Bab 40

Romance Completed 14176

Tarikh : 2 tahun lepas , Lokasi : Masjid berdekatan rumah nenek

Nenek menyarungkan selipar sambil mulutnya terkumat-kamit berzikir. Melati muncul di depan pintu sambil menghulurkan botol thermos. Nenek mencapai botol itu yang tidak berisi air pun ke dalam beg telekungnya. Inilah rutin hari jumaatnya setiap minggu, di isi dengan ceramah pagi.

"Hati-hati nenek. Betul ni tak nak Melati temankan?" Kata Melati lalu menguap , matanya juga berair kerana menahan mengantuk.

"Tak apalah. Kamu rehat sahajalah dulu, baru lepas masak kan." Nenek menolak badan Melati jauh kebelakang lalu menutup gril pintu. Melati pula ketawa kecil melihat telatah neneknya.

"Ada kawan tak ni?" Risau pula Melati jika neneknya itu pergi ke sana-sini bersendirian, apabila ingin dia menemani ditolak pula.

"Ada." Jawab nenek pendek dan bersahaja.

"Salam dulu nenek," pinta Melati lalu nenek pun menghulurkan tangan di celah jeriji itu. Apabila Melati ingin tunduk mencium tangan nenek, kepalanya terhantuk sedikit pada pintu gril itu membuatkan nenek menggelengkan kepala. Melati hanya memonyokkan mukanya sambil menggosok dahinya.

"Assalamualaikum, pergi dulu."

"Waalaikumussalam. Baik nek." Melati membalas perlahan sambil otaknya sudah membayangkan katil.

Sambil nenek berjalan ke masjid, nenek tidak melepaskan peluang untuk menghirup udara pagi itu sepuasnya. Walaupun sudah pukul sembilan pagi, cuaca tidaklah terik dan masih kekal redup. Daripada jauh dia sudah melihat kawannya sudah menunggu di depan masjid.

"Assalamualaikum nenek," kata Lucas melambai ceria.

"Wa'alaikum. Tolong nenek kejap." Nenek meraba di dalam begnya mencari botol termos tadi lalu dihulurkan pada Lucas. Lucas pula sudah tahu apa yang nenek inginkan segera mencapai lalu berlari anak ke mesin Corway yang memang masjid sudah sediakan.

Kata nenek, memang sengaja dia bawa botol itu tanpa diisi air kerana nanti berat pula begnya. Apabila pulang dari masjid, nenek akan menyiram baki air pada mana-mana pokok dia ketemui. Ya, unik betul nenek kita seorang ini.

Lucas sudah tiga bulan mengikuti nenek ke ceramah pagi pada setiap hari jumaat. Dirinya terasa bagai dipanggil-panggil untuk terus mempelajari agama Islam. Pada mulanya dia hanya ingin menemani nenek ke masjid setelah terserempak buat kali kedua tetapi malahan ditarik nenek untuk mendengar sekali. Dia duduk diluar masjid sahaja sambil mendengar namun dijemput masuk oleh beberapa orang lelaki muslim. Niatnya yang hanya ingin singgah bertukar menjadi beberapa minit kerana kaki tidak rasa ingin bergerak. Apabila di jemput masuk, dia merasakan tidak akan lama. Ternyata ceramah pada waktu itu sungguh membuka hatinya. Sekarang dia dengan relanya datang tanpa diajak sesiapa.

"Terima kasih, nak. Jom masuk. Dah nak mula dah ni." Ajak nenek usai Lucas selesai mengisi air. Apabila memasuki masjid, mereka berpisah dan duduk mengikut kelompok jantina masing-masing.

"Assalamu'alaikum warahmatullahhi wabarakatuh. Alhamdulillah segala puji bagi Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, yang membalas doa hamba-hamba-Nya, apabila kita berdoa dan mengingat-Nya. Pertama sekali, ayuhlah kita panjatkan puja dan puji kehadiran Allah Swt. yang mana telah mempertemukan kita dalam ceramah pagi ini dengan keadaan sihat wal afiat." Seorang lelaki tua berkopiah dan berjambang kemas memulakan bicara. Apabila melihat Lucas dikalangan pendengar ceramahnya, dia tersenyum kerana dialah salah seorang insan yang menjemput lelaki muda itu untuk mendengar ceramahnya.

"Selawat serta salam tak lupa mari kita junjung tinggi kepada Baginda Nabi Muhammad saw. bersama ahlul baitnya, juga kepada guru-guru kami, orang tua kami saudara kami, pemimpin-pemimpin kami, muslimin dan muslimat, yang terdahulu juga yang akan datang."

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°

Tangan Lucas membelai kelopak bunga raya yang ditanam di perkarangan masjid. Terdapat pelbagai warna bunga raya yang dia tidak pernah nampak sebelum ini seperti bunga raya bewarna jingga lembut. Ceramah sebentar tadi mengisahkan qada' dan qadar yang menyatakan segala-galanya telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Namun kita tetap diberikan pilihan sama ada ingin melakukan sesuatu atau tidak. Kata ustaz itu, perbuatan manusia terbahagi kepada dua, ikhtiar dan ikthirah. Ikhtiar adalah sesuatu yang kita boleh pilih sedangkan ikhtirah tidak. Salah satu contoh yang mudah difahami adalah batuk.

Kita tidak memilih untuk batuk. Ia datang dengan sendirinya. Maka yang dibalas di akhirat bukannya ikhtirah tetapi ikhtiar, perkara yang kita tentukan. Dosa-dosa seperti mengumpat, mencuri atau maksiat, semua ini tidak dipaksa oleh Allah. Kalau seseorang itu mempunyai niat untuk melakukan dosa, boleh sahaja dia membatalkan niat itu. Maka menimbulkan persoalan apakah tujuan sebenarnya manusia di atas dunia ini.

Lucas dengan beraninya bertanya soalan itu kerana dia sangatlah keliru. Selama ini dia tidak merasakan manusia mempunyai tujuan. Hanyalah satu kejadian alam semulajadi. Namun ustaz itu hanya membalas dengan lembut bahawa manusia tidak kira dimana jua, terdapat dua sebab Allah menciptakan manusia. Sebab yang pertama adalah untuk kita mengenali-Nya, sebagai pencipta. Maka seterusnya membawa kepada sebab kedua, apabila kita sudah mengenali pencipta kita, kita akan beribadah kepada-Nya. Di dalam al-Qur’an ada menceritakan bahawa dunia adalah tempat persinggahan bagi manusia dan ia merupakan tempat untuk mengumpulkan amalan-amalan untuk dibawa ke akhirat iaitu tempat yang kekal. Jikalau manusia mendapat walaupun sekilas keadaan di akhirat, pastinya berebut-rebut mereka menimbunkan amalan.

"Selamat pagi Lucas," kata Ustaz Ahmad sambil menepuk lembut bahu Lucas. Lucas sedikit terkejut namun cepat-cepat dia tersenyum. Nenek dan Ustaz Ahmad sudah terpacak dibelakang Lucas sambil turut juga menghadiakan senyuman.

"Selamat pagi Ustaz Ahmad." Lucas menundukkan kepala sebagai tanda hormat dan cuba menyalam tangan ustaz itu. Namun ustaz itu hanya ketawa dan menolak lembut huluran tangan itu tetapi menukarnya dengan pelukan. Biarpun terkesima namun Lucas membiarkan sahaja.

Apabila pelukan dileraikan, nenek menghulurkan senaskah terjemahan al-quran kepada Lucas. Lucas ragu-ragu ingin mengambilnya tetapi tangannya akhirnya mengalah jua. Dia membuka lembaran pertama al-quran itu.

"In the Name of God, the Most Merciful (al-Rahman) and the Most Passionate (al-Rahim)." Lucas membaca terjemahan permulaan ayat.

"Bila kita pergi temuduga kerja, apakah benda pertama yang kita akan tonjolkan?" Tanya Ustaz Ahmad kepada Lucas.

"Kemahiran diri?" Jawab nenek tanpa dipinta.

"Kalau berbual dengan seseorang mengenai perkahwinan, kita akan tonjolkan?"

"Sifat kita yang bertanggungjawab dan penyabar sebagai pasangan." Sekali lagi nenek menjawab soalan Ustaz Ahmad.

"Kenapa kita buat macam tu?.. Err, nenek jangan jangan jawab. Kita bagi dia pula jawab."

Lucas dan Ustaz tergelak kecil manakala nenek hanya tersengih sahaja.

"Hmm I guess. like a first impression. Kita akan pilih suatu perkara yang paling kita nak orang itu tahu."

"Betul. Allah S.W.T ada banyak nama yang Dia boleh letak sebagai 'first impression'. Dia boleh tonjolkan kekuasaan-Nya dan keagungan-Nya. Tetapi hanya kerana untuk hamba-Nya yang kembali pada-Nya mungkin ketika bersedih, keliru atau hati menjadi keras, Dia ingin mengingatkan kita tentang sifat-Nya yang pemurah dan penyayang."

"Belas kasihan ini tidak terhad dan menyentuh segala-galanya dan semua orang. Rahmat-Nya adalah untuk semua hamba yang layak dan tidak layak. Allah lebih pemurah dan penyayang kepada ciptaan-Nya, lebih daripada seorang kasih ibu yang mencari anaknya di medan peperangan. Betapa hebatnya kasih dan betapa lembutnya sayang Allah itu kepada kita. Inilah sifat yang Allah ingin perkenalkan kepada sesiapa yang mencari-Nya. "

"بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ ." sambung Ustaz Ahmad lagi.

Mata Lucas bergenang mendengarnya. Hatinya merasakan sesuatu perasaan yang sangat kuat tetapi pada yang sama sangat menenteramkan.

"Baca, nak. " Ustaz Ahmad menepuk lembut bahu Lucas lalu berlalu pergi selepas memberikan salam kepada nenek. Nenek memandang sayu apabila melihat Lucas masih lagi merenung Al-Quran itu.

"Ayuhlah kita pulang. Nenek izinkan kamu bertemu Melati." Kaki nenek sudah ingin melangkah pergi tetapi Lucas mematikan pergerakannya apabila namanya diseru.

"Tak apa nenek. Saya tak nak jumpa Melati buat masa sekarang ini. Saya dah tahu apa yang saya cari sekarang ni. Bukan Melati tetapi... diri saya. Tujuan hidup saya. And God. "

"Baiklah begitu. Nenek faham. Nenek doakan semoga urusan kamu dipermudahkan. Nenek minta maaf atas salah silap. Kalau kamu perlukan apa-apa, jangan ragu-ragu untuk datang kesini ya." Sedikit sebak nenek merasakan apabila melihat seorang insan yang Allah sudah jentikkan hati dengan hidayah-Nya.

Lucas menganggukkan kepala sambil mengelap air matanya. Apabila mengenangkan dirinya yang sedang menangis, dia menjadi terhibur lalu ketawa kecil.

"Pulak dah. Kenapa ketawa tu?"

"Sorry nenek. Tiba-tiba hati sensitif."

"Tak apalah. Biasalah tu. Menangis kan perkara normal."

"Nenek... Kalau saya jadi orang Islam, apa nama saya nanti?" Kena tukar ke?"

"Taklah. Ikut kamulah. Asalkan maksud nama kamu tu baik, boleh sahaja." Nenek dan Lucas mula berjalan keluar daripada perkarangan masjid.

"Kalau saya nak tukar, nenek suggest apa?"

"Oh, nenek suka ni pilihkan nama untuk orang." Nenek terdiam seketika sebelum membuka mulut dan menjawab sepatah, "Fajar."

Fajar yang bermaksud cahaya putih adalah nama yang terlintas di fikiran nenek tanpa perlu nenek fikir dengan mendalam. Semoga jika ada jodoh pemuda disebelahnya ini dengan cucu sulungnya, moga dia akan menjadi seperti waktu terbitnya sinaran suria pada waktu pagi menyinari alam dan kehidupan terutama kepada bunga yang tumbuh di muka bumi ini, bunga melati.

Happy 40th chapters! Thanks setia baca.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience