Bab 23

Romance Completed 14176

Usai masuk ke dalam bilik, Melati dan Insyirah lansung duduk di atas katil masing-masing. Mereka berpandangan mata seketika dan suasana kekal menjadi senyap.

"Gila lah kau..." Perlahan Insyirah bersuara. Melati tersenyum sebelah membayangkan situasi tadi kembali.

"Nasib baik dia tak kejar aku. Kalau tak, habislah." Melati akui jika Ikram membalas balik , memang dia boleh terpelanting rasanya. Tangannya pun masih terasa sakit kerana dia bukannya biasa menumbuk pun.

"Kau okay tak?" Melati teringat betapa agresifnya Ikram mencengkam bahu insyirah. Nafsu marahnya menang malam ini.

"Okay jelah. Nak cakap apa lagi?" Insyirah menghempaskan badannya ke atas katil dan sekarang memandang siling bilik pula.

"Kau apasal tumbuk dia ?" Tanya Insyirah kehairanan.

"Sebab dia dah buat kau sakit... Mentally and physically. So aku tumbuk dia, bagi pihak kau. Tengok daripada gaya dia tu, macam seolah-olah berfikir nak buat apa lagi dekat kau." Melati masih ingat lagi bagaimana tangan Ikram mengepal selepas melepas Insyirah. Betul-betul sedang menahan marah si Ikram tu. Sebelum dia apa-apakan Insyirah, baik Melati angkat tangan dulu.

Agaknya, Ikram pun terkejut Melati boleh menumbuk dia begitu. Baguslah, tumbukan itu boleh menyedarkan Ikram daripada terus hanyut.

"Suara perempuan tu lembut je weh. Mesti dia lawa kan...," sebak Insyirah memikirkan yang rupanya selama ini dia dicurangi tanpa sedar.

"Tak kisahlah dia lawa ke tak ke. Itu tidak mewajarkan si mamat tu untuk curang. Habis tu kalau model lawa-lawa tu menggoda dia, dia boleh curang ke? Banyak cantik. Curang itu pilihan." Bidas Melati panjang. Sakit hati rasanya kerana Ikram termasuk dalam golongan orang yang berfikiran cetek begini.

"Kalau dah tahu hubungan tu goyah, baikilah. Komunikasi dengan pasangan. Bukan pendam je dan kumpul semua kesalahan dalam otak. Lepas tu, bila perasaan mula pudar. Mulalah buat-buat bingung. Dia sendiri yang tak berusaha." Melati masih lagi tidak berhenti membebel.

"Bila perasaan tu dah pudar, memang senanglah nak terjatuh suka pada orang lain. " Melati memeluk tubuh. Pantang betul dia apabila bercakap mengenai isu curang. Selama ini dia hanya membaca isu yang terjadi pada selebriti-selebriti. Nah, sekarang berlaku pada shaabat baiknya pula.

"Sejak bila dia bercinta dengan Ikram?"

"Lepas kami putus, terus bercinta katanya," jawab Insyirah.

Melati mendengus sambil menjeling mata ke atas. Dia pun berkata dengan nada geram ,"Sudahlah. Alasan je semata-semata. Kalau bukan dia curang pun, dia tetap pengkhianat. Dah tentulah dia berhubungan dengan perempuan tu masa bercinta dengan kau. Menabur kata-kata manis. Memang patut pun kena tumbuk."

"Marah betul kau ya, Melati. Terima kasih lah tumbuk dia bagi pihak aku. Oh, sorry juga. Kau terbangun daripada tidur kan? " Tiba-tiba Insyirah teringat Melati harus bangun awal untuk pergi bekerja. Pasti bising dia dan Ikram bergaduh. Kalau Melati pun boleh terbangun, apatah orang lain.

Melati menggelengkan kepala sambil menayangkan tapak tangan kanannya tanda tidak mengapa. Dia terus bangun menjengah ke tingkap untuk melihat Ikram sudah beredar atau belum.

"Aku rasa Ikram dah pergi. Makanya, ayuhlah kita mengemas barang kau. Nanti kecoh pula asrama ni. Dah macam tempat kejadian penculikan dah." Melati merujuk kepada kotak dan barang-barang yang Ikram beri tadi kepada Insyirah tetapi sudah bertaburan di atas jalan raya.

Insyirah tergelak kecil sambil mengelap air mata. Dia bingkas bangun dan bersedia untuk berhadapan dengan memori yang terkandung pada isi kotak tersebut.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。

Sudah beberapa hari berlalu, Insyirah sudah semakin kuat semangatnya. Dia kini bekerja di 7-Eleven berdekatan tempat kerja Melati untuk mengalihkan perhatian daripada apa yang berlaku. Jika Insyirah memilih untuk terperap didalam bilik, pasti air matanya akan asyik mengalir. Penatlah menjadi wanita tersakiti, masyarakat hanya menganggap cara wanita melepaskan perasaan hanyalah melalui tangisan sahaja. Walhal, pelbagai cara lain untuk menyembuhkan luka di hati dan Insyirah sedang melaluinya.

Melati pula menunggu kedatangan Lucas saban hari. Daripada isnin sehingga khamis bayang Lucas tidak kelihatan. Hatinya sudah mula merindu tetapi dia pendamkan sahaja.

"Morning!" Ucap Lucas ceria sebelum pergi ke bilik peribadinya. Seluruh pejabat membalas ucapan selamat pagi termasuk Melati. Cuma suara Melati begitu perlahan sahaja membalas kerana matanya ibarat bersinar melihat Lucas. Rindu rasanya. Lucas seperti biasa kelihatan segak mengenakan baju kemeja kelabu.

Bunyi papan kekunci menelusuri pejabat seperti bunyi kuda-kuda berlari di padang luas. Kerani pula membuka dan menutup pintu mesin photostat berulang kali. Bunyi kertas bergesel dituruti dengan pengokot yang menggabungkan kertas-kertas dengan logam nipis. Kaki kanan Melati diletakkan di atas paha kiri Melati sambil jarinya yang sedang memegang pen bergerak perlahan menconteng kertas. Tapak kaki kanan Melati bergerak-gerak menghentak objek halimunan di udara tanda diriya sedang tidak sabar menanti sesuatu.

Kotak kecil yang dibalut cermat dengan pembalut hadiah itu diusap sebelum diletakkan kembali di atas meja. Melati berhajat ingin memberikan hadiah ini pada Lucas sebaik sahaja Lucas tamat bercakap di dalam telefon memandangkan Melati boleh melihat secara terangan bilik pejabat Lucas.

Apabila dia melihat Lucas sudah mula menyambung menaip, Melati bangun dan mengambil buku notanya. Hadiah kotak kecil itu diselitkan di dalam buku nota. Namun, kelibat seorang wanita melepasinya membuatkan perbuatannya terhenti. Wanita itu berjalan dengan penuh yakin ke bilik Lucas dan memulas pintu.

Muka Lucas yang serius bertukar lembut melihat wanita itu lalu berdiri dan memeluk wanita itu. Lucas duduk di tepi meja tanpa sesaat pun melepaskan tangan wanita itu. Melati melabuhkan kembali punggungnya ke kerusi. Jantungnya berdegup perlahan. Masa seperti terhenti. Suasana tiba-tiba menjadi hening.

Wanita itu kelihatan sungguh cantik memakai skirt paras lutut, baju tidak berlengan dan berkasut tumit tinggi. Aura femininnya bersinar dan dia kelihatan sungguh menawan. Suara gelak ketawa wanita itu bersulam dengan suara Lucas. Rambut wanita itu Lucas selit ke belakang telinga wanita itu yang dihiasai dengan anting-anting yang cukup cantik.

Hadiah yang Melati bungkuskan tadi dipandang sepi. Melati menjadi kaku dan segala emosi bercampur-baur dalam dirinya. Melati memandang jam yang hampir sepuluh minit menunjukkan arah ke pukul 12. Dia mengambil keputusan untuk keluar makan tengahari awal sahaja.

"Insyirah, jom lunch sekarang." Panggilan dimatikan.

Setiap langkah yang Melati ambil disertai dengan deruan nafas yang tidak menentu. Apabila melihat Insyirah di depan mata, dirinya mendapati terus berada dalam dakapan Insyirah. Perlahan air mata Melati berjurai juga. Pada mulanya jatuh seperti rintik hujan kini turun seperti air hujan yang lebat.

Dek kerana kaki Melati tidak mampu lagi menampung dirinya, Melati terduduk pula di tengah-tengah pejalan kaki. Insyirah pula menjadi serba salah lalu menarik sahabatnya untuk duduk di tepi kaki lima.

"Bodohnya aku, Ira. How could I think he likes me?" Insyirah menggelengkan kepala sambil mengusap pipi Melati.

"Aku tahu aku bukan sesiapa pun tapi masih lagi berdegil nak menaruh perasaan." Melati menutup mukanya dengan kedua-dua tapak tangannya kemudian berbaring atas lututnya.

"Melati..." Insyirah tak sanggup melihat kawannya menangis begitu.

"Kenapa dia layan aku macam ni kemudian senang-senang je rupanya ..dah ada te-teman wa-nita?" Tersekat-sekat butir bicara Melati.

"Aku benci Lucas," luah Melati berserta tangisan yang berulang kali dia lap menggunakan hujung lengannya.

"Aku pun benci Lucas. Kau tunggu, nanti aku pancitkan tayar kereta dia." Gurauan Insyirah hanya bertahan 2 saat sahaja kerana Melati sambung kembali menangis.

Bunga-bunga yang Melati tanam di kebun hatinya dan dibaja dengan harapan kini layu semuanya. Hati Melati ibarat diremuk-remukkan oleh Lucas. Melati tidak memaafkan dirinya kerana mendaki gunung ilusinya terlalu tinggi. Apabila realiti memetikkan jari, Melati jatuh dan menerima hentaman yang paling sakit.

Melati memilih untuk mengambil cuti sahaja untuk hari selebihnya dan terus berangkat pulang ke rumah nenek. Suria yang sudah menanti di hadapan pintu berlari anak memeluk Melati. Insyirah sudah memaklumkan terlebih dahulu pada Suria kejadian yang sebenar.

Malam itu, Melati hilang selera makan walaupun berulang kali Suria memujuk. Namun, Insyirah sudah berpesan padanya untuk membiarkan sahaja kakaknya itu menangis. Melati merintih semahunya hingga kepalanya terasa sakit berdenyut. Tanpa sedar, Melati tertidur jua ditemani air mata.

Hidup ini keras ya kan. Bertabah sahajalah. Ada sinar kegembiraan tak buat dua sahabat baik ini? tunggu dan lihat @@

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience