Lokasi : Pejabat, Tarikh : 2 tahun setengah yang lepas...
Lucas merenung lama kalendar di atas meja kerjanya. Tarikh hari telah dibulatkan dengan pen berwarna hitam menandakan hari ini bukan hari biasa. Matanya memandang ke hadapan melihat Melati sedang riang berbual dengan Riya dan Nadia. Entah kenapa hati dia berasa sayu untuk melepaskan Melati pergi. Melati mempunyai potensi yang besar sebagai seorang pekerja, Lucas merasakan begitu rugi melepaskan pekerja yang rajin dan bijak seperti Melati.
Meskipun pengalaman Melati tidak sampai setahun jagung namun gadis itu sungguh cekap mengikut rentak pekerja senior yang lain.
David muncul di sebalik tingkap pintu bilik pejabat Lucas sambil melambai perlahan-lahan ke arah Lucas. David mengerutkan mata melihat Lucas yang lansung tidak perasan akan kehadirannya lalu dia menoleh ke belakang untuk melihat apa yang Lucas renungkan.
David pun mengetuk tingkap beberapa kali lalu mematikan lamunan Lucas. Dia menganggukkan kepala ke atas dan Lucas juga turut sama berbuat sedemikian.
"Kita nak potong kek ni. Jom!" Kata David usai membuka pintu.
"Oh, okay. Jom." Lucas pun bingkas bangun dan membuntuti David ke bilik mesyuarat.
Apabila lalu di meja Melati, David memberhentikan langkahnya.
" Jom jom potong kek. Lapar dah perut ni. Riya, ambil pinggan. "
"David... Kalau you nak mati awal, you ulang lagi sekali." Riya menyengetkan kepalanya, saja mencabar David mengulangi ayatnya.
"Okay. I pergi ambil pinggan kertas. You all masuk bilik dulu." David mengalah sebelum bertarung membuatkan yang lain ketawa melihatnya.
"Girls, we go in first. " Ajak Lucas sambil tangannya menunjukkan ke arah bilik mesyuarat yang saiz nya lebih besar daripada bilik pantri. Pantri hanya dapat memuatkan beberapa staf sahaja. Maka tidak sesuai dengan acara yang bakal mereka lansungkan itu.
"Jangan potong dulu! Tunggu I,' jerit David daripada jauh, dia berlari anak untuk mengambil pinggan kertas.
Sejurus sampai ke bilik, semua pekerja sudah menunggu kedatangan David. Pekerja yang tidak mempunyai kerusi berdiri sahaja di belakang bilik sementara Lucas, Encik Daud dan Encik Shawn Xiao duduk di hadapan meja.
"Come on Melati. Make a wish and blow the candle." Riuh suara David menceriakan suasana. Melati pula tersenyum malu apabila semua orang fokus memandangnya.
Dia berdiri di hadapan keknya namun tidaklah pula dia mengucapkan apa apa doa kerana itu bukan amalan orang Islam. Melati kemudian mengipas sahaja api lilin itu membuatkan pekerja lain terhibur melihatnya termasuk Lucas.
Lucas ketawa melihat aksi comel Melati itu kemudian bertanya kenapa Melati berbuat demikian.
"More hygienic." Jawab Melati membuatkan Encik Daud menganggukkan kepala bersetuju.
"Betullah tu, tiup lilin ni bukan bersih sangat pun. Kadang-kadang boleh terpercik air liur. Bayangkan air liur saya ada atas tu, kamu semua nak makan ke?" Encik Daud berseloroh membuat seisi bilik mengeluh dan juga membantah dalam gurauan.
"Eii, apalah Encik Daud ni. " Kata seorang pekerja.
"Okay Melati, beri ucapan." Arah Encik Daud yang sengaja tidak memberikan reaksi kepada pekerjanya tadi.
"Ala Encik Daud. Tak nak bagi ucapan. Nanti saya sedih," protes Melati sambil memotong keknya. Riya pula membantu mengagihkan kek ke setiap staf.
"Apa yang sedihnya? Bukan majlis pengebumian pun." Encik Daud bersahaja berkata sambil menyuapkan sudu ke mulutnya.
Melati mengerutkan hidungnya ke arah Nadia seperti ingin meminta tolong. Seganlah pula tiba-tiba diminta memberikan ucapan. Lucas yang diam sahaja memerhatikan Melati begitu asyik melihat kecomelan Melati yang bukan dibuat-buat.
"Tak apa. Pendek pun boleh," pujuk Encik Daud lagi dengan mulut yang penuh dengan kunyahan kek tadi.
"Okay. Pertama sekali, saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak dekat majikan-majikan saya ini kerana mengambil saya sebagai pekerja di sini. Daripada latihan industri sehinggalah ke pekerja tetap, kalian memberikan sepenuh kepercayaan pada saya."
Lucas memandang Melati tanpa berkelip dan tersenyum sedikit apabila Melati seperti malu-malu ingin melihatnya.
"Terima kasih pada David dan Lucas yang banyak mengajar saya. "
"Sama-sama." Sampuk David membuatkan seisi bilik ketawa mendengarnya. Tangan Riya pula laju sahaja menampar bahu kanan David. David kemudian memegang bahunya sambil mengerutkan mukanya.
"Riya dan Nadia..." Spontan Riya memandang Melati dengan perasaan sayu.
"Terima kasih juga banyak menolong." Melati melihat ke siling kerana ingin menghalang air matanya daripada jatuh. Riya terus meletakkan pinggan kertasnya diatas meja lalu menapak ke arah Melati.
Nadia juga turut ke hadapan bilik dan memeluk Melati dan Riya.
"Alamak. Ini drama air mata sudah turun. Encik Daud, ini ke yang encik nak? Air mata wanita menitis di pejabat ini?" David memegang kepalanya seperti sedang merungkaikan misteri dunia.
Lucas ketawa sambil menggelengkan kepala dan mula menikmati keknya. Sesekali matanya melihat raut muka Melati yang polos itu, matanya sedikit bengkak namun entah mengapa dia kelihatan berseri. Mata Melati mula berkaca manakala pipi sedikit merah. Inikah istilah pretty criers? Lucas tergelak kecil, kalau dirinya menangis, dia merasakan wajahnya pasti buruk.
Hati dia merasa lembut dan cair melihat tangisan wanita itu. Kalaulah memetik bintang itu boleh menghentikan tangisan Melati, Lucas sanggup lakukan. Entah apa sihir yang Melati buat padanya, naluri lelakinya terasa ingin melindungi Melati selalu.
❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。
"Oh, I ada sesuatu untuk you." Mata Lucas mengikuti tangan Melati yang dilihat mengeluarkan kotak hadiah kecil dari dalam laci mejanya.
"Jaga diri Lucas... " Ketika Melati menghulurkan hadiah itu, Lucas tergaman memandangnya kerana tidak menyangka akan menerima hadiah pula.
"Oh wow! Ini terbalik ni. Biasanya kalau pekerja pergi, boss yang akan bagi hadiah." Lucas membelek hadiah itu dengan teruja, otaknya ligat memikirkan apalah yang Melati berikan padanya. Rasanya sepanjang bekerja disitu, tidak pernah lagi dia menerima apa-apa hadiah daripada pekerjanya.
Lucas memandang kembali Melati, hadiah itu masih digenggam meski tangannya sudah berlabuh di atas pahanya.
"Thank you again Melati..for eveything. Good luck and .. take care." Lucas mengukirkan senyuman buat Melati. Dia ingin menatap wajah Melati sepuasnya sebelum gadis itu pergi.
"You too Lucas."
Lucas melihat sahaja Melati berkemas. Patutkah dia memujuk untuk Melati terus bekerja disitu? Kenapa hatinya terasa begitu berat hendak melepaskan Melati pergi? Walhal, perhubungan mereka hanyalah antara majikan dan pekerja.
Mulut Lucas terbuka sedikit, kotak suara ingin mengutarakan soalan, mungkin ingin meminta Melati mempertimbangkan kembali keputusannya. Tetapi Lucas mengetap bibirnya. Hajatnya dimatikan sahaja demi menghormati keputusan Melati.
"Cool?" Lucas bertanya dengan nada ceria.
"Cool.." Melati menjawab dengan tenang. Mata Lucas tidak berkelip memandang Melati berjalan pergi. Apabila bayang Melati sudah tiada, hatinya tiba-tiba terasa kosong. Aneh... Kenapa perasaannya begini? Bukankah sepatutnya hatinya mendambakan Eva tetapi kenapa sekarang nama Melati yang bermain di fikirannya.
Lucas mengoyakkan balutan hadiah itu. Bunyi kertas dikoyak kedengaran begitu kuat kerana suasana pejabat itu sepi dek semua sudah pulang ke rumah. Hujung bibir Lucas terangkat apabila melihat rupa-rupanya Melati telah memberikan dia sebuah mainan kereta HotWheels. Hatinya tersentuh kerana Melati mengingati kisah yang pernah diceritakan Lucas ketika di Desaru. Dahulu Lucas pernah memasuki pertandingan yang dianjurkan oleh sebuah pasaraya terkemuka. Dia begitu tekad ingin memenangi pertandingan itu kerana hadiah yang dijanjikan adalah kereta Hot Wheels. Mungkin ada hadiah yang lain namun matanya hanya tertancap pada mainan itu sahaja.
Tetapi sayang nasib tidak menyebelahinya apabila dia kalah dalam pertandingan tersebut. Sejak kejadian itu, keinginan Lucas ingin memiliki kereta mainan itu semakin menggunung. Apabila usia semakin menginjak, Lucas pun semakin lupa akan impiannya sehinggalah berbual dengan Melati suatu ketika dahulu.
Dia mengambil kereta mainan itu lalu dimasukkan ke dalam poket baju kemejanya.
"Thanks Melati..." Separuh berbisik Lucas mengucapkannya meski tuan badan tidak ada di depan matanya. Lucas berdiri daripada duduknya dan mengusap meja yang diduduki Melati itu dan kemudian berlalu pergi ke biliknya.
wah terima kasih follower baru kerana menyertai pengembaraan saya sebagai penulis di sini. Terima kasih juga dekat follower yang sedia ada yang setia menunggu bab baru daripada saya. Thank you pembaca semua. Saya tak pernah lupa nak upload tetapi kehidupan busy sikit hingga saya terpaksa mencuri masa menulis. Takpa, sikit je lagiii. Apapun take care !
Share this novel