Bab 49

Romance Completed 14176

Sebuah lori besar mengundur perlahan-lahan ke dalam perkarangan rumah nenek. Bunyi sistem sensor lori itu berbunyi seperti degupan jantung manusia. Nenek seperti pesawat marshal di lapangan terbang yang membimbing juruterbang semasa mereka menggerakkan pesawat di sekitar lapangan terbang. Cumanya, nenek sekarang sedang membimbing pemandu van. Bolehlah tu kan?

"Belakang lagi..Lagi.." Jerit nenek sambil memberikan isyarat kepada pemandu van itu. Kalau dilihat daripada jauh, pasti akan dapat melihat tangan kanan nenek yang seperti mengipas dirinya pula. Walhal si wanita tua itu bersungguh ingin memastikan van itu selamat terletak.

"Op. Op." Nenek menepuk lembut pintu van itu menandakan kedudukan van itu sudah sempurna. Melati dan Fajar pula memandang sahaja nenek sambil tersenyum dan berpeluk tubuh.

"Assalamualaikum. Cik Melati ya? Saya Farah." Farah menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Melati setelah keluar daripada van itu.

"Waalaikumussalam. Jemput masuk." Melati pun mengajak Farah untuk memasuki rumah. Dia kemudian menunjukkan ke arah ruang tamu yang kini tiada lagi sofa, rak dan televisyen kerana sudah dialihkan.

"Pelamin boleh letak disini." Melati menunjukkan ruang kosong dan bersih itu kepada Farah yang matanya sudah melilau untuk mengimbas keadaan sekeliling.

"Okay baik. InshaAllah sebelum asar akan siap." Farah kemudian tanpa berlengah panjang mula bekerja bersama pembantunya yang lain. Nenek pula seperti seorang penyelia kepada Farah. Bertanya itu dan ini seperti anak kecil. Mujur Farah seorang yang penyabar dan peramah.

Melihatkan kerja Farah agak terganggu, Suria pun membawa nenek ke bilik Melati. Biar nenek sibuk menghias bilik pengantin baru itu bersama dia dan Insyirah. Sudahnya mereka menugaskan nenek untuk menukar sarung bantal sahaja sementara mereka melaksanakan tugas panjat memanjat. Nenek pula seperti anak dara duduk bersimpuh di atas katil. Satu persatu sarung bantal ditukar dengan yang baru. Tema warna bilik itu adalah krim lembut dan putih. Lantai, langsir dan karpet juga turut dibeli baru bersesuaian dengan warna tema. Fajar hanya memberi modal sahaja dan menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya pada mereka berdua. Apa lagi, memang galaklah mereka membeli-belah.

"Perkahwinan dulu beginilah. Bilik akan dihias khas untuk pengantin. Bersanding pun dalam rumah. Zaman sekarang dah moden. Kahwin pun dalam dewan besar. Malam pertama pula di hotel." Tiba-tiba nenek bersuara dengan tangannya yang masih ligat bergerak.

"Biasalah nenek. Peralihan zaman. Orang dulu jemput satu kampung. Orang zaman sekarang, tetamu datang daripada pelbagai negeri." Insyirah memberikan pendapatnya pula. Padanya mana-mana cara pun tiada masalah asalkan tiada unsur pembaziran.

"Hmm.. Betullah tu. Nenek bersyukur sangat Melati memilih rumah ini sebagai tempat nikah. Dapatlah nenek lihat dengan mata nenek sendiri. Tak perlu kita ke mana-mana. Jimat tenaga. Kan?"

"Betul. Kita bangun pukul 9 pagi pun tak apa kan nenek. Majlis nikah tak sampai sepuluh langkah." Seloroh Suria sambil ketawa terkekeh-kekeh. Tangannya yang sedang memegang tangga terlepas seketika untuk beberapa saat membuatkan Insyirah yang berada di atas tangga sedikit terhuyung-hayang.

"Oi oi. Akak masih lagi nak hadiri majlis nikah esok. Bukan masuk hospital."

"Ah... Sorry Sorry." Lekas-lekas Suria memegang kembali tangga itu yang tidak dapat berdiri dengan stabil kerana lantai yang kurang rata.

"Fokus anak muda. Fokus." Insyirah sengaja berlagak seperti komandar pula. Melihatkan gelagat Insyirah yang acah berkuasa itu, Suria dengan sengaja menggegarkan tangga besi itu membuatkan Insyirah menjerit kecil. Hilang sudah karisma Insyirah.

"Kenapa ni? Okay ke?" Melati muncul secara tiba-tiba lalu bertanya dengan penuh kerisauan kemudian mengimbas suasana bilik itu. Dia sedang sibuk menjawab pertanyaan orang daripada tadi. Ini nak letak mana? Nak warna apa? Kalau dah tak ada, boleh tukar dengan yang ini ke? Sudah seperti pengurus acara pula.

"Tak ada apa. Budak dua orang ni mengusik antara satu sama lain. Kalau berterusan macam ni, mungkin kamu dengan Fajar tidur ruang tamu jelah." Suria mencebikkan mukanya pada nenek yang memang dia tahu sengaja mengusiknya. Insyirah pula fikirannya sudah menerawang ke arah lain pula.

"Mulai malam esok, Melati dah tak tidur keseorangan lah." Tinggi betul nada suara yang digunakan Insyirah dalam usahanya untuk mengusik Melati. Suria pula turut menyertai Insyirah dengan menjerit halus dan panjang.

"Eee, dahlah. Malas nak layan." Melati segera mengangkat kakinya. Perisainya sudah semakin menipis untuk menerima tembakan daripada kawan baiknya itu.

"Ceh ceh. Dah malu lah tu." Suria menambah lagi.

Belum sempat Melati keluar daripada bilik itu, Fajar pula sudah muncul di depan pintu bilik yang sudah terbuka. Terkejut Melati dibuatnya hingga terlompat kecil.

"Kenapa? Kenapa?" Fajar bertanya dengan mata yang melilau. Muka Melati yang semakin merah direnungnya.

"Takda, aku cuma cakap malam esok, Melati-" belum sempat Insyirah ingin menghabiskan kata-katanya, nenek sudah mencampakkan bantal dan mengenai kaki Insyirah.

"Ahh, nenek!" Suria dan Insyirah sudah gelabah kerana keadaan tangga sudah bergoyang.

"Tak manislah bergurau begini." Tegur nenek dengan kerutan di dahi.

Apabila mula memahami apa yang berlaku , Fajar pun mengundur setapak demi setapak dengan sengihan di mukanya. "I keluar dululah," kata Fajar lalu cepat-cepat dia berlari anak. Melati pula menutup mukanya dengan telapak tangannya dan mengikuti jejak Fajar. Suria dan Insyirah pula apa lagi, galaklah mentertawakan pasangan itu sementara nenek hanya tersenyum sahaja.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。

Fajar memerhatikan pelamin yang kini sudah siap dipasang. Suria, Insyirah dan Melati kelihatan begitu teruja melihat kecantikan pelamin itu. Mereka bergilir-gilir menangkap gambar sambil gelak ketawa. Nenek pula di sisi pelamin bersama rakan-rakannya sedang menghias kaki pahar dengan bunga-bunga telur. Pengalaman ini terasa begitu janggal buat Fajar yang tidak berapa biasa dengan tradisi perkahwinan orang melayu.

Semenjak memeluk agama Islam lebih dua tahun yang lepas, hubungan Fajar dengan keluarganya agak berubah sedikit terutamanya dengan mak kandungnya. Mak Fajar hanya melayan dirinya endah tidak endah namun Fajar sehingga hari ni tidak pernah putus mencuba menambat kembali hati ibunya. Bapanya pula lebih tenang dan berfikiran terbuka. Melihatkan keperibadian Fajar yang semakin berubah ke arah kebaikan melembutkan jua hati bapanya untuk menerima satu-satunya anak tunggal mereka itu.

Apabila berita perkahwinan disampaikan oleh Fajar, mak Fajarlah yang paling tidak dapat meneirmanya. Kata mak Fajar, semuanya berlaku terlalu cepat. Dia meluahkan kepada Fajar bahawa dia rasa dikhianati oleh anak lelakinya sendiri. Kad jemputan sudah diberi, Fajar redha sahaja jika ibubapanya akan hadir atau tidak.

"Okay ke tu?" Melati duduk bersila di sebelah Fajar. Daripada jauh dia dapat melihat raut wajah Fajar seperti sedang kesedihan.

"Okay saja. You suka tak ni?" Mulut Fajar dijuihkan pada pelamin dihadapan mereka.

"Apa? Pelamin ke?"

"Ha. Pe..la..min.." Lidah Fajar mula belajar mengenali perkataan pelamin.

"Cantik sangat. I suka. You suka tak?" Melati melontarkan kembali persoalan itu pada Fajar. Dia juga ingin tahu apa pendapat Fajar mengenai citarasanya.

"Cantik gila!" Fajar berseleroh dengan sengaja menekankan perkataan 'gila' itu lalu lansung membuatkan gadis di sebelahnya ketawa.

"Terima kasih untuk hari ni. I hargai sangat yang you banyak bertolak ansur dalam urusan perkahwinan ni. Hmm.." Melati berkira-kira ingin bertanya atau tidak. Fajar yang pada mulanya hanya memandang luar rumah kini memandang mata Melati apabila Melati seperti ingin bertanya sesuatu yang berat.

"You sedih sebab family you ke?" Lembut je Melati bertanya. Seboleh-boleh ingin menjaga perasaan Fajar. Fajar pula mengeluh kecil lalu memuncungkan bibirnya. Kepalanya terangguk-angguk mengiyakan soalan Melati.

"Aww.. It's okay. Sesiapa pun yang akan ada esok, kita hargai dan raikan saja. Kalau ada perkara buruk berlaku, ada lah hikmahnya tu. Nanti bila ada rezeki, kita buat majlis belah you pulak. Kita buat ikut suka mana yang you nak. Don't be sad please." Pujuk Melati membuatkan hati Fajar semakin cair. Fajar menghargai usaha Melati untuk cuba memahaminya. Bersama Melati, dia tidak perlu menyorokkan perasaannya kerana Melati selalu menggalakkan dia mengespresikan dirinya.

"Haish, bila nak pukul 10 pagi ni. Tak sabar." Fajar bercekak pinggang kemudian melihat jam tangannya. Lalu dia melihat muka Melati untuk melihat reaksi Melati.

"Dah practice ke?" Usik Melati dengan senyuman nakal.

"Dah. Dah. Saya terima nikahnya-"

"Sabar oii!" Jerit salah seorang rakan nenek daripada jauh membuatkan Fajar tersenyum malu. Tangannya yang sudah dihulur kononnya sedang bersalaman dengan tok kadi itu cepat-cepat ditarik. Sudahnya Melati mentertawakan sahaja Fajar.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°

Pada malam ini, hanya lagu-lagu bertemakan cinta sahaja yang diputarkan oleh Suria selaku DJ tidak berbayar. Insyirah pula sedang khusyuk memakaikan inai pada jari Melati. Melati pula sudah tidak mampu bergerak dan hanya kaku seperti boneka dek kerisauan akan menganggu hasil seni Insyirah ini. Dia hanya mahu berinai secara ringkas sahaja. Cukuplah sekadar ada hanya untuk memaklumkan pada yang memandang bahawa dia sudah berkahwin.

Nenek pula yang kebiasaannya sangat pantang jika Melati dan Suria menyapu sampah pada waktu malam, kini sedang menyapu lantai dengan lemah gemalainya. Barangkali hatinya berasa teruja dengan majlis nikah pada esok harinya. Sempat juga Suria dan Melati berpandangan apabila nenek membawa keluar penyodok dan penyapu dari dapur tetapi mereka hanya tersenyum sahaja.

"Okay siap! Dalam pukul 11 malam, nanti kita basuh. Kita tunggu dia betul-betul kering dulu," kata Insyirah seperti seorang profesional pula dalam bidang menginaikan orang ini.

"Nak juga!Nak.." Suria merengek manja pada Insyirah yang sedang mengemas peralatannya. Melihatkan permintaan Suria itu, Insyirah pun menilik bahan-bahan yang masih ada.

"Alamak Suria. Tinggal sikit je. Nanti tiga jari je dapat inai, lagi tujuh kesepian."

"Aloo..." Suria menarik muka masam dan memandang nenek. Mungkin ingin mengadu agaknya.

"Kamu kan belum kahwin lagi. Kenapa nak berinai? Kalau nak, kahwinlah." Nenek mencelah walaupun masih sedang menyapu.

"Ala, saja je."

"Nanti Suria pakai warna hitam terus baru tau. Nenek jangan terkejut." Sambung Suria lagi.

"Kalau warna hitam tu , dah macam ahli sihir lah pulak." Melati tidak dapat menyembunyikan gelak ketawanya.

"Aish akak ni! Bukan pakai dekat seluruh hujung jari tu. Pakai dekat kuku je. Kan trendy." Suria membela perancangannya daripada terus di ketawakan.

"Nanti orang tengok, tok bomoh mana lah ni.. Sesat agaknya." Ternampak sebaris gigi nenek ketika mengusik Suria yang sedang berpeluk tubuh itu.

"Jealous lah tu." Suria sengaja mengapikan nenek dan Melati. Rambutnya yang terurai dikibaskan sekali ke tepi. Lagaknya seperti diva itu mengundang gelak ketawa seisi rumah. Melati pula sedang menikmati sahaja saat itu bersama insan-insan yang tersayang. Malam ini adalah malam terakhir dia sebagai wanita bujang. Esok malam dia sudah menjadi isteri. Janggal pula menyebut perkataan isteri itu walaupun hanya di dalam hati. Jantungnya berdebar pula apabila memikirkan hari esok. Semoga semuanya berjalan lancar.

pak pak, kepak kepak , ke boom ke boom ke boom

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience