Bab 30

Romance Completed 14176

Suria dan Melati memutuskan untuk melawat taman permainan yang sudah lama mereka tidak melewati bersama, tempat yang mereka sering bermain ketika masih kecil. Taman itu masih sama seperti dahulu, dengan ayunan berkarat dan gelongsor yang sudah pudar warnanya. Namun, kenangan manis mereka tetap segar di ingatan.

"Akak, ingat tak masa kita selalu main kat sini?" tanya Suria sambil duduk di atas buaian.

"Ingat, Suria. Taman ini penuh dengan kenangan kita," jawab Melati sambil tersenyum, duduk di buaian bersebelahan adiknya.

"Ada satu hari tu, akak jatuh dari gelongsor dan cedera. Tapi, akak tak menangis pun. Akak cuma senyum dan kata 'Tak apa, Suria. Jangan takut.' Suria rasa kagum sangat dengan akak masa tu," kata Suria, mula menghayunkan badannya ke depan dan ke belakang.

Melati ketawa kecil. "Akak ingat. Masa tu, akak cuma nak pastikan Suria tak takut. Akak selalu nak jadi kuat untuk Suria."

Suria terdiam sejenak sebelum bertanya, "Akak, pernah tak akak rasa penat jadi kuat untuk semua orang?"

Melati menarik nafas dalam. "Kadang-kadang, penat juga, Suria. Tapi akak tahu, selagi kita ada satu sama lain, kita boleh hadapi apa sahaja."

Suasana sepi seketika, hanya bunyi angin yang berbisik melalui dedaunan. Melati memandang adiknya dengan penuh kasih sayang. "Suria, tak kira apa yang terjadi, kita akan sentiasa ada satu sama lain, ya?"

Suria mengangguk, matanya berkaca. "Ya, akak. Kita sentiasa ada satu sama lain."

"Suria okay ke? Dengan apa yang berlaku hari tu?" Melati meluahkan kerisauannya. Kejadian tempoh hari sungguh tegang dan menyerap mental dan fizikal masing-masing menyebabkan emosi bercelaru. Lama juga mereka menangis sebelum nenek bangun dan mengutip sisa-sisa tenaga yang ada untuk menarik Suria dan Melati keluar daripada kesedihan.

"Suria sekarang.. Dah redha. Allah pinjamkan papa untuk Suria untuk tempoh yang memadai. Cukup-cukup makan sahaja. Dimana saja papa berada , Suria mendoakan kesejahteraan dia. Sekarang Suria kena fokus dengan apa yang Suria ada, dan bukannya apa yang Suria kurang." Matang sekali jawapan Suria membuatkan Melati kagum.

"Wow. Wow. Bagusnya jawapan. Boleh dapat A+ ni," puji Melati sambil menunjukkan riak muka terkejut, keningnya juga sedikit terangkat.

"Biasalah. Jawapan budak nak ambil SPM." Suria mengangkat bahu lalu tergelak kecil. Hayunan Suria dilajukan seperti sedang berlumba pula.

"Akak tahu bukan salah akak tapi akak nak minta maaf juga. You deserve a better father."

Suria memberhentikan hayunannya drastik lalu dengan susah payah cuba mengenggam tangan Melati. Melati pula ketawa kecil melihat Suria terkedek-kedek cuba mencapai tangannya tanpa bangun daripada buaian.

"Tak apa. Suria masih ada kakak dan nenek terbaik didunia." Tangan Melati digenggam erat. Mereka saling membalas senyuman, tanpa berkata apa-apa, mereka tahu kasih sayang antara mereka takkan pernah luak.

Setelah beberapa minit menikmati suasana tenang itu, mereka berdua bangun dan berjalan kembali ke rumah. "Jom, kita balik. Nenek mesti dah tunggu," kata Melati sambil memeluk bahu adiknya.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。

Sepuluh tahun yang lepas...

Nenek membawa keluar kek hari lahir Melati yang ke sebelas dari dapur dan menantangnya dengan cermat lalu diletakkan ke meja makan. Melati pula masih setia menutup mata seperti diarahkan nenek. Suria pula sudah tidak mampu mengikut arahan lagi kerana terlalu teruja lalu matanya dibuka seluas-luas dan terlihatlah sebuah kek bewarna merah jambu.

"Wahhh cantiknya kek!" Jerit Suria sambil menepuk tangan membuatkan Melati turut membuka matanya spontan. Mulutnya ditutup kerana terlalu terkejut.

"Suria! Nenek kata tutup mata kan." Puan Hasanah memeluk tubuh dan memandang muka Suria dengan garang. Senyuman Suria disertai beberapa gigi yang tiada melembutkan hati nenek hingga nenek ketawa kecil. Lucu betul melihat cucunya yang seorang ini. Melati pernah mengusik Suria dengan menyatakan gigi Suria seperti tiang gol, jika makan bebola ikan pasti akan terkeluar.

"Nenek tak sempat nak nyalakan lilin ni," ujar nenek sambil memonyokkan muka. Tangannya ligat mencucukkan beberapa lilin di atas kek itu.

"Takpa, Melati tutup balik mata. Suria.." Melati mengambil kedua-dua tangan Suria lalu diletakkan di atas mata Suria. Suria pulak mengikut sahaja kerana otaknya hanya memikirkan kesedapan kek itu. Terburai lagi ketawa nenek melihat kedua-dua cucunya sedang menutup mata kembali. Suria semestinya mengintai sedikit disebalik jari-jemari comelnya itu.

Nenek mengambil kesempatan lalu menyalakan lilin satu persatu. Suria pula yang mengintai daripada tadi membuka mulut ingin menjerit keterujaan tetapi nenek cepat cepat mengisyaratkan Suria untuk diam. Apa lagi, Suria pun menutup mulut sambil mengembungkan pipinya.

"Selamat hari lahir Melati!" Nenek bertepuk tangan dan dengan pantas Melati membuka mata.

"Allah selamatkan kamu. Allah selamatkan kamu. Allah selamatkan Melati yang comel. Allah selamatkan kamu." Nenek menyanyikan lagu untuk meraikan hari lahir Melati.

"Suria tak ada ke? Suria pun nak Allah selamatkan Suria." Petah saja si Suria ni bercakap. Nenek dan Melati berpandangan lalu tanpa berlengah menyanyikan, "Allah selamatkan kamu. Allah selamatkan kamu. Allah selamatkan Suria sayang. Allah selamatkan kamu."

Bunyi tepukan bergema bersama jeritan Suria dan Melati. Melati kemudian meniup kesemua lilin kecuali satu dengan satu nafas. Kemudian dia memandang Suria sambil tersenyum dan berkata, "Suria nak tiup ke?"

Suria yang menanti dengan sabar mengangguk laju dan apabila Melati memberi keizinan , dia pun meniup lilin yang terakhir. Nenek tersenyum melihat Melati yang sentiasa bertolak ansur di usia muda. Pipi Suria dicubit lembut kerana geram dengan kecomelannya.

Nenek membantu Melati memotong kek dengan turut bersama-sama memegang tangan Melati. Pisau itu bergerak mengikut panduan nenek. Ketika nenek sedang khusyuk meletakkan sepotong kek pada pinggan dan diberikan pada Suria, dia terkejut mendapati Melati tiba-tiba menangis.

"Eh kenapa ni? Kenapa menangis?" Panik nenek dibuatnya melihat Melati menangis. Melati pula menggelengkan kepala dan mengunci mulutnya. Badan Melati didakap erat oleh nenek.

Suria yang sudah comot mulutnya turut terkaku tetapi mulutnya masih mengunyah sisa kek.

"Kek ni... nenek beli mana? Tak mahal ke?" Akhirnya Melati bersuara membuatkan nenek dipenuhi rasa bersalah. Kepala Melati dilekatkan kembali ke dadanya.

"Tak usah peduli harga kek ni. Melati makan je. Kalau Melati gembira, nenek lagiiii gembira." Nenek cuba mententeramkan hati Melati.

"Kenapa mengalir lagi air mata ni?" Nenek membelek pipi Melati ke kiri dan kanan dan mendapati lagi lebat deruan tangisan Melati.

"Kakak rindu mama dan papa." Suria berkata sambil fokus makan kek dihadapannya. Ising berwarna merah jambu itu sengaja diceletkan di atas meja. Melati menggelengkan kepala tanda menidakkan kenyataan Suria.

"Tak apa. Tak apa." Nenek mengelap air mata Melati.

"Tak salah nak mengaku kita rindu. Nenek pun kadang-kadang rindu atuk. Ingat tak nenek pesan apa? Kalau rindu, kita hadiahkan bacaan ayat alquran dan kita doakan mereka. "

"Nenek.." Panggil suria membuatkan Melati dan nenek menoleh kepala memandang Suria.

"Nak lagi boleh?" Kata Suria sambil menjilat jari jemarinya.

"Yang kamu ni macam hantu raya kenapa? Comot betul." Nenek hampir tergelak melihat Suria. Melati pula sudah ketawa besar. Suria yang melihat Melati kembali tersenyum mengagah untuk menceletkan ising itu pada baju Melati. Melati kemudian berlari keliling rumah sambil dikejar Suria , mulut mereka berdua bising menjerit gembira.Nenek pula menjerit kepanikan kerana risau lantai rumahnya akan kotor.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。

Setelah hampir satu jam perjalanan, mereka akhirnya turun daripada kereta yang di sewa Melati. Nenek dan Suria masih tertanya-tanya kemana Melati membawa mereka ni. Tetapi apabila Suria melihat suasana sekeliling, dia tidak mengambil masa yang lama untuk sedar mereka kini di tapak perkuburan.

"Akak.. Ni kubur...?" Suria tidak dapat menghabiskan pertanyaan. Melati sudah tersenyum lembut lalu mengangguk perlahan.

"Jom cari kubur mama," ajak Melati membuatkan Suria yang matanya sudah berkaca berlari anak memasuki tapak perkuburan itu. Nenek kemudian datang menghampiri Melati, matanya juga turut mengimbas suasana petang yang nyaman itu.

"Mana kamu tahu mama kamu ditanam disini?" Nenek bertanya dengan bersahaja. Perlahan-lahan mereka berdua menapak ke depan.

"Melati 'rasuah' Encik Johan." Melati berkata sambil menahan ketawa, mulutnya ditutup dengan tangan.

"Memang si Johan tu. Kalau kita beri duit, baru nak dengar cakap." Geram pula nenek rasa apabila memikirkan perangai anaknya.

"Takpalah, sekurang-kurangnya lepas ni. Kita dah boleh jumpa mama depan-depan dah. " Melati menahan sebak.

"Ya, tenang hati nenek melihat kamu berdua akhirnya dipertemukan juga dengan mama kamu." Nenek mencapai tangan melati lalu digenggam erat.

"Suria dah jumpa!" Jerit Suria daripada jauh sambil melambaikan tangan. Nenek dan Melati melajukan langkah mendekati. Bersedia untuk menziarahi kubur ibu Melati dan Suria, menantu Puan Hasanah, meski sudah dijemput Ilahi.

"Salam sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni kubur. Semoga Allah mengampuni kami dan juga kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan menyusul."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience