SATU

Drama Series 7232

BUDAK LELAKI itu terkial-kial menaiki basikal. Dia buntu dan tidak tahu bagaimana hendak mengayuh basikal pemberian arwah papanya itu.

Entah kali yang keberapa dia mencuba, hasilnya tetap nol! Dia mengeluh dan hampir saja hendak menangis. Jika ada Nissa, pasti semuanya baik-baik sahaja.

"Budak cengeng ala pondan! Tak pandai naik basikal. Baik jadi perempuan jelah kau!" sergah Taufiq, budak lelaki yang berusia 9 tahun itu. Sebaya dengan dirinya.

Azhar menoleh dengan mata yang berkaca-kaca. Pasti mereka ingin membulinya lagi. Semalam saja, dia dimarahi mama gara-gara terjun ke dalam sungai. Padahal Taufiq dan temannya yang menolak dia ke situ. Untung saja ada Nissa datang menyelamat, jika tidak pasti teruk dia dikerjakan.

Melihat esakan Azhar, Taufiq dan temannya mulai berlagu riang. Budak cengeng sudah menangis!

"Tak malunya menangis. Macam budak perempuan!" ujar Daniel, selaku teman karib Taufiq.

Kata-kata Daniel disambut dengan tawa oleh yang lainnya. Seronok saja mereka membuli si Azhar itu!

"Nanti dia nak panggil superwoman dia" sahut Mustaffa pula. Yang ni agak tua dari mereka. Usia pun 10 tahun.

"Baik jadi perempuan jelah! Kalau kena buli sikit panggil perempuan. Ha ha ha" cemuh Taufiq pula.

"Tak malulah kau ni!" tambah Daniel pula.

Azhar sudah teresak-esak. Taufiq menunjal kepalanya beberapa kali. Dia geram dengan sikap cengeng dan pengecut Azhar itu.

Demi mendapatkan sokongan Taufiq, Daniel juga bertindak pantas dengan menarik kolar baju Azhar dan menolak tubuh itu ke dalam lumpur.

"Ha ha ha!" Tawa Daniel disambut oleh yang lainnya.

Azhar dilihatnya tak berani melawan. Dia mencuba untuk bangkit namun dengan pantas tubuhnya disenggol oleh Mustaffa.

Dia kembali terduduk. Habis kotor pakaiannya itu. Pasti dia bakal diomeli oleh mama sekejap lagi.

"Hoii!!!" sergah satu suara dari arah belakang.

Keempat-empat mereka menoleh. Wajah Taufiq dan temannya mulai kecut saat melihat wajah penuh menyeringa itu.

Nissa mengecilkan mata memandang mereka yang sedang membuli teman baiknya itu. Lolipop yang sedang elok di dalam mulut dicampak ke tanah.

Langkah kaki mulai diatur mendekati si mastermind, iaitu Taufiq. Kemudian, kolar bajunya dipulas.

"Kau ni tak habis nak membuli! Tak serik lagi ke?" Tubuh Taufiq ditolak ke dalam lumpur.

Azhar sudah berdiri di belakang Nissa. Ketakutannya mulai lenyap tatkala berada di samping Nissa.

"Kau!! Sini!" Nissa menunding jari ke arah Daniel pula.

Wajah pucat Daniel mulai menyusul. Dia takutkan Nissa. Gadis itu lasak dan berani. Tempoh hari, lututnya luka gara-gara dikerjakan oleh Nissa.

"A...apa yang kau..kau nak?" Terketar-ketar suara Daniel bertanya.

"Apa yang aku nak?"

Daniel telan liur.

Azhar di sisi tersenyum puas.

"Aku nak balas balik apa yang buat pada Har! Aku dah cakap kan, jangan pernah kacau dia lagi! Tak dengar kau kan?"

Telinga Daniel dipulas. Teraduh-aduh Daniel dibuatnya. Bukan main kuat tangan itu!

"Aku...aku mintak maaf!" Suara Daniel meninggi dalam rayuan.

"Ni semua plan Taufiq! Kita orang ikut jer!"

Mata Taufiq terjegil mendengar omongan Daniel. Fikirnya Daniel akan menyebelahinya. Ternyata Daniel sudah berpaling daripadanya.

"Betul tu Nissa! Kita orang ikut jer!" sampuk Mustaffa pula. Dia juga sudah diserang angin ketakutan dengan wajah Nissa itu.

"Woii!!" sergah Taufiq. Dia tak berani bangun dari duduknya. Jelingan Nissa cukup menakutkan.

"Kau sini!"

Nissa menggamit Mustaffa pula. Daniel ditolak ke dalam lumpur bersama dengan Taufiq di situ.

Perlahan-lahan Mustaffa mendekati. Wajahnya tampak tenang namun dia sebenarnya sedang sembunyi riak ketakutan dalam hati.

"Kau ni tua dari dorang tapi perangai pun sama! Kuat membuli. Sekarang giliran aku pulak buli kau!!"

Nissa menarik kolar baju Mustaffa dan melayangkan sebuah tumbukan ke wajah itu. Mustaffa mengerang kesakitan.

Tak cukup dengan itu, dia tolak tubuh Mustaffa yang gagah itu ke dalam lumpur. Diseret ke tanah sehingga Mustaffa tak berani nak melawan.

Azhar melopong melihat agenda itu. Dia tersenyum puas. Nissa memang penyelamatnya!

"Korang usik lagi Azhar, lagi teruk dari ni aku kerjakan korang!"

Ugutan Nissa memekarkan sekeping hati milik Azhar. Dia tersenyum bahagia kerana ada Nissa yang sentiasa menyebelahinya.

Dari hari itu, dia berjanji kepada dirinya sendiri untuk sentiasa menjaga dan melindungi Nissa dari apa-apa ancaman.

"Nanti kita dah besar, saya akan jadi Superman awak tau? Tunggu saya gagah dan kuat dulu ye?"

Nissa gelak sambil mengangguk kepala. Dua jari kelingking bersatu dalam sebuah perjanjian yang termeterai.

EMPAT BELAS TAHUN KEMUDIAN...

AZHAR tersenyum sendiri mengingatkan peristiwa itu. Semuanya seolah seperti baru semalam kejadian itu berlaku.

Dulu dia selalu dibuli dek kerana tubuh badannya yang gempal itu. Acapkali diejek dan dihina serta sering dibandingkan dengan Iqbal, abangnya.

Namun setiap kejadian buruk yang menimpa dirinya, pasti ada Nissa yang melindungi. Gadis itu bak pahlawan yang senantiasa berdiri selangkah di hadapan bagi membelanya.

Kini mereka masing-masing sudah beranjak dewasa. Sudah menjadi teruna dan dara. Dialah teruna yang mendambakan sang dara. Namun hampa. Sang dara lebih memilih kumbang yang lain. Kumbang itu pula darah dagingnya sendiri. Dia kecewa tetapi hatinya reda dan pasrah. Asalkan Nissa bahagia, maka dia juga turut merasakan hal yang sama.

Dari kejauhan, dia lihat Nissa duduk termenung di buaian. Entah apa yang bermain di fikiran kakak iparnya itu. Sudah hampir enam tahun Nissa menjadi isteri Iqbal. Dan sejak dari detik itu, dia tak pernah lagi lihat senyuman di wajahnya.

Semuanya gara-gara sikap tak bertanggungjawab si Iqbal. Semudahnya mengotakan janji dan semudah itu juga melepaskan tangan. Kasihan Nissa! Dia harus terpaksa menanggung semua beban itu.

Disebabkan itulah Azhar tak mahu terus jauh dari Nissa. Bukan kerana niat tak baik tetapi kerana janji yang telah dikotakan sedari kecil lagi. Dia akan sentiasa mengikat Nissa di sisi selagi hatinya tak pasti melepaskan wanita itu mencari bahagia sendiri.

"Jauhnya kakak ipar aku ni termenung! Banyak sangat masalah ke?"

Teguran Azhar mencacatkan ingatan buruknya dalam sekelip mata. Air mata yang sudah menitis cepat-cepat diseka. Bukan apa, adik ipar yang satu ini suka sangat bertanya!

"Taklah! Takkan nak feeling-feeling pun tak boleh" nafi Nissa lantas melemparkan senyuman.

Keluhan berat Azhar luahkan. Senyuman Nissa itu dia sudah faham sangat. Tak boleh nak tipu dia!

"Kau senyum macam tu dari jarak 1000 meter pun aku boleh tahulah ikhlas ke tak"

Wajah mendung Nissa dipandang tak lepas. Dulu wajah itulah yang selalu datang kepadanya dengan penuh senyuman. Membawa sinar tatkala bahagia hampir lenyap. Kini, wajah itu juga seakan memanggil duka tanpa sengaja. Seperit apakah kehidupan yang kau jalani saat ini Nissa Ardini?

"Merepeklah! Kau tu ada super power ke?" Nissa tergelak, sekadar menyembunyikan duka di wajah, juga hati.

"Ada!"

Nissa menoleh. Pandangannya bersabung dengan anak mata redup milik Azhar.

"Aku kan superman kau. Yang sentiasa melindungi kau, hiburkan kau, ceriakan kau..."

"Kau mampu lindungi hati aku dari terus terluka tak?"

Soalan spontan dari Nissa bikin hatinya walang. Bicaranya terhenti. Pandangannya jatuh pada permukaan lantai marmar itu.

Bagaimana bisa dia membuat hati wanita itu tenang? Padahal dia juga merasakan perkara yang sama. Seperti Nissa, dia juga terbuang oleh ahli keluarganya sendiri.

Entah apa dosanya, kehadirannya dipandang sepi oleh keluarga itu. Dia mungkin bijak menyusun kata-kata, tetapi untuk mengerjakannya, dia sendiri tidak mampu.

"Kau nak aku buat apa?"

Pandangannya kembali menjamah seraut wajah Nissa.

Perlahan-lahan, Nissa tarik helaan nafas lalu dihembuskan.

"Bawak aku lari dari sini!"

Ucapnya seraya mengekek. Ketawa itu kedengaran sumbang. Mana tidaknya, gelak tawa itu hanya untuk menghibur diri.

"Jom!"

Nissa pandang wajah Azhar. Serius. Dia pula naik seriau..

"Jom ke mana?"

"Bawak kau lari dari sini!"

"KAU gila ke? Kau ingat perkahwinan ni perkara main-main? Kalau kau nak, kau buat. Kalau tak nak, kau campak! Macam tu?"

Berdesing cuping telinga Iqbal menerima taklimat ceramah petang itu. Dia menggerutu sambil menggaru kepala. Semua memang salahnya.

Mengahwini Nissa hanya kerana ego kelelakiannya tercabar. Ya, dia tercabar dek kata-kata Mimi, bekas tunangnya. Arghh!! Jika dia mampu bersabat sedikit sahaja, pasti saat ini dia sedang mengecap bahagia bersama Mimi.

Masalahnya Mimi pula tinggalkan dia di tengah keramaian manusia yang hadir menyaksikan perkahwinan mereka. Demi untuk menyelamatkan maruah keluarga, dia terpaksa meminta tolong Nissa untuk menggantikan posisi Mimi.

Gadis lurus bendul itu hanya menurut saja tatkala dia menyuarakan permintaannya. Dia ucapkan sayang pada gadis itu, dan berjanji untuk bersama selama-lamanya. Padahal di dalam hatinya, masih ada nama Mimi.

"Kau tak faham!" Iqbal separuh membentak. Pantang dia apabila ada yang tak sekepala dengannya.

"Aku cuba tau? Bukannya tak pernah. Cuma...itulah.." Iqbal berjeda. Air liur ditelan.

Firdaus menanti bicara selanjutnya penuh sabar. Wajah Iqbal diamati. Jikalah dia seberuntung Iqbal, jiwanya pasti bahagia. Siapa saja yang tak mengenali Nissa Ardini? Gadis manis penuh sopan dan tatasusila. Satu kampung sukakan gadis itu.

"Cuma apa?" tanya Firdaus tak menyabar.

"Aku tak boleh!" sambung Iqbal lagi.

"Kau tahu tak, kau dah permainkan perasaan Nissa? Kau dah perjudikan hidup dia? Dia datang dalam keluarga kau bukan dengan kehendak dia tau? Tapi kemahuan kau sendiri. Kau yang meminta-minta dia. Dan sekarang, kau nak buang dia macam tu je? Enam tahun bro! Enam tahun! Takkan dalam tempoh tu kau tak rasa apa-apa pada dia?"

Sungguh menghairankan sikap lelaki yang berdiri di hadapannya itu. Tampak saja kacak bergaya penuh karisma, tetapi otak pemikiran dia nol!

"Kau tak fahamlah! Aku tak boleh nak teruskan hubungan ni. Aku..aku dah penat mencuba. Kau takkan pernah faham!"

"Yelah, aku tak faham!" Firdaus mengalah. Balik-balik itu saja ucapannya. Dia pun dah jemu nak memahami sikap gila Iqbal itu. Jangan pula suatu ketika nanti dia menyesal dengan tindakannya itu!

"Satu je aku nak pesan. Kau jangan menyesal suatu hari nanti!''

Iqbal diam. Menyesal? Memang takkanlah! Dia Iqbal Hakimi. Lelaki gah yang tak pernah tewas dengan sebarang keadaan sekalipun. Setakat Nissa, celah jari dia saja!

DENGAN perasaan berbelah-bagi, Iqbal putuskan untuk berbincang empat mata dengan Nissa. Dia akan pastikan segalanya berjalan dengan lancar dan keputusan mampu dibuat sebaik mungkin.

Pintu bilik dibuka. Anak matanya mencari-cari akan bayangan sang isteri. Matanya tertangkap pada sekujur tubuh sedang bertafakur di atas sejadah. Mulutnya tak henti-henti mengucapkan zikir.

Melihat kesungguhan Nissa, hatinya jadi serba-salah. Sikap Nissa yang satu itu juga sebenarnya yang bikin dia tetap mengunci wanita itu. Walaupun tanpa sedar, dia sendiri yang menoreh luka di hatinya.

"Ehh abang! Dah balik?"

Tak sedar, Nissa sudah berdiri di hadapannya. Tangan dihulur. Iqbal akur. Nissa tunduk hormat menyalami tangannya.

"Abang nak apa-apa ke? Nissa buatkan" tanya Nissa setelah Iqbal duduk di birai katil.

"Tak..nanti je" sahut Iqbal sambil menarik tali lehernya.

Nissa mengangguk. Telekung yang menutupi seluruh tubuh sudah ditanggalkan.

"Nissa dah siapkan air untuk abang mandi. Surat khabar, kopi panas dan pisang goreng pun dah tersedia kat atas meja dapur. Abang nak apa-apa lagi?"

Senyuman yang menghiasi wajah itu ditatap lama. Begitulah rutin Nissa setiap hari sesudah dia pulang dari ofis. Wanita itu sangat sempurna. Dia saja yang tak kenal erti syukur. Betapa berdosanya dia terus mengheret Nissa ke dalam perkahwinan yang tak mampu menjamin apa-apa itu.

"Abang..." panggil Nissa lembut. Bahu Iqbal ditepuk.

"Abang okey ke?"

Iqbal hanya mampu mengangguk tanpa sepatah bicara. Hatinya resah, dan mulutnya terkunci. Walhal begitu banyak yang ingin disampaikan kepada isterinya.

"Okey. Kalau macam tu, Nissa nak ke dapur dulu"

Nissa sudah menyarungkan tudung ke kepalanya. Dia harus menjaga auratnya kerana Azhar juga tinggal di rumah itu. Langkah kaki diatur menuju ke pintu bilik.

"Abang dah jumpa Mimi"

Hati Nissa bagaikan dihempap batu besar tatkala mendengar bicara suaminya. Langkahnya serta-merta mati. Tubuhnya kaku.

Dan tanpa sedar, air mata sudah berlumba-lumba memunculkan diri. Nissa Ardini, kau harus kuat!

new babymoon ^,^ happy reading ;)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience