LIMA

Drama Series 2708

DENGAN hati penuh debaran, pintu bilik pengantin diketuk. Ketika itu, pelbagai perasaan sedang bercampur-aduk dalam diri. Dia tidak pernah melihat wajah Mimi. Mereka bahkan seperti orang asing.

Bagaimana dia bisa punya kekuatan untuk berhadapan dengan bakal madunya itu? Dia sendiri juga tidak tahu.

Pintu bilik terkuak. Wajah seorang gadis muncul dengan senyuman. Nissa mengerut dahi. Mimi ke? Tapi tak pakai baju pengantin!

"Masuklah! Mimi sedang tunggu tu..." pelawa gadis itu dengan ramah.

Nissa akur. Gadis tadi menapak keluar dan menutup pintu. Seolah sengaja membiarkan keduanya berbicara empat mata.

Mata Nissa melilar melihat sekeliling. Cantiknya! Nesar dan luas pulak tu! Lampu chandelier tergantung indah di atas siling. Gambar pre-wedding pula gah tersusun rapi di atas kepala katil.

Wajah bahagia dan senyuman Iqbal ditiliknya sepuas hati. Tak pernah lagi wajah itu tersenyum bahagia seperti itu ketika mereka bersama. Benarlah, Mimi itu pengubat dukanya.

Mata Nissa menjamah keadaan katil pula. Di atasnya, terhias indah kelopak bunga-bungaan yang membentuk hati serta perkataan I Love You. Nissa cemburu! Ya, tersangat cemburu.

Gah di luar, indah di dalam! Itu yang boleh dikatakan. Benarlah kata Azhar, wedding of the year!

"Nissa Ardini kan?"

Suara seorang wanita dari arah belakang menyapanya. Nissa enggan menoleh. Sekejap tadi kekuatannya seolah mengumpul. Dan kini, semua kekuatan itu seolah melangkah pergi.

"Nissa..."

Bahunya disentuh lembut. Kini pemilik suara itu sudah berdiri di hadapannya dengan melemparkan senyuman manis.

Nissa terkedu. Pantas saja suaminya tak bisa melupakan wanita itu. Mimi memang cantik. Wajahnya bujur dengan hidung sedikit mancung. Matanya bundar, bibirnya terlukis seolah berbentuk 'love'. Keningnya pula terletak elok saja.

"Ya..saya..." sahut Nissa perlahan dan teragak-agak.

"Sini.." Mimi menarik tangan Nissa untuk duduk di sofa yang terletak di hujung sedikit.

Seperti biasa, Nissa menurut saja. Punggung dihenyak menghadap wajah bakal madunya.

"Sorry, panggil awak macam ni. Kita terpaksa bercakap dalam bilik ni. Supaya takde orang dengar" tukas Mimi.

Dia sebenarnya ketakutan jika rahsia mereka dapat dihidu oleh ahli keluarganya. Hanya Lili dan Soleha, sepupunya yang tadi saja yang mengetahui akan perkara itu.

"Takpe" ujar Nissa mendatar. Dia sedar diri dan kedudukan. Bahkan dia sedang menunggu untuk ditinggalkan. Itupun jika benar Iqbal mengotakan janjinya.

"Yang tadi bukakan pintu untuk awak tu Soleha. Dia sepupu saya. Dia dan Lili je tahu perkara sebenar. Awak dah jumpa kakak saya kan?"

Nissa mengangguk pantas. Dia sebenarnya tak mahu terus berlama di dalam bilik itu. Terlalu banyak gambar menunjukkan kebahagiaan mereka yang menyesakkan nafasnya.

"Awak nak jumpa saya?" soal Nissa, tak mahu berbasa-basi.

Mimi mengangguk.

"Pasal apa ye?"

Mimi tersenyum sambil matanya kaku ke arah wajah itu. Siapa kata Nissa tak cantik? Wanita itu punya kecantikannya tersendiri. Hidungnya mancung, bibirnya mungil, keningnya pula lebat. Matanya sepet, sekali imbas seperti gadis Cina. Tahi lalat di hujung dagu pula menambahkan lagi manis wajahnya.

"Pasal kita"

MAJLIS akad dan sanding dijalankan serentak. Meski hati Nissa retak seribu, namun dia berupaya untuk kuat dan sentiasa tersenyum di hadapan semua orang.

Dalam kelukaan itu, dia harus terus berpura-pura menjadi tetamu di majlis pernikahan suaminya sendiri. Ya Allah, harus sesabar apa lagi aku?!

Nissa lihat Iqbal dari tadi dengan senyuman bahagia berdiri di samping wanita tercintanya. Wajah itu tak bisa menipu. Enam tahun dia meniti hidup bersama Iqbal, tidak pernah lagi wajah itu tampak bahagia seperti itu.

Ya Allah, kuatkanlah aku! Berkali-kali dia meminta kekuatan dari Sang Pencipta. Jika tidak, dia terasa dunianya berpusing.

"Kau okey ke?"

Bisik Azhar ke cuping telinga Nissa. Mereka sulit untuk berbicara kerana majlis sangat bising dengan suara MC, berselang-seli pula dengan suara nyanyian artis jemputan. Ditambah lagi dengan suara para tetamu di sekeliling.

Wajah penuh kebimbangan Azhar itu ditatap lama. Dalam diam, dia perhatikan wajah itu. Walau tampak bengis dan tak teratur, namun tersembunyi kekacakannya di situ. Entah Azhar sengaja menyembunyikannya atau dia memang tak tahu cara nak tampil kacak.

Lelaki yang bergelar sahabatnya itu sentiasa ada menemaninya di saat susah mahupun senang. Seringkali mendahulukan dia dan meletakkan dia di tempat teratas. Beruntungnya dia menjadi orang terpenting di dalam hidup lelaki itu.

Sayangnya, mereka tak bisa saling memiliki. Jikalau dari dulu dia bisa melihat semua itu, pasti saat ini dia sedang dimewahkan dengan kasih sayang yang tiada taranya.

"Hello! Are you there?"

Azhar segan apabila mata cantik itu terus-terusan memandangnya. Laju saja degupan jantungnya bekerja di sana.

"Kau tanya apa tadi?" Nissa ulang tanya.

Azhar melirik senyum. Tu lah pandang lagi aku curi-curi! Kan dah malu sendiri!

"Aku tanya, kau okey tak?"

"Okey je"

"Yeke ni? Macam tak je.." duga Azhar.

"Har..." Nissa menahan sebak di dada. Suaranya juga lirih semacam. Sebolehnya dia tak mahu menangis di situ.

"Okey, sorry!" ucap Azhar. Dia tahu persis perangai dan sifat Nissa itu.

"Ingat satu benda je. Aku sentiasa ada untuk kau. Aku tetap akan jadi bahu untuk kau bersandar"

Senyuman dilemparkan paling manis buat sahabatnya itu. Dia tahu, dia akan sentiasa punya Azhar. Namun sampai kapan?

SEJAK pulang dari majlis perkahwinan Iqbal, Nissa mengunci diri di dalam bilik stor itu. Duduk berteleku di atas kerusi kayu yang sudah lusuh sambil memeluk lutut serta memikirkan nasibnya selepas ini. Menangis? Hmm, air matanya sudah jemu untuk singgah di situ.

Entah sampai kapan dia bisa bertahan hidup seperti ini. Berpisah? Dia tak punya saudara-mara atau ahli keluarga yang lain. Rumah juga dia tak punya. Jika berpisah, ke mana dia harus membawa diri?

Ya Allah, hambuMu ini buntu! Bantulah hambaMu ini! Rintih Nissa dalam hati yang paling dalam.

Tiba-tiba dia jadi rindu akan Mama Rosiah, mama angkatnya yang telah pergi menghadap Ilahi. Jikalau wanita itu masih ada, pasti nasibnya akan terbela. Dan kalau dia berpisah sekalipun, sekurang-kurangnya dia masih punya tempat untuk mengadu dan berteduh.

Bukannya mama Rosiah tidak meninggalkan apa-apa harta kepadanya, tetapi menurut Mak Uda dan mama mertuanya, harta itu masih belum sepenuhnya diuruskan lagi.

Hmmm! Nissa mengeluh. Entah ya, entah tidak namun dia terpaksa menerima itu dengan hati yang penuh lara. Sekurang-kurangnya jika harta itu berada di dalam genggamannya, dia pasti bisa untuk bertahan hidup di luar sana.

Bukanlah dia bermaksud tamakkan harta mama Rosiah, namun dia juga punya hak. Itu juga janji mama Rosiah kepadanya. Supaya dia tidak kebuluran atau hilang upaya suatu hari nanti.

Pintu diketuk.

"Nissa..."

Suara lembut Azhar memanggil. Serentak dengan bunyi ketukan di pintu.

Nissa malas! Dia tak punya upaya untuk berhadapan dengan sesiapa, Azhar sekalipun! Dia ingin bersendirian dan menenangkan diri.

Perutnya menjerit-jerit kelaparan. Dia menyentuh perutnya. Dia masih lapar. Tadi di majlis Iqbal pun dia hanya mencicip sedikit saja makanan.

"Kau makan sikit tadi kan? Aku bawak makanan ni. Kuew tiaw goreng! Sedap. Kau suka kan makan kuew tiaw ni?"

Azhar masih memujuk di luar sana. Dia tahu, Nissa tak makan banyak semasa di majlis perkahwinan Iqbal tadi.

Sekaligus, dia ingin bertanyakan khabar akan keadaan wanita itu. Hatinya gelisah setelah melihat Nissa menangis di dalam kereta sepulangnya mereka dari majlis Iqbal tadi.

Dia tahu, Nissa sedang memendam rasa dan berpura-pura tabah. Hakikatnya, dia nampak semua itu hanya lakonan semata-mata.

"Nissa..." Azhar tak berputus asa. Dia mencuba lagi nasibnya kali ini.

"Bukaklah pintu ni. Kita lepak tempat biasa jom! Kuew tiaw ni sedang tunggu kau tau?"

Tiada sahutan. Azhar meraup wajah. Perlahan-lahan dia duduk di atas lantai tanah itu. Lalu, tubuhnya disandarkan di sebalik pintu stor itu.

Dia ingat lagi, stor itulah tempat dia atau Nissa bersembunyi jika punya masalah. Walaupun stor itu tampak lama, namun dalamannya masih cantik kerana selalu dikemas dan dibersihkan oleh Nissa atau dia sendiri.

Pernah sekali, ketika itu dia masih berumur 9 tahun. Dia mencuri buah rambutan milik jiran sebelah. Apabila diketahui oleh mama dan arwah papa, teruk dia dikerjakan oleh mama. Sehingga dia melarikan diri dan bersembunyi di dalam stor itu.

Nissalah yang menemani dan menenangkannya serta mengubati bekas lukanya dek pukulan mama.

Azhar tersenyum tipis lantas mengeluh. Stor itu terlalu banyak menyimpan kenangan manis dan pahit mereka bersama.

"Nissa..."

Azhar memanggil lagi. Namun keadaan di dalam sana tetap seperti tadi, sunyi dan sepi. Barangkali Nissa sudah terlelap di dalam sana atau masih tetap mendiamkan diri.

"Kau ingat tak dulu.. setiap kali aku kena pukul dengan mama ataupun setiap kali gaduh je, aku mesti datang sini. Lepas tu kau mesti datang dan ubatkan luka dan lebam aku..."

Azhar bercerita tanpa dipinta. Sesungguhnya semua yang dilaluinya bersama Nissa akan sentiasa tersemat dalam hati.

"Kau selalu bercerita dengan aku pasal apa yang kau lalui hari tu semata-mata nak alihkan perhatian aku. Yelah, kalau kau bercerita, aku akan tekun mendengar dan lupa akan rasa sakit kena pukul"

Ada gelak kecil di hujung bicaranya. Tetapi betullah! Apabila Nissa membuka apa-apa cerita, dia pasti akan lupa akan rasa kesakitannya. Seolah-olah tangan dan bibir yang bercerita itu punya kuasa magis untuk menyingkirkan segala kesakitannya.

"Aku takkan lupa walau seinci pun yang kau buat pada aku Nissa! Semua tu tak mampu aku balas dengan apa-apa sekalipun. Tapi sekarang...aku tak mampu nak sembuhkan luka kau"

Ada nada kesal pada hujung bicara itu. Kalaulah dia tahu nasib Nissa akan seperti itu, pasti dia akan menghalangi keputusan Nissa mengahwini Iqbal. Namun nasi sudah menjadi bubur.

"Nissa...kau dengar kan apa yang aku cakap ni?"

Di dalam sana, Nissa tidak mengiyakan, mahupun menafikan. Dia masih hanyut dengan emosi meski telinganya mendengar jelas setiap kata-kata Azhar itu.

"Takpelah kalau kau tak nak cakap dengan aku. Aku tunggu kau kat luar ni"

Azhar mengalah. Dia memejam mata dengan harapan Nissa akan lembut hati dan mahu bercakap dengannya.

"Dan sampai bila-bila pun, aku akan tetap tunggu kau..."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience