TIGA PULUH DUA

Drama Series 16075

WAJAH tenang Mimi yang lena diulit mimpi ditatap lama. Nyenyak sekali tidurnya sehingga kehadiran Puan Sri Linda dan Lili pun tidak disedarinya.

Untungnya buat dia kerana dia dapat meracuni fikiran mereka tadi. Senang hati kerana mereka seakan mempercayainya.

"Iqbal tak tahu sejak bila Mimi tu berubah. Agaknya lepas dia keguguran tiga tahun lepas. Dia jadi pemberontak dan suka lawan cakap Iqbal. Dah tu, selalu pulak dengan telefon bimbit dia. Bila Iqbal nak check, dia tak bagi. Katanya, dia mesej dengan kawan-kawan sebab nak hilang stress!"

Pandai pulak Iqbal buat muka kesian dengan sebak yang ditahan di dada.

Puan Sri Linda tersentak. Onar apa lagi yang dibuat oleh Mimi kali ini? Sudah cukup dia memalukan keluarga. Tak serik lagi!

"Iqbal ada ajak dia balik jumpa mama dan papa. Tapi dia yang asyik bertangguh. Katanya, dia tak bersedia lagi sebab rasa malu gara-gara kes kawen kami dulu"

Iqbal menambah cerita lagi. Kesempatan itu dia gunakan untuk menunjukkan betapa mulianya hati dia sebagai seorang suami.

Lili mengeras di situ. Dia tak mampu nak mempercayai setiap tutur kata lelaki itu. Namun melihat kepada apa yang terjadi, ada benarnya juga cerita Iqbal itu. Iqbal sosok suami yang baik dan teguh. Masakan dia yang berbuat onar? Tapi tidak mungkin juga Mimi yang jahat. Arghh!! Dia peninglah!

"Ya Allah Mimi!! Kenapa berubah macam tu sekali? Ni kalau papa tahu, marah besar dia!"

Tampak riak kekecewaan pada wajah Puan Sri Linda itu. Anak yang dibesar dan dijaga sebaik mungkin berubah sejauh itu. Kalau berubah ke arah kebaikan, tidak mengapa juga. Tapi ini berubah lebih teruk! Dia benar-benar tidak mahu mempercayainya.

"Iqbal pun susah nak percaya ma. Mimi yang Iqbal kenal dah jauh berubah. Iqbal buntu, tak tahu nak buat apa dah. Puas dah Iqbal nasihat, tapi semuanya tak masuk ke telinga. Sekarang, Iqbal dah buntu nak cari dia kat mana! Jangankan kata mama, Iqbal sendiri pun susah nak hubungi dia!"

Bijak betul Iqbal menipu mama mertua dan kakak iparnya. Dari riak mereka, dia tahu mereka mempercayainya. Cuma mereka agak sulit untuk menerimanya. Tapi dia tak hairan! Yang penting, cerita itu sampai. Percaya atau tidak, yang jelas kini Mimi nampak jahat pada pandangan mereka!

"AKU tak tahulah sampai bila aku nak simpan kau! Tapi yang pasti, selagi dendam dan rasa tak puas hati aku masih tak terbalas, aku akan tetap gantung kau tak bertali!" dengus Iqbal dengan suara keras.

Untuk memastikan ceritanya pada Puan Sri Linda dan Lili itu benar belaka, dia sudah memastikan agar mereka tak lagi menjejakkan kaki ke rumahnya. Alasannya hanya satu, dia tak mahu kehadiran mereka menjadi tanda tanya kepada orang kampung. Hebat kan dia menipu dan memanipulasi situasi? Dia berbuat demikian agar pembohongannya tak terbongkar.

Suatu ketika dulu, dia memang sosok suami yang penyayang dan baik. Tetapi penipuan Mimi merubah segala-galanya. Kerana kebodohan dan sikap baiknya, Mimi sanggup merahsiakan perkara besar daripadanya.

Dia bosan hidup sering ditipu. Mak Uda juga sama. Menipu dan memfitnah Nissa sehingga mereka bercerai. Gara-gara itu juga, dia sering mendoakan yang bukan-bukan terhadap mak saudaranya itu. Orang jahat, pasti balasannya jahat! Dia berharap agar suatu hari nanti Mak Uda dapat merasakan betapa sakitnya ditipu, sama seperti dirinya.

Tak kurang juga Azhar! Dulu bermatian-matian dia menafikan hubungannya dengan Nissa. Alih-alih, mereka berkahwin juga. Sudah jelas di situ, Azhar hanya menunggu peluang untuk menghancurkan hubungan mereka agar dia dapat memiliki Nissa. Dia benar-benar sakit hati!

Hanya Nissa insan tulus terhadapnya. Dulu walaupun dia sering mengabaikan Nissa, wanita itu masih tetap setia dan kembali padanya. Haruman dan bayangan Nissa mengisi setiap sudut di rumah itu. Dia jadi gila gara-gara itu. Dan dia takkan melepaskan Nissa!

Dendamnya harus terbayar! Walau nyawa sebagai galang ganti. Dia tak mahu menjadi manusia bodoh yang sering ditipu lagi. Cukup sudah semua itu! Biar kali ini dia jadi jahat pula. Jahat hanya untuk memiliki Nissa kembali!

"AWAK pergi mana? Jam gini baru balik! Seharian tak nampak muka. Saya ingatkan awak dah lupa jalan rumah" bebel Mak Uda berbaur sindiran.

Sulaiman yang baru pulang hanya mampu mengeluh. Ini yang dia tak suka setiap kali pulang. Jika tidak dibebel, Mak Uda pasti menghilang di rumah Salmah di hadapan sana.

"Awak tahu tak, aku ni penat! Penat bekerja, penat nak melayan karenah awak lagi! Tak boleh ke bagi aku ruang untuk melepas lelah?"

Mata Mak Uda mencerlung tajam. Dia sudah bercekak pinggang di hadapan suaminya. Bibirnya menahan daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Geram pula dengan sikap suami yang tak endah akan dirinya.

"Ooh penat! Saya ni lagi penat tahu tak? Tunggu awak balik, tak balik-balik! Awak jangan ye, jangan nak buat hal belakang saya! Saya kerjakan awak nanti!"

Sulaiman mengeluh berat. Dia sudah letih nak menghadap sikap Mak Uda itu.

"Aku nak masuk bilik. Nak mandi. Nak solat. Ada baiknya kita ni mengimbarah masjid, solat, bergaul dengan jiran-jiran, pahal mengalir tahu tak? Daripada aku melayan awak ni, buat sakit kepala, sakit hati je!"

"Bawak-bawaklah mengucap Uda! Kita ni bukannya makin muda. Entah-entah esok lusa Allah ambik nyawa. Sebelum kena tarik nyawa tu, bertaubatlah Uda! Aku ni dah lali dengan sikap kamu. Aku dah buntu nak nasihat macam mana lagi. Kamu fikirlah sendiri! Dah tua bangka kan?!"

Mak Uda menahan amarah yang membuku dalam hati. Sakit hati pula diladeni sebegitu oleh suaminya, tambah-tambah lagi nasihat tersebut seakan menyindirnya.

"Sibuk je dengan dosa pahala aku! Tahulah aku menjaganya" desis Mak Uda dalam geram.

Sulaiman tak habis fikir. Kebiasaannya, Mak Uda masih 'berkunjung' di rumah Salmah. Kadangkala, tengah malam baru pulang, meninggalkan dia sendirian di rumah. Nak nampak batang hidung pun payah! Sekarang, rajin pula Mak Uda di rumah. Dah habis modal gamaknya nak menjaja cerita. Hmm. Uda Uda! Entah sampai kapanlah nak berubah!

NISSA terbangun dari tidur. Jam di tepi katil dikerling. Sudah pukul 2.46 pagi. Dia meraba-raba sebelah. Tiada Azhar di situ. Mana Azhar pergi?

Nissa gagahkan diri untuk bangun. Dia lihat ada lampu kecil di atas meja kelihatan malap. Mungkin Azhar di situ membuat kerjanya. Dengan lemah longlai, dia menghampiri si suami yang sibuk di hadapan komputernya.

"Ehh sayang! Kenapa bangun?" Nissa ditarik dan didudukkan di ribanya. Dia lihat mata Nissa besar kecik saja.

"Abang buat apa? Kenapa tak tidur lagi? Esok kan nak jalan jauh" Nissa melentokkan kepalanya di bahu Azhar.

Esok hari, flight mereka pukul 10 pagi. Risau pula jika Azhar letih dan mengantuk sepanjang perjalanan mereka.

"Abang terbangun pukul 12 tadi. Ingat nak siapkan sesuatu"

"Apa tu?" tanya Nissa dengan suara yang serak-serak basah.

"Kes Rebecca. Budak kena culik hari tu. Masih belum ada berita pasal dia!" Azhar mengeluh.

Mendengar cerita Azhar, Nissa angkat wajah, tatap riak si suami yang kelihatan kesal.

"Takde berita apa-apa pasal dia ke?"

"Takde! Kalau orang menculik sebab nak duit, mesti dorang dah call. Tapi family dia kata, dorang tak terima sebarang panggilan pun"

"Jadi?" Nissa kerut dahi.

"Jadi kes ni mungkin kes pemerdagangan manusia! Kalau disabit kesalahan, boleh kena hukuman yang serius"

"Apa hukuman dia?" tanya Nissa sambil menguap. Berusaha betul dia menahan mata daripada kantuk.

"Hukuman mahkamah terhadap pemerdagangan manusia adalah antara empat hingga 14 tahun penjara di bawah Akta ATIPSOM, dan sehingga tujuh tahun penjara di bawah Kanun Keseksaan. Mahkamah jugak boleh menjatuhkan hukuman kurang daripada satu tahun penjara terhadap sesetengah pemerdagangan di bawah undang-undang bukan pemerdagangan"

Terkebil-kebil mata Nissa, mencuba untuk memahami kata-kata suaminya. Otaknya tepu seawal pagi itu. Agak susah nak mencerna apa yang diceritakan oleh Azhar.

"Kenapa ni?" Azhar tergelak kecil. Rambut Nissa yang terurai itu diselak ke tepi. Melihat leher Nissa yang putih dan lenggokan manja si isteri, Azhar betul-betul tak mampu menahan gelora di jiwa.

"Nissa tengah fikir ayat abang tu. Akta ATIPSOM tu apa pulak?"

"Ohh ATIPSOM tu..." Azhar tak jadi nak meneruskan ayatnya. Dilihatnya Nissa tak berkedip menatapnya. Arghh!! Menggoda betul mata itu.

"Nantilah belajar pasal tu. Sekarang abang nak...."

Tubuh Nissa dibawa rapat ke sisi. Pinggang Nissa dipeluk erat. Naik saja tangannya pada belakang dan seluruh tubuh Nissa, bibirnya laju mencari bibir mungil itu.

"Abang..." Tak menyempat, Nissa rebah di dalam dakapan manja sang suami.

TERINGAT kembali cerita Iqbal kelmarin, hati Lili dipenuhi curiga dan syak wasangka. Tidak mungkin Mimi berubah sejauh itu.

Dia dan Mimi membesar bersama-sama. Selama ini, tak pernah Mimi berlaku bejat pada sesiapa. Dan kerana cinta, dia rela melakukan apa saja termasuk menipu orang tuanya. Dan kerana cinta juga, tidak mungkin setianya goyah pada sang suami.

Berkali-kali dia mencuba menghubungi nombor adiknya itu. Namun tiada respon. Mesejnya pula pending. Menurut cerita Amran tempoh hari ketika mereka berbual berdua, Mimi ada mengatakan mengenai sikap Iqbal yang sudah berubah. Katanya, Iqbal sudah tidak romantis dan lembut seperti dulu. Iqbak berubah gara-gara cintanya pada Nissa.

Lili baru teringat. Nissa! Hanya gadis itu yang bisa membantunya mencari Mimi. Tapi mahukah Nissa menolongnya setelah apa yang berlaku tiga tahun lalu?

Tetapi terdetik juga di hati Lili akan kebenaran pada cerita Amran dan Iqbal. Siapa yang sudah berubah sebenarnya? Mimi, seperti yang didakwa oleh Iqbal ataupun Iqbal sebenarnya yang berubah seperti yang diceritakan oleh Mimi kepada Amran?

Dan jika benar Mimi melarikan diri bersama lelaki lain, siapakah gerangan lelaki itu?

Lili mengeluh. Dia harus mencari tahu akan kebenarannya. Kerana dia pasti, antara dua kebenaran itu, hanya satu yang betul!

DARI dalam bilik, Puan Sri Linda menangisi akan nasib yang menimpa anak bongsunya. Dia sedih setelah mendengar cerita yang dibawa oleh Iqbal. Sungguh tak terdga olehnya akan perkara itu.

Teganya Mimi mempermalukan dia dan suaminya. Menipu tentang status Iqbal, menipu tentang kehadiran Sofi selama lapan tahun ini serta yang terbaru ini, dia melarikan diri bersama lelaki lain.

Sungguh dia terkesan dengan sikap bejat Mimi itu. Di mana dia nak sorokkan wajah? Malu betul dia kalau harus berhadapan dengan keluarga Iqbal.

"Tak usahlah awak nak tangisi anak tak mengenang budi tu! Kalau dia sedar diri, dia dah lama fikir pasal kita sebelum berbuat sesuatu. Saya takkan izinkan dia jejak kaki ke sini lagi!"

Keras suara Tan Sri Aziz memberi amaran. Setelah mendengar cerita melalui Lili sebentar tadi, dia hampir pengsan kerana tak menyangka Mimi seperti itu.

Susah payah dia membesarkan Mimi. Menyekolahkan dia, menjaganya dan mendidiknya tetapi itu balasan yang diberikan. Sungguh dia takkan ampunkan Mimi!

Kecewanya pada Mimi hanya Allah saja yang tahu. Tiap hari berdoa agar anak-anaknya diberi kebahagiaan dunia akhirat. Tetapi doanya tak terjawab.

"Agaknya inilah balasan Tuhan pada kita bang. Atas dosa saya dulu. Kalau saya tak rampas abang dari Kak Nita, pasti semuanya takkan jadi macam ni. Sekarang, anak kita rampas suami orang, kita yang tanggung dosa dia! Saya malu bang..."

Tan Sri Aziz diam, mengiyakan di dalam hati. Kalaulah dia tidak mengecewakan Hanita dulu, mungkin dosa itu tidak terpalit ke arah mereka. Dia menginsafi dosa diri dan memohon ampun pada Allah. Dia yakin Allah mengampunkannya. Namun dosa dan salahnya pada Hanita, belum tentu terhapus!

"Dahlah Lin! Kita masih terlalu muda masa tu..kita tersalah langkah"

Puan Sri Linda teresak-esak. Dahulu, dia tega merebut Aziz dari teman akrabnya sendiri, Hanita. Kini, dosa itu seakan berpaling kembali kepada mereka. Ya Allah, dia sedih!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience