SUDAH seminggu Azhar pergi. Dan seminggu juga rumah itu sepi, tiada seri. Sama seperti hatinya saat itu. Sejak Azhar pergi, segala yang dilakukan olehnya serba tak kena.
Hatinya terkenang akan Azhar. Jiwanya merintih. Sepinya semakin terasa. Bahkan setiap harinya dihabiskan dengan mengingati lelaki itu.
Ya Allah, berdosakah dia mengingati lelaki lain selain suaminya? Nissa menggeleng kepala berkali-kali. Dia mengenang Azhar kerana lelaki itu adalah sahabatnya. Bukan atas dasar apa-apa.
Nissa teringat akan mesej yang dihantar oleh Azhar tiga hari lepas. Menurut Azhar, dia sudah berjaya temuduga tersebut dan akan dipanggil untuk sesi latihan dalam masa terdekat. Dia kini sedang menetap di rumah Syafiq dan kemungkinan akan kembali dalam masa yang lama.
Mesej Azhar hanya dibiarkan sepi. Dia tak menjawab sebarang pertanyaan daripada lelaki itu. Dia sebenarnya sedang merajuk dengan Azhar. Walaupun berkali-kali dia memujuk hatinya sendiri, namun ego tetap mengatasi. Bahkan berkali-kali juga Azhar mengikat janji untuk kembali kepadanya.
Iqbal pula sudah seminggu ke Korea bersama Mimi. Dan suaminya itu juga tidak menanya khabar kepadanya sejak beberapa hari ini. Dia hairan namun tidak pula dia bertanya akan perkara itu. Sebolehnya dia tak mahu mengganggu privasi kedua mereka.
Sejak seminggu yang lepas juga, stor itulah tempat dia beradu dan solat. Bukan dia takut untuk berada di kamarnya sendiri namun setiap penjuru di rumah itu mengingatkan dia kepada Azhar. Selain itu, dia juga ingin mengelak daripada bertembung muka dengan Mak Uda. Mak saudara suaminya itu kerap kali berkunjung ke situ sejak Azhar pergi seminggu lepas.
Jika mereka bertembung, dia risau jika kata-kata Mak Uda bakal menyakiti hatinya lagi. Sungguh, dia tidak kuat untuk berdepan dengan wanita itu. Kalau dulu dia punya Azhar sebagai pelindung, kini dia hanya bisa bertahan sendirian.
Nissa mengeluh. Hmm, dia benar-benar sudah penat! Bahkan dia berharap agar Allah mengambil nyawanya saat itu juga. Dia seakan sudah hilang pedoman untuk terus hidup.
Bunyi notifikasi dari WhatsApp menyedarkan dia. Dia sudah mengagak gerangan pengirimnya. Pasti Azhar!
Dibaca mesej tersebut dengan senyuman di wajah. Azhar gemar meng-update sebarang aktiviti dan menghantar gambar kepadanya.
'masih merajuk lagi?'
Mesej tersebut dibaca berulang kali.Arghh! Azhar bisa membaca setiap fikiran dan perbuatannya.
'takpe, merajuklah dulu! nanti kalau rindu tu singgah, jenguklah kite ye?'
Sekali lagi, mesej tersebut mengundang senyuman pada wajah Nissa. Ya Allah, kenapalah Iqbal tidak seperti Azhar?!
'gtg! ada urusan kejap. nanti aku wasap lagi. jaga diri baik2 ye nissa? jgn merajuk lama2..ssah aku nak pujuk jauh2 ni'
Dan setelah itu, notifikasi telefon bimbitnya kembali sepi, sesepi hatinya ketika itu.
"ASYIK memerap je dalam bilik. Engkau ingat engkau tu mem besar ke dalam rumah ni? Tak habis-habis nak menyusahkan aku!"
Nissa hanya menadah telinga dan memendam rasa. Itulah salah satu asbab dia tidak mahu berpampasan dengan Mak Uda. Wanita itu tampak tak jemu 'membuli'nya. Pantang ada peluang, laju saja dia mengambil kesempatan.
Langkah kakinya terhenti di hadapan sinki. Paip air dibuka dan dia melakukan kerjanya di situ.
Bukannya dia hanya terperuk di dalam bilik. Setelah selesai semua pekerjaannya, barulah dia kembali ke bilik. Dia bukannya saja-saja nak berehat. Mak Uda hanya tahu menuduh tanpa seusul periksa. Tetapi dia hairan. Sejak akhir-akhir ini, semakin kerap Mak Uda ke situ padahal dia punya rumah dan keluarganya sendiri.
"Kau tak dengar ke apa yang aku cakap?"
Tanpa sedar, Mak Uda sudah berdiri di sebelah Nissa.Matanya terjegil memandang wajah itu.
"Nissa dah uruskan semuanya tadi Mak Uda. Masak, menyapu, cuci baju.." ujar Nissa. Kadangkala dia pelik. Mereka punya pembantu rumah, tetapi dia juga yang harus mengurus semuanya. Bukannya dia hendak berkira, cuma dia kepikiran sahaja. Kak Uteh dan Mak Kiah juga selalu melarangnya daripada melakukan pekerjaan rumah. Namun setelah dapat dihidu oleh Mak Uda, habislah pembantu rumah mereka dimarahi.
"Menjawab je kerja dia! Patutlah laki tu tak tahan! Aku harap sangat dia ceraikan kau. Setakat bermadu, belum cukup buat hidup kau merana!" gerutu Mak Uda dengan perasaan geram.
Kak Uteh yang berdiri dari arah luar rumah hanya tercegat menyaksikan semua itu. Dalam hati, dia rasa kasihan dengan nasib yang menimpa diri Nissa itu. Kalaulah ada Azhar di situ, pasti dibelanya nasib Nissa.
"KAU tak payahlah ambik hati dengan kata-kata Mak Uda tu! Macamlah kau tak kenal mulut laser dia tu"
Melihat Nissa menyeka air mata, laju saja Kak Uteh memujuk. Di sisi Nissa dia berdiri sambil memberi kekuatan.
"Hina sangat ke Nissa ni kak? Semua orang buat Nissa ni macam sampah! Suami pun..." luah Nissa dengan suara tenggelam timbul. Sebaknya terasa di hujung hati. Dia seakan terasa asing di dalam rumah itu.
"Sabarlah Nissa. Akak tak mampu nak tolong banyak. Tapi akak yakin, kau kuat"
Lengan Nissa diusap lembut. Melihat wajah mendung Nissa, hatinya diterpa rasa kasihan.
"Kalau Azhar ada, mesti dia akan pertahankan saya. Nissa rindu dia..." Nissa sudah teresak-esak. Tak mampu juga dia menahan rasa sebaknya itu.
"Akak faham tu. Tapi kau kena kuat. Kat dunia luar tu, banyak lagi benda lain yang kau kena hadap. Doa banyak-banyak pada Allah. Dia kan Maha Mendengar"
Nasihat Kak Uteh dengan senyuman di wajah. Apa yang dia tahu dan perasan, hanya Azhar yang melindungi dan menjaga wanita itu. Sedangkan Iqbal? Kenapalah bukan Azhar yang mengahwini Nissa?
"Kerja ni, kau tak payah buat. Biar akak je yang buat. Kau dah bekerja dari pagi tadi. Berehatlah dalam bilik. Pasal Mak Uda tu, tak payah nak susah hati. Aku pun heran dengan dia tu. Macam takde rumah sendiri! Selalu sangat kat sini. Hishh, tak jaga suami sendiri ke?!" Kak Uteh sudah mula berleter. Ada kalanya dia juga bingung dengan sikap Mak Uda itu. Lebih kuah dari sudu!
"Dah, kau masuk bilik! Rehat ke, tidur ke, buatlah apa-apa!"
KERETA ALZA milik Iqbal sudah tiba di perkarangan rumah. Semua menyambut dengan wajah ceria. Iqbal keluar dari kereta, dituruti oleh Mimi. Beg dari dalam bonet dikeluarkan.
Mimi mendekati semua orang dan bersalam dengan mereka. Saat berhadapan dengan Nissa, dia tersenyum lantas memeluk tubuh itu.
Nissa teragak-agak untuk membalas. "Awak sihat Nissa?"
Nissa mengangguk kepala dengan senyuman tipis di wajah.
Iqbal mendekati. Tangan Iqbal diraih lalu dibawa ke bibir.
"Nissa sihat ke?" soal Iqbal.
"Alhamdulillah sihat"
"Iqbal belikan apa-apa tak untuk kami? Manalah tahu, merasalah jugak nak pakai barang Kpop" seloroh Kak Uteh yang berdiri tidak jauh dari Nissa.
"Engkau ni Uteh. Itu aje yang diingat! Tak payah nak bawak apa-apa. Bagi cucu pun dah cukup! Rumah ni sunyi, takde bunyi budak" sindir Mak Uda sambil menoleh ke arah Nissa.
Nissa mengetap bibir. Namun seperti biasa, dia hanya mampu memaniskan wajah.
"Mak Uda ni.." Mimi segan apabila dibangkitkan soal itu. "Awal sangatlah Mak Uda"
"Ehh apa pulak awal! Awal tu lah bagus. Beranak banyak-banyak. Nanti Nissa boleh tolong jagakan. Yelah, dia kan takde anak. Jaga anak tiri pun jadilah. Kan Nissa?" Mak Uda menyindir lagi. Kali ini, lengkap dengan pakej senyuman sinis di wajah.
Perlahan-lahan Nissa mengangguk. Senyuman Mak Uda dibalas. Meski hatinya merintih, namun dia tetap memaniskan wajah.
"Abang dan Mimi dah makan ke? Nissa ada masak"
"Awak masak?" Mimi pandang wajah Nissa.
"Aah"
"Wahh, mesti sedap ni! Jadi lapar pulak. Jomlah masuk. I nak makanlah!"
Mimi sudah menarik tangan Nissa untuk masuk ke dalam rumah. Keduanya bergegas ke dapur, meninggalkan semua di situ.
Mak Uda cemburu. Dia tak boleh melihat keduanya berbaik. Nissa dan Mimi tak boleh kawan! Dia harus buat sesuatu.
"HMMMM sedapnya awak masak! Masa kita orang kat Korea, masakan Malaysialah yang saya paling rindu" puji Mimi ikhlas. Mulutnya dari tadi tak habis mengunyah.
Nissa hanya tersenyum. Dia tak menyangka seperti itu reaksi Mimi rupanya.
"Kalau lepas ni, awak masakkan saya macam ni hari-hari boleh tak? Nanti bahan semua saya beli"
Nissa tersentak. Wajahnya berubah. Dia bukan orang gaji kepada Mimi ataupun rumah tersebut.
"Errr, maksud saya, nanti awak ajarkan saya masak. Boleh?" Mimi memperbetulkan ayatnya setelah sedar perubahan pada riak wajah Nissa itu. Dia tak bermaksud apa-apa.
"Ye, boleh. Nanti saya ajarkan"
Mimi senyum riang. "Mana Iqbal?"
"Dia masih solat. Kejap lagi, dia turun makan" Nissa memberitahu.
"Nissa.." Tangan Nissa disentuh. Serentak itu, pandangannya jatuh ke wajah itu.
"Saya nak mintak maaf" ucap Mimi. Dia benar-benar memaksudkannya.
"Untuk apa ye?" tanya Nissa, meskipun dia tahu maksud ucapan itu.
"Saya takde niat nak hadir di antara awak dan Iq. But I just love him. Bila dia hadir semula dan mampu memaafkan saya, perasaan saya semakin berkembang. Apatah lagi setelah saya tahu yang dia jugak masih sayangkan saya. Tapi saya akan pastikan yang dia berlaku adil terhadap kita berdua"
Senyuman di wajah Nissa diperkemaskan. Entah berapa kali dia senyum, dia juga tidak tahu. Ikhlas atau tidak, dia sendiri juga keliru.
"Dari dulu lagi saya sedar yang suami saya bukan milik saya sorang. Dia milik mama, dia milik keluarga dia. Dan dia juga milik Allah. Dan dari dulu saya dah biasa berkongsi dia dengan sesiapa. Jadi untuk berkongsi dia dengan awak, saya dah lama redha. Jadi awak tak perlu rasa bersalah"
Kedengaran ikhlas namun mampukah dia menipu hatinya sendiri?
Riak muka Mimi sedikit berubah. Tidak disangka, wanita di hadapannya itu adalah satu sosok yang kuat dan ikhlas. Jika wanita lain, belum tentu mampu seperti dia. Jadi dia berjanji, akan sentiasa menjaga hati Nissa dan menjaga batasnya.
"Thanks Nissa. It means a lot to me"
Tangan Nissa digenggam semakin kuat.
"You're welcome"
"Well, kalau macam tu, saya akan pastikan yang saya tak pregnant dulu selagi awak tak pregnant jugak. Biar nanti Iqbal sama-sama jaga kita"
Mimi mula melakar impian dengan riak muka yang ceria. Tak sabar nak menunggu saat itu!
"No!" Laju Nissa mencelah.
"Hmm?" Mimi menggumam.
"Saya mungkin tak boleh mengandung..."
"Tapi kenapa?" cantas Mimi.
'Sebab Iqbal tak sudi nak sentuh saya!' Nissa bermonolog sendiri.
"Atas sebab tertentu. Jadi awak kena mengandung benih dia. Semua orang harapkan awak. Betul kata Mak Uda, rumah ni sunyi sebab takde budak. Nanti saya bolehlah main dengan anak tiri saya kan?" ujar Nissa dengan senyuman manis di wajah.
Betapa tulusnya hati seorang Nissa Ardini. Bagaimana Iqbal boleh mengabaikan wanita sebaik dan seikhlas dia? Jikalah dia yang berada di posisi Nissa, belum tentu dia seikhlas itu.
"Awak terlalu baik Nissa"
"Sebab saya tak pandai jadi jahat. Ha ha" sahut Nissa dengan iringan ketawa.
Baik? Kalau dia jadi jahat sekalipun, tidak ada sesiapa yang akan peduli. Jadi ada bagusnya jika dia tetap berbuat baik. Setidak-tidaknya, kebaikan itu akan berbalik kepada dirinya sendiri nanti.
"Awak pun baik" tukas Nissa pula.
"Anggaplah aura baik awak dah berjangkit pada saya" ujar Mimi seraya tertawa kecil.
DARI TADI, Azhar asyik merenung ke arah skrin telefon bimbitnya. Hatinya walang. Fikiranya melayang. Sekejap-kejap, dia memeriksa notifikasi mesejnya. Manalah tahu, Nissa tergerak hati membalas mesejnya.
Namun hampa yang bertandang. Mesejnya tak dibalas. Dia jadi rindu pada insan itu.
"Hai, jauh menung nampak?" tegur Rizal, teman sekamarnya. Dia baru saja usai mandi. Tuala yang tergantung di leher disidai di biria katil.
"Ingat kat awek ea?" usik Rizal lagi. Dia sudah melabuh punggung di hadapan Azhar.
Mereka baru berkenalan dua minggu lepas. Sesi orientasi menjadikan mereka akrab dan secara tidak kebetulan, mereka diletakkan di dalam satu bilik yang memuatkan sepuluh orag pelatih sekaligus.
"Takdelah! Pandai je kau" Azhar mengelak. Dia berbaring di atas katil 'single' itu dengan beralaskan tangannya.
"Habis tu menung apa?" tanya Rizal lagi, tak puas hati.
"Macam-macam je benda yang bermain di fikiran aku ni.."
"Salah satunya?"
"Nissa!" Tanpa sedar, nama itu meniti di bibirnya. Wajahnya melakar seribu senyuman bersama impian yang ditanam.
"Nissa? Hmm, siapa Nissa?"
Azhar tersentak. Alamak, dia tersasul!
"Haaa, jangan nak mengelak! Baik kau berterus-terang dengan aku!" Rizal seakan mendesak.
"Nantilah aku cerita. Sekarang ni biar semuanya jadi rahsia dulu"
"Eleh, main rahsia pulak!"
Sebiji bantal dilemparkan ke arah Azhar. Mengekek Azhar dibuatnya. Selagi mampu, dia simpan dulu rahsia tersebut. Bimbang pula Rizal mengecopnya sebagai orang gila. Gilakan kakak ipar sendiri!
Hehhh!! Inilah padahnya kalau sudah jatuh cinta...
Share this novel