TUJUH

Drama Series 6436

TEKAD sudah dibuat. Keputusan juga sudah diambil. Ya atau tidak, berdosa atau tidak, dia tidak akan beralah. Suatu hati nanti, dia tetap akan membuka kebenaran itu apabila saatnya sudah tiba.

Azhar berdiri di sebalik tingkap. Pandangannya tertancap pada sekujur tubuh milik Nissa yang berdiri kaku di sebelah kereta milik Iqbal. Dia baru teringat, hari ini Iqbal akan berangkat ke Korea bersama Mimi. Dan meninggalkan isteri pertama yang hanya mampu menelan segala kepahitan sendirian.

Kejamnya kau Iqbal! Azhar sungguh tak berpuas hati. Namun dia harus bersabar dulu. Dia sudah merangka segala macam perancangan di dalam benaknya. Yang pasti, dia tidak akan membiarkan Nissa terluka lagi.

Iya, telaah hatinya selama ini sangat benar dan pasti. Dia memang cintakan Nissa. Tak dikira Nissa itu isteri orang atau kakak iparnya, yang pasti Nissa harus bahagia.

Kereta milik Iqbal sudah meluncur laju keluar dari perkarangan rumah. Tinggal Nissa keseorangan di situ. Azhar lihat Nissa menyeka air matanya. Dia belum punya hak untuk menyapu kedukaan itu namun dia pasti memilikinya suatu hari nanti.

Kebenaran yang terpampang di hadapan matanya sebentar tadi menjadikan dia semakin berani. Dia harus berjaya dahulu. Kemudian, barulah dia akan kembali sebagai Azhar yang baru dan membawa Nissa meninggalkan 'neraka' itu. Tetapi buat masa sekarang, Nissa harus tetap bersabar dan tabah!

"AKU ni kan, betul-betullah harap nanti si Iqbal dan Mimi tu bagi cucu dekat aku ni. Yelah, rumah ni sepi sangat. Takde suara budak"

Mak Uda sudah mula memasukkan jarum. Nissa di sinki yang sedang mencuci pinggan mangkuk dipandang dengan tatapan tajam. Entah kenapa, dia suka menyakiti hati isteri Iqbal yang sorang itu. Rasanya macam baru menang trofi!

Hati Nissa meraung dalam diam. Dia tak mahu menjawab kerana masih menghormati wanita itu. Biarlah Mak Uda berkata semahunya, tetapi untuk membalas, itu bukan caranya.

Hishh, diam pulak budak ni!! Gerutu Mak Uda dalam hati.

Elok saja Nissa dengan pekerjaannya. Dia hairan, masakan tidak terkesan sedikit pun kata-katanya sebentar tadi?

"Nak harapkan kau, sampai dunia kiamat pun takkan beranak! Hishh, hairanlah aku! Agaknya engkau ni mandul tak?!" sindir Mak Uda lagi. Kali ini, diiringi gelak tawa yang sangat menyakitkan hati.

Nissa mengurut dada. Dia beristighfar dalam hati. Sabar Nissa! Sabar! Jangan lawan. Demi tak mengendahkan bicara Mak Uda tersebut, Nissa menapak pula ke arah meja makan lalu mengelap sisa-sisa kotoran makanan di situ.

Mak Uda pula duduk di atas sofa yang tidak berapa jauh dari meja makan itu. Darahnya menyirap melihat Nissa yang tak terkutik dengan omongannya. Dia menyumpah dalam hati dengan perlakuan Nissa yang selamba itu.

"Kurang ajar punya perempuan! Heii, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?!"

Marah Mak Uda sudah tidak mampu dibendung lagi. Pinggan yang berisi lauk-pauk di sisinya digapai lantas dicampakkan di atas lantai. Bertaburan sisa lauk-pauk tersebut, sekali dengan kaca yang berderai.

Nissa kaget lantas mengucap panjang. Dia lihat wajah Mak Uda menyeringa saja. Umpama menunggu masa untuk menerkam mangsa.

"Ya Allah, apahal ni?" Salmah sudah berdiri di antara keduanya. Dia turut terkejut melihat apa yang terjadi.

Azhar turut sama menyertai mamanya. Dia segera menapak ke arah Nissa dengan wajah yang cemas.

"Kau okey ke?"

Nissa tak menjawab. Sebaliknya hanya berdiri kaku dengan linangan air mata yang semakin deras mengalir.

"Ni, kau tengok menantu kau ni. Mentang-mentanglah aku ni dah tua, tak berapa nak ada tenaga, dibulinya aku. Kau tahu Sal, ditikamnya pinggan tu ke arah aku. Lepas tu disuruhnya aku kutip dan kemas... Hu hu hu"

Mak Uda sengaja berbohong. Dia mulai teresak-esak bagi menagih simpati Salmah.

"Mak Uda cakap apa ni? Bila pulak Nissa buat semua tu? Mak Uda yang baling pinggan tu ke arah Nissa..."Nissa membela diri.

"Haa tengok tu Sal! Dah pandai berbohong pulak. Suami dia takde kat sini, mulalah nak berlagak macam mem besar!" ujar Mak Uda lagi sambil mengesat air matanya.

"Cakap Mak Uda bukannya boleh percaya sangat!" tempelak Azhar pula. Walau apapun kenyataannya, dia tetap berpihak pada Nissa.

Terjegil biji mata Mak Uda melihat Azhar. Rasa nak ditibai pula anak saudaranya itu. Banyak menjawab dan suka menyampuk! Kalau berambus dari rumah, lagilah hatinya senang! Takpe, tunggu je nasib kau nanti!

"Dah-dah! Mama tak nak dengar apa-apa lagi" Salmah bersuara. Dia pening memikirkan olah mereka itu.

"Nissa, tolong kutip dan kemaskan sepah ni!" arahnya lagi. Walaupun sukar, tetapi sebenarnya dia lebih percayakan Nissa.

"Dan kau Uda, pergi balik rumah kau! Suami kau tu dari tadi dah kat rumah. Kau ni tak habis-habis nak buat suami kau risau!" rungut Salmah lagi. Barusan, dia lihat kereta Proton Wira milik Sulaiman parkir di halaman rumah.

"Tapi kau percayakan aku kan?" soal Mak Uda, tak berpuas hati.

"Iya iya!"

Mak Uda bangkit dari duduk lalu menerpa ke arah Salmah. Sempat pula dia bisikkan sesuatu ke telinga wanita itu.

"Kau kena ingat Sal! Jangan sampai si Nissa dan Azhar buat maksiat kat rumah ni! Kau kena tengokkan dorang tu. Rapat semacam. Tak macam hubungan ipar-duai!"

Kata-kata Mak Uda dicerna sedalam-dalamnya oleh Salmah. Takkanlah mereka sanggup berbuat begitu? Tetapi melihat akan keakraban keduanya, hati Salmah mula berlagu hebat.

Apatah lagi setelah melihat betapa sayangnya Azhar akan Nissa. Dia boleh nampak dari sikap dan perilaku anak lelakinya itu.

Salmah membuang pandang ke arah mereka. Dilihatnya Azhar sedang membantu Nissa membersihkan lantai. Sedangkan Nissa disuruh Azhar untuk duduk di atas kerusi.

Mungkinkah?

"HISH, aku geram betullah dengan orang tua tu! Kalau ikutkan hati ni, nak je aku lempang dia sampai pengsan. Baru padan muka!" omel Azhar dengan perasaan geram.

"Dia kan mak saudara kau. Lagipun dia dah tua jugak. Mana nak sama tenaga dengan kita. Biarlah dia..tak payah nak ambik peduli sangat. Lama-lama nanti tu senyaplah dia..."

Nasihat Nissa dengan tenang. Namun hati dan fikirannya masih belum mampu untuk 'move on' dengan omongan Mak Uda tadi. Sakitnya terlalu berasa di hujung hati.

"Kau ni baik hati sangatlah Nissa!" rungut Azhar dengan keluhan panjang. Adakalanya dia tak mampu nak memahami ketenangan wanita itu.

"So kau nak aku jadi jahat ke?" bidas Nissa pula.

Riak muka Azhar berubah. Dia pandang wajah Nissa yang selamba itu.

"Takdelah..cuma..." jeda Azhar. "Ya, aku nak kau jadi jahat sikit. Tak payah jahat banyak. Sikit pun jadilah!"

Nissa mengeluh berat. Baginya, teramat susah hendak jadi jahat. Namun lagi payah nak berbuat baik. Dan dia lebih rela memilih kebaikan kerana ganjarannya sangat luar biasa.

"Entahlah Har! Aku dah penat"

"Kalau penat, berehat. Kalau mengantuk, tidur. Kalau sakit, jumpa doktor. Dan kalau rasa berat sangat beban tu, luahkan. Jangan disimpan"

Pandangan Azhar terhadap Nissa terlalu mendalam. Dia mahu Nissa mengerti akan maksud kata-katanya. Bukan sekadar didengari sahaja tetapi difahami dan dicerna.

Namun pandangan dan riak di wajah Nissa kelihatan kosong. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia merasakan wajah itu sudah seakan pudar serinya.

"Takpela Nissa! Nanti lama-lama kau faham"

"TEMUDUGA polis? Bila Har nak pergi?"

Ternyata Salmah agak kaget dengan penerangan Azhar sebentar tadi.

"Dua hari lagi ma..Kalau lulus, Har terus menetap kat sana. Tapi kalau tak lulus, Har balik semula ke sini"

"Habis tu, Har nak duduk mana kat KL tu?"

Kebimbangan Salmah masih berlarut buat anak yang satu itu. Walaupun dia tahu Azhar bisa menjaga diri, namun dia tetap tak boleh pandang enteng akan sikap panas baran Azhar itu.

"Har duduk dengan Syafiq nanti. Dia yang bagitau pasal temuduga ni"

"Syafiq anak Mak Uda tu ke?''

"Ya ma" sahut Azhar seraya mengangguk.

"Yelah. Tapi kamu kena.. "

"Ya, Har tahu. Har akan jaga diri dan kawal panas baran Har ni"

"Jangan nak cari gaduh! Dengar tak ni?" Salmah menegaskan. Wajahnya serius saja.

Bukan dia tidak tahu akan sikap panas baran Azhar itu. Dulu pun Azhar selalu bergaduh gara-gara sikap itu. Dan semuanya kerana Nissa! Pantang ada yang membuli Nissa, pasti dia naik tangan.

Dan Salmah harus merelakan keputusan Azhar kali ini. Kata-kata Mak Uda tempoh hari telah berjaya memporak-perandakan hatinya. Sekurang-kurangnya, ketiadaan Azhar mampu melegakan ketidaksenangan hatinya.

"Mama izinkan Har pergi kan?"

Lembut nada suara itu bertanya.

"Ya, mama izinkan. Dan mama restu"

"Thanks ma!"

Laju saja tubuh Salmah dipeluk. Bersyukur kerana restu dan izin mama dibawa bersama. Biasanya mama sukar mengiyakan segala keputusannya. Berbeza pua dengan kali ini. Namun dia tetap bersyukur.

Hanya Nissa yang perlu diberitahu. Entah bagaimana reaksi dan penerimaan wanita itu.

BICARA Azhar bagaikan angin yang singgah sekejap lalu berterbangan kembali. Wajahnya beriak kosong. Hatinya walang. Dia tak bersedia untuk sebarang berita mengejutkan itu.

"Nissa..."

Azhar melayangkan tangannya di hadapan Nissa. Dia lihat wajah cantik itu tak bereaksi apa-apa. Sedihkah dia? Atau gembirakah dia?

"Kau...okey tak?" tanya Azhar tatkala sepasang mata itu memandangnya.

"Kau nak aku buat apa? Nangis atau happy?"

Pertanyaan Nissa menyentakkan Azhar.

"Kau pun macam Iqbal! Janji hanya tinggal janji"

Sekali lagi, Azhar kaget. Namun kali ini dengan tamparan yang lebih hebat.

"Tapi aku janji, aku akan balik. Aku akan kembali pada kau"

Air mata Nissa tidak mampu dibendung lagi. Semahunya dia menangis di hadapan lelaki itu. Dia cengeng. Dia sensitif. Entah kenapa kepermegian Azhar lebih terasa sakitnya berbanding dengan melepaskan Iqbal pagi tadi.

Kepermegian Azhar dirasakan seolah separuh nyawanya juga melayang. Tetapi kenapa dia merasakan hal tersebut?

"Nissa, janganlah nangis!" Azhar mulai gelabah melihat tingkah Nissa yang semakin kuat menangis.

Tak disangka Nissa bereaksi sebegitu. Namun dia harus pergi untuk menjadi insan yang lebih berguna. Dia mahu membawa Nissa keluar dari situ.

"Aku janji, aku akan kembali pada kau. Dan aku jugak janji, aku akan bawak kau keluar dari rumah ni"

"Tapi nanti, Mak Uda akan selalu buli aku"

"Laa kau sendiri yang cakap yang dia dah tua. Tenaga tak macam kita. Dia buli kau, kau buli dia balik!"

Azhar hanya ingin melawak. Namun semakin kuat pula Nissa melalak.

"Adui!!" Azhar menggaru kepala.

"Takde orang akan lindungi aku lagi lepas ni. Kau cakap kau Superman aku. Macam mana aku nak panggil kau kalau aku perlukan kau?" Nissa teresak-esak di hujung bicaranya.

Kedua bahu Nissa dipaut. Dia sudah lupa kalau Nissa itu kakak iparnya.

"Nissa, kau kena belajar mandiri. Belajar hidup kuat. Aku pergi tak lama. Lepas selesai semua, aku akan balik pada kau. Aku akan kotakan janji aku pada kau. Tapi kau jugak kena janji dengan aku. Untuk sentiasa jadi kuat dan tetap bertahan selama aku takde kat sini"

Perlahan-lahan Nissa mengangguk. Namun air matanya tetap tak mahu pergi. Terlalu perit dirasakannya saat ini. Dia mengalami terlalu banyak kehilangan hari ini.

Azhar tersenyum. Tangannya naik menyeka air mata Nissa. Seperti Nissa, dia juga merasakan kesedihan itu.

Gelagat Azhar dan Nissa di sebalik pokok itu disaksikan oleh Mak Uda dari tadi. Dia turut merakam perbuatan keduanya. Yang pasti, dia akan menghancurkan keduanya sekaligus.

"Tunggulah kau!"

Mak Uda tersenyum jahat. Ada sesuatu mulai berlegar-legar di ruang fikirannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience