SUASANA rumah sudah dipenuhi dengan banyak orang. Kanopi putih terpasang di tepi rumah. Ada yang sudah mula menyediakan makanan. Ada yang sibuk menguruskan perkara lain. Bahkan ada juga yang hanya berborak sesama sendiri. Van jenazah pula sudah awal-awal parkir di halaman rumah.
Nissa mengerut dahi melihat van jenazah di situ. Pandangannya bersatu dengan mata Azhar.
"Kenapa ada van jenazah?"
Azhar menjongket bahu. Dia dan Nissa menapak keluar dari perut kereta. Ketika itu, Azhar mematikan langkah. Kenangan lampau kembali bergentayangan. Dadanya mulai sesak, serentak dengan bayangan jenazah Nissa di hadapan mata.
Kakinya terasa lemah. Tubuh badannya hampir rebah. Sedaya upaya dia mengusir bayangan itu.
"Abang.." Nissa memaut lengannya.
Melihat Nissa tersenyum di hadapannya, dia mencuba menegakkan badan. Tangan Nissa digenggam. Hatinya kembali lega. Nissa masih bernafas. Hanya traumanya masih mengikuti!
"Kita masuk dalam" kata Azhar dengan masih memaut lengan isterinya.
LANGKAH keduanya terhenti di hadapan pintu. Kedua mereka terkejut melihat keadaan Mak Uda yang sangat tenat itu. Bau busuk memenuhi ruang rumah. Wajarlah hanya beberapa orang saja di situ. Barangkali tidak tahan dengan bau tersebut. Kebanyakan penduduk kampung duduk di luar.
"Nissa...." Sulaiman dan Shima mendekati.
Dahi Nissa berkerut melihat wajah Shima yang jauh berbeza itu.
"Shima, muka kau..."
Shima sembunyi wajahnya dengan shawl yang terlilit di kepala. Air matanya mula berlinangan. Wajah cantik yang dibangga-banggakan dahulu kini telah hilang buat selama-lamanya. Semuanya salah dia!
"Nissa, Mak Uda..." Sulaiman mencelah.
Nissa angguk. Laju saja langkahnya mendekati sekujur tubuh yang terbaring lemah di atas tilam. Azhar memimpin dari arah belakang. Trauma masa lampau membuatnya sentiasa berjaga-jaga.
"Mak Uda..." Esakan Nissa sudah kedengaran. Betapa sedih hatinya melihat keadaan Mak Uda yang sudah tidak berdaya itu.
Mak Uda mengangkat tangan kanannya. Tangan yang masih ada memberi khidmat terakhir kepadanya. Nissa mendekatkan wajah ke arah tangan Mak Uda itu.
Azhar menahan tubuh Nissa dari berbuat demikian. Namun Nissa menolak dengan lembut.
"Ma...af.....kan..." ucap Mak Uda dengan tergetar-getar sambil memukul dadanya.
Wajah kasih Nissa direnung dalam tatapan terakhir. Dia benar-benar menyesali segala perlakuannya terhadap wanita itu. Dari kecil sehingga kini, Nissa sering kali diseksa.
Terbayang-bayang seketika saat dia memukul tubuh itu kerana memecahkan pasu bunganya. Waktu itu Nissa baru berusia 10 tahun. Tak cukup dengan itu, dia menolak Nissa ke dalam sungai kerana dia tahu Nissa tak bisa berenang. Dengan harapannya agar Nissa menghembuskan nafas terakhir.
Selain itu, ketika Nissa berusia 15 tahun, dia tidak mengizinkan Nissa menaiki kereta ke sekolah. Disuruhnya Nissa menaiki bas atau berjalan kaki saja. Ketika Nissa berteman dengan Shima, pelbagai tohmahan dilemparkan kepada Nissa agar menjauhi Shima. Shima pula termakan hasutannya dengan segala fitnah yang dibuat. Macam-macam lagi bentuk penyeksaan dan cacian yang dilemparkan kepada Nissa.
Yang paling menyesalkan, dia tega memusnahkan kehidupan Nissa dengan menghantar sihir kepadanya. Nissa hampir kehilangan nyawa bersama bayi di dalam kandungannya.
Mak Uda menyesal. Dia berdosa. Dia bersalah. Pada Nissa, pada Azhar, juga pada arwah Rosiah! Esakannya tidak kedengaran namun air matanya laju berguguran ke pipi.
"Ya, Nissa maafkan Mak Uda! Nissa redha, Nissa ikhlas!" sahut Nissa dengan sebaknya. Tangan Mak Uda diraih lantas dikucup.
Mak Uda senyum. Hatinya lega mendengar pengakuan Nissa itu. Dia tahu, Nissa ikhlas dan benar-benar memaksudkannya.
Nissa mendekatkan bibir ke telinga Mak Uda saat dia melihat nafas Mak Uda mulai tak teratur.
"Mengucap Mak Uda. Ikut Nissa" Nissa bisikkan dua kalimah syahadah beberapa kali ke telinga Mak Uda. Dapat dia dengar suara itu mengikuti ucapannya.
"Mak Uda..." Nissa kaget tatkala genggaman Mak Uda perlahan-lahan terbuka dan tangan itu rebah di atas lantai. Matanya terpejam. Bibirnya berhenti mengucap dua kalimah syahadah.
Sulaiman mendekati isterinya. Dia merasa nadi pada pergelangan tangan kanan isterinya. Dadanya berdegup laju. Wajah sembam Nissa dipandang. Serentak itu, dia menggeleng kepala beberapa kali.
Nissa hampir rebah. Azhar di belakang memaut tubuhnya. Kemudian, tubuh itu memeluknya erat.
"Sabar sayang.." bisik Azhar ke telinga isterinya.
USAI sudah majlis pengembumian Mak Uda. Malam sudah lama berlabuh. Penduduk kampung berpusu-pusu kembali ke rumah masing-masing setelah selesai majlis tahli dan doa.
Nissa duduk di atas kerusi kayu itu dengan linangan air mata. Meskipun hubungannya dengan Mak Uda tak pernah baik selama ini, namun kepermegian wanita itu tetap terasa. Dia tidak berdendam. Dia redha. Dan dia ikhlas. Mak Uda sudah kembali ke sisi Pencipta. Doanya agar roh Mak Uda tenang di sana.
"Nissa..."
Shima mendekati Nissa. Dia serba-salah untuk berterus-terang namun jika tidak berbuat demikian, risau pula amanat arwah emaknya tidak dilaksanakan.
"Hmm" Nissa menggumam sambil menyeka air matanya. Perut yang mengeras diusap perlahan.
"Apa dah jadi pada wajah kau Shima? Setahu aku, kau dulu sangat cantik"
Wajah Shima yang buruk sebelah itu ditatap. Di kampung mereka, Shima antara gadis yang cantik dan digemari ramai. Namun kini wajah itu sangat menggerunkan.
Shima hanya teresak-esak. Dia menceritakan segala-galanya kepada Nissa. Mengenang kembali kisah tersebut, hatinya jadi sebu. Dia salah langkah. Gara-gara ingin Zikri tunduk padanya, dia sanggup melawan takdir Allah dengan memberikan suaminya nasi kangkang. Semua itu dipelajari daripada Mak Uda sendiri.
Mulanya, dia rasa senang dan puas tatkala Zikri tunduk padanya. Segala wang dan kemewahan milik Zikri berjaya dimiliki. Dalam satu hari saja, dia puas berbelanja hampir RM300,000 dalam sekelip mata. Mana tidaknya, Zikri adalah anak orang kaya yang berjaya dipikat melalui kecantikannya.
Namun semuanya tidak kekal lama. Setelah tiga tahun lebih mendirikan rumah tangga dan Zikri tunduk kepadanya, kejahatannya terbongkar. Dan ketika itulah Zikri berubat. Apabila Zikri sembuh, dia melafazkan talak tiga kepada Shima. Wajah yang cantik sudah tiada gunanya. Adik perempuan Zikri, Zarina membalas sakit hatinya dengan menyimbah asid ke wajah itu.
Dengan keadaan yang tidak berdaya, dia kembali ke kampung. Namun dia pula menerima berita Mak Uda yang sakit tenat. Kini, dia menyesali segala-gala yang telah terjadi. Dia hilang semuanya dalam sekelip mata.
"Aku yang salah Nissa! Kalau bukan kerana nafsu dan ketamakan, aku takkan hidup macam ni"
"MasyaAllah! Bertaubatlah Shima. Allah masih sayangkan kau. Jangan kerana nafsu dan ketamakan, kau jadi lupa pada dosa pahala. Ajal datang tanpa diduga"
Nasihat Nissa dengan ikhlas. Bahu Shima dielus perlahan. Dia tak mahu Shima mengikuti jejak Mak Uda. Sementara masih diberi peluang untuk bernafas, ada baiknya jika digunakan sebaik mungkin kesempatan itu.
Shima menyeka air mata. Kepalanya mengangguk setuju. Dia sedar, dia insaf. Dia gerun tatkala melihat jenazah Mak Uda. Dia tidak mahu meninggal dakam keadaan kufur nikmat. Akan dia kejar pahala selama mana hidupnya masih bersisa di dunia ini.
Azhar mendekati mereka lalu duduk di sebelah Nissa. Bahu Nissa diusap perlahan.
Cemburunya Shima melihat Nissa diladeni sebegitu baik. Dalam masa yang sama, dia sebenarnya segan apabila berhadapan dengan lelaki itu. Dulu dialah selalu mengherdik dan mencaci Azhar. Dia tak sukakan Azhar. Mak Udalah yang menghasutnya. Lelaki itu dipandang serong. Kini, dia sudah berjaya dan mampu mencipta nama sendiri. Untungnya Nissa, menemui lelaki yang cintanya sejati dan tulus untuk dia.
"Nissa, ada sesuatu yang kau perlu tahu. Aku tahu ni pun dari arwah mak. Tapi aku benar-benar harap kau kuat"
Nissa dan Azhar saling berpandangan. Jari-jemari Nissa digenggam kuat. Entah apa lagi berita yang bakal mereka terima kali ini.
"Sebenarnya, arwah ibu engkau bukan meninggal sebab penyakit atau kemalangan. Tapi, dia meninggal sebab..." jeda Shima. Dia menggigit bibir. Antara takut dan harus menceritakan kebenaran, dia benar-benar tersepit!
"Sebab apa Shima? Cakaplah!" Hati Nissa semakin berdebar.
"Sebab arwah mak yang buat arwah ibu kau.." Suara Shima tenggelam timbul menahan sebak yang membuak dalam dada.
"Dia yang sihirkan ibu kau!"
Mendengar itu, mutiara jernih semakin deras mengalir ke pipi. Genggaman Azhar diperketatkan. Sungguh demi Tuhan, dia tak kuat!
Shima sudah berlutut di hadapan Nissa sambil memaut kakinya. Dia sudah teresak-esak.
"Kau berhak marah dengan arwah mak. Tapi tolong, jangan berdendam. Tolong maafkan mak aku Nissa! Aku baru tahu perkara ni sebelum mak jatuh tenat. Aku tak berani nak bagitau kau sebab aku takut kau marahkan aku, marahkan mak!"
"Kenapa?" Nissa bertanya. Meskipun hatinya kian rapuh, namun dia kuat ingin tahu asbab di sebalik semua itu.
Azhar di sisi hanya mampu mendiamkan diri. Dia sudah hilang kata-kata. Hendak dimarah, dihukum, pelakunya sudah tiada. Jadi dia hanya membatukan diri dan memberi sepenuh kekuatan kepada sang isteri.
"Mak ingat ibu kau ada hubungan dengan ayah aku! Sebab ayah aku pernah cintakan ibu kau! Mak cemburu, mak cakap walaupun dah ada dua orang anak, ayah masih terkenangkan ibu kau. Mak tak boleh terima tu. Dia sihirkan ibu kau dari jauh..."
Nissa rasa dadanya kian sesak. Nafasnya seakan terhenti. Ya Allah, bagaimana dia harus kuat?! Bagaimana dia harus memberi kemaafan? Redhakah dia? Ya Allah! Nissa menangis semahu-mahunya dalam dakapan Azhar.
Sulaiman yang berdiri di situ hanya mampu meratapi. Entah kenapa hatinya merasa begitu sesal dengan semua yang berlaku. Dia marahkan Mak Uda namun hatinya sudah redha.
Salmah dan Kak Uteh juga menangis mendengar cerita itu. Rupa-rupanya kehilangan Hanita selama ini ada kaitannya dengan Mak Uda.
"Abang, Nissa tak kuat!" Nissa mengongoi dalam dakapan Azhar.
"Ye sayang. Abang tahu. Menangislah puas-puas ye? Abang ada teman kat sini" Belakang Nissa diusap lembut. Sebak hatinya melihat nasib isterinya itu. Bertubi-tubi dugaan datang.
MALAM itu, setelah menidurkan Nissa, Azhar duduk di balkoni bilik. Memandang ke dada langit yang begitu suram. Kerdipan bintang entah hilang ke mana agaknya. Suasana kampung yang cukup sepi. Berbeza dengan di bandar. Malam masih dianggap muda!
Malam yang suram seakan mengerti sekeping hati yang juga tengah berduka. Azhar berpaling, memeriksa sekiranya Nissa terjaga. Namun lenanya si isteri bikin dia senyum sendiri.
Surat tanah dan harta arwah Rosiah yang dikembalikan oleh Shima petang tadi direnung. Menurut Shima, semua itu adalah hak Nissa. Mak Uda hanya sempat menjual sebidang tanah kepada pengusaha di Selangor. Dan duit tanah tersebut telah pun dibelanjakan oleh Mak Uda.
Azhar mengeluh. Gara-gara harta, manusia berubah dan sanggup memutuskan silaturahim. Sehingga tega menyakiti sesama sendiri. Namun pada akhirnya harta yang bertimbun pun tak mampu dibawa sehingga ke liang lahad.
Setelah dikira-kira, harta dan tanah-tanah yang sudah berpindah hak kepada Nissa mengandungi jumlah yang tak terkira banyaknya. Dengan jumlah tersebut, Nissa sudah boleh jadi jutawan tanpa perlu bekerja sekalipun! Namun dengan harta sebegitu, bisakah membeli sebuah kebahagiaan dan ketenangan?
"Abang...abang..."
Azhar menghampiri Nissa. Dia berbaring di sisi dan memeluk erat tubuh itu.
"Abang kat sini sayang"
Nissa memeluk erat tubuh itu. Tangisannya tumpah lagi. Esakannya bikin hati Azhar meruntun. Jika ada yang bisa dilakukan untuk menghapus duka itu, pasti dia sudi melakukannya!
"Allah marah tak, kalau Nissa tak maafkan Mak Uda?"
Soalan itu mengejutkan Azhar. Wajah polos Nissa ditatap.
"Kenapa cakap macam tu?"
"Nissa ingat Nissa kuat untuk maafkan Mak Uda setelah apa yang dia buat pada Nissa dan baby. Tapi bila dengar cerita Shima, hati Nissa jadi keras. Hati Nissa jadi tak kuat. Macam mana bang? Nissa tak nak berdosa tapi Nissa belum kuat nak maafkan dia!" rintih Nissa dalam tangisan. Sakitnya menanggung rasa ini!
"Takpe. Sayang ambiklah masa. Allah mesti faham hambanNya kan? Allah Maha Mengetahui. Tapi kalau sayang nak redha Allah, nak ketenangan hati, sayang kena maafkan arwah. Memang tak senang, sebab itulah dugaan kita. Tapi dugaan tu yang buat kita semakin kuat dan sabar. Orang yang sabar pahalanya besar di sisi Allah. Sayang kan nak pahala? Kita janji nak masuk syurga sama-sama kan?"
Bak anak kecil, laju Nissa mengangguk kepala. Matanya yang basah itu dikucup oleh Azhar.
"Arwah pun dah takde sayang. Kita nak berdendam pada yang dah tiada pun tak guna. Allah bagi dugaan ni sebab nak uji iman kita kuat atau sebaliknya. Kalau kuat, kita redha. Kalau tak kuat, kita lawan takdir Allah. Redha tu susah tapi susah tu akan ajar kita makin dekat pada Allah"
Nissa angguk. Bicara Azhar buat dia tenang. Didakap erat kembali tubuh kekar itu. "Nissa nak masuk syurga dengan abang"
"Jadi kita kena banyak bersabar. Okey?" Kepala Nissa diusap.
Nissa senyum dengan anggukan di kepala. Malam yang suram rupa-rupanya mampu memberi ketenangan pada dua hati itu.
Nissa mengeratkan pelukan. Azhar mendakap penuh kasih sayang. Bertautnya kasih sayang mereka pada keberkatan dan kerahmatan Allah.
Share this novel