Bab 24

Romance Completed 14176

Selimut tebal membaluti tubuh Melati yang sedang berbaring mengiring seperti bayi di dalam perut. Memeluk lututnya agar rapat ke dada. Telinganya pula disumbat dengan fon telinga yang memainkan lagu-lagu berentak perlahan. Bait-bait lirik yang dinyanyikan umpama ditujukan buat Melati. Apabila ada lirik yang terasa berkaitan dengan situasinya, makin sebak hatinya rasa.

"Sakitnya rasa ini. Lagi sakit bila fikir yang diri sendiri membawa punca sakit itu datang. Bukannya dia curang ke ke apa." Melati berkata sendirian kemudian mengeluh.

"Malunya nak mengaku tapi aku.. Yang syok sendiri. Ah.." Melati menyembamkan mukanya ke bantal yang dia sedang berbaring. Pelbagai perasaan yang bertebangan dalam dirinya. Sekejap sedih memikirkan perasaannya tak mungkin berbalas. Kemudian diikuti dengan rasa rendah diri kerana wanita itu jauh lebih hebat daripada dirinya. Dirinya tanpa sedar mula membandingkan dirinya dengan wanita itu.

Nampaknya kegundahan dirinya menjadi kenyataan apabila dia merasakan dirnya tidak layak dengan Lucas. Bukannya apa, sudah sedia maklum lelaki seperti Lucas akan bergandingan dengan wanita yang sama padan dengannya. Itulah apa yang Melati rasakan apabila dirinya menggunakan media sosial dan melihat pasangan yang secocok bergandingan. Dirinya hanya biasa-biasa sahaja.

Perasaan itu kemudian perlahan bertukar menjadi malu kerana merasakan perasaan dia tidak sepatutnya ada. Selama ini, dia merasakan pasti Lucas sediki sebanyak mempunyai hati padanya namun ternyata semuanya andaian sendiri. Mujur pemikiran Melati tidak ditayangkan ke seluruh dunia. Dengan diri sendiri pun dia sudah malu apatah lagi dengan satu dunia. Dari malu bertukar menjadi geram dan marah kerana hati ingin menyalahkan Lucas. Kenapa dia perlu layan Melati begitu? Memberi harapan dengan menunjukkan sisi dirinya hanya pada Melati. Adakah itu semua hanya atas nama persahabatan? Ish, Lucas sedikit pun tidak pernah mengaku apa-apa. Melati tiada hak pun untuk merasakan Lucas diambil orang. Lalu, Melati kembali menjadi sayu.

Begitulah kitaran perasan Melati yang bercelaru. Hatinya terluka sebelum wujudnya apa-apa perhubungan. Entah sampai bila harus dia berada di dalam bilik itu.

"Cinta ini takkan berbalas,
Sayang kupastikan melayang,
Pedih ku saat merasa indah,
Semua hilang dan usai. "

Sungguh indah pelantun suara Tiara Andini yang menyanyikan lagu Merasa Indah. Namun, apabila di hayati liriknya, perit pula terasa.

"Bila cinta ini tak nyata,
Jangan engkau beri harapan,
Sudah cukup kini kusadari,
Terlalu cepat jatuhkan hati."

Selimut digenggam kuat seolah-olah menyalurkan kesakitan itu.

Suria hanya menjenguk sahaja kakaknya tetapi tidak sanggup ingin menegurnya lagi. Nenek pula membiarkan sahaja dahulu tanpa bertanya. Kalau marah pun dibiarkan dulu reda, sudah pasti perasaan sedih layak juga dilayan sedemikian.

Pintu rumah diketuk perlahan membuatkan nenek berjalan ke arah bunyi itu. Apabila dijenguk dari tingkap, kelihatan Insyirah berdiri dan melambai pada nenek. Tanpa membuang masa, nenek pun membuka pintu dan menerima huluran Insyirah seperti biasa yang akan menyalami tangan nenek sebagai tanda hormat.

"Macam mana Melati?" Tanya Insyirah penuh simpati. Susah sekali hendak melihat semangat Melati patah begitu.

"Macam tu jelah. Belum keluar lagi." Bahu Suria terangkat.

"Takpalah, kita biarkan aja. Masih belum surut lagi tu." Nenek kemudian menutup pintu gril. Pintu pula ditutup habis untuk menghalang angin sejuk daripada keluar. Bahang cuaca boleh dirasakan ketika nenek menutup pintu.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。

Insyirah mencedok adunan cucur bawang menggunakan sudu lalu di tuang ke atas minyak yang sedang panas. Dikaut lagi sisa adunan sehingga kering mangkuk kemudian diulang lagi perbuatan yang sama. Mangkuk dan sudu itu tadi kemudian diletakkan ke singki. Suria yang sedang duduk di kerusi terus sahaja bangun dan menolong Insyirah membasuhnya.

"Eh, dalam mulut tu ada apa?" Insyirah menjeling ke arah Suria sambil tangannya sibuk menggoreng cucur bawang itu.

"Mana ada apa-apa." Susah payah Suria ingin berkata kerana mulutnya penuh dengan makanan. Perkataan yang keluar daripada mulut Suria seperti ditenggelami air.

"Apa dia?" Tanya Insyirah yang tidak memahami butir bicara Suria.

Suria yang kini sudah menelan apa yang dikunyah tadi berkata dengan yakin," Tak ada apa-apa".

"Eleh, dah buat salah tu mengaku jelah. Kak Ira tahu Suria makan cucur kan." Insyirah menuding ke arah Suria dengan sudip di tangannya. Suria pula hanya santai bersandar pada singki.

" Apa tu dalam filem orang putih selalu kata? Haa, innocent until-proven-guilty," Suria menekankan setiap satu perkataan sambil matanya turut mengecil.

Insyirah yang masih tidak berpuas hati meletakkan sudip itu ditepi kemudian mendekati Suria. Dagu Suria dipegang agar tidak bergerak sementara Insyirah berkata, "Buka mulut tu."

Suria menutup kedua-dua bibirnya rapat sambil menggelengkan kepala. Tangannya mencuba menolak Insyirah pergi. Dia sudah mula menahan ketawa kerana tahu dirinya bakal kantoi. Mereka bergelut seketika sebelum Insyirah bertindak menutup hidung Suria hingga memaksa Suria menarik nafas menggunakan mulut.

"Ha! Bau cucur bawang!" Jerit Insyirah setelah menghidu nafas Suria. Dia kemudian menyucuk pinggang Suria kerana ingin melepaskan geram.

"Janganlah makan lagi. Sabar-sabar. Kita makan sama-sama." Insyirah mula fokus menterbalikkan cucur bawang yang dituang tadi.

"Siapa suruh masak sedap," ujar Suria lalu berlari keluar ke dapur setelah berjaya mencuri satu lagi cucur bawang. Melihat Suria sudah berlari ibarat pencuri, Insyirah bertindak menjadi polis mengejar Suria keliling ruang tamu.

Nenek pula yang pada mulanya tidak ambil kisah mula merasa rimas. Mana tidaknya, mereka berlari mengelilingi sofa seperti tawaf pula.

"Eh!Peninglah nenek. Nak main pergi tempat lain," marah nenek dengan tangan yang digerakkan seperti menghalau lalat.

"Nenek tengah fokus. Tengah kemuncak drama nenek ni." Mata nenek kembali fokus memandang televisyen. Suria dan Insyirah berpandangan dan mereka mula memikirkan benda yang sama.

"Ei, kotor lah televisyen. Kejap Suria bersihkan ya nenek." Tiba-tiba Suria bertukar rajin dan mula berlakon membuang habuk. Badannya sengaja menghalang pandangan nenek. Kepala nenek seperti ular tedung pula, sekejap ke kiri dan ke kanan ingin mencari sedikit bayang skrin televisyen.

"Tumpang lalu nenek," kata Insyirah sambil menundukkan badan dan melintas dihadapan nenek. Nenek mendengus lalu menepuk lembut punggung Insyirah.

"Tumpang lalu lagi nenek." Untuk kali kedua, Insyirah melintas di hadapan nenek. Suria masih lagi dengan lakonannya. Kemarahan nenek sudah mencapai tahapnya lalu dia bangun.

"Kamu berdua ni. Nak kena rotan ke ?" Nenek mula mengacah ingin memukul mereka dengan alat kawalan jauh televisyen. Bertempiaran kedua-dua gadis itu berlari seperti burung merpati. Gelak ketawa memenuhi ruang tamu itu. Insyirah mencuba buat kali ketiga ingin melintas lagi di hadapan nenek.

"Haa, siapa yang jaga cucur di dapur tu?" Ujar nenek cuba menarik Insyirah keluar daripada usikannya.

"Oh haahlah." Berlari anak Insyirah dan Suria ke dapur ingin melihat cucur bawang yang berendam minyak itu. Apakah sudah hangus atau masih mentah?

Langkah mereka berdua terhenti apabila melihat Melati sedang mencedok cucur bawang yang sudah siap masak ke dalam bekas.

"Kakak?" Suria ragu-ragu ingin memanggil nama Melati.

"Hmm.." Sahut Melati perlahan.

"Kau.. Okay ke?" Insyirah bertanya, hatinya dioenuhi rasa empati pada kawannya.

"Okay je. Jom makan," ajak Melati lalu tersenyum. Lega hati Suria melihat kakaknya kembali tersenyum.

Mereka berkumpul di ruang tamu dan mula menikmati cucur bawang. Bertambah nikmat apabila cucur itu dicelup dengan sos cili Thai. Memang kegemaran empat beranak itu.

"Terima kasih ya , nak. Tolong gorengkan nenek cucur. Barulah syok tengok drama ni," ujar nenek sambil tersengih. Sebenarnya nenek yang meminta Insyirah menggorengnya. Tiba-tiba lidahnya mengidam ingin menikmati makan petang.

"Air tak ada ke? Air panas pun sedap ni," sambung nenek lagi membuatkan Insyirah menunjal-nunjal bahu Suria.

"Eh-eh apa ni? Nenek pandang mata Kak Ira kan?"

"Ala, Kak Ira dah goreng. Suria pula lah buat air. Air teh je dah cukup. Senang je kan buat," pujuk Insyirah tapi seakan memaksa. Suria kemudian bangkit bangun ke dapur. Dia memandang tajam ke arah Insyirah membuatkan Insyirah tergelak besar.

"Apa khabar cucu-cucu nenek?" Tanya nenek setelah yakin Suria tiada di situ. Melati dan Insyirah berpandangan sesama sendiri.

"Melati ni memang nampak sangat sedang patah hati. Tapi Insyirah ni pun, macam sorokkan sesuatu. Mata tu memang menyembunyikan sesuatu. Kamu dengan Ikram bergaduh ke?" Teka nenek.

Insyirah menarik nafas panjang sebelum menganggukkan kepala.

"Kami dah putus dah nenek." Perlahan saja suara Insyirah. Nenek tersenyum mengerti kemudian beralih pada Melati.

"Yang ini? Belum ada kekasih tetapi sudah meroyan," usik nenek membuatkan Melati ketawa kecil.

"Biasalah dalam alam dewasa ni, pasti akan bertemu cinta. Allah hadirkan seseorang tu untuk kita, tidak bermakna dia itu milik kita. Semua yang diberikan pada kita, semuanya pinjaman Allah. Badan kita sendiri pun bukan milik kita. Yang kekal hanyalah Allah, Al-Haq. Sebab tulah harus berwaspada jangan menyayangi sesorang lebih daripada Allah. Allah tetap no.1." Panjang nenek berbicara. Melati mendengar khusyuk sementara Insyirah memandang ke lantai sahaja.

"Macam mana nak tahu kita sayang seseorang lebih daripada Allah?" Tanya Melati penuh rasa ingin tahu.

"Apabila kita mula leka dan kurang taat perintah Allah apabila bersama pasangan, di situlah bibit bermulanya jurang antara hamba dan pencipta. Mulut lebih terkumat-kamit menyebut nama teman lelaki berbanding 99 nama Allah. Jangan salah faham. Jatuh cinta itu fitrah manusia, Allah memang menciptakan kita begitu. Tetapi ada batasnya, jangan hingga mengagungkan. Sepatutnya, kita harus mencari pasangan yang lebih mendekatkan kita dengan Allah dan bukan sebaliknya."

Melati menganggukkan kepala tanda faham. Insyirah pula masih termenung memikirkan kata-kata nenek.

"Jika kita sayang seseorang kerana Allah, pasti mudah untuk melepaskan orang itu apabila Allah menarik dia kembali daripada hidup kita. Kalau susah hendak melepaskannya.. Haa..Tepuk dada, tanya selera. Tolong nenek tuangkan lagi sos cili Thai tu," ujar nenek sambil menghulur mangkuk kecil pada Melati.

"Selepas sayang Allah, kita kena sayang siapa?" Tiba-tiba nenek bertanya soalan seperti kuiz pula membuatkan Insyirah terpinga-pinga.

"Sayang Rasullah S.A.W." Melati menjawab ceria lalu memberikan mangkuk yang sudah disi dengan sos tadi.

"Sallallahu 'alayhi wa sallam," sambut nenek dan Insyirah hampir serentak.

"Selepas tu?"

"Ibu bapa?" Insyirah pula cuba menjawabnya.

"Bukan..." Nenek menggelengkan kepala. Cucur bawang dicelup kedalam mangkuk kemudian masuk ke dalam mulut.

" Apa? Agama ke? Para Nabi? " Bertubi-tubi tekaan Melati membuatkan nenek tertawa.

"Itu pun betul. Tetapi, ada satu ni kita lupa nak letak paling tinggi antara manusia selepas nabi dan rasul."

Melati mengerutkan kening. Insyirah pula masih bingung memikirkan jawapan. Kalau bukan ibubapa, siapa lagi?

"Diri sendiri." Jawab nenek.

"Sayang diri sendiri dulu baru sayang orang lain. Faham?" Melati mulai mengerti maksud nenek tetapi Insyirah masih tersekat pemahamannya. Melihat muka Insyirah yang masih keliru, nenek pun menyambung, "Ini contoh nenek bagi ya. Bukan semua ibubapa begini. Tetapi kalau ibubapa tu terus menerus mendera anaknya, tetapi anaknya masih setia duduk serumah. Maksudnya apa? Anak itu sayang ibubapa lebih daripada dirinya. Meski memudaratkan diri, dia tetap menerima deraan itu. Seharusnya dia perlu menyelamatkan diri dan pergi."

"Samalah apabila kita bersama pasangan, keluarga atau kawan-kawan. Jika kita tidak sayang diri sendiri dahulu, kita secara tidak sengaja membiarkan sahaja diri kita diperlakukan sesuka hati oleh orang lain."

Suria muncul dengan menatang dulang berisi cawan dan jag air. Insyirah mengensot ke tepi untuk memberi laluan pada Suria.

"Pagi-pagi tu. Tengok cermin, pandang mata sendiri. Nak ke biarkan orang lain sakiti insan di dalam cermin itu?" Nada suara nenek tegas tetapi begitu lembut.

"Uish, deep nya nenek punya ceramah ni," sampuk Suria. Apabila melihat raut muka Melati dan Insyirah tidak ketawa, cepat-cepat Suria mengunci mulutnya.

"Apa yang nenek cuba nak cakap adalah.." Kata-kata nenek terhenti seketika kerana dia kini sedang menghirup air teh dibancuh oleh Suria.

"Manisnya air kau ni, Suria," rungut nenek lansung membuatkan ketiga-tiga anak dara itu ketawa. Melati pun mengambil air masak nenek yang sememangnya sudah tersedia di atas meja kopi itu dan menuangkannya ke dalam cawan nenek sedikit.

"Haa, sedap sikit." Nenek kembali menikmati air teh nya.

"Apa yang nenek cuba nak cakap adalah.. Boleh hendak sedih dan meratap. Menangislah kerana itu adalah ubat kesedihan. Tetapi, jangan berlama-lamaan. Menangis dan lepaskan. Bangkit dan berdiri balik."

Melati dan Insyirah begitu terkesan mendengar nasihat nenek yang begitu mendalam. Mereka berpandangan sesama sendiri dan kemudian tersenyum penuh makna. Semoga Allah memberikan kekuatan pada mereka.

"Oh haahlah. Manis sikit," kata Suria selepas merasa sendiri air teh nya. Dia tersengih seperti kerang busuk membuatkan seisi rumah itu turut terhibur melihatnya.

"Dah dah. Nenek nak fokus tengok drama ni," kata nenek lalu melunjurkan kaki pada sofa. Dia tahu cucu-cucunya sedang ketawakannya tetapi dia biarkan sahaja.

Rasanya ini bab paling panjang saya taip. semoga memberi peringatan pada diri sendiri dan semua. Betul tau kata nenek. Love yourself first.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience