Bab 48

Romance Completed 14176

Insyirah menutup mulut kerana terlalu teruja sambil tangannya menepuk-nepuk paha Suria. Suria pula sudah mengepak tangannya ibarat ayam ingin terbang. Lucu sungguh melihat telatah dua orang gadis ini apabila mengetahui bahawa Melati akan berkahwin. Tetapi kerana terlalu seronok , jeritan mereka meletus jua membuatkan nenek yang sedang menonton tv menjengah melihat mereka.

"Ini rumah nenek. Bukan rumah hantu. Nak jerit-jerit boleh keluar rumah." Nenek sempoi sahaja berkata dengan muka tiada perasaan.

"Nenek! Nenek tak teruja ke Melati nak kahwin ni?" Insyirah bercekak pinggang seperti tidak puas hati.

"Tumpang gembira saja. Nenek akan teruja kalau nenek sendiri yang kahwin." Terkekek-kekek nenek ketawa dengan lawaknya sendiri memuatkan cucunya juga turut terhibur.

"Amboi Hasanah, bukan main lagi kamu ya. Kita bagi dia keluar ke masjid untuk pergi kuliah. Rupanya, dia menggatal cari lelaki ya. " Suria sengaja mengusik nenek yang kini menjelingkan lidah pada mereka.

"Itulah, macam tak percaya je ni apa yang berlaku. Rasa macam terlalu laju pula." Melati menguis lantai ruang tamu dengan jarinya. Rasanya tidak sampai 5 bulan pengenalan Melati dan Fajar namun kini mereka berdua sudah mula merancang majlis perkahwinan. Melati sudah mengingatkan Fajar bahawa majlis perkahwinan mereka itu nanti tidak perlulah megah. Cukuplah bersederhana sahaja.

Majlis nikah akan diadakan di rumah nenek dengan beberapa khemah akan dipasang di luar rumah. Fajar pula hanya mengikut sahaja kerana dia pun sedang belajar sedikit demi sedikit bagaimana orang melayu selalunya menjalankan istiadat perkahwinan. Fajar sedikit terkejut sebenarnya kerana dia sememangnya sudah bertahun-tahun menyimpan wang simpanan untuk berkahwin selain mempunyai simpanan lain seperti untuk kereta dan masa depan. Namun jumlah yang akan digunakan nanti tidak sampai separuh pun.

Maka dia berniat untuk menggunakan sebahagian baki duit untuk membawa Melati pergi berbulan madu. Walaupun Fajar ingin memberikan perkahwinan yang mewah buat Melati tetapi memandang keadaan nenek yang kesihatan tidak teratur, terasa tidak sedap pula. Tak mengapalah kecil-kecilan dahulu.

"Kau tak bertunang dulu ke Melati?" Insyirah menyuarakan jua soalan yang sudah dia fikirkan sepuluh minit lepas.

"Oh taklah. Terus nikah je."

"Pergh,ekspres." Suria kemudian menyiku lengan Insyirah dengan muka nakalnya. Melati yang sedang melihat hanya ketawa kecil sahaja.

"Mana boleh. Dia kenalah datang rumah ni bawa wakil. Lepas itu tanyalah pada nenek, 'Adakah kebun nenek mempunyai bunga yang belum disunting?' Ah, gitu."

Melati kemudian menepuk lengan Insyirah dengan manja. Ada saja modalnya untuk membuat lawak.

"Assalamualaikum!" Jerit suara seorang lelaki daripada luar rumah. Mata Insyirah, Suria dan Melati berpandangan antara satu sama lain. Siapa pula datang petang-petang ni? Melati berlalu ke bilik untuk mengambil tudung sementara Suria mengintai di sebalik tingkap untuk melihat siapa yang memberikan salam itu.

"Eh Eh! Bakal abang ipar lah." Suria mengenyitkan mata pada Melati yang sudah tersenyum malu sambil membuka pintu rumah. Sejurus memakai selipar, Melati menghadiahkan senyuman manis buat Fajar yang setia menunggu di sebalik pagar.

"Tak boleh jadi ni. Kita kena kacau mereka berdua ni." Insyirah berlari anak mencari tudung manakala Suria yang tidak sabar hanya mencapai selimut yang berada di depan mata.

"Jangan basahkan selimut nenek tu ya." Nenek memberikan amaran pada Suria.

Insyirah dan Suria seperti sedang berada di acara sukaneka pula kerana seperti sedang berlumba untuk mendapatkan Melati yang berada di hujung trek larian.

"Assalamualaikum abang Fajar." Suria menyelit di antara perbualan Melati dan Fajar.

"Waalaikumussalam Suria. How are you?" Fajar menjawab mesra salam Suria yang sudah dia anggap seperti adiknya sendiri.

"Good. Thank you. Datang sini untuk apa?" Terjengket-jengket kaki Suria mengintai melihat beg kertas yang dipegang Fajar.

"Oh, dia nak bagi cincin ni je." Melati menjawab bagi pihak Fajar.

"Cincin?!" Serentak Suria dan Insyirah teriak.

"Cincin apa?" Insyirah mengerutkan dahinya tanpa sedar.

"Engagement ring." Fajar menjawab lalu menghulurkan beg kertas berwarna hitam itu kepada Melati.

"What? Cincin tunang bagi macam ni je? Mana majlis tunang nya?"

"Hahaha tak apalah Irah. Buat apa nak ada majlis-majlis ni. " Melati ketawa melihat muka serius Insyirah.

"Fajar, kau pergi kedai taman bawah ni dan beli makanan sedap-sedap. Haa, cincin ni simpan dulu." Insyirah mengambil beg kertas daripada pegangan Melati lalu dipulangkan kembali pada Fajar.

"Suria, bawa kakak kau dan pakaikan dia baju kurung yang lawa-lawa. Kalau boleh, biar warna.." Insyirah menoleh melihat baju tshirt biru pekat berkolar yang sedang dipakai Fajar.

"Biru. " Insyirah menunding pada baju Fajar. Suria sudah menganggukkan kepala sambil menarik Melati ke dalam rumah.

"Eh? Eh ? Apa ni?" Melati kebingungan tetapi dia menurut sahaja. Fajar pula hanya tersenyum sambil mengangkat bahunya.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。

Fajar muncul satu jam kemudian membawa pelbagai makanan. Dia pun agak keliru dengan idea Insyirah ini. Usai memberikan salam, Suria yang sudah berbaju kurung menyambut Fajar masuk. Makanan pula dibawa ke dapur untuk diletakkan didalam pinggan dan mangkuk. Di meja makan sudah terdapat jug air oren yang sudah dibancuh sebentar tadi.

"Fajar, mari duduk sini sementara tunggu Melati keluar." Panggil nenek bersahaja sambil menunjukkan sofa dihadapannya. Fajar pula hanya menuruti perintah nenek.

"Abang Fajar beli pizza?" Suria di dapur sudah tergelak besar.

"Eh? Char keuy teow pun ada? Ha ni apa pula? Nasi lemak ayam kukus. Bagus sangatlah ni. Satu cina, satu melayu." Sambung Suria lagi. Suaranya yang kuat boleh didengari seisi rumah membuatkan Fajar tersengih sambil memegang belakang lehernya.

"Saya beli je." Fajar cuba membela diri pada nenek. Nenek pula hanya menganggukkan kepala perlahan tanda mengerti

Tak sampai 5 minit, makanan sudah terhidang rapi di atas meja. Semua atas kehebatan Suria membuat kerja dengan pantas. Apabila sudah selesai, Suria memanggil Insyirah untuk memulakan 'majlis'.

"Okay, kejap! Kejap! Jangan gelak ya." Insyirah menjerit dari dalam bilik lalu keluar dengan muka serius. Dia memakai baju melayu dan songkok atuk sambil berjalan menggunakan tongkat nenek.

"Ya Allah. Ni dah kenapa bertukar jantina pulak ni." Nenek menggelengkan kepala.

"Apa khabar Hasanah?" Insyirah melambaikan tangan lalu duduk bersebelahan Fajar. Nenek hanya membiarkan sahaja lakonan Insyirah itu berterusan. Jauh di sudut hati, terhibur pula rasanya melihat cubaan Insyirah meniru orang tua berjalan.

"Jangan risau Fajar. Pakcik akan wakilkan kamu ya." Suara Insyirah berubah garau dan serak untuk mendalami watak lelaki tuanya itu. Fajar mengetap bibirnya untuk menghalang dirinya ketawa.

"Puan Hasanah yang cantik jelita. Kalau mengenangkan usia saya yang sudah lanjut, pasti dirimu yang saya akan sunting. Tetapi.." Belum sempat Insyirah ingin berkata lagi, nenek sudah membaling bantal sofa ke arah mereka.

"Tetapi.. Kehadiran saya disini ingin bertanya, adakah terdapat bunga mekar yang tidak dihinggapi oleh mana-mana kumbang lagi? " Sambil menahan ketawa, Insyirah gagahkan jua menghabiskan dialognya.

"Ada. Ada. Kita ada bunga. Bunga Melati." Suria menjawab laju dengan penuh teruja.

"Bagus. Saya ada kumbang. " Insyirah menadah kedua-dua tangan ke arah Fajar sambil matanya memandang Suria.

"Korang ingat ni sistem barter ke apa ni? Tawar menawar macam nak jual barang." Sampuk Melati daripada arah bilik.

"Adui akak! Janganlah keluar lagi. Belum masanya." Suria sudah bangkit daripada duduknya.

"Takpa-takpa. Elok sangatlah ni dah keluar. Ha, Melati boleh duduk." Insyirah mengurut dagunya yang tidak berjambang itu. Fajar pula tidak berkelip mata melihat Melati yang kelihatan ayu berbaju kurung biru muda. Mukanya pula kelihatan begitu cantik dengan solekan tipis.

"Fokus anak muda. FOKUS!" Insyirah mengetuk lembut betis Fajar dengan tongkat di tangannya membuatkan Fajar terus menoleh ke arah lain untuk menyembunyikan rasa malunya.

"Bilalah nak habis drama bertunang ni?" Keluh nenek yang daripada tadi sabar sahaja melayan kerenah cucu-cucunya.

"Okaylah nenek dah lapar tu. Kita skip terus. Tangkap gambar jom." Insyirah bangun untuk memberikan laluan pada Melati. Melati pula redha sahaja lah membiarkan Suria dan Insyirah mengawal pergerakannya.

"Bunga mana bunga?" Insyirah sudah terbongkok-bongkok untuk menangkap gambar bakal pengantin ini. Suria pula segera mendapatkan bunga yang sudah tersedia di atas meja.

"Suria? Ini bunga-bunga kau petik dari mana ni?" Mata nenek membulat melihat sejambak bunga pelbagai spesis. Cukup kenal dia pada bunga kertas pelbagai warna itu. Ini tak lain dan tak bukan bunga daripada tanaman di depan rumahnya. Suria pula hanya tersengih seperti kerang busuk lalu berkata, "Dari mana lagi?"

Wajah Fajar dan Melati pun diabadikan dalam bentuk foto digital di dalam telefon bimbit milik Melati. Mereka berdua agak malu-malu lebih-lebih lagi apabila sering diusik oleh Suria dan Insyirah.

"Terima kasih tau." Ucap Melati penuh terharu lalu bangun memeluk sahabat baiknya dan adik perempuannya. Meski dia tiada emak untuk membantunya mengatur majlis pertunangannya namun dia bersyukur mempunyai insan terdekat seperti mereka yang menghiasi harinya. Majlis kecil ini walaupun sempoi dan mempunyai unsur komedi tetapi cukup bermakna buat Melati.

Fajar pula hanya memandang sahaja sambil berpeluk tubuh. Mulutnya tidak lekang memberikan senyuman apabila matanya bertaut dengan Melati. Dia kemudian memberikan cincin kepada nenek untuk disarungkan di jari Melati. Tidak sabar hatinya ingin menjadikan Melati suri hatinya. Dalam diam, dia berdoa semoga Allah mmepermudahkan segala urusan pernikahan mereka itu nanti.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。

Nenek terbangun daripada tidur lenanya. Dengan langkah yang perlahan, dia berjalan ke arah pintu biliknya lalu tombol dipulas. Sebentar tadi nenek hanya mahu melelapkan mata sekejap, sekadar untuk menghilangkan lelah. Namun kini seperti sudah terlajak beberapa jam. Solat asar masih belum ditunaikan lagi oleh nenek. Lengan baju nenek sudah nenek lipatkan hingga ke siku sebelum dia menekan suiz lampu bilik air.

"Nenek..." Panggil Melati dengan cukup lembut kerana khuwatir suaranya akan mengejutkan nenek. Tangan Melati pula mengusap belakang badan nenek dengan lembut.

"Nenek nak buat apa ni?" Tanya Melati kerisauan.

"Nenek nak solat asar ni kejap. Terbabas pula tidur tadi." Kain batik yang nenek pakai sudah diangkat tinggi untuk mengelakkan daripada terkena lantai bilik air. Tetapi langkah nenek terhenti apabila Melati menghalang dengan tembok lengannya.

"Nenek keliru ni... Sekarang bukan waktu asar. Sekarang pukul 2 pagi, nenek. "

Mata nenek terbeliak sedikit sambil melihat sekeliling. Dia berasa sangat pelik bagaimana waktu berlalu begitu pantas.

"Tapi nenek belum solat asar lagi..." Jari telunjuk nenek diangkat separa dada menunjukkan nenek sedang berusaha keras memutarkan kembali memorinya pada hari itu.

"Takpa. Takpa. Melati nampak nenek dah solat asar tadi. Jom kita masuk tidur ya." Pujuk Melati lagi lalu suiz lampu bilik air ditutupnya. Melati kemudian mendorong badan nenek untuk berjalan mendekati bilik tidur nenek.

"Mahgrib? Isyak?" Nenek bertanya untuk kepastian kepada cucunya itu. Melati pula menganggukkan kepala kali membuatkan hati nenek berasa lega. Nenek membiarkan sahaja Melati menguruskan pembaringan nenek. Selimut ditarik Melati hingga ke paras dada nenek.

"Tolong tutup kipas, nak. Nenek sejuk." Pinta nenek lemah dengan mata yang semakin kuyu. Melati pula laju saja menuruti permintaan nenek.

"Terima kasih ya, Melati. Nenek minta maaf menyusahkan. Ingatkan pukul 6 petang, rupanya 2 pagi."

"Tak ada apalah nenek. Dah boleh sambung tidur ya." Melati mendekati nenek lalu mencium ubun-ubun nenek.

"Bismika allahumma ahyaa wa bismika amuut." Ucap nenek dengan mata yang terpejam. Melati pula diam berdiri memerhati nenek yang sedang terbaring dihadapannya. Lalu Melati membuatkan keputusan untuk bebaring disebelah nenek. Badan nenek dipeluk erat Melati. Nenek pun kemudian mengusap lengan Melati yang melingkari badannya. Mereka berdua diam tidak berkata apa-apa , hanya menikmati saat berdua dalam kesenyapan yang menenangkan hingga dibuai mimpi.

Halu. terima kasih sabar menunggu ya. muah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience