SEBELAS

Drama Series 6864

ENTAH KENAPA, hatinya berlagu pilu. Entah kerana keadaan Mimi atau kerana dia yang terlanjur sudah menceraikan Nissa. Usai melafaz talak, Nissa ditinggalkan di situ dengan raungan yang kuat.

Dia tak cukup kuat. Air matanya jatuh juga. Dia tidak tahu atas alasan apa. Namun yang pasti, hatinya sendiri terluka. Sukar untuk dipercaya dengan kecurangan Nissa namun segala bukti sudah tersingkap di hadapan mata. Masakan dia mahu menutup mata sahaja atas segala sikap Nissa?

Iqbal meraup muka dengan kasar. Sungguh dia penat bermain dengan emosi. Kenapa pada saat hatinya ingin bahagia, dia diuji sebegitu rupa?

Salah apakah dia?

BEG yang berisi baju dicampakkan tepat di hadapan Nissa. Dengan wajah yang angkuh, dia lemparkan juga senyuman penuh kemenangan.

Gadis malang di hadapan matanya itu sudah berjaya dikalahkan. Kini tiada siapa yang mampu menghalangnya dari mengambil kembali haknya dahulu. Yang pasti, hidup Nissa akan lebih merana selepas ini. Dia tak punya sesiapa selain keluarga ini. Kerana lahirnya di rumah anak yatim dan dijadikan anak angkat oleh arwah kakaknya.

Kini, dia hilang tempat bergantung. Dia tiada tempat berteduh. Merempatlah kau di tepi jalan! Umpatnya dalam hati. Dia puas! Dia senang.

"Ambik baju kau ni. Dan berambus dari sini! Lepas ni, tak payah nak tunjuk muka kau kat sini!! Takde siapa yang perlukan kau lagi!" dengus Mak Uda dengan wajah sombongnya.

Nissa mengutip begnya yang sengaja dicampakkan di atas lantai. Dia sangat kesejukan. Kepalanya pusing. Tubuhnya sungguh tak larat nak melalui hari seterusnya. Ke mana langkah kakinya akan membawanya selepas ini? Nissa takut untuk berdepan dengan dunia luar.

Dipandangnya wajah kosong Salmah yang dari tadi membatukan diri di sebalik pintu rumah.

"Mama...Nis..Nissa mintak tolong. Izinkan Nissa tumpang tidur malam ni je ma. Nissa janji, esok lepas Subuh Nissa pergi. Tolong ma..."

Nissa sudah berlutut di hadapan Salmah. Meminta simpati dan kasihan agar rayuannya mampu melembutkan hati mama.

"Tak payahlah! Kau nak goda Iqbal lagi? Kau tahu tak, kau tu dah bercerai talak 3 tau?! Mati hidup balik pun memang takkan dapat kau nak bersatu dengan dia!" Mak Uda pula yang bereaksi penuh emosi.

Bayang-bayang Nissa pun dia tak mahu ada di sekeliling. Baginya, Nissa adalah penghalang terbesar kepada rancangannya. Lagipun, Nissa bukannya sesiapa kepada mereka. Hanya memegang status anak angkat kepada arwah Rosiah. Itupun Rosiah sudah dijemput Ilahi. Jadi secara automatiknya, hubungan mereka sudah terputus.

Nissa tak mempedulikan kata-kata Mak Uda. Dirayu lagi Salmah agar mahu membantunya kali ini.

"Ma, please..kali ni je. Nissa janji..."

"Hishlah budak ni!! Tak reti bahasa ke?" Ditarik tudung Nissa dengan kuat sehingga rambutnya terdedah di hadapan umum.

Nissa menangis sambil menutupi kepala dengan tudungnya. Kenapa Mak Uda sebegitu kejam padanya? Seingat dia, tidak pernah sedikit pun dia mengganggu kehidupan wanita itu.

"Kau keluar dari rumah ni sebelum aku mengamuk!! Keluar!!" ugut Mak Uda lagi. Tetamu yang lain sudah beransur-ansur pulang sebentar tadi atas arahan Salmah.

"Okey, tapi Nissa salam mama dulu" Nissa beralah. Tenaganya tak cukup kuat untuk terus mencari gaduh.

"Mama..." Nissa meraih tangan Salmah. Dibawa ke bibir dengan esakan yang tak jemu menemani.

"Ampunkan Nissa ma! Halalkan makan minum Nissa. Halalkan kasih sayang yang mama bagi pada Nissa. Nissa tak mampu nak bagi mama cucu. Nissa bukan menantu yang sempurna. Nissa mintak ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki! Tolong bagitau abang Iqbal dan Mimi, Nissa mintak maaf sangat-sangat! Terima kasih untuk segala-galanya ma..."

'KE MANA agaknya langkah kaki ini mampu berjalan Ya Allah? HambaMu memohon, berilah petunjuk. Hamba takut Ya Allah! Hamba tak kuat. Hanya Engkau yang hamba punya'

Doa Nissa dalam hati selepas melangkah keluar dari rumah agam milik Salmah. Dia berhenti seketika lantas menoleh ke belakang. Mengharapkan belas ihsan dari mama dan Iqbal namun hampa yang bertandang. Mereka semua memang sudah membuangnya.

Hujan pun sudah berhenti. Namun hujan di hati, dari tadi tak pernah reda.

Di tepi pokok, Nissa terbayangkan senyuman Azhar yang sedang melambai ke arahnya. Tanpa sedar, Nissa juga mengukir senyum. Jika Azhar ada di sisi, pasti nasibnya terbela.

Nampaknya Azhar tak sempat menunaikan janjinya kerana Nissa terlebih dahulu melempasi sempadan! Dia berharap suatu hari nanti, Allah akan mempertemukan dia dan Azhar kembali. Kerana dia tetap ingin Azhar menunaikan janjinya.

"Har, maafkan aku!"

Nissa melanjutkan perjalanan. Dia tidak tahu harus mulai dari mana, namun yang pasti perjalanan harus tetap diteruskan. Walaupun sukar, namun tetap harus ditempuhi dengan berani.

'Semoga aku kuat Ya Allah!'

TIBA di perhentian teksi, Nissa melabuh duduk di situ. Dia lihat jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 9.38 malam. Ya Allah, dia benar-benar takut. Bagaimana jika ada orang jahat yang mengapa-apakan dia?

Nissa duduk sekejap saja. Dia harus tetap melanjutkan perjalanan. Tiba-tiba kepalanya rasa berpusing. Namun dia tak boleh terus beralah. Dia harus bangkit dan memulakan semuanya dari bawah.

Nissa toleh ke kiri dan ke kanan. Keadaan sangat sepi. Hanya beberapa kenderaan yang lalu-lalang, menjadikan dia semakin dihantui ketakutan.

Tak mampu nak menyeimbangi badan, Nissa rebah di atas jalan raya. Pandangannya gelap. Namun pada masa itu, dia sempat melihat ada samar-samar cahaya dari arah hadapan.

"Cik..."

Nissa pejam mata!

"TAK! Maafkan Nissa! Nissa tak buat semua tu!"

"Cik, cik!"

Nissa membuka mata tatkala ada suara garau memanggilnya. Dia lihat kipas siling sedang berpusing. Badannya terasa sejuk namun dia tahu dia sedang berselimut.

Ada beberapa wayar dan tiub dicucuk ke lengannya. Nissa beranikan diri membuka matanya luas-luas.

Ketika itu, terpancul wajah seorang lelaki sedang tersenyum padanya. Lelaki itu elok saja duduk di sisinya. Agaknya menemani dia dari tadi. Tapi apa sudah jadi? Dan dia di mana?

"Encik, isteri encik boleh discaj pagi nanti. Dia dah diperiksa doktor. Dan dia baik-baik saja. Cuma demam sikit je. Nanti kami akan bekalkan ubat untuk dia" ujar jururawat yang bertugas.

Isteri? Nissa mengerut dahi. Tak mungkin lelaki itu Iqbal. Dia bukannya hilang ingatan. Dan dia belum bodoh lagi untuk membezakan siapa Iqbal.

"Dia bukan isteri saya.. Dia..dia kawan saya" akui lelaki itu.

"Ohh maafkan saya encik. Saya ingatkan isteri encik"

"It's okay"

"Ni bil hospital. Nanti encik bayar dekat kaunter. Dah selesai semua, encik boleh bawak dia balik pagi esok"

"Okey. Thanks"

Jururawat itu mengangguk kepala lalu keluar meninggalkan mereka berdua.

"Err, hai..." Lelaki itu mendekati Nissa. Punggung dilabuhkan di kerusi sebelah Nissa.

Dengan perasaan takut, Nissa memeluk erat bantalnya.

"Jangan takut. Saya bukan orang jahat. Saya Nuh" Nuh memperkenalkan diri.

"Saya jumpa cik pengsan kat jalan tadi. Saya hampir-hampir nak melanggar cik. Nasib Ana jerit. Kalau tak ,mungkin cik dah..."

Nissa mengerut dahi. Ana?

"Ana tu anak saudara saya. Anak kepada kakak saya. Dia ke cafe tadi. Kejap lagi datang kot"

Nuh rsa janggal pula bercerita, seolah-olah dia bercakap seorang diri. Nissa tak memberi apa-apa respon. Hanya diam dan menundukkan diri.

"Paksu, mama call. Mama kata..."

Nuh bagi isyarat diam apabila mulut celoteh Ana terlalu bising di tempat yang sunyi itu. Ana yang berdiri di sebalik pintu terus mendiamkan diri. Alamakk!!

"Kau ni, kalau bercakap tu tak boleh ke kalau off kan loudspeaker tu?! Hishh!!" omel Nuh dengan wajah seriusnya.

Ana tersengih. Dia sudah berdiri di sebelah Nuh. Wajah Nissa yang mendongak dipandang tak berkelip. Cantiknya!

"Hai akak. Nama saya Ana. Nama panjang Raihana. Umur baru 16 tahun. Akak dah sihat ke?"

Rambut Ana yang terurai itu ditarik sedikit oleh Nuh. Soalan pun...haishhlah budak!

Nissa hanya senyum sahaja. Meskipun Ana dan Nuh tampak baik, namun dia tidak boleh terlalu percaya. Hatinya masih was-was.

"Takpelah Ana! Akak ni nak berehat. Kita tak payahlah ganggu dia. Kita balik jom"

Nuh bangkit dari duduknya. Sebelum itu, dia sempat pandang wajah Nissa lagi. Manalah tahu, kot-kot suara itu berbunyi..

"Esok saya dan Ana datang lagi. Kita orang hantar awak balik. Esok awak dah boleh discaj. Malam ni, awak berehatlah dulu. Nanti kalau nak apa-apa, awak tekan je nurse button tu" Nuh memberitahu.

Nissa hanya mengangguk.

"Jom Ana. Kita balik! Nanti bising mama tu"

Baru tiga langkah, Nissa tiba-tiba bersuara...

"Terima kasih encik"

Nuh tersenyum lebar lantas menoleh. "Sama-sama"

Senyuman dan pandangan keduanya bersabung. Ada sirna dan sinar pada empat pasang mata itu. Yang pasti, keduanya menanti esok hari dengan harapan dan semangat yang baru.

AZHAR mengerut dahi. Dia pandang telefon bimbitnya tak berkedip. Rosak ke?

Mesej yang dihantar kepada Nissa menunjukkan status 'pending'. Dia mendail pula nombor Nissa. Namun tak bersambung. Hatinya tak tenang.

Kemudian, dia mencuba menghubungi Kak Uteh pula. Hasil yang sama! Kak Uteh juga tak mengangkat panggilan. Adakah hari itu hari mogok sedunia?

'nissa, kau okey ke? knp aku kol tak dpt2?'

Azhar tunggu lagi lima minit. Mesejnya tadi masih 'pending'.

"Kau pergi mana Nissa? Ada apa-apa jadi kat rumah ke?"

Sejak dua tiga hari itu hatinya sering tak tenang. Dan dia selalu teringatkan Nissa. Sudah banyak mesej yang dihantar. Namun Nissa tak memberi sebarang respon. Mesej terbaru pulak, statusnya 'pending'. Adakah Nissa sengaja off telefon bimbitnya?

'nissa, where are you? pls, jgn bagi hati aku tak tenang'

Dihantar. Namun masih sama seperti tadi. Pending!

'nissa, pls talk to me! jgn diamkan diri. aku risaukan kau'

Melihat kesemua mesejnya masih berstatus 'pending', Azhar mencampakkan telefon bimbitnya di atas katil.

Hatinya meronta-ronta hendak pulang namun apakan daya latihannya masih belum tamat. Kalau dia pulang detik itu juga, pasti latihan yang dihadirinya selama ini sia-sia belaka. Maka rancangannya akan musnah begitu saja.

"Takpe Har! Sabar! Relaks okey?"

Azhar menghempas tubuh di atas katil.

"Arghh!!!"

"DAH discaj? Seorang diri? Kenapa awak biarkan dia keluar seorang diri? Dia kan datang dengan saya.."

Nuh mengeluh hampa. Dia berniat baik hendak membantu Nissa dan menghantarnya pulang. Tapi awal-awal lagi Nissa sudah keluar dari hospital. Dan dia kaget menerima berita itu daripada jururawat yang bertugas.

"Saya dah cuba halang dia encik. Tapi dia tetap berdegil nak balik. Katanya dia risau kalau Har cari dia. Kami pun tak sure siapa Har yang dia maksudkan"

Sekali lagi, Nuh mengeluh. Siapa pulak Har? Ke mana lagi dia harus mencari Nissa?

Tampang Ana dipandang. Kemudian, dia mengangkat bahu dengan wajah yang kecewa.

"Mungkin dia tak nak kita susahkan dia"

Itu saja yang Nuh sangkakan.

"Oh ye encik. Cik tu tertinggal cincin. Cincin emas. Ni dia encik"

Cincin emas bertatahkan permata itu bertukar tangan. Dibelek dan diteliti berkali-kali. Tiada apa yang istimewa. Tetapi Nuh yakin, itu cincin kahwin.

Nuh semakin keliru. Siapa sebenarnya gadis yang dibantunya semalam?

done double chapter arini. takat ni je yg kiki mampu..kepala dah pening hehe..esok kiki sambung lagi erk? sabar tau? :)

Share this novel

NA77
2025-06-19 15:26:06 

pergilah nisa kemana sahaja .. lupakan semua kenangan pahit yang menyakitkan perasaan..welcome tu iqbal gila talak .. tumggulah kemuncula nissa versi baharu


NovelPlus Premium

The best ads free experience