Bab 52

Romance Completed 14176

Genap sudah 9 bulan sejak pernikahan Fajar dan Melati. Melati pun sudah tamat belajar dan kini sedang bekerja di syarikat yang sama dia menjalani latihan industri untuk sijil ijazah sarjana muda pula. Memang rezeki Melati agaknya setiap kali menjadi pelatih, pasti akan ditawarkan menjadi pekerja tetap. Walaupun kalau ikutkan, boleh sahaja dia bekerja di syarikat suaminya tetapi dia memilih untuk tidak bebuat demikian.

Perjalanan Melati nanti untuk menaiki tangga korporat pun tidaklah akan dihantui dengan gosip tidak berasas. Melati dapat menumpukan masa untuk memperbaiki dan meningkatkan skil dan pengalamannya tanpa ada unsur berat sebelah meski dia yakin Fajar pastilah tidak akan mencampurkan hal peribadi dengan kerja. Namun mulut orang, kita tidak mampu kawal. Namun begitu, tempat kerja Melati sangat dekat dengan pejabat Fajar. Hanya dalam 8 minit sahaja. Maka, Fajar pun tidak menentang hasrat Melati malah menggalakkan Melati mengejar impiannya.

Sehari selepas sah bernikah, mereka suami isteri duduk berbincang bersama Suria tentang hal kebajikan nenek. Oleh kerana Suria juga bakal bekerja sebagai pelatih berdekatan universitinya, Melati dan Fajar bertolak ansur untuk tinggal seketika di rumah nenek. Ini bermaksud daripada hari isnin hingga jumaat, Fajar akan berulang-alik daripada rumah nenek ke tempat kerja dan begitu jugalah Melati. Apabila hari minggu pula, Suria akan mengambil giliran menjaga nenek sementara kakak dan abang iparnya tidur di rumah mereka sendiri.

Setelah Suria tamat belajar, dia kemudian menetap di rumah nenek dan bekerja di kawasan taman berdekatan. Kini, Fajar dan Melati hanya akan datang menjenguk pada hari minggu sahaja kerana jasa baik Suria yang berkeras menyuruh Melati dan Fajar menetap sahaja di rumah mereka. Ketika hari siang yang memerlukan Suria untuk bekerja, nenek akan dihantar ke pusat jagaan. Idea ini datang daripada Fajar yang terus sahaja menetapkan bahawa hanya dia yang akan membayar sepenuhnya yuran untuk nenek.

Pusat jagaan nenek pula bukan calang-calang. Fasilitinya sangat selesa bersama bilik yang bersih, kemas dan berhawa dingin. Sajian makanan pula dipastikan berkhasiat dan menepati selera dan pantang larang nenek. Kegiatan sosial juga dijalankan apabila tempat itu juga menyediakan aktiviti seperti bersenam, bermain, syarahan agama, kaunseling, persembahan dan banyak lagi. Penjaga dan staf pula mempunyai latarbelakang dan pengalaman dalam rawatan. Sangat berbaloi dengan yuran sebanyak RM1400 sebulan.

Walaupun setiap petang, Suria akan datang mengambil nenek untuk pulang ke rumah. Kadang-kadang nenek yang tidak mahu pulang. Seronok sangatlah tu dapat bergaul dengan rakan sebaya. Namun, kesihatan nenek pula semakin perlahan-lahan menyorot. Selain memerlukan tongkat untuk berjalan, badan nenek pun cepat sengal dan sakit. Sistem imun pun sudah tidak sekuat dulu. Mudah sahaja untuk nenek jatuh sakit. Simptom penyakit dementia nenek juga semakin merisaukan. Apa yang mereka hanya boleh lakukan sekarang hanyalah cuba memberikan yang terbaik untuk nenek.

Sekarang pula sedar tidak sedar, sudah seminggu bulan Ramadhan menjelma. Cepat betul rasanya masa berlalu. Hari ini walaupun hari sabtu, Melati terpaksa ke pejabat atas hal kecemasan. Tapi tidak lama pun kerana tepat pukul 12 tengahari, dia sudah terpacak di depan pintu lif untuk pulang. Sekarang dia berada di dalam lif juga, cumanya lif ini bukan lif di pejabat, tetapi lif di kondominium tempat dia dan Fajar menetap.

Melati melihat jam di tangannya beberapa kali walhal bukannya dapat memperlahankan masa pun. Dia sedikit resah kerana dia telah berjanji untuk membawa masakan ke rumah nenek untuk berbuka puasa nanti.

"Assalamualaikum..," ucap Melati sebaik sahaja kakinya mencecah lantai rumah. Aneh, Fajar tiada di ruang tamu. Dia menjengah ke dapur dan terlihat barang masakan telah tersedia di dapur. Sayur-sayuran telah dipotong. Ayam pula sudah digoreng manakala nasi masih sedang dimasak. Melati berjalan ke ruang tamu dan melihat segenap ruang itu telah dikemas. Apabila mendengar bunyi barang jatuh di luar balkoni, Melati tersenyum kerana sudah mengetahui di mana suaminya berada.

"Assalamualaikum sayang," sapa Melati sekali lagi dengan nada yang lebih ceria. Fajar yang sedang terbongkok mengutip penyangkut baju yang terjatuh segera berdiri dan mendepakan tangannya.

"Waalaikumussalam dear. How's work? Everything okay?"

"Okay je." Melati membalas pelukan Fajar dengan erat sebelum meleraikannya. Namun tangan Fajar masih lagi digenggam Melati.

"Fajar, thank you so much. I nampak you dah tolong prep makanan dan dah kemas ruang tamu. I really appreciate it." Melati menghayunkan tangan mereka berdua berlawanan antara tangan kanan dan kiri hingga bersilang silih berganti. Mulutnya pula kini dimuncungkan kerana terasa bersalah.

"You dah basuh baju juga? Tengah sidai ke ni?" Tanya Melati yang matanya telah tertancap pada baju-baju di ampaian.

"Tengah angkatlah. Dah kering ni." Fajar mencubit manja hidung Melati.

"Aw, so sweet~ I love you...So sorry about this morning, I have-"

"Aip! No need to say anything. It's okay. Melati... This is our house and I'm an adult. I am more than capable doing the house chores...alone," kata Fajar lalu tangan kirinya memegang dagu Melati. Selalunya mereka akan melakukan kerja rumah bersama. Cuma hari ini hampir seratus peratus semuanya dibuat oleh Fajar membuatkan Melati menjadi serba salah. Mungkin dia tidak biasa apabila tidak menyumbang apa-apa kepada sesuatu perkara, kerana sudah terbiasa menjadi orang yang bertanggungjawab melakukan segala-galanya.

Bagi Fajar pula, dia tidak gemar jika terdapat rutin tetap antara dia dan melati. Sebagai contoh, dapur diuruskan oleh Melati manakala baju diuruskan oleh Fajar. Dia tidak mahu meletakkan garis sempadan bahawa sesetengah kerja ini hanya milik seseorang. Perkahwinan bukanlah mengenai semua perkara dibahagi sama rata , 50-50. Namun, dia percaya setiap pasangan seharusnya memberikan seratus peratus dalam apa jua perkara.

"You're my wife. Not my roommate." Spontan dahi Melati dicium lembut dan tangan Melati ditarik ke sofa.

"Sekarang you rehat dulu. I nak habiskan angkat baju. Nanti bila you nak mula memasak, panggil je I." Pesan Fajar sebelum berlalu ke balkoni, sempat juga dia mengusap kepala Melati beberapa kali.

"You're the best husband in the whole wide world!" Teriak Melati dengan gembira seperti seorang pembimbing sorak.

"I know right?!" Kata Fajar sedikit belagak membuatkan Melati ketawa kecil kerana tahu, Fajar hanya bergurau sahaja.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。

Suria menyusun mangkuk-mangkuk yang berisi lauk dengan cermat. Aroma daripada masakan Melati itu sungguh melazatkan membuatkan sesiapa sahaja yang terbau pasti akan tergiur. Oleh kerana keadaan lauk masih panas, Melati berpesan pada Suria untuk terus sahaja menghidangkan dan tidak perlu memanaskannya. Melati dan Fajar sebaik sahaja tiba tadi, tidak lama kemudian keluar balik daripada rumah kerana Melati ingin membawa Fajar ke baazar Ramadhan di taman perumahan nenek itu. Kata Melati mereka hanya ingin membeli kuih-kuih sahaja.

Sebaik menutup makanan di atas meja itu dengan tudung saji, Suria pun berlalu ke bilik untuk mengambil telefon pintarnya. Sewaktu melintasi kamar nenek, dia terdengar suara rengekan halus sahaja. Dengan muka yang gusar, Suria pun memasuki bilik nenek. Hatinya sudah mula tidak tenteram memikirkan apa pula sebab nenek menangis.

"Nek??" Nenek okay?" Tanya Suria dengan nada yang berhati-hati. Bahu nenek dipegang lembut sebelum badannya membongkok untuk melihat wajah nenek yang sedang berbaring mengiring menghadap dinding.

"Mana...mak?" Gumam nenek dengan suara yang terputus-putus.

"Apa dia ?" Suria bertanya lagi untuk kepastian kerana suara nenek tidak berapa jelas.

"Mana... mak? Nak mak." Nenek memalingkan wajah ke arah Suria. Tangan tuanya yang sudah berkedut memegang lemah lengan Suria. Mata nenek pula sudah bertakung merah.

"Nak balik. Nak mak."Nenek kini cuba berdiri daripada pembaringanya dengan bersusah-payah. Suria pula sudah membisu seribu bahasa namun tangannya tetap bergerak membantu nenek. Nenek memeluk selimutnya lalu cuba berjalan keluar ke bilik.

"Nenek... "Suria cuba memanggil nenek namun nenek tidak menghiraukannya. Apabila Suria mendekati nenek, nenek memandangnya atas bawah dengan muka yang keliru.

"Siapa nenek?"

"Siapa kamu?" Tanya nenek lagi namun tanpa mendengar jawapan Suria, nenek terus menapak keluar ke bilik.

Melati dan Fajar memberi salam usai memasuki rumah dan dikejutkan dengan dua insan yang menunjukkan riak keliru. Suria yang berada di belakang nenek sudah menangis namun sikit pun tidak mengeluarkan suara manakala nenek terus-terusan memanggil emaknya.

"Mak! Mak!" Muka nenek berubah panik melihat ke kiri dan kanan. Matanya mengimbas segala ruang demi mencari sosok tubuh emak yang sangat dirinduinya.

"Nenek..Sabar nenek...Jom kita istigfar." Kata Fajar sebaik sahaja memeluk nenek daripada tepi. Dia cuba membimbing nenek untuk duduk di sofa. Melati pula mendapatkan Suria lalu dipeluk adiknya itu.
Maisng-masing cuba menahan sebak melihat keadaan nenek.

"Astaghfirullahaladzim..." Ucap Fajar perlahan dengan harapan nenek mengikutinya.

"Ada jumpa mak tak?" Nenek memandang wajah Fajar. Cuba mencari jawapan di mata anak muda itu. Fajar pula menelan air liur yang terasa begitu pahit. Dia menarik nafas panjang sebelum tersenyum memandang wajah nenek. Nenek kemudian mengalihkan pandangan ke depan dan apabila ternampak bayang mukanya di televisyen, badannya tersentak sedikit dek kerana terkejut.

"Siapa tu?" Tangan nenek menunding ke arah pantulan mukanya sendiri. Lengan Fajar ditarik agar rapat ke dada.

"Mana mak? Abang ada nampak mak?" Nenek mula merintih bersama suara yang sudah tersekat-sekat. Fajar pula sedikit terkejut kerana nenek memanggilnya abang. Kemudian Fajar mencari mata Melati untuk mendapatkan kepastian. Melihatkan nenek sudah menangis halus, Melati pun mencapai tisu lalu duduk disebelah nenek.

"Kak, adik nak balik rumah. Adik rindu mak. Kakak tolong hantar adik." Tangan nenek yang sedang sedikit menggigil itu bergerak memeluk lengan Melati pula.

"Boleh sayang. Kita lap dulu air mata tu. Nak jumpa mak tak boleh comot-comot kan?" Melati gagahkan dirinya untuk memujuk nenek meski suaranya sudah bergetar menahan sebak. Tisu tadi dilapkan lembut pada pipi nenek.

"Adik nak air? Abang boleh tolong ambilkan." Giliran Fajar pula melayan nenek. Meski kekok kerana pertama kali membahasakan dirinya abang, namun dia tetap mencuba. Apabila nenek mengangguk perlahan, cepat-cepat Fajar berlari ke dapur untuk mendapatkan segelas air.

Suria yang daripada tadi mendiamkan diri kini dapat mengawal emosinya. Dia menghidupkan televisyen apabila melihat nenek seperti tidak suka melihat bayangan muka nenek sendiri. Mungkin kerana nenek juga tidak mengenali wajahnya sendiri.

"Kita tengok kartun nak tak?" Suria mengajak ceria lalu lekas mengubah saluran kepada saluran yang lebih mesra kepada kanak-kanak. Nenek kemudian tanpa sedar berhenti menangis kerana terpegun melihat kartun dihadapannya. Fajar pula muncul di sebelah nenek. Kesudahannya, mereka berempat tidak bersuara dan hanya menonton televisyen dengan tenang. Masing-masing cuba memproses apa yang telah terjadi dalam diam sementara fokus nenek terganggu.

Fajar kemudian melihat muka Melati untuk memastikan keadaan Melati. Apabila pandangan mereka bertaut, Fajar tersenyum untuk memberikan kekuatan kepada Melati. Belakang badan Melati diusap beberapa kali.

Melati pula menghela nafas sedalamnya lalu dilepaskan perlahan-lahan. Menanamkan kepercayaan bahawa apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience