Bab 28

Romance Completed 14176

Melati dan Suria tiba ke pusat beli belah, 1 Utama Shopping Centre, dengan menaiki kereta yang mempunyai servis penghantaran Grab. Selepas melihat Suria begitu bertungkus-lumus mengulangkaji pelajaran, Melati memikirkan tidak salah rasanya untuk dia membawa Suria makan angin, mengurangkan tekanan jika ada. Cuti sekolah pun baru sahaja bermula memudahkan lagi Melati untuk membawa Suria pada hari selain hujung minggu. Melati pun memerlukan juga lawatan ini untuk memanjakan diri. Sayang sekali Insyirah tidak dapat mengikut kerana dia masih lagi berada di rumah ibubapanya.

"Kita nak buat apa dulu?"

"Hmm..." Suria memegang dagunya sambil berfikir.

"Nak tengok wayang. Tapi nak karaoke juga. Hmm.." Minda Suria menjadi rambang untuk memilih aktiviti apa untuk diluangkan bersama kakaknya itu.

"Main bowling pun macam menyeronokkan.. Kan?" Suria tersengih manja sambil memegang lengan Melati dengan kedua-dua tangan ini.

"Amboi budak ni. Dah bagi betis nak paha pula. Badan kamu ni boleh bahagi tiga ke?" Seloroh Melati yang tertawa. Tangannya kemudian sengaja berpura-pura memotong bahu Suria seperti seorang pemotong daging.

"Ah~~" Jerit Suria lembut lalu menepis tangan Melati. Mereka membiarkan sahaja orang yang lalu-lalang mencuri pandang ke arah mereka.

"Okay beginilah.." Melati mencuri nafas setelah tercunggap-cunggap selepas ketawa.

"Apa kata... kita buat je tiga-tiga. Nak tak?"

"Seriuslah akak?" Tanya Suria inginkan kepastian diikuti dengan anggukan Melati.

"Akak bagitau nenek dulu. Kita mungkin balik malam sikit. Tapi sebelum pukul 10 dah sampai rumah dah." Melati mengeluarkan telefonnya daripada beg tangan. Ibu jarinya mula mencari nombor telefon nenek untuk dihubungi.

Melati menjelaskan situasi itu kepada nenek sementara Suria memerhati dengan mata yang membulat mengharapkan nenek memberi keizinan kepada mereka.

"Nenek bagi.." Kata Melati sebaik sahaja mematikan panggilan.

"Yes!"

"Tapi..."

Badan suria kaku menanti syarat apa yang nenek letakkan.

"Kena balik sebelum pukul 9."

"Oh.. Okay-okay. Sempat ni. Ayuh, kita tengok wayang dulu. " Suria menarik tangan Melati untuk berjalan dan menaiki eskalator hingga ke tingkat empat. Mereka kemudian memilih untuk menonton cerita animasi kerana Suria begitu meminati filem sebegitu. Melati pula jenis tidak kisah kerana dia tidak memilih sangat.

Mereka duduk di kerusi panggung sambil mendukung bekas dipenuhi bertih jagung. Seronok betul Suria melilau kiri dan kanan. Lama sudah rasanya tidak menonton wayang. Selalunya mereka akan menunggu sahaja filem baru untuk keluar di televisyen.

Apabila filem sudah bermula, Suria menepuk-nepuk lengan Melati dengan teruja membuatkan Melati terhibur melihatnya. Apabila babak kelakar ditayangkan, terburai ketawa mereka dibuatnya. Seperti biasa, hujung filem pasti akan ada kemuncak konflik. Mata melati dan Suria berair menonton adegan sedih. Cepat-cepat Melati menghulurkan tisu pada Suria.

"Eee, siapalah menangis tengok wayang tadi?" Melati berpura-pura tidak tahu, bertanyakan soalan itu pada Suria selepas Suria keluar daripada tandas. Filem yang berdurasi hampir 2 jam itu tamat jua akhirnya dan masing-masing menggelupur mencari tandas.

"Bukan Suria. Akak ke?" Usik Suria pula.

"Tak tak. Bukan akak. Kita hati kental,"Melati berjenaka sambil tersengih. Kemudian, Melati mengajak Suria memasuki kedai mainan. Tiba-tiba hatinya ingin melihat mainan apa yang dijual. Usai tiba di mainan untuk kanak-kanak perempuan, Melati terhenti apabila melihat patung Barbie. Hatinya tiba-tiba tersentuh.

"Dulu... Akak nak sangat patung ni. Tapi akak tahu duit nenek lebih penting digunakan untuk benda lain." Melati mencapai salah satu kotak berisi Barbie. Kotak itu dibelek-belek dengan rasa nostalgia.

"Yeke..Kesiannya akak." Suria menumpang simpati. Kali pertama dia mendengar luahan kakaknya mengenai masa kecil mereka. Selama ini dia ingatkan Melati jenis yang tidak ambil kisah pun. Rupanya seperti kanak-kanak lain, dia juga menginginkan hiburan seperti anak patung.

Melati kemudian pergi ke kaunter untuk membeli patung Barbie itu. Suria menjadi terpana tetapi membuntuti sahaja Melati kemana jua dia pergi.

"Uish akak. Seriuslah nak beli? Siapa nak main ni?" Suria menjengah ke dalam plastik. Melati hanya tersenyum sahaja kemudian matanya mencari-cari kelibat seseorang. Matanya menangkap seorang budak kecil berdiri di luar kedai. Ibunya mengajak kanak-kanak perempuan itu untuk pergi tetapi mata anak kecil itu masih lagi melekat pada kedai itu.

Melati pun menapakkan kaki ke mereka berdua. Senyuman manis diberikan kepada ibu tersebut sebelum beralih pada budak perempuan itu.

"Hai. Nama akak Melati. Nama awak siapa?" Begitu mesra suara Melati bertanyakan soalan sambil melutut agar ketinggian mereka setara.

"Ain. Salam kakak tu ," arah ibunya. Ain kelihatan ragu-ragu tetapi dahinya akhirnya melekat juga pada tangan Melati.

"Nah. Akak ada hadiah untuk Ain. Ain jaga elok-elok dan main sepuasnya ya bagi pihak akak. Bila Ain dah besar dan tak perlukan dia lagi, Ain berikan pula pada orang lain. " Melati menghulurkan plastik tadi kepada Ain. Ain seperti tidak percaya, memandang Melati dan ibunya berkali-kali.

"Eh tak apa ke ni? " Ibu Ain menjadi serba-salah.

"Tak apa. Ain sebenarnya yang sedang membantu saya." Melati kembali berdiri dan mengusap kepala Ain.

"Terima kasih akak." Ain memeluk hadiah pemberian Melati dengan erat.

Melati beredar meninggalkan mereka dan menuju ke Suria yang sedang menepuk tangan dengan perlahan sambil menggelengkan kepala.

"Wah, sister. Boleh jelaskan tak?" Suria mendekatkan penumbuk kanannya yang seolah sedang memegang mikrofon. Lagaknya seperti seorang wartawan ingin menemu ramah Melati.

"Kadang-kadang, kita tak dapat apa yang kita mahu masa kecil. Tapi sekarang, kita ada peluang untuk beri kebahagiaan itu pada orang lain. Akak harap, patung tu akan jadi kenangan manis untuk budak perempuan tu, sama seperti akak pernah impikan dulu," kata Melati dengan senyuman puas.

"Betul juga tu. Fuh, Akak ni memang baik hati," ujar Suria, tersenyum bangga dengan tindakan kakaknya.

"Ini adalah penutupan.. ya-yang cukup indah untuk ke-keinginan masa kecil yang tak...tertunas. Sekian sahaja daripada saya, Nur Suria binti Mohd Johan. Kembali ke studio." Suria menamatkan wawancara itu dengan sedikit gagap kerana mencari ayat sambil memandang kamera yang tidak wujud. Melati ketawa besar melihatnya lalu menolak Suria lembut sebagai gurauan.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。

Kelam kabut Suria dan Melati keluar daripada kereta setibanya di perkarangan rumah nenek.
Jam sudah menunjukkan pukul 9:20 malam menandakan mereka sudah lewat 20 minit. Masing-masing memikul plastik berisi pelbagai makanan dan barang yang dibeli. Biasalah perempuan, pada mulanya niat hanya ingin mencuci mata. Eh, sekali terbeli pula barang.

"Assalamualaikum.." Halus sahaja Melati memberikan salam apabila membuka pintu rumah. Mereka berdua terjengket-jengket seperti seorang perompak.

"Ha! Lambat balik!" Sergah nenek entah daripada mana.

"Opocot nenek!" Suria melatah manakala Melati terjerit kecil.

"Apa yang kamu berdua beli sampai lambat balik ni?" Nenek memandang mereka dengan mata yang sinis, tapi ada senyuman di bibirnya.

"Haa..ini dia," kata Suria sambil menunjukkan plastik yang penuh dengan barang. "Kami beli makanan kesukaan nenek."

"Nenek, kami juga ada beli hadiah istimewa untuk nenek," tambah Melati dengan senyuman manis.

"Hmm, hadiah apa pula ni?" Nenek pura-pura marah, tapi matanya bersinar dengan rasa ingin tahu.

Suria mengeluarkan sebuah bungkusan kecil yang dihias dengan rapi. "Ini, nenek. Kami teringat nenek selalu cakap nak cuba benda ni," katanya sambil menyerahkan bungkusan itu kepada nenek.

Nenek membuka bungkusan itu dengan cermat. Di dalamnya, ada sepasang selipar rumah yang cantik dan selesa. "Alahai, terima kasih, cucu-cucu nenek. Kamu memang tahu apa yang nenek suka," kata nenek dengan suara yang lembut dan penuh kasih sayang.

"Tak apa, nek. Kami nak nenek rasa selesa dan gembira. Melati ingat lagi nenek mengadu selipar nenek sudah mula haus kan tapaknya?

Hampir-hampir nak tergelincir" jawab Melati sambil memeluk nenek.

Nenek tersenyum sambil mengusap kepala mereka berdua. "Kamu berdua ni memang selalu buat nenek gembira. Dah, cepat bawa masuk barang-barang tu. Nenek dah siapkan makanan untuk kamu."

Suria dan Melati saling berpandangan dan tersenyum, merasa puas dapat melihat nenek mereka gembira. Mereka berdua segera membawa masuk barang-barang dan duduk bersama nenek, menikmati malam yang penuh dengan kasih sayang dan kegembiraan.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。

Melati dan nenek sedang khusyuk menonton televisyen. Melati yang sedang melipat baju terhenti pergerakannya apabila melihat adagen hero ditumbuk berkali-kali. Nenek pula lebih kurang juga seperti Melati, jari-jemarinya yang tadi sedang menjahit manik pada baju juga membeku.

"Dahsyat ya, Melati. Hanya kerana seorang perempuan, mereka bergaduh begini. Kalau berdarah pun, bukannya dapat duit." Nenek menggelengkan kepala kemudian menyambung menjahit.

"Memang tak dapat duit, nenek. Tapi boleh dapat heroin tadi."

"Heroin mana? Yang kuat menangis tu?Hmm,tak kuasa lah nenek."

"Nenek tak faham ni. Cinta mereka sungguh ajaib dan indah.." Tangan Melati diangkat tinggi dan digerakkan seperti menari, seperti penglipur lara yang sedang bercerita.

"Lautan berapi sanggup dia redah.."

"Dah. Dah. Itu semua karut."

"Mandi tak basah, tidur tak lena. Makan pun tak kenyang,nenek." Tambah Melati lagi masih menjiwai watak penglipur laranya.

" Sudahlah, semua cerita sama je. Menyampah nenek tengok." Nenek kini menumpukan perhatian pada jarum dan benangnya.

"Eleh, menyampah konon. Ha, kenapa dah satu jam cerita ni nenek masih lagi menonton?" Melati bercengkak pinggang memandang nenek dengan muka nakal.

"Sebab..nenek nak tahu apa jadi hujung cerita ni." Mata nenek kemudian mencuri-curi melihat skrin televisyen membuatkan Melati ketawa besar. Tak nak mengaku lah tu. Nenek ni sebenarnya suka menonton cerita romantik begini, mulutnya mengutuk tetapi punggung tetap tak beralih daripada duduk di depan televisyen.

Suria pula kemudian muncul tiba-tiba, melompat-lompat seperti arnab membuatkan nenek dan Melati berhenti menonton televisyen dan mula fokus pada Suria.

"Haa, yang cucu aku lagi seorang ni dah kenapa? Terlompat lompat macam katak." Nenek memandang Suria atas bawah dengan kerutan di dahi.

"Cubaaa. .. teka ..." Suria membuat mimik muka seperti berlagak, sengaja ingin menguji kesabaran Melati.

"Tak nakkk ...teka..." Ajuk Melati kembali membuatkan Suria sedikit sakit hati lalu diambil bantal di sofa dan dilemparkan pada Melati. Namun, Melati hanya tergelak besar sahaja kerana berjaya menyakitkan hati adiknya.

Setelah menarik nafas, Suria kembali ceria dan berkata, "Papa nak bawa kita pergi berkhemah lusa. Oleh itu.. para wanita sekalian, sila kemas bag anda esok."

"Suria percaya ke tu?" Melati mula merasa ragu-ragu.

"Mestilah. Papa kata dengan satu syarat, Suria kena tolong papa esok." Suria memeluk tubuhnya, badannya pula spontan berpusing ke kiri dan kanan sedikit tanda teruja.

"Eh? Tolong apa? Kerja pejabat lagi?" Teka nenek dan ternyata betul apabila Suria menganggukkan kepala.

Melati menelan air liurnya. Janganlah Encik Johan ni sebenarnya nak mengambil kesempatan pada Suria. Mengerahkan tenaga dan otak gadis itu dan dibayar dengan harapan palsu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience