Bab 34

Romance Completed 14176

Melati sedang menulis esei yang Dr.Syafiq tugaskan dengan penuh fokus. Dia berazam untuk menghantar lebih awal agar dapat membaiki reputasinya dihadapan Dr.Syafiq. Dia juga berusaha keras memastikan ayat ditulis berkualiti tinggi. Memang Melati ingin pastikan Dr.Syafiq mengagumi hasil tulisannya.

Sambil itu dia pun sedang bercakap dengan Fatah didalam panggilan telefon. Namun tak adalah bercakap sangat pun, lebih kepada menemani. Fatah sedang memandu kereta sambil menahan mengantuk. Maka Melati pun mencadangkan agar Fatah berbual dengannya sementara dia memandu ke destinasinya. Wah, makin berani dah Melati sekarang. Dulu malu-malu nak angkat telefon, sekarang tawarkan diri pula. Rindu dah ke tu?

"Rentetan itu, saya berpendirian tegas bahawa kita sebagai pelajar janganlah enteng perihal konsep berkat ketika belajar kerana-"

"Cop cop, enteng?" Nada suara Fatah kedengaran keliru.

"Oh, enteng tu maksudnya ambil ringan," jelas Melati pendek kepada Fatah yang kini berkata "ooh" sambil sengaja memanjangkan bunyi hujung perkataan itu. Melati pula tergelak kecil mendengarnya.

"Panjang betul "Oh" awak ni. Saya pun sebenarnya baru pertama kali nak guna perkataan ni, jumpa dekat internet je ni."

"Berusaha keras betul awak ni. Mesti dapat markah banyak ni," Fatah menganggukkan kepala walaupun bukannya Melati nampak.

"Saya ada soalan." Fatah menyambung kembali perbualan itu.

"Adakah manusia kena sayang sesama manusia?"

"Wah, soalan awak petang-petang ni begitu rambang ya. Hmm, mestilah. Apa maksud awak ?"

"So.. Awak sayang kawan awak?" Fatah mula bertanya dengan senyuman terukir di bibir. Melati nampaknya terjerat sekali lagi dengan usikannya yang bakal diutarakan.

"Ya, mestilah. Macam … saya sayang Insyirah," ujar Melati sambil meneruskan taipan eseinya.

"Saya kawan awak kan? Jadi awak sayang saya tak?"

Terhenti ketukan jari Melati di papan kekunci komputer ribanya.

"Er, yelah. Kan kawan, sebab tu sayang."

"Kalau sayang, cuba cakap."

Melati mengetap bibirnya yang hampir-hampir sahaja tersenyum.

"Cakap..apa?" Ragu-ragu Melati bertanya, mungkin kerana tidak bersedia dengan jawapan yang Fatah akan ucapkan.

"Oh, cakaplah saya..sayang..fatah," kata Fatah seolah-olah mengajar Melati bertutur bahasa melayu buat kali pertama. Melati pula sudah mulai panik sedikit. Ish, dia ni punya permintaan pelik-pelik betul.

"Kalau tak cakap, maksudnya tak sayanglah tu...Tak sayang sesama manusia." Nada suara fatah seperti mendatar.

"Ish, mana ada," dalih Melati apabila dituduh begitu.

"Sayang Insyirah tak?" Fatah kembali bertanya.

"Sayang.." Jawab Melati pendek.

"Sayang Fatah tak?" Fatah bertanya dengan suara yang begitu lembut, keningnya jugak terjongket sedikit.

"Err, awak ni kan. Kenapa tanya soalan macam ni?" Melati memegang kedua-dua pipinya yang terasa panas. Sesungguhnya dia takkan mampu mengungkapkan apa-apa lagi perkataan yang berkaitan suka atau rindu mahupun sayang. Adakah Melati sendiri pun masih tidak dapat menerima kenyataan yang sebenarnya dia pun telah terjatuh hati pada Fatah?

"Awak malu ke saya tanya macam ni?"

Melati ketawa kecil lalu menyembamkan mukanya ke lengan. Walaupun Fatah tiada di sebelahnya tetapi malunya teramat sangat.

"Okay-okay, saya tak kacau dah."

Melati tidak menyahut kerana ketawanya masih tersisa. Rambutnya kini sudah kusut masai kerana daripada tadi memegang kepalanya. Nak tembuskan kepala ke dalam tanah macam burung unta tak boleh pula kan?

"Tapi.." Fatah bersuara setelah memberikan ruang buat malu Melati untuk beransur reda.

"Saya sayang awak." Suara Fatah kedengaran begitu teruja mengucapkannya.

"Uh.." Melati sekali lagi berusaha keras menutup rasa malunya. Tangannya kini mengibas-gibas mukanya. Tiba-tiba terasa panas pula bilik ini. Fatah pun kedengaran ketawa malu di hujung talian.

"Sayang sesama manusia." Fatah berkata sambil ketawa.

"Ya Allah... Fatah..Fatah." Melati menggelengkan kepalanya berkali-kali. Tertunggak hajatnya untuk menyiapkan esei Dr.Syafiq.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°

Ammar memandang sahaja Melati daripada jauh sambil dia melayan pelanggan di kaunter juruwang, Matanya sekejap-sekejap akan mengerling ke arah gadis itu. Sudah lama dia perhatikan Melati daripada hari temuduga kerja hingga lah sekarang. Keperibadian Melati sungguh menawan hatinya kerana dalam lembutnya ada tegas dan dalam pergaulan masih ada sopannya. Memang menepati citarasanya yang mendambakan karakter gadis melayu terakhir.

Cuma Ammar perasan Melati agak sukar didekati dan sering meletakkan jurang antara dia dan Melati. Tetapi Ammar nekad ingin mencuba nasib harini. Setelah pelanggan berlalu pergi, keadaan restoran mula kembali tenang. Mungkin kerana azan mahgrib sudah berkumandang membuatkan pelanggan yang majoritinya muslim bergegas untuk menunaikan solat.

Terdapat dua meja yang masih lagi mempunyai pelanggan namun meja yang lain sudah pun kosong. Kelihatan Melati dan Insyirah sedang bergegas mengemaskan meja-meja satu-persatu. Kerjasama antara mereka tidak diragui apabila mereka boleh bekerja tanpa bercakap, seolah mengerti tugas masing-masing.

Ammar mendekati Melati yang sedang mengelap meja, sisa-sisa makanan yang turut dilap Melati jatuh ke lantai. Melati pun mengisyaratkan kepada Insyirah untuk turut menyapu dibawah meja itu.

"Melati, nanti lepas dah siap kemas, kalau awak nak pergi solat dulu. Pergilah. Pelanggan tengah tak ramai, Insyirah boleh handle." Ammar memaniskan muka sedikit membuatkan Melati juga turut membalas senyuman itu.

"Oh, tak apa ke?" Melati bertanya untuk kepastian. Selalunya hujung-hujung waktu mahgrib dia dan Insyirah akan bergilir-gilir solat.

"Tak apa. Kita pergi surau sama-samalah," ajak Ammar penuh harapan. Melati mula sudah rasa tidak selesa, Ammar ni macam ada niat lain je ni. Dia perasan juga sejak kebelakangan ini Ammar seperti ingin mendekati tetapi dia sebenarnya kurang selesa kerana menganggap hubungan dia dan Ammar tidak lebih daripada antara penyelia dan pekerja sahaja. Mungkin risau kenangan lama berulang kembali?

"Er.." Kedengaran Melati teragak-agak menerima pelawaannya.

"Takpa Ammar. Saya pergi solat dengan Insyirah dulu. Lepas kami balik, mesti dah mula sibuk. Sekurang-kurangnya kami berdua dah solat," cepat cepat Melati bersuara apabila melihat Ammar ingin membuka mulut bicara.

Ammar terdiam seketika dan mengangguk perlahan. Dirinya sedar sekali lagi Melati telah meletakkan garisan antara mereka berdua.

"Baguslah, sekurang-kurangnya berteman pergi ke surau. Risau juga kalau jadi apa-apa. Um, Melati tinggal dengan nenek kan?"

"Eh, mana tahu?" Melati sedikit terkejut apabila Ammar menyebut perihal nenek.

"Insyirah bagitau. Tapi jangan marah dia, saya yang tanya. Tak apa kan?"

Melati tidak menjawab tetapi hanya tersenyum kecil.

"Saya pun ada nenek juga di rumah sebab mak risau dia tinggal seorang diri dekat kampung. Baguslah nenek Melati ada cucu macam awak, boleh jenguk selalu. Rumah dekat-dekat sini juga kan?" Ammar mendekati Melati setapak tanpa sedar membuatkan Melati mula berasa sedikit rimas.

Sejak bila pula Ammar ni menjadi peramah pula? Tiba-tiba bercakap mengenai keluarganya tanpa ditanya. Soalan terakhir Ammar pun seperti ingin mengetahui hal peribadi dia. Dia nak Melati jemput dia ke rumah ke?

"Ya, dekat sini juga. Awak kan memang ada alamat kita semua. Mestilah tahu kan?"Melati cuba bergurau sambil mengerling ke arah Insyirah. Dirinya berharap agar perbualan dia dan Ammar berhenti secepat mungkin.

"Betul. Jangan terkejut lah kalau saya tiba-tiba muncul dekat rumah." Ammar tersengih sambil berjalan pergi meninggalkan Melati dengan muka yang berkerut.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°

Insyirah dan Melati baru sahaja selesai menunaikan solah fardhu mahgrib. Terdapat baki masa lagi untuk mereka singgah ke kedai lain sebelum menyambung kerja. Insyirah mengajak Melati untuk ke PapaRoti dahulu kerana tiba-tiba dia mengidam ingin membeli roti berperisa kopi itu.

Melati pula hanya tunggu di bangku berdekatan sahaja dan membiarkan Insyirah beratur seorang diri. Apabila melihat barisan panjang oleh manusia yang turut sama ingin menikmati roti itu, Melati berputus asa dan mencari bangku saja untuk dia duduk.

"Saya nampak awak ni." - Fajar

Melati terus mengangkat kepala dan mengimbas muka-muka orang disekelilingnya. Manalah tahu, boleh ternampak seseorang yang sedang memerhatikannya. Tetapi, semua insan di situ sibuk dengan hal masing-masing. Hatinya mula berdegup sedikit laju daripada sebelum ini.

"Apalah, stalk perempuan. Tak budiman lansung :P"- Melati

Sekali lagi Melati cuba mencari Fajar di antara manusia-manusia yang sedang sibuk membeli-belah. Manalah tahu dia terlepas pandang kan?

"Tunggu siapa tu? Kenyang ke makan roti je?"-Fajar

Melati mendengus kasar sambil mengerutkan dahi kerana tidak selesa diusik begitu kerana rasa dirinya diperhatikan.

"Tak kelakarlah. Dah, malas nak layan."- Melati

"Mengajuk ke? Okay, saya tak kacau dah. " -Fatah

Beberapa saat berlalu tetapi Fatah masih mendiamkan diri. Melati pula tertunggu-tunggu Fatah membalas lagi mesej. Berharap agar lelaki itu tidak putus asa berbual dengannya.

"Tunggu saya reply ke tu? " -Fajar

Melati menjelingkan matanya ke atas. Ada sahaja idea Fatah ni mengusik dirinya yang sudah mulai malu.

"Jangan marah tau. We Cool?" -Fajar

Melati menyembunyikan senyumannya apabila membaca mesej Fajar itu.

"Cool..I guess."- Melati.

Sejurus Melari menghantar mesej itu, dirinya tiba-tiba kehairanan kerana perkataan "cool" itu seperti mengingatkan dia pada seseorang. Melati mengambil keputusan untuk menemani Insyirah beratur sahaja tetapi elok sahaja dia ingin melangkah ke depan , dirinya terlanggar seorang lelaki. Mungkin ini padahnya apabila berjalan sambil memandang telefon.

"Sorry," ucap Melati spontan.

"It's okay Melati."

Melati terus sahaja mendongak ke atas sedikit untuk melihat siapa yang dia telah langgar lalu mulutnya lancar sahaja berkata, "Lucas?".

"Long time no see." Lucas tersenyum bersama lesung pipitnya. Ya, senyuman itu. Senyuman yang pernah suatu ketika dahulu dirindui Melati yang membuatkan hatinya cair berkali-kali. Lidahnya menjadi terkelu.

"Assalamualaikum Melati, saya Fajar."

wow wow wow

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience