EMPAT PULUH SEMBILAN

Drama Series 16075

SESUDAH tiba di hadapan rumah Salmah, wajah mendung Nissa ditatap. Sepanjang perjalanan tadi, isterinya terus-terusan mendiamkan diri. Entah apa yang ada di dalam fikirannya. Setelah menerima mesej daripada Kak Uteh, mereka langsung pamit. Dokumen rahsia yang diterimanya disimpan kembali. Setelah urusan di kampung selesai, barulah dia akan mengkhabarkan berita itu kepada Nissa.

Sesekali, Azhar mencuri pandang ke wajah itu. Tak pula dia menapak keluar dari kereta. Dia tahu, Nissa sedang berusaha mengumpul kekuatan untuk berhadapan dengan Mak Uda. Menurut Kak Uteh, ada sesuatu yang harus mereka ketahui mengenai Mak Uda.

"Sayang, isteri abang yang comel dan manja.." seru Azhar dengan suara romantis. Sengaja hendak menenangkan hati dan fikiran yang tampak bercelaru itu.

Nissa menoleh. Senyuman hambar dihadiahkan buat sang suami.

"Kenapa ni? Hmm?" Azhar menggumam. Pipi gebu Nissa dielus.

"Dari tadi diam je. Tiga jam tau kita dalam kereta. Tiga jam tu jugak sayang diam. Kenapa ni? Ada apa-apa masalah ke?"

"Kita tak boleh balik je ke bang? Nissa..." keluh Nissa. Dia belum bersedia untuk berhadapan dengan Mak Uda. Lagipula, ketika peristiwa dia terkena mati suri beberapa bulan yang lepas, dia selalu diganggu oleh lembaga yang menyerupai wajah Mak Uda. Bezanya lembaga itu tampak lebih menakutkan. Nissa tidak mahu menuduh, tetapi hatinya tetap merasakan Mak Uda mempunyai kaitan dengan semua ini. Dia benar-benar takut menerima kenyataannya kerana dia bimbang hatinya tak cukup kuat untuk memaafkan wanita itu.

Azhar melemparkan senyuman. Tangan Nissa diraih. "Kita kan dah sampai sini! Dah alang-alang tu, kita masuk jelah. Kan ada benda kita kena tahu"

Nissa menelan liur. Sebenarnya, Azhar belum mengetahui pun mengenai mimpi-mimpi buruknya itu. Dia tidak mahu memberitahu suaminya kerana risau Azhar akan bertindak di luar kawalan.

"Nissa takut!" adu Nissa. Sebetulnya, itulah perasaannya kala ini.

"Abang kan ada? Abang akan lindung sayang dan anak kita" Tangannya mengusap lembut perut Nissa. Meyakinkan jika dia benar-benar memaksudkannya.

"KENAPA papa tak benarkan Lili ikut adik?"

Wajah Lili memerah dengan perasaan tak puas hatinya itu. Dia tahu persis, sekejam apa Mak Uda terhadap Nissa.

"Bukan papa tak bagi. Tu kan masalah family dorang. Nissa pun tak bagi kamu ikut. Aishh!! Tak habis-habis nak berkepit dengan adik dia. Nissa tu dah ada suami, pandailah suami dia jaga dia" bebel Tan Sri Aziz. Intonasi suaranya naik satu oktaf! Lili memang keras kepala. Dari tadi asyik merungut soal perkara yang sama.

Lili berdecit. Tangan disilang ke dada. Dia masih tak berpuas hati. Dia bukannya nak berkepit dengan Nissa. Dia cuma mengkhuatirkan adiknya itu. Siapalah tahu kan? Zaman sekarang manusia tak boleh nak dipercayai sangat.

"Along risau je!" sahut Lili tak mahu kalah.

"Haishh, tak tahulah camne papa nak cakap lagi! Azhar tu gagah, badan besar, takkanlah tak boleh nak melindungi anak dan isteri dia? Kamu ni pun satu! Susahlah papa nak cakap dengan orang keras kepala macam kamu ni!"

Tan Sri Aziz menapak ke bilik tidur. Semakin dilayan degil Lili itu, semakin dia yang pening kepala! Pun begitu, dia tetap bersyukur kerana Lili dan Mimi sebaik mungkin menjaga serta menerima Nissa.

MELIHAT sekujur tubuh yang sudah tidak berdaya sedang duduk di atas kerusi roda, hati Nissa berdetak hebat. Apatah lagi setelah wajah itu tampak mengerikan. Sebelah wajahnya bagaikan hancur dan kehitaman. Sebelah lagi tampak normal namun kulitnya sudah mula mengelupas.

Riak terkejut Nissa tak berhenti di situ. Dia pandang ke arah kedua belah kakinya pula. Sudah kudung! Tangannya yang sebelah kiri juga sudah tiada. Air liurnya mengalir tak henti-henti. Kini, dia hanya mengharapkan belas ehsan daripada orang sekeliling untuk menjaga dan memenuhi kebajikannya.

Bau busuk dari segenap bilik itu mula memenuhi rongga hidung. Nissa dan Azhar menutup hidung dengan telapak tangan.

"Mak Uda..." panggil Nissa dengan linangan air mata. Belas pula hatinya melihat keadaan wanita itu yang sudah tidak sempurna lagi. Mulutnya juga senget ke kiri.

Sulaiman sudah duduk di sisi isterinya. Menangisi nasib si isteri yang tiba-tiba terkena seperti itu. Tangannya tak berhenti mengelap air liur yang mengalir keluar.

"Kenapa Mak Uda jadi macam ni?" tanya Azhar pula. Isteri di sisi dipimpin, bimbang sekiranya dia pengsan setelah melihat keadaan Mak Uda seperti itu.

Sulaiman menggeleng kepala. Bibirnya memuntahkan keluhan berat. Dia juga bingung dengan keadaan Mak Uda seperti itu. Tiga bulan lepas, Mak Uda ditemui pengsan di bahu jalan. Dia dibawa pulang oleh Shafiq ke rumah setelah mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.

Namun keadaannya menjadi semakin parah sejak dia pulang ke rumah. Pelbagai rawatan sudha dijalankan untuk mengubati keadaannya itu. Namun semuanya menemui jalan buntu. Tiada satu usaha pun yang berjaya menyembuhkan Mak Uda. Bahkan sakitnya semakin parah.

"Dah banyak tempat kami pergi berubat. Baik di hospital, mahupun di kampung-kampung. Tapi semua tak tahu apa sakit dia. Yang peliknya, semakin diubati, semakin teruk keadaannya!"

Azhar mengerut dahi. Genggaman Nissa diperketatkan. Melihat si isteri yang tampak penat berdiri, Azhar menarik sebuah kerusi lalu menyuruh Nissa duduk. Nissa akur. Namun pegangan Azhar tak sedikit pun dilepaskan.

"Ada sesuatu yang kamu perlu tahu"

Sulaiman menapak ke almari dan membuka almari tersebut. Melihat barang-barang tersebut, hati Azhar mula tak tenang. Wajahnya serius dengan riak terkejut!

Nissa ternganga lalu menutup mulut dengan tangan tatkala melihat barang-barang tersebut. Dia berlari keluar dari bilik sambil menangis. Bererti, dugaannya selama ini benar belaka! Ya Allah, teganya Mak Uda kepada dia dan anaknya!! Hati Nissa ditimpa kesedihan yang bukan sedikit.

"Ya Allah! Gambar Nissa, paku, rambut..apa semua ni Pak Man?" Bulu romanya meremang. Tidak dipercaya dengan apa yang dilihatnya selama ini. Dadanya berombak kencang menahan amarah yang membukit-bukit dalam diri.

"Sabar Har! Pak Man tahu, kamu marah!" Sulaiman berusaha menenangkan Azhar yang sudah menyeringa itu.

"Sabar?! Pak Man tahu kan, saya hampir kehilangan isteri dan anak saya gara-gara isteri Pak Man! Saya berendam dengan air mata, menyangka kalau isteri saya dah tinggalkan saya selama-lamanya! Saya cuba menerima hakikat kalau pemergian isteri saya berpunca daripada sakit yang saya sendiri tak pernah tahu! Saya bergelut dengan kenyataan pahit tu! Macam mana saya nak sabar??!"

Azhar sudah membentak. Dia tidak mampu membendung kemarahan yang menunggu masa untuk meletus itu. Kenangan lalu terimbau kembali. Betapa sakitnya rasa hati tatkala dia hampir ditinggalkan Nissa gara-gara perbuatan keji Mak Uda! Air matanya mengalir. Dia tak mampu menahan sebak.

"Pak Man mintak maaf bagi pihak Mak Uda! Pak Man tak pernah tahu yang semua ni kerja dia" rintih Sulaiman dengan mata yang berkaca. Dia juga kaget melihat barang-barang itu sebulan yang lepas. Baru kini dia tahu semua itu angkara isterinya. Jika dia tahu lebih awal, pasti dia akan menyelesaikannya sendiri.

"Tangan ni..." Azhar sudah terduduk di atas lantai. "Saya mampu tewaskan banyak musuh, tapi tangan ni tak mampu nak lindungi isteri saya sendiri!"

Terdengar esakan dari arah sana. Mak Uda menangis. Dia menyesali segala yang dilakukan. Perbuatan syirik dan khurafat yang dikenakan ke atas Nissa memakan dirinya sendiri. Segala yang menimpa dirinya adalah berpunca daripada nafsu dan kerakusannya sendiri. Dia alpa, dia sedih dan dia menyesal! Bagaimana bisa dia menuturkan kata maaf sedangkan mulut itu tak mampu untuk berkata-kata lagi. Allah sudah menarik segala kelebihannya. Dia yang salah! Dia yang berdosa. Dan kini, dia sedang menanggung beban dosa itu sendirian!

AZHAR memandu dengan perlahan. Dia menoleh ke arah isterinya yang masih basah dengan air mata. Setelah mengetahui segala-galanya, mereka pamit dengan beribu rasa dalam hati. Berkali-kali Sulaiman meminta maaf kepada Nissa dan Azhar di aats apa yang telah terjadi. Masing-masing hanya mengangguk tanpa sepatah bicara.

Sebelum pulang, Nissa sempat menjenguk Mak Uda dan memaafkan segala kesalahan dan dosa wanita itu. Dia tidak mahu berdendam kerana perasaan itu tidak bagus. Sebelum berangkat pergi, dia juga sempat menyalami tangan Mak Uda dan mengucupnya. Matanya berkaca, seakan itulah pertemuan terakhir mereka. Kali ini, Mak Uda tak menolak sentuhannya seperti sebelumnya.

Dapat dia lihat tubir mata itu berkaca, seolah-olah menyesali perbuatannya. Nissa mengerti. Dia tak mahu lama-lama di situ. Bergegas dia menuju ke kereta dan melepas tangis di situ. Azhar hanya mampu melihat. Dia belum cukup kuat untuk memujuk Nissa kerana hatinya juga sedang rapuh!

Terdengar esakan yang kuat dari bibir Nissa. Dia benar-benar tidak mampu untuk menahan perasaannya lagi. Dia tahu Mak Uda membencinya, tetapi kenapa setega itu memperlakukannya? Apakah dosanya terlalu besar sehingga dia dihukum seperti itu?

Kereta diberhentikan di bahu jalan. Azhar menarik brek tangan lantas memerhati tingkah Nissa yang memukul dada sendiri.

Tangan itu ditarik. Mata mereka saling berpandangan. Kedua-duanya tewas dengan air mata. Azhar mendakap erat tubuh itu. Tangisan Nissa pecah lagi. Kali ini, dengan lebih mendayu dan lemah.

Belakang dan kepala Nissa diusap lembut. Dia faham gelora hati itu. Dia tahu apa yang Nissa rasakan. Dia mengerti segala rasa yang terkumpul. Kerana mereka juga berkongsi rasa yang sama!

Pelukan dilepaskan. Wajah Nissa ditatap. Disentuh. Diusap. Betapa dia menyesali dengan setiap yang berlaku. Tak mampu dia membayangkan kehilangan isterinya oleh perbuatan orang terdekat. Benar kata Ustaz Hamzah! Allah telah memberikan petunjukNya. Jadi sebagai balasan, dia hanya mampu berdoa dan memaafkan segala kesalahan Mak Uda. Jika bukan kerana janji yang dibuat kepada Ustaz Hamzah, pasti sudah lama Mak Uda dikerjakan!

"Jangan sedih ye? Abang ada.."

kiki stop dulu ye? kisah santau ni mengingatkan kiki pd ayah kiki sendiri, n kiki sedih pulak. tp ayah dah sembuh. kiki selitkan kisah ni agar kita sama2 dpt ikhtibar dan pgjaran drpd nya.. happy reading uolls ;)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience