Suria membetulkan tudungnya di hadapan cermin untuk memastikan penampilannya terjaga sebelum keluar dari rumah dengan menggalas beg tote. Melati dan nenek hanya memandang sahaja Suria berlalu pergi selepas Suria menyalami tangan mereka berdua. Mereka sedang menikmati makan pagi bersama-sama sebentar tadi namun terbantut apabila melihat Suria bersiap-siap.
"Apa yang dia tolong Encik Johan sebenarnya?" Tanya Melati sambil menyambung makan.
"Nenek pun tak tahulah. Ada satu hari tu, dia bawa banyak dokumen balik rumah. Rasanya Encik Johan ni ada ambil upah lah tu menguruskan dokumen orang. Tapi di kerahnya Suria tu untuk tolong."
Melati menganggukkan kepala tanda faham sambil mengunyah makanan sementara nenek yang sudah siap makan mengambil cawan lalu dihirup air untuk menghilangkan dahaga.
" Nenek macam mana dengan anak lelaki nenek tu?"
"Macam mana apa?" Keliru pula nenek mendengar soalan Melati tu.
"Hubungan..." Sepatah Melati menjawab.
"Okay saja."
"Macam...mana ...nenek dengan mudahnya... maafkan dia?" Melati ragu-ragu melontarkan soalan kepada nenek. Bukannya apa, takut hati nenek terguris pula.
"Seorang mak ni, Melati. Jahat macam mana pun anak. Seorang mak pasti akan lembut juga hati untuk memaafkan anaknya. Sebab bukannya sesiapa pun , anak sendiri juga yang dengan kedua-dua tangan ini... mendukung dia, menyusukan dia," Nenek merenung kedua-dua tangan nenek seperti sedang membayangkan anak lelakinya ketika waktu kecil.
"Tapi dia layan nenek agak tidak berapa baik kan? Tinggalkan nenek tunggang langgang bertahun-tahun." Melati seperti tidak puas hati.
"Memanglah dia tidak sempurna. Nenek tak pernah menyorokkan keburukan yang dia pernah buat."
Melati berhenti daripada mencedok nasi ke dalam mulutnya.
"Jadi kenapa nenek terus melayan dia baik."
Nenek tersenyum lembut memandang Melati. Merenung cucunya yang mempunyai personaliti yang keras diluar tetapi lembut didalam.
"Nenek layan dia baik bukan sebab dia berhak dilayan begitu. Nenek layan dia baik sebab nenek yang baik. Dunia ni sekejap saja. Rugi ingin berlama-lamaan menahan rasa."
Melati menyandarkan badannya pada kerusi. Sudu yang digunakan untuk makan tadi diletakkan di bibir sambil otaknya berfikir.
"Well, kalaulah Melati macam nenek... Orang baling tahi tapi masih dibalas bunga. Kalau Melati ni, batu bata terus Melati akan baling," seloroh Melati sambil ketawa membuatkan nenek menepuk lengan Melati manja. Mata nenek dibeliakkan tanda tidak berapa setuju dengan ayat Melati, senyuman dibibir nenek cuba disorokkan agar tampak lebih serius.
❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°
"Salam Melati." Encik Johan memberi salam di hujung talian. Melati memandang jam sambil menjawab soalan itu.Jam sudah menunjukkan pukul 2 tetapi bayang Suria masih belum muncul.
"Waailaikumussalam. Suria mana? Bila nak balik?" Tegas Melati bertanya tanpa memikirkan jika nada suaranya kurang sopan atau tidak.
"Uh, dah balik dah. Nanti dia sampai lah tu."
"Okay, kenapa call?" Dingin sahaja Melati melayan Encik Johan.
"Papa sebenarnya-"
"Ehem-ehem." Keras Melati berdehem untuk mengingatkan Encik Johan bahawa dia tidak suka apabila Encik Johan membahasakan dirinya sebaga papa.
"Oh sorry." Tergagap Encik Johan meminta maaf. Giliran dia pula yang berdehem untuk menghilangkan rasa kekok dalam dirinya.
"Nak minta tolong sikit ni. Boleh tak?"
Melati sepi tidak menjawab. Membiarkankan sahaja persoalan Encik Johan tergantung.
"Um.. Boleh tak beritahu Suria yang perkhemahan tu.. Um.."
"Tak jadi? Cancel? Dibatalkan?" Melati menyerbu Encik Johan dengan soalan yang bertubi-tubi. Kedengaran juga nada perli dihujung soalan itu.
"Di tunda sahaja.." Tenang Encik Johan menjawabnya.
"Mungkin lagi dua tiga minggu. Tengoklah rezeki macam mana. Tengah sibuk uruskan banyak hal. Nanti jelaskanlah elok-elok pada dia," pinta Encik Johan.
" Assalamualaikum," ujar Suria memberi salam usai memasuki rumah dan terus menuju ke dapur. Sebelum itu sempat dia melambai kepada Melati.
"Encik Johan bagitau jelah dia depan-depan. Melati tak nak tolong. Siapa suruh pandai-pandai janji macam tu."
Melati boleh mendengar keluhan berat yang dilepaskan oleh Encik Johan.
"Bagitau malam ini juga sebelum dia bersiap-siap." Melati mematikan panggilan tanpa mendengar rayuan lanjut daripada Encik Johan.
❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°
Suasana rumah itu terlalu sunyi hinggakan bunyi kipas yang berpusing di siling terasa begitu kuat. Cuaca pula yang pagi tadi terang berderang kini makin redup di luar. Mendung barangkali. Encik Johan menghirup air kopi di tangannya untuk menghilangkan rasa kekok. Melati pula hanya memandang Encik Johan tenang. Malam kelmarin dia menunggu kedatangan Encik Johan tetapi benar sangkaannya, Encik Johan memang tidak berani untuk datang. Kini sudah terlambat, Suria benar-benar ingat Encik Johan akan membawa mereka pergi berjalan. Melati pula tidak sampai hati ingin memberitahu hal sebenar. Dia percaya kenyataan itu harus muncul daripada mulut Encik Johan sendiri.
"Sebenarnya ada benda papa nak-"
"Melati tak nak dengar encik guna nama papa. Terima kasih," kata Melati tegas.
"Oh.. Ehem, baiklah," Terbatuk sedikit Encik Johan dibuatnya. Terlupa lagi yang Melati masih belum lagi menerimanya.
"Sebenarnya, saya nak beritahu sesuatu. Saya harap Melati faham," Encik Johan mula bermukadimah. Melati hanya mendengar sahaja dengan muka yang tidak mempamerkan apa-apa reaksi. Hatinya benar-benar terkunci untuk menerima kehadiran lelaki itu.
Muncul pula nenek daripada dapur dengan bertelekung, turut ingin menyertai perbualan itu. Suria masih di dalam bilik sedang berkemas.
"Saya tahu saya bukan bapa yang baik. Namun saya betul-betul bersyukur melihat kedua-dua anak saya membesar dengan baik. Terima kasih mak. Terima kasih Melati," Encik Johan menahan tangisan. Dia berdehem beberapa kali seolah ingin membuang perasaan sayunya. Pandangannya memandang gambar-gambar di atas kabinet yang terletak cantik di dinding ruang tamu. Wajah ceria Suria, Melati dan nenek menghiasi foto-foto itu.
Melati pula kini tunduk memandang lantai mendengar ucapan bapanya. Tipulah hatinya tidak mendambakan kasih sayang seorang ayah. Tipu jugalah jika hatinya tidak tersentuh mendengar ucapan terima kasih itu. Setelah berbulan baru mengenali Encik Johan, baru kali ini Encik Johan mengungkap kata-kata itu. Melati tidak menyangka Encik Johan akan berkata sedemikian.
"Saya betul-betul...betul-betul memohon maaf pada mak dan Melati,"
Akhirnya tangisan Melati muncul jua, menjunam laju menitik ke pahanya. Mungkin kerana inilah perkataan yang dia perlu dengar untuk menutup kisah silam nya yang lalu. Mulutnya dikemam agar tidak mengeluarkan suara.
Rumah nenek kian suram dek sinaran matahari semakin menghilang.
"Er, Saya ada benda nak beritahu ni. Saya sebenarnya baru sahaja mendapatkan kerja di negeri Pahang. Mungkin petang nanti, saya bertolak-"
"Bukan kita nak pergi berkhemah ke?" Ujar Suria kini sudah siap bertudung. Beg yang dijinjing terjatuh diatas lantai.
"Eh Suria! Ya betul," ujar Encik Johan yang cepat-cepat merubah riak mukannya.
"Papa minta maaf. Tapi, papa janji papa akan datang balik. Err...bulan depan kita pergi ya." Encik johan bangun mendekati Suria. Tangannya cuba mengusap kepala Suria tetapi Suria menepis laju.
"Encik nak tinggalkan kami lagi ...kan?" Kini mata Melati bertentang mata dengan Encik Johan. Kelihatan matanya sudah bengkak menangis. Encik Johan tidak menjawab tetapi hanya bercekak pinggang. Otaknya ligat memikirkan jawapan yang perlu dibalas.
"Melati … maafkan encik. Encik tak perlulah bersusah payah nak berpura-pura ambil peduli mengenai kami. Hidup kami..." Air mata Melati mencurah jatuh. Tangannya mula menggigil kerana menahan emosi marah dan sedih pada masa yang sama.
" bahagia je sebelum ni tanpa encik. Pergilah encik. Usah kembali lagi membawa harapan,"
Suria berlari ke arah nenek dan menangis di ribanya. Nenek juga kembali sayu. Hati tuanya tidak dapat membendung perasaan kecewanya terhadap anak kandungnya sendiri.
"Jangan risau Melati. Papa akan kembali," Encik Johan tersenyum kelat.
"Stop calling yourself papa!," tengking Melati.
"Kenapa nak jerit-jerit ni? Melati suka atau tidak , Mohd Johan bin Zakir, tetap bapa kandung kamu yang asal" Encik Johan mula meninggikan suara. Dirinya sudah hilang sabar.
Melati bangun daripada kerusinya. Kedua-dua tangannya mengepal di sisi badannya.
"Ya, Encik Johan memang bapa kandung kami. Tapi.. Melati binti Mohd Johan inilah bapa pada Suria. Yang mengajar Suria naik basikal, yang jadi imam solat Suria, yang pergi ke sekolah masa Hari Terbuka Ibubapa, yang ada sisi Suria sejak dia kecil," Setiap butir-butir perkataan yang keluar daripada mulut Melati, kakinya juga turut bergerak seiring kehadapan perlahan-lahan.
"Melati binti Mohd Johan jugalah yang menjadi anak lelaki nenek. Yang mengecat rumah, yang tolong tukar tong gas apabila habis, yang memasang lampu baru apabila rosak, yang bawa nenek ke hospital untuk check-up,"
Encik Johan terkaku. Mulutnya bagai terkunci. Nenek pula begitu terkejut melihat Melati. Tidak pernah dia melihat Melati dalam keadaan marah begini. Marah tapi tetap dapat mengawal diri.
"Dua orang perempuan ini-" kata melati sambil menunding ke arah Suria dan nenek.
"Melati binti Johan yang bayar zakat fitrah mereka." Kini jarak antara Melati dan Encik Johan sangatlah dekat. Nafas masing-masing boleh dirasai.
" Bukan..Mohd Johan bin Zakir. Tapi ni-" Spontan Melati menunding pada dirinya.
"Melati bin Johan." Mata Melati berkaca. Tekaknya pula terasa perit.
Suasana menjadi tegang bagaikan menunggu belon meletup di atas api membara. Awan diluar mula menitiskan air hujan. Encik Johan menelan air liurnya yang terasa begitu kelat.
"Apapun terima kasih banyak-banyak. Sekurang-kurangnya untuk kali ini, encik boleh bercakap depan-depan yang encik akan tinggalkan kami." Muka Melati kini kering daripada air mata.
Melati mendepakan tangan kanannya ke arah pintu. Walaupun dia diam seribu bahasa tetapi sudah menyampaikan mesej yang jelas bahawa dia tidak ingin Encik Johan di rumah itu lagi.
Encik Johan akui dia sedikit gentar dengan anak sulungnya itu. Dia mencari mata nenek, tetapi nenek mengalihkan pandangan ke tempat lain. Nampaknya nenek pun tidak sanggup melihat Encik Johan. Suria yang sudah menyembamkan muka diriba nenek dipandang sekilas. Encik Johan menerima kenyataan bahawa dirinya tidak di inginkan di rumah itu. Hatinya dipenuhi rasa bersalah dan juga marah. Marah pada siapa, itu tidak pasti.
"Baik..." Encik Johan mengangguk beberapa kali.
"Assalamualaikum." Encik Johan mengangkat kaki ke pintu rumah. Tak sangka begini akhirnya pengakhirannya. Melati memejamkan mata , cuba mententeramkan gelora di jiwanya.
Hi silence reader. Jangan lupa follow tau. More exciting chapters is coming. Thank you baca!
Share this novel