"سُبْحَانَ الَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ"
Melati terpegun seketika mendengar doa naik kenderaan yang diucapkan oleh Fajar. Dia kelihatan tenang sahaja sambil memusingkan stereng keretanya. Janggal betul mendengar perkataan bahasa arab keluar daripada mulut Fajar. Namun Fajar kedengaran sudah biasa membacanya. Melati kemudian tidak melepaskan peluang melihat Fajar yang sedang khusyuk memandu.
Dari segi pemakaian, rasanya Fajar baru sahaja pulang daripada kerja. Melati tertanya apakah dia selalu pulang lewat kerana tuntutan kerjanya.
"Best ke?" Soalan Fajar memecahkan keheningan malam itu.
"Hah?"
"Tengok I atas bawah ni. Best ke?" Fajar membalas pandangan Melati bersama senyuman mengusiknya membuatkan Melati cepat-cepat menoleh ke tingkap.
"Saja nak pastikan, you ni waras ke tak? Tiba-tiba datang ambil I malam-malam. Kalau ya pun, esok pagi kan ada." Melati menyembunyikan rasa malunya dengan mengubah sedikit haluan perbualan mereka.
"Tak nak esok pagi. Takut nanti lelaki tu datang dulu."
Melati menoleh ke arah Fajar bersama kerutan di dahi. Ammar ke maksud dia?
"Oh, Ammar ke? Taklah, mustahil dia nak datang. Kalau dia nak datang pun, saya takkan bagi alamat saya dekat dia."
"Bagus. Lain kali kalau nak pergi mana-mana, bagitau I je. And I tahu you memang dah amalkan ni, but please continue stay professional with him."
"Kalau tak nak." Boleh pula Melati berani menguji Fajar. Fajar pula tidak menjawab tetapi sekilas menayangkan senyuman sebelahnya bersama kening yang terangkat. Apabila Melati melihat reaksi muka Fajar itu, dia lekas memandang kehadapan lalu menelan air liurnya. Ha tulah, macamlah berani sangat.
"Kita bukannya ada apa-apa pun. Pandai-pandai lah I jaga diri." Melati memeluk tubuh setelah menyandarkan badannya pada kerusi. Fajar pula dalam diam menahan perasaan kerana betul juga kenyataan Melati itu. Dia tidak boleh mengawal tindak-tanduk Melati kerana dia bukanlah sesiapa.
"Melati. I pernah sakitkan hati you ke?"
"Ha? Kenapa you tanya macam tu?"
"Masa kita pertama kali jumpa, kawan you kata I patahkan hati you. Tadi dia pun kata benda sama. Kalau I ada buat salah, you cakap je."
Melati menggelengkan kepala sambil mengurut dahinya. Insyirah ni memang nak kena lah. Dirinya berasa segan pula apabila tiba-tiba topik perbualan menjadi lebih dalam dan menyentuh isu hatinya.
"That's nothing, Fajar. Forget about it."
"What...Please tell me about it." Fajar cuba memujuk Melati untuk menceritakan hal sebenar. Di leretkan nadanya seperti anak kecil membuatkan Melati tertawa kecil.
"You ada suka I ke?" Tanya Fajar lagi membuatkan jantung Melati berdegup laju. Sekali lagi Melati menelan air liurnya yang terasa pahit. Patut kah dia berterus terang?
"Oh, tak ada apa pun. Small crush je. Biasalah tu. No big deal." Melati cuba berkata dengan sempoi seolah-olah cuba menyembunyikan perasaan malunya.
"Oh yeke? So I crush you lah ni?" Manusia yang paling gembira pastilah Fajar. Mulutnya tersengih penuh teruja mendengarnya.
"You boleh fokus memandu tak? Sibuk je nak tahu. It's in the past already. "
"Oh okay okay. Then.. Hm." Fajar menyengetkan badannya ke arah Melati membuatkan Melati serta merta lebih rapat ke pintu kereta.
"Let's build our future together."
"Ya Allah." Melati menjelingkan matanya ke atas membuatkan Fajar ketawa besar.
"Cringe tahu tak? Cringe gila." Melati membentak namun Fajar masih tidak berhenti ketawa lagi.
"Dah I malas nak layan you. I nak tidur," kata Melati sambil berpura-pura tidur.
"Kalau tidur, kenapa senyum-senyum tu?"
"Shut up." Melati masih lagi memejamkan mata sambil menahan senyumannya.
❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°
Fajar meletakkan kenderaan di dalam pekarangan rumah nenek sambil nenek beraksi seperti polis trafik membantunya. Kemudian nenek dengan selamba menutup pintu pagar dan menguncinya. Fajar pula yang masih tidak perasan menyambung tindak tanduknya seperti biasa. Pintu bonet belakang keretanya dibuka lalu dia mengangkat beg Melati ke dalam rumah. Sempat juga dia memberi salam pada nenek apabila bertembung.
Melati tersedar daripada tidurnya lalu menggeliat kecil. Dibetulkan tudungnya sebelum keluar daripada kereta itu. Mata Melati melilau dengan penuh kehairanan melihat kereta Fajar sudah berada di hadapan rumah nenek. Dia berjalan perlahan sambil mengosok matanya.
"Okay nenek. Fajar balik dulu." Fajar yang sudah tercegat di pintu mula perasan pintu pagar luar sudah berkunci.
"Tak apalah. Dah lewat ni. Kamu tidur sini je." Nenek sudah seperti ingin menolak badan Fajar ke dalam rumah.
"Eh tak apa, nenek. Saya boleh lagi nak drive ni." Fajar menjadi serba salah pula.
Melati pula masih lagi mamai bercampur terkejut melihat nenek dan Fajar yang lansung tidak kekok berbual. Seolah-olah sudah saling kenal-mengenali antara satu sama lain.
"Melati jom masuk. Sejuk dekat luar ni." Nenek memanggil Melati yang kini mengikut sahaja arahan nenek seperti sebuah robot.
"Kamu nak mandi ke Fajar? Nenek ambikkan tuala." Nenek berjalan mendekati biliknya. Kepala nenek sudah membayangkan pakaian arwah suaminya yang dia masih simpan, mungkin Fajar muat memakainya.
"Itu nenek I tau." Melati berkata dengan mata separuh terbuka. Fajar pula sudah bercekak pinggang kerana tidak sangka jadi begini pula.
"Macam mana nenek boleh bercakap dengan you macam kawan ni?"Melati juga turut bercengkak pinggang dan memerhati nenek yang kini sedang berjalan ke arah mereka sambil membawa tuala, baju dan kain pelikat.
"Nenek... Nenek kenal ke ni siapa? Layan dia je, tak layan Melati pun. " Muka Melati sedikit keruh seperti ingin mengajuk.
"Yelah, cucu nenek jugak ni. Kamu pandai pakai kain pelikat kan, Fajar? "
"Ya ya. Nenek ada ajar. " Fajar menganggukkan kepala lalu menyambut huluran nenek.
" Ha, bilik air dekat dapur. Nanti masuk bilik Suria untuk kamu salin baju. Suria masih dekat universiti lagi. Pintu warna merah tua tu." Selamba je nenek memberi arahan pada Fajar.
Setelah Fajar berlalu pergi, Melati menyalami tangan nenek walupun mukanya masih monyok.
"Nenek sorokkan apa ni daripada Melati? Macam mana korang berdua boleh kenal ni? Ni fenomena alam yang ajaib tau."
"Pintu biru ni siapa punya bilik?" Tanya Fajar daripada jauh.
"Itu bilik Melati. Kalau nak masuk, kena kahwin dulu." Jerit nenek yang lansung tidak menghiraukan soalan Melati. Fajar pula seperti terkena kejutan elektrik, lekas-lekas menjauhi pintu bilik Melati.
"Melati, tolong ambik tilam dalam almari nenek tu. Kibas-kibas dulu. Nanti boleh bentang tepi meja ni. Dekat sikit dengan kipas ruang tamu."
Walaupun soalan Melati tidak berjawab, perintah nenek Melati turuti jua. Dia pun menapak ke bilik nenek dan membuka pintu almari. Tilam itu terlipat kemas didalam beg plastik yang sudah berzip rapat. Melati mengheretkan tilam itu lalu membentangkan di lokasi yang nenek sudah arahkan tadi.
Dia kemudian berlalu ke arah biliknya untuk mengambil bantal bersama cadar bantal yang baharu. Selimut lembut juga diambil untuk memastikan tempat tidur Fajar selesa. Sempat juga Melati menghidup selimut itu. Risau juga kalau terdapat bau kepam atau bau lain-lain yang tidak sedap.
Ketika keluar bilik, Melati terserempak dengan Fajar yang baru sahaja selesai mandi. Kaki mereka terpaku seketika beberapa saat. Mujur Fajar sudah awal-awal memakai baju sebelum keluar bilik namun tetap juga bertuala daripada pinggang ke lutut. Aurat lelakinya masih dijaga rapi.
"Janganlah pandang I macam tu. Malu." Fajar menutup dada dan perutnya dengan telapak tangannya lalu berlari anak ke bilik Suria seperti anak gadis. Melati pula mengeluh mendengar usikan Fajar. Ada saja modal lelaki ni nak menyakatnya.
"Nenek..." Manja sahaja Melati memanggil nenek. Selimut bersama bantal dicampakkan ke atas tilam.
"Iya. Nenek dan Fajar lama dah kenal. Kita kawan sekuliah masjid. " Terang nenek tanpa disuruh. Nenek kini sedang berbaring di atas sofa sambil menonton televisyen.
"Dah berapa lama kenal Fajar?"
"Tak lama sangat pun. Dalam dua tahun lepas."
"Dua? DUA?!" Melati memandang nenek dengan rasa geram. Apalagi lah agaknya yang neneknya tidak beritahu lagi? Apakah nenek tahu Fajar adalah bekas majikannya? Melati yakin nenek sudah tahu. Kalau usia persahabatan Fajar dan nenek sudah mencecah dua tahun, pasti nenek sudah menceritakan pelbagai kisah keluarga mereka pada Fajar.
Fajar akhirnya muncul dengan baju jersi arwah atuk Melati. Apabila melihat muka Melati yang sedang mencebik, Fajar seperti ingin berpatah kembali dan masuk ke bilik Suria. Mungkin tidak keluar bilik sehinggalah Melati tidur.
" Ha you ni. Macam mana you boleh kenal nenek I ? You pernah masuk rumah ni ke?"
"Sabar Melati. Takut I tengok you marah macam ni. I terjumpa nenek masa datang rumah ni dua tahun lepas. Kita ada borak-borak. Lepas tu jumpa dekat masjid. Kadang-kadang lepak warung. Tapi ni kali pertama I masuk rumah nenek."
Melati mengecilkan matanya lalu memandang ke arah nenek yang masih santai berehat. Kini baru dia faham kronologi perjumpaan nenek dan Fajar.
"Lepak warung eh? Macam orang melayu dah cara you cakap ni." Melati memeluk tubuhnya sambil kakinya menguis-guis lantai ruang tamu.
"Suria tahu ke?" Tanya Melati lagi kepada Fajar. Fajar menggelengkan kepala laju sambil mengangkat kedua-dua tangganya separa bahu. Seperti seorang penduduk menunjukkan dia tidak ada senjata kepada askar.
Tiba-tiba telinga mereka menangkap dengkuran halus dari arah sofa. Mata nenek sudah terpejam rapat. Apabila Melati ingin mengejutkan nenek untuk bangun tidur di bilik, Fajar menghalangnya.
"I think she purposely sleep there." Suara Fajar separuh berbisik kerana takut akan mengacau lena nenek. Apabila Melati masih lagi tidak faham bahasa kiasannya, Fajar mendekatkan dirinya sedikit pada Melati.
"She's watching me. I kan bukan mahram. " Fajar kemudian mula melabuhkan punggung pada tilam empuk itu. Melati pula mula mengerti yang nenek masih lagi berjaga-jaga dengan Fajar. Mungkin hati nenek tidak tenang jika tidak melihat Fajar tidur dimana.
"Terima kasih Melati sediakan tempat tidur untuk I." Senyuman manis dihadiahkan pada Melati. Memang tidak dinafikan Fajar kelihatan kacak berpakaian begini. Aduhai cair lagi ni.
"Melati.." Fajar memanggil Melati lembut.
"Hmm."
"You tak nak tidur ke? I'm sleepy already. Ke sebenarnya you … nak teman I? " Fajar mula baring dan sengaja dia mengesotkan badannya ke kiri, konon-konon memberikan ruang untuk insan lain berbaring di sebelahnya.
Mata Melati terbeliak besar mendengar usikan Fajar itu. Dia pun merasa malu kerana sedar rupanya daripda tadi dia hanya berdiri tidak berganjak. Entahlah, kenapa dia nak berlama-lama dengan lelaki itu? Melati pun apa lagi, dia mencapai bantal sofa lalu dibaling ke arah Fajar sekuat hati.
Fajar pula sempat menangkap bantal sofa itu namun gelak ketawanya sudah kedengaran. Dek kerana risau bising, Fajar menekup mukanya dengan bantal sofa. Padanya, Melati kelihatan sangat comel apabila dia panik begitu. Sungguh menghiburkan hatinya untuk mengusik Melati. Melati pula pantas menutup lampu untuk mematikan perbualan mereka.
"Good Night, Melati." Ucap Fajar lembut dengan ketawa yang masih bersisa namun Melati memilih untuk tidak menjawabnya. Masing-masing tidak tahu yang ucapan selamat malam itu membuahkan lagi rasa sayang dalam diri masing- masing. Nenek juga rupanya turut tersenyum dalam gelap.
Sengih tak baca bab ni? haaaaaa
Share this novel