Bab 53

Romance Completed 14176

Melati dan nenek jalan beriringan sementara Suria yang mendahului mereka sedang terlompat ceria. Mereka baru sahaja pulang daripada majlis kesyukuran kecil-kecilan di sekitar taman perumahan. Setiap hujung minggu, memang ada saja jiran-jiran yang akan membuat majlis begini. Kumpulan muslimah yang disertai nenek ini akan ditempah bergilir-gilir untuk menghadiri mana-mana majlis yang akan dianjurkan hampir setiap hujung minggu.

Melati dan Suria memang sejak kecil lagi sangat rajin mengikut nenek. Maklumlah kerana mendapat makanan percuma juga. Ditambah pula dapat berjalan-jalan menghirup udara malam yang nyaman. Mungkin kerana itu, si Suria ini sedang seronok berjalan sambil melompat seperti arnab. Anehnya ketika bacaan Yaasin tadi, tersengguk-sengguk pula budak tu.

"Eh, ada apa tu?" Tanya Suria memandang padang besar di perumahan mereka. Tanah itu sememangnya luas dan lapang tanpa ada bangunan. Namun malam ini, terdapat khemah-khemah yang berdiri teguh tetapi bukan itu yang menarik perhatian Suria.

"Wah! Roller coster!" Suria berhenti berjalan untuk memerhati lebih lama pesta ria itu.

"Ada kerja sekolah kan? Dah jalan-jalan." Melati menolak lembut beberapa kali belakang badan Suria dan mendorongnya untuk melangkah.

"Ala..." Suria sengaja memberatkan badannya hingga menyukarkan Melati terus-terusan menolak badan Suria menjauhi pesta ria itu.

"Ish, kan kena beli tiket tu. Janganlah susahkan nenek." Melati berbisik dekat pada telinga Suria agar tidak didengari nenek yang tenang sahaja berjalan. Suria kemudian memuncungkan bibirnya tanda tidak puas hati tetapi akur sahaja dengan kata-kata Melati.

"Sekurang-kurang bagilah beli gula kapas." Bisik Suria pula kepada Melati.

"Ei, mengada-ngada lah Suria." Geram pula Melati dengan perangai Suria yang kini sengaja melonglaikan badannya untuk membantutkan usaha Melati mengerakkan badannya ke hadapan.

"Jom masuk rumah hantu." Tiba-tiba nenek mencelah di antara perbualan Suria dan Melati. Mati terus langkah cucu-cucu nenek.

"Apa dia?" Melati bertanya untuk kepastian. Suria pula yang tadi bersandar lemah pada Melati kini berdiri tegak. Nenek tidak menjawab pertanyaan Melati dan terus sahaja menukar arah perjalananan.

"Haaa.. Gula kapas." Suria berjalan mengundur dengan muka mengejek, sengaja ingin menyakitkan hati kakaknya. Apabila Melati mengejarnya, barulah gelabah Suria berlari mendapatkan perlindungan nenek.

Tiba di hadapan rumah hantu, Melati yang menguruskan pembelian tiket menggunakan wang nenek. Tak tahulah apa kena dengan nenek, tiba-tiba nak masuk rumah hantu.

"Okay, selepas ni giliran kita pula masuk." Melati menayangkan tiga keping tiket rumah hantu. Duit baki dipulangkan kembali pada nenek.

"Ish, nenek. Nenek buang tabiat ke ni? Kenapa tiba-tiba nak masuk rumah hantu pula?" Suria menelan air liurnya apabila bunyi mengilai pontianak kuat kedengaran. Suara-suara manusia yang menjerit ketakutan juga yang turut mengiringi hanya menambah rasa takut dalam diri Suria. Melati pula walaupun lebih tenang berbanding Suria sebenarnya turut berdebar.

"Saja-saja. Menambah pengalaman." Jawab nenek acuh tidak acuh sambil cuba mengintai isi rumah hantu di sebalik langsir yang menutupi laluan masuk.

"Pengalaman?! Pengalaman apa lagi yang tak cukup? Nenek nak dekat 70-an dah kan?" Suria menggaru kepalanya dalam kegelisahan.

"Nenek kalau tak tahan ke apa, bagitau je ya. Dia ada bagi wisel untuk tiup kalau ada kecemasan." Melati mengantung tali wisel dilehernya. Tak lama kemudian, giliran mereka pula untuk memasuki rumah berhantu itu.

Masing-masing memeluk nenek kerana sudah merasa seram. Mereka kini berada di lorong panjang dan gelap. Berbekal bantuan cahaya daripada lampu suluh yang separuh malap itu, dapat dilihat lantai berselerak dengan dedaun kosong.

"Ish, kamu berdua ni! Rimas lah. Janganlah jalan lambat-lambat. Sampai esok pun tak keluar ni." Nenek meloloskan diri daripada pelukan Suria dan Melati dan mengetuai kumpulan itu. Melati dan Suria kini berjalan di belakang nenek.

Mereka kini memasuki satu ruang yang diterangi cahaya lilin. Terdapat sebuah kerusi kayu yang berhayun ke depan dan kebelakang. Di atas kerusi itu pula, terduduk cantik sebuah anak patung yang tersenyum manis. Namun, kerana suasana seram itu, wajah anak patung itu hanya menakutkan Suria dan Melati sahaja.

Ketika melewati sebuah almari kayu, mereka terdengar bunyi perempuan menangis di dalamnya. Suria sudah kepanikan menyorok di belakang Melati.

"Nenek...Ada benda dalam tu nenek. Cepatlah kita-"

"BAHH!!!" Sergahan mahluk berambut panjang yang keluar daripada almari itu membuatkan Suria dan Melati menjerit serentak. Lampu suluh pula sudah jatuh berguling di atas lantai.

"Hahahaha." Nenek ketawa terbahak-bahak lalu menunjal kepala mahluk itu ke dalam almari.

"Okay jom!" Teruja nenek berkata setelah menutup pintu almari tadi , secara tidak lansung 'mengurung' mahkluk itu.

"Tiup wisel tu sekarang." Suria cuba mengambil wisel di leher Melati namun cepat-cepat Melati menepis tangan Suria.

"Ini untuk kecemasan!" Tegah Melati keras.

"Sekaranglah kecemasan,akak!"

"Takut bukan kecemasan. Nama pun rumah hantu."

"Dah dah. Jangan bergaduh." Teriak nenek sedikit kuat untuk melawan muzik seram yang dipasang di rumah hantu itu.

"Baik kamu jalan laju. Kalau tak, pocong belakang kamu tu dapat kejar kamu."

Serentak Suria dan Melati menoleh kebelakang, dan terlihat samar-samar sebentuk tubuh berkapan sedang melompat ke arah mereka. Meski rentaknya perlahan tetapi tubuh itu tetap semakin dekat.

"Aaaah, lari!!!" Kini Melati dan Suria pula laju memotong nenek ke hadapan. Nenek pula sekali lagi ketawa terkekeh-kekeh melihat pocong itu.

"Mesti kau penat kan kena lompat-lompat." Nenek menggelengkan kepala dengan ketawa yang masih bersisa lalu mengikut jejak langkah cucu-cucunya. Sepanjang perjalanan di rumah hantu itu, Suria dan Melati hanya mampu menjerit sahaja. Suara jeritan mereka boleh didengari sehingga ke luar rumah hantu itu. Mungkin mereka berdua ada bakat terpendam sebenarnya. untuk menjadi penyanyi lagu bergenre 'rock'.

Jika ada kesempatan untuk mengambil nafas pula , mereka akan bertengkar sebelum dikejutkan lagi dengan pelbagai jenis rupa hantu. Nenek pula menikmati sahaja 'pengalaman' barunya ini. Hati tuanya terhibur melihat kesungguhan pekerja itu untuk menakutkan pelanggan rumah hantu.

"Ini.Kali.Terakhir.Suria.Masuk.Rumah.Hantu." Sebutir sebutir perkataan keluar daripada mulut Suria. Lagaknya yang sedang terduduk di atas rumput seperti baru sahaja lepas berperang.

"Ya Allah, nenek. Nenek tak takut ke? Melati asyik dengar nenek ketawa je memanjang." Melati pula seperti sedang merukuk kerana ingin menenangkan kembali rentak pernafasannya. Suria dan Melati memandang nenek yang sedang sempoi membetulkan tudungnya, sabar menunggu jawapan nenek.

"Best. Best. Comel-comel belaka mereka." Nenek kini berjalan menjauhi Suria dan Melati dan mendekati gerai-gerai makanan.

"Comel?!" Hampir serentak dua adik-beradik itu berkata. Nenek pula menyambung ketawanya yang tidak pernah habis. Sungguh tidak rugi dia memilih untuk ke rumah hantu dan bukannya terus pulang ke rumah.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。

Melati merenung nenek yang sedang terbaring di hadapannya. Segala memori-memori indah bersama nenek asyik berputar sahaja di minda fikirannya. Kalaulah dia boleh menikmati kembali setiap bibit-bibit manis itu hanya untuk mendengar kembali gelak ketawa nenek. Berapa sahaja sanggup dia bayar agar nenek dapat membalas kembali pandangan matanya dan mengingati siapa dirinya. Sejak tempoh kejadian, sudah dua minggu nenek tidak mengingati sesiapa pun. Tempoh hari ada juga dia mengecam Suria, namun tidak sampai satu jam. Sudah lupa kembali dan hanya termenung sahaja.

Pernah suatu petang ketika Suria ingin membuang sampah, nenek keluar tanpa pengawasan Suria dan menapak ke perhentian bas tidak jauh daripada rumah. Mujur Suria menyedari dan segera mendapatkan nenek. Kata nenek, dia hendak pulang ke rumah dan berjumpa suaminya. Terpaksalah Suria menipu nenek dengan menyatakan nenek perlu membeli tiket bas terlebih dahulu. Nenek pun akur mengikut sahaja Suria pulang ke rumah. Apabila duduk di sofa, dia pun sudah lupa tujuan asal dia mengubah destinasinya.

"Melati..." Suara nenek memanggil lemah.

"Ne...nek?" Melati lekas-lekas membetulkan duduknya agar lebih rapat dengan nenek. Betul ke apa yang dia dengar sekarang? Adakah nenek menyebut namanya?

"Buah hati nenek. Anak yang baik..." Nenek mengusap kepala melati dengan penuh kasih sayang. Air mata Melati sidang bergenang menahan kesedihannya.

"Terima kasih banyak-banyak. Nenek..minta maaf ya kerana menyusahkan." Sebak nenek berkata-berkata kerana dia sedar telah banyak beban yang Melati tanggung. Melati mengambil tangan nenek lalu digenggam erat.

"Suria?" Nenek mencari dengan anak matanya.

"Suria!" Panggil Melati kuat agar adiknya itu segera datang.

"Su-"

"Ya!Ya! Kenapa?" Suria menjengah di pintu bilik nenek dengan nafas yang tidak teratur. Mungkin baru sahaja lepas berlari.

"Cucu bongsu nenek." Nenek tersenyum dengan mata yang bertakung. Riak muka Suria terus berubah menjadi terkejut kerana nenek mengecam dirinya.

"Ya Allah! Nenek kenal Suria?" Segera Suria berlari mendapatkan nenek.

"Kamu dah membesar dengan cepat ya, Suria? Dah boleh tolong kakak kamu. Terima kasih juga ya jaga nenek." Sebelah tangan nenek kini digenggam pula oleh Suria.

Fajar kemudian muncul di kamar nenek lengkap berpakaian baju melayu dan berkain pelekat. Songkok yang dipakainya dibuka dan diletakkan di atas rak baju nenek. Dia baru sahaja pulang daripada sembahyang terawih di masjid. Hatinya sekarang mula merasa risau kerana melihat Suria dan Melati sudah menyembamkan muka mereka di badan nenek.

"Melati?" Fajar menyentuh bahu Melati lalu membalas pandangan nenek yang sedang memerhatikannya. Nenek menggariskan senyuman kepada Fajar membuatkan Fajar sedikit terpana.

"Fajar... cucu lelaki nenek."

Membulat mata Fajar dibuatnya. Melati mengangkat muka dan menganggukkan kepala kepada Fajar. Tanpa berkata-kata, Fajar tetap mengerti apa yang Melati cuba sampaikan. Nenek sudah mula mengingati wajah mereka. Alhamdulilah.

"Nenek minta maaf atas salah silap nenek. Nenek sayangkan cucu-cucu nenek semua. Jangan bergaduh besar-besar ya. Saling bantu-membantu antara kamu." Pesan nenek dengan suara yang serak.

"Baik nenek." Hanya Fajar yang mampu menjawabnya.

"Fajar.." Panggil nenek lagi.

"Tolong..ajar nenek mengucap." Pinta nenek bersama senyuman yang lemah. Air mata nenek mengalir tanpa nenek sedar.

"Nek?" Suria sudah tidak sedap hati. Dipandang wajah Melati untuk kepastian.

"Sementara nenek masih kuat ni." Sambung nenek lagi dengan mata yang terpejam.

Fajar berdehem sedikit dan mendekati nenek. Melati dan Suria mengesot sedikit kebelakang untuk memberi ruang kepada Fajar. Fajar melutut dan mendekatkan bibirnya ke telinga nenek. Ubun-ubun nenek diusap lembut.

"Ashadu .." Suara Fajar tersekat. Tekaknya merasa sakit dan pahit. Dia sedar dia sedang berada di ambang tangisan namun segera dia menarik nafas untuk menenangkan diri terlebih dahulu.

"Ashadu an la ilaha illallah." Merdu suara Fajar mengajar nenek mengucap. Nenek pula terkumat-kamit mengulangi kalimah suci itu.

"Wa ash-hadu anna Muhammadan RasuluAllah." Seperti mengajar anak kecil sahaja nada suara Fajar ini. Selesai nenek mengucap, hati nenek berasa tenang dan lapang. Fajar pula baru menyedari betapa beratnya tanggungjwab mengajar orang yang tersayang untuk mengucap. Nampak senang tetapi sangat susah hakikatnya.

"Nenek..." Panggil Melati dengan kerisauan apabila nenek lama mendiamkan diri. Suria juga turut menggoncang lembut badan nenek.

"Nenek, bangun nek. Nek..." Rayu Suria bersama deraian air mata. Fajar memeriksa nadi nenek dan memandang Suria dan Melati silih-berganti.

"Nenek... nenek dah pergi." Fajar telah mengesahkan mimpi ngeri dua adik beradik itu. Walaupun mereka tahu ajal dan maut itu adalah kepastian kepada mahkluk Allah, tetapi hati mereka tidak menafikan kesedihan yang dirasakan kini.

"Allahu akhbar..." Melati menutup mulutnya bersama linangan air mata. Fajar pula tanpa berlengah panjang menarik Melati ke dakapannya. Suria sudah kelihatan memeluk sekujur tubuh nenek yang sudah kaku tidak bernyawa. Malam jumaat pada bulan bulan Ramadhan ini telah tertulis takdir buat nenek untuk kembali ke rahmatullah. Perginya nenek meninggalkan mereka dengan satu lubang yang kosong, lubang di hati yang takkan mungkin terisi kembali. Tiada lagi bebelan nenek, tiada lagi lawak jenaka nenek dan tiada lagi nasihat daripada nenek.

"Innalillahiwainnailaihirojiun." Ucap Fajar untuk mengingatkan dirnya dan lain, bahawa mereka semua adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah, mereka pasti akan kembali. Fajar membiarkan sahaja Melati dan Suria menangis semahunya kerana sesungguhnya kadang-kadang, peyembuh duka itu sendiri adalah air mata. Suasana rumah itu kini sunyi bertemankan bunyi kipas berpusing. Walaupun tidak pasti hari apa yang akan mendatang, tetap harus ditempuhi juga dengan hati yang cekal bersama kepercayaan yang disandarkan kepada Allah yang Maha Kuasa. Hanya Dia yang mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya, dan hanya kepada-Nya mereka berserah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience