pergi. Pergi selamanya menemui Sang Pencipta!
"Har.." seru Rizal pula. Nuh tak mampu menyampaikan perkara itu, biar dia sajalah yang menyampaikannya.
"Dorang suruh kau turun. Mandikan mayat isteri kau"
Mata merah Azhar tepat mencerlung ke arah wajah Rizal. Mayat? Isteri dia masih hidup! Siapa cakap Nissa sudah meninggal?
Rizal menelan liur. Aku salah cakap ke?
"Isteri aku masih hidup! Siapa cakap dia dah meninggal? Haa??!!" bentak Azhar dalam suara yang keras. Dia tak mahu mempercayai hakikat tersebut. Nissa masih bernafas. Semalam, mereka tidur berpelukan, seperti malam-malam sebelumnya. Saling meluah rasa, adakalanya mengusik satu sama lain. Dia masih ingat dengan jelas wajah Nissa yang tersenyum manis padanya. Meminta ampun dan meredhakan segala-galanya.
Ya Allah! Ya Allah!! Aku tak kuat.
"Nissa..dia...dia masih dengan aku malam tadi. Dia senyum, dia gelak..dia pakai gaun putih ni..dia cantik sangat. Dia wangi!!" ujar Azhar dengan sebak berbuku dalam dada. Dia belum rela melepaskan isterinya pergi.
Baru dua bulan usia perkahwinan mereka. Dia belum puas memanjai dan dimanjai isterinya. Dia belum puas membahagiakan isterinya. Masih banyak yang harus mereka kecapi dan cipta bersama.
"Har.." panggil Nuh lembut. Dia sudah duduk di sebelah Azhar. Kasihan dia melihat Azhar yang memeluk dan mencium gaun putih kepunyaan Nissa itu.
"Kau kena kuat. Kita orang semua ada untuk kau. Bukan kau je yang bersedih..semua orang rasa benda yang sama!"
Nuh meluah. Menahan sebak dan kesedihan dalam hati. Nissa, insan istimewa yang pernah singgah di dalam hatinya. Walaupun hanya sekejap, namun kehadirannya masih berbekas dalam hati.
"Kita semua sayang Nissa. Tapi Allah lebih sayangkan dia. Kau tak boleh nak melawan percaturan yang Allah dah tetapkan"
Pandangan Azhar berkalih pada wajah tenang Nuh. Dia tahu, Nuh juga sedang menahan kesedihan.
"Nuh, isteri aku...." Azhar mengongoi lagi. Semakin ditahan air mata itu, semakin laju pula dia menuruni.
"Ya, aku tahu!" sahut Nuh. Tubuh Azhar dibawa dalam pelukan. Menyalurkan segala jenis kekuatan kepada lelaki itu walhal dia sendiri juga sedang tewas.
"Dia masih ada dengan aku semalam Nuh!! Dia cakap, dialah bidadari syurga aku. Tapi sekarang, macam mana aku nak teruskan hidup? Dia nyawa aku. Dan nyawa aku dah tinggalkan aku!!"
Azhar mengomel. Pantas sajalah semenjak beberapa hari ini hatinya tak tenteram. Seolah ada perkhabaran buruk mendatangi. Namun dia bingung, kenapa Nissa bisa meninggal jika tiada sakit apa-apa?
"Har...." Belakang Azhar ditepuk perlahan. Tak mampu menahan rasa, akhirnya air mata yang ditahan melepaskan diri juga.
"Aku tak kuat Nuh! Macam mana aku nak lalui hari-hari aku tanpa dia? Setiap ruang di rumah ni penuh dengan wajah dia!!"
Nuh hanya membatu. Tiada upayanya hendak membantu sementelah dia juga sedang goyah. Ya Allah!! Kuatkanlah kami!
KAK Uteh dan Mak Kiah sibuk membantu di dapur. Ada Raudhah dan beberapa orang di situ sudah mulai bekerja. Salmah pula hanya duduk termangu di atas kerusi roda sambil menangis.
Baru semalam rasanya dia bertemu dengan Nissa. Melihat senyuman di wajah itu, dia yakin Nissa sedang disulam bahagia di samping Azhar. Kebahagiaan itu jelas terpancar pada wajah mereka. Dan kini, mampukah kebahagiaan itu bertahan setelah Nissa pergi? Kuatkah Azhar?
"Mak Kiah, macam pelik kan?" bisik Kak Uteh ke telinganya.
Mak Kiah yang sedang mencuci beras, memandang wajah Kak Uteh dengan dahi berkerut seribu.
"Apa yang peliknya?"
"Baru semalam aku jumpa Nissa. Dia nampak sihat dan ceria. Pagi ni pulak, tiba-tiba dia meninggal"
Mak Kiah mengeluh. Kaget juga sebenarnya menerima perkhabaran tersebut.
"Ajal ni Uteh, dia tak kira kau sihat ke, kau tak bersedia ke, kalau dah nama ajal, cepat atau lambat mesti bertemu jugak!"
"Tapi kesianlah kat Azhar tu! Baru je kawen, dah kena tinggal bini. Kalau dah lama kawen tu, lain ceritalah!"
"Entahlah Uteh. Kita ni mampu berdoa je. Semoga yang baik-baik je untuk mereka"
Kak Uteh mengangguk kepala. Macam-macam hal betul yang berlaku. Tak dapat dia membayangkan nasib Azhar kemudian hari. Semoga saja dia kuat dan tabah!
"WHAT? Pa? Are you serious? Mama?" Pandangannya jatuh pada wajah Puan Sri Linda.
Melihat Puan Sri Linda yang mengangguk dengan senyuman di wajah, Lili terduduk di atas sofa. What a small world! Sungguh tak disangka akan pertemuan itu.
"Papa dah siasat semua. Dari dia kecik sampai ke besar. Papa tak salah orang. She's my long-lost daughter!"
Ungkapan tersebut membawa sebak di dada. Sudah lama dia mencari Hanita dan anak mereka. Malah Allah mempertemukan dia dengan anaknya dalam situasi seperti ini. Sungguh dia tak percaya.
"Jadi dia adik Lili dengan Mimi?"
Tan Sri Aziz mengangguk. Dia berkahwin dengan Hanita atas dasar rasa cinta yang mendalam. Namun mereka berkahwin di Thailand kerana waktu itu Tan Sri Aziz sudah pun menikah dengan Puan Sri Linda yang sedang mengandungkan Mimi. Lili pula berusia tiga tahun waktu itu.
"Kamu bertiga sebapa tapi berbeza ibu. Sebenarnya papa dah lama bercinta dengan Hanita. Tapi mama waktu tu jugak jatuh cinta pada papa. Jadi mama gunakan kekuasaan yang ada pada keluarga mama untuk memiliki papa. Masa tu, bisnes keluarga papa sedang jatuh habis. Jadi untuk selamatkan perniagaan dia, kami kena dikahwinkan. Keluarga mama akan bersetuju untuk membantu keluarga papa kalau kami berkahwin" Puan Sri Linda berjeda. Dia sedih kerana tega menyakiti hati Hanita waktu itu.
"Jadi mama dan papa berkahwin tanpa papa ada rasa cinta pun masa tu pada mama. Hanita menghilangkan diri. Papa jadi tak keruan. Tapi papa slow moved on. Dan tak lama lepas tu, Lili pun lahir. Tiga tahun lepas tu, mama mengandungkan Mimi. Dan papa berjumpa kembali dengan Hanita. Mereka buat keputusan untuk berkahwin di Thailand tapi dengan persetujuan mama. Mama berserah kerana mama tahu, cinta papa masih utuh pada Hanita masa tu"
Lili tekun mendengar. Dia tak berani nak menyalahkan sesiapa di dalam hal tersebut kerana dia masih lagi kecil waktu itu.
Tan Sri Aziz mendekati si isteri. Bahu isterinya ditepuk perlahan.
"Tapi masa Mimi dah berusia dua tahun, Hanita mengandung. Dan masa tu, kalau tak silap papa, Hanita mengandung tiga bulan. Masa tu dia menghilangkan diri. Dia cuma tulis sepucuk surat dan mengharap papa tak mencari dia.."
Tan Sri Aziz mengesat air mata. Sudah hampir 26 tahun dia mencari Hanita dan anak mereka. Namun usahanya semua gagal. Apabila dia bertemu kembali dengan Nissa tempoh hari, hatinya kuat mengatakan sesuatu. Wajah Nissa mirip sekali dengan Hanita.
Disebabkan itulah, dia mengupah Najmi untuk menyiasat segala-galanya mengenai Nissa. Dan ternyata, Nissa adalah anak kandungnya bersama Hanita.
"Papa baru tahu kalau Nissa anak papa! Anak yang disangka sudah kematian ibu bapa dihantar ke rumah anak yatim. Papa tak sempat nak membesarkan dia" getus Tan Sri Aziz dengan linangan air mata. Betapa dia mensyukuri pertemuan ini. Meski sudah 26 tahun berlalu, dia akan berusaha untuk membalas segala kekurangannya sebagai papa kepada Nissa. Dia akan mencukupi segala keperluannya.
Puan Sri Linda menatap wajah Lili yang kelihatan terkejut itu. Dia memegang tangan Lili dan menggenggamnya. Dia berharap sangat agar Lili tak marah pada sesiapapun atas apa yang telah berlaku. Mimi sudah memahami dan penuh lapang dada menerima Nissa.
Menurut Mimi, pertama kali bertemu Nissa, dia dapat merasakan sesuatu, cuma tak pasti akan perkara itu. Nissa amat disenangi meskipun ketika itu status mereka sebenarnya adalah adik-beradik tiri. Hanya saja masing-masing belum mengetahuinya.
"Mama harap sangat, Lili tak berdendam atau menyalahkan sesiapa di dalam perkara ini. Semua yang berlaku di luar kekuasaan kita. Kata Mimi, Nissa adalah sosok wanita yang baik. Jadi mama percaya kalau Hanita juga seorang wanita yang baik"
"Ma, Lili dah belajar banyak perkara sejak kebelakangan ni. Jadi mama dan papa jangan risau, Lili redha. Lili ikhlas terima Nissa sebagai adik. Lili janji, akan jaga dan layan dia dengan baik"
Puan Sri Linda tersenyum. Lega hatinya tatkala kedua-dua anaknya menerima perkara ini dengan hati yang terbuka.
"Mama! Papa!!"
Mimi menuruni anak tangga dengan tergesa-gesa. Wajahnya panik.
"Kenapa ni?" tanya Lili.
"Nissa!!"
"Kenapa dengan Nissa?" Tan Sri Aziz menyoal. Janganlah ada sesuatu yang buruk berlaku!
"Kak Uteh kata, Nissa meninggal pagi tadi!"
"Haa??!" Ketiga-tiga mereka tersentak.
KERETA Myvi yang dipandu tiba-tiba sahaja berhenti di bahu jalan, bertepatan dengan rumah Azhar. Ustaz Hamzah mengucap panjang kerana tersentak dengan bunyi tayar kereta yang meletup.
"Kamu ni Ziman! Terkejut ustaz!"
"Maaf ustaz" tutur Ziman dengan sopan.
"Tayar pecah ke?"
"Nampak gayanya macam tu lah ustaz!" keluh Ziman lantas keluar dari perut kereta.
Ustaz Hamzah menggeleng kepala. Dia memandang jam di pergelangan tangan. Ada sejam setengah lagi sebelum ceramah dimulakan. Dia dijemput bagi memberi ceramah di masjid berdekatan situ. Cermin kereta diturunkan.
"Macam mana ni ustaz? Bengkel jauh lagi ni" tanya Ziman.
Ustaz Hamzah memandang sekeliling. Di hadapan mereka, terdapat beberapa buah kereta tersadai. Dia mengerut dahi. Banyaknya kereta! Ada majlis apa ni?
Tiba-tiba, Ustaz Hamzah terpandang akan rumah yang sudah dipenuhi manusia itu. Terpandang saja rumah tersebut, wajahnya berubah serius. Pandangannya tak berkelip. Aura rumah tersebut agak lain. Dapat dia melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.
"Kenapa ustaz?" tegur Ziman yang melihat Ustaz Hamzah termangu saja. Ibarat nampak hantu!
"Man, kita pergi rumah tu!"
Ustaz Hamzah tunjuk rumah tersebut.
"Ustaz, kita tak dijemput..."
"Ustaz tahu! Tapi ada sesuatu yang mengganggu ustaz. Ada tak kena pada rumah ni"
Ziman mengerut dahi. Rumah yang dimaksudkan oleh Ustaz Hamzah itu diperhati lama. Namun tiada apa yang pelik di situ. Kelihatan orang lalu-lalang dan sibuk menyiapkan sesuatu.
"Tapi ustaz..."
"Ikut je ustaz!"
Yang jelas, ada yang tidak kena pada rumah itu!
done another bab. fuuu apa perasaan tu? hehe
Share this novel
maaf author, walaupn berlainan ibu tp sebapa, itu adik beradik betul bukan tiri. seorang ank yg bapanya berkahwin lg dgn janda yg ada ank, itu baru dnamakn adik beradik tiri.