TIGA

Drama Series 2708

MENATAP wajah lembut Nissa yang lena diulit mimpi, membuatkan dia dijamu keluhan berat. Wajah lembut itu tak pernah sedikit pun mengeluh atau mengadu apa-apa. Segala makan minumnya terjaga. Kebajikannya diurus dengan rapi.

Pada pandangan kasarnya, Nissa memang seorang isteri yang sempurna. Bahkan terlalu baik. Adakalanya dia merasakan dialah lelaki paling untung di dunia kerana mengahwini wanita sesempurna dan sebaik itu.

Namun baik sahaja belum cukup untuk meraih sebuah kebahagiaan. Dia perlukan cinta. Dan cinta itu hanya pada Mimi. Tidak dinafikan, perasaan sayang pada Nissa sudah berlabuh dari dulu. Namun kehadiran semula Mimi telah merentap segala perasaan dan angannya bersama Nissa.

Acap kali dia menolak, namun perasaan tak mampu dibohongi. Lebih-lebih lagi yang merasakan itu semua adalah dirinya sendiri.

Dia dan Mimi berkongsi rasa sejak dari bangku sekolah lagi. Hubungan tersebut berlanjut dalam tempoh yang panjang sehinggalah Mimi sendiri yang membuat onar pada hari perkahwinan mereka.

Dia rasa tercabar kerana Mimi berani mempermainkannya. Makanya untuk membalas rasa sakit itu, dia membuat keputusan untuk menikahi Nissa yang merupakan anak angkat kepada arwah mak saudaranya, iaitu Rosiah.

Pada saat akad sudah sah dilafaz, dia berjanji akan membahagiakan Nissa dan meladeninya layaknya seorang isteri. Namun takdir telah berkata lain. Cerita yang dibawa oleh Mak Uda mengenai diri Nissa menghapus segala janji tersebut. Dia tak mampu menerima cerita itu lantas Nissa diabaikan dari segi batin.

Kini sudah enam tahun usia perkahwinan mereka. Dan sepanjang tempoh itu, dia tak pernah langsung menyentuh Nissa. Dia lelaki, dan saat berduaan dengan Nissa, batin itu selalu mendesak. Namun teringat kembali akan cerita Mak Uda, hasrat itu kembali terkubur.

Dan ketika Mimi hadir semula di dalam hidupnya, kehadiran Nissa sebagai isteri seakan hilang ditelan bumi. Dia hanyut dengan perasaan pada Mimi.

Rasa berdosa itu seringkali menghimpitnya. Namun pada masa yang sama, dia tidak boleh menipu hati sendiri. Maka untuk menutup segala kesalahan dan rasa berdosa itu, dia mengambil keputusan sedrastik itu. Mimi akan dinikahi, dengan persetujuan Nissa.

Dia tahu Nissa terluka. Namun dia tak punya cara. Untuk melepaskan Nissa, hatinya tak sanggup.

Iqbal mengeluh lagi. Wajah lembut Nissa dielus. Ralit benar tidurnya. Wajah Nissa ketika tidur cukup memberi ketenangan dalam hatinya.

Bunyi notifikasi telefon bimbitnya dipandang seketika. Mesej daripada Mimi. Dia tersengih sendiri membaca mesej itu.

'Cant wait to be yours'

Kenangan tiga tahun lalu mulai mengisi benaknya...

SELESAI menghabiskan pesanannya, dia menapak ke meja cashier untuk membayar makanan dan minumannya. Petang itu, pelanggan masih ramai berkunjung ke situ. Mana tidaknya, menu makanan saja hampir 20 jenis. Semuanya pula sedap-sedap belaka! Tekak pun ikut tekak orang Melayu!

Berdiri di hadapan seorang wanita, Iqbal sempat menilik jam di pergelangan tangan. 4.53 petang! Dia sudah berjanji untuk menemani Nissa ke kedai buku.

"Kejap ye dek?"

Suara yang bercakap dengan cashier itu diamati sepenuhnya. Cuping telinganya seperti pernah mendengar nada suara yang lembut itu. Namun tidak mungkin dia!

"Alamak, takde duit kecik ke kak?!" tanya cashier itu pula apabila wanita itu menghulurkan not RM100 kepadanya.

"Takde dik" sahut si wanita itu.

"Macam mana erk?" Si cashier menggaru kepalanya.

"Akak makan tak sampai RM50.. tapi akak bagi wang besar" sambung si cashier itu. Mati kutu jugak dibuatnya!

"Takpe. Saya bayarkan" Iqbal pelawa diri sementelah sudah banyak yang beratur untuk membayar.

"Takpe bang. Saya cari kejap. Saya..."

Saat kepala mendongak memandang ke atas, empat pasang mata mulai tak berkedip. Ada rasa rindu dan kecewa mulai bertandang dalam hati masing-masing.

Iqbal panik. Mimi yang dikasihi menghilang sejak tiga tahun lalu kini kembali menyapa di hadapan mata. Sungguh ini mimpi atau kenyataan??

MENGINGAT kembali peristiwa itu bikin hatinya mulai goyah. Jauh dia hanyut dek kenangan tersebut. Gara-gara pertemuan pertama itu, Iqbal tak bisa lelapkan mata.

Sejak dari itu, bayang-bayang dan suara Mimi sentiasa menghantui. Fikirnya, cukup sekali itu saja pertemuan mereka. Dia tak mahu terus-menerus mengumpul rasa berdosa pada Nissa yang setia menantinya saban hari. Namun takdir Allah tak siapa mampu menyangkal.

Pertemuan kedua terjadi lagi. Kali ini, di tempat Iqbal bekerja. Mimi merupakan intern di syarikat miliknya. Dari situ, hubungan mereka mulai berkembang. Meski fikirannnya menolak, namun dia tak mampu untuk terus menipu hatinya sendiri.

Cinta yang dulu kembali menapak dalam hati sehingga dia tega menyakiti dan menipu isterinya sendiri. Kini, dia tak mahu terus menanggung rasa bersalah pada Nissa. Disebabkan itulah dia mengambil keputusan sedrastik itu. Walau ada hati yang sedang terluka.

Wajah tenang Nissa direnung. Betapa cantiknya isteri yang satu ini. Namun dia tak mampu untuk terus melupakan Mimi.

Makanya dia berjanji akan berlaku adil meskipun kelihatan agak sukar untuk dilaksanakan. Namun dia akan berusaha.

Perlahan-lahan, dia tunduk mencium dahi Nissa. Kemudian derap kaki menapak keluar dari bilik itu.

PAGI itu, jiwa Nissa kembali berantakan setelah melihat ada 17 buah dulang yang isinya pelbagai sudah tersedia di atas lantai.

Hari itu, pihak keluarga Iqbal akan datang untuk merisik dan sekaligus menetapkan tarikh persandingan untuk Iqbal dan Mimi. Siapa Mimi? Dia belum pernah bertemu empat mata dengannya. Namun dia yakin, pasti Mimi itu wanita yang hebat kerana mampu membuka hati suaminya.

Dia cemburu akan wanita itu. Dulu dia tidak dirisik semeriah ini. Hanya senaskhah Alquran dan seutas gelang emas yang menjadi hantaran.

"Tenung apa?" sapa Azhar dari arah belakang.

Nissa sedikit kaget. Air mata yang mengalir lantas diseka. Dia tak mahu Azhar menghidu perbuatannya.

"Nah, tisu!" Dia tarik sehelai tisu lalu diserahkan kepada Nissa.

"Aku tak menangislah!" sangkal Nissa.

"Aikk?! Kau menangis ke? Aku bagi tisu ni suruh kau lap debu dekat dulang hantaran tu. Arahan daripada komander Mak Uda" Sempat lagi Azhar membuat lawak. Namun wajah Nissa masih sama. Sugul dan tidak bermaya.

Nissa tahu, Azhar menyindirnya. Dia tak kuat. Perlahan-lahan, jatuh juga air matanya yang ditahan-tahan itu.

"Aku kenal kaulah Nissa! Tak payah nak sembunyikan tangisan dan air mata kau ni! Tak bernilai pun kat mata Iqbal tu!"

Tangan Nissa laju menyeka air mata apabila ada beberapa orang berdiri di antara mereka.

"Ni je ke dulang tu?" tanya Kak Uteh, pembantu rumah itu dalam nada yang mendatar. Dia malas nak ikut campur namun dia tahu perasaan Nissa ketika itu.

"Hmm nampak gayanya banyak ni jelah! Kalau kau nak tambah lagi, kau tambahlah kak" seloroh Azhar.

"Tak kuasa aku!" sahut Kak Uteh. Matanya laju menoleh ke arah Nissa yang tampak tenang saja itu.

"Kuat betul kau ni Nissa! Kalau akak ni, dah meratap agaknya. Hishh!!"

Azhar menyiku lengan Kak Uteh. Beberapa orang yang tadi sudah berlalu membawa dulang hantaran ke dalam kereta.

"Kau tak ikut ke?"

Nissa pandang wajah Azhar, meminta simpati. Dia tak kuat hendak menjawab soalan Kak Uteh itu.

"Err, Iqbal tak cakap apa-apa pun kat Nissa!" Azhar jawab bagi pihak Nissa.

"Tapi bukannya kau sepatutnya ikut? Kau kan isteri pertama. Kena ada sekalilah kan?"

Sekali lagi, lengan Kak Uteh disiku oleh Azhar. Haishhlah, Kak Uteh ni! Tak sensitif betul!

Perasaan Nissa berkecamuk. Isteri pertama? Tapi sentiasa diduakan! Takpe, dia redha...

"Iqbal tak bagi dia pergi!"

Sahut Mak Uda dari arah belakang.

Kak Uteh dan Azhar pantas menoleh. Cuma Nissa yang masih memaku pandangan di hadapan. Tak kuasa dia nak menambah luka di hati lagi.

"Kenapa pulak? Dia kan masih isteri Iqbal!" Azhar tak puas hati. Kalaulah Iqbal yang berada di hadapannya saat itu, pasti dia layangkan berbuku-buku penumbuk ke arah wajah itu. Hampeh punya abang!

"Kenapa kau tanya aku? Pergilah tanya abang kau! Dah dia yang tak suruh..."

Mak Uda tak mahu kalah. Sebuah jelingan tajam dihadiahkan buat Nissa yang tampak tenang itu.

"Apa kecoh-kecoh ni?" Iqbal menghampiri.

"Kenapa kau tak bawak Nissa sekali? Dia masih isteri kau tau? Hormat sikit perasaan dia.. tu pun susah jugak ke nak buat?" serang Azhar berdas.

Wajah Iqbal berubah riak. Dia tak mahu kehadiran Nissa merosak suasana dan rancangannya.

"Keluarga si Mimi tu tak tahu lagi yang Iqbal ni dah beristeri!" sahut Mak Uda lagi.

Ketiga-tiga mereka tercengang. Perasaan Nissa sudah cukup merana. Rasa kena hempas dengan batu besar. Kemudian dirobekkan dengan sebilah pisau. Sakit dan penuh darah..

"Hoii!! Apasal buat Nissa macam ni?"

Kolar baju Melayu Iqbal sudah dipulas. Wajahnya menyeringai. Memang nak makan penumbuklah si Iqbal hari ni!

"Dahlah tu!!" Suara Nissa mengendur. Dia tak larat. Dia lemah. Cukuplah! Dia tak mahu mendatangkan apa-apa masalah lagi.

"Nissa, abang mintak maaf..." lirih Iqbal seraya melepaskan tangan Azhar yang masih melekat pada kolar bajunya.

Dia sudah berdiri di hadapan Nissa dan merenung wajah tenang itu.

"Takpe. Nissa faham.." Seboleh mungkin Nissa memaniskan wajah meski hati sudah tercalar seribu kesakitan.

"Semoga majlis abang berjalan lancar. Drive elok-elok"

Tangan Iqbal diraih lalu dibawa ke bibir. Sebuah kucupan hinggap di situ. Entah kenapa sayu betul rasanya pagi itu.

"Nanti abang jelaskan semuanya pada Nissa. Tunggu abang ye?"

Nissa hanya mengangguk dengan segaris senyuman melekat pada wajah.

Langkah kaki Iqbal dipandang sepi. Suami yang dinikahi enam tahun lalu kini bukan miliknya lagi. Segala yang pernah dikongsi bersama akan dibahagi dengan wanita lain.

Ya Allah! Nissa bertafakur. Entah sampai kapan dia harus terus berlakon kuat dan tegar. Hatinya tak sekuat itu. Rasanya ingin saja dia berlari ke arah Iqbal dan memeluk suaminya. Merayu dan menangis agar Iqbal terus melekat dengannya.

"Nissa..."

Seru Azhar tatkala kaki Nissa mulai berganjak ke arah bilik. Dia mengerti akan perasaan Nissa. Setenang apapun wajahnya, belum tentu sekuat itu juga hatinya.

MAK UDA tersenyum puas. Sebenarnya dialah yang menghasut Iqbal agar tidak membawa Nissa bersama. Dia juga yang menghasut Iqbal untuk merahsiakan perkahwinannya dari pengetahuan keluarga Mimi. Hanya Mimi yang mengetahui akan perkara itu.

Dia puas! Dari dulu lagi dia bencikan Nissa sejak harta arwah kakaknya berpindah ke atas nama Nissa.

Namun tak siapa pun yang tahu akan kebenaran itu. Separuh dari harta itu sudah digunakannya. Dan sampai mati pun, dia takkan benarkan Nissa memiliki harta itu.

Kalau dia mati sekalipun, harta itu akan berkubur bersamanya. Dia ingin Nissa merana dan hidup susah. Baru hatinya senang!

Dengan kehadiran Mimi di dalam keluarga mereka, senang sikit dia nak mulakan rancangannya. Yang pasti, hanya Nissa sasarannya. Dan Azhar, pasti akan merana juga tak lama lagi. Dia tahu nak buat apa.

Keduanya anak gampang yang hanya menumpang kesenangan orang lain. Dia merasakan, mereka berdua tak layak pun hidup bahagia. Dia akan pastikan rancangannya berjalan lancar. Apa nak jadi, jadilah. Titik!

hi readers! lama dah kiki menyepi. maaf ye? kiki akan terus berkarya. cepat atau lambat saja. selamat membaca :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience