Kerusi dan meja sudah dialihkan dan diletakkan di luar rumah nenek. Hanya khemah yang didirikan sahaja masih terpacak di luar. Esok pagi barulah ada yang datang mengambilnya. Suria dan nenek sudah setengah jam yang lepas masuk ke bilik untuk tidur sementara Melati dan Insyirah masih lagi sibuk mengemas rumah. Kertas pembalut hadiah yang berserakan di atas lantai itu lekas-lekas dikutip oleh Melati. Selepas solat isyak berjemaah tadi, terdapat sesi membuka hadiah oleh Melati dan Fajar. Syukur walaupun tetamu mereka tidaklah seramai pengantin lain, namun hadiah yang diterima lebih banyak daripada yang mereka sangkakan.
Melati tidak dapat menghulurkan duit sebanyak Fajar untuk majlis kahwin ini, majlis mereka diadakan dengan cukup sederhana. Puas Fajar memujuk Melati dengan menyatakan sumbangan wang daripada pihak Melati tidak perlu apatah lagi, dia masih belajar. Namun Melati masih berkeras untuk turut sama menyalurkan duit. Maka untuk mengurangkan rasa serba salah Melati, skala perkahwinan mereka dikecilkan ke paras ini. Tidak mengapalah asalkan kedua-dua pihak bersetuju dan berpuas hati.
Mengenai wali pula, dipendekkan cerita Encik Johan enggan menjadinya. Melati pun memang sudah boleh agak. Ikutkan hati mahu sahaja dia melangkau Encik Johan dan terus memohon kebenaran untuk mendapatkan wali hakim. Mendengar suara Encik Johan sahaja sudah cukup membuat hati Melati tidak senang. Namun dia harus mendapatkan bukti bertulis yang Encik Johan memang tidak mahu menjadi wali.
Mujur proses segalanya berjalan lancar dari urusan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) hinggalah ke Mahkamah Rendah Syariah. Suria dan nenek menjadi saksi untuk kes Melati dan apabila hakim mendengar jawapan daripada mulut mereka berdua ketika soal jawab, langsung diterima permohonan. Surat perintah bertulis pula dikeluarkan selepas 14 hari menunggu.
"Weh, semua lauk-lauk dah simpan dalam peti ais. Dapur dah bersih. Lantai.." Insyirah berhenti seketika untuk menguap sebelum menyambung, "Lantai pun petang tadi dah bersapu dan mop. Aku masuk tidur dulu tau."
"Oh boleh boleh. Terima kasih banyak untuk hari ni. Selamat malam. Rest well." Ucap Melati yang masih lagi sedang bercangkung mengutip sampah. Mata Melati sekilas melihat jam di dinding. Sudah mencecah pukul sebelas suku. Bunyi pintu dikunci membuatkan Melati tertoleh ke arah pintu rumah pula.
Rupa-rupanya Fajar yang daripada tadi di luar tiba-tiba memasuki rumah. Rasanya dia pun sudah selesai mengemas bahagian luar rumah. Apabila Fajar mula menapak ke arah Melati, tiba-tiba baru Melati tersedar hakikat bahawa insan di hadapannya sudah bergelar suaminya. Fajar juga turut duduk bercangkung di sebelah Melati dan membantu Melati menyelesaikan urusannya.
"You tak mengantuk ke?" Soalan Fajar memecahkan kesunyian malam itu.
"Hmm.. Bolehlah. You?" Tanya Melati pula kepada Fajar.
"Hmm.." Fajar berdiri setelah yakin lantai sudah bersih daripada sampah.
"I pun sama." Fajar menghulurkan telapak tangannya untuk Melati menyambutnya. Melati pula sedikit malu-malu namun dicapai jua tangan Fajar untuk membantu dirinya bangun.
"You masuk tidur dululah. I want to make sure all the doors are locked first." Fajar pun mengambil plastik daripada tangan Melati tanpa dipinta dan berlalu ke dapur. Melati pula berasa ragu-ragu pula hendak ke mana. Bilik ke? Sekarang?
Apabila tiba di bilik , Melati berjalan ke depan dan ke belakang. Otaknya sedang berfikir apa yang harus dia lakukan. Baring saja ke? Duduk tepi katil ke? Apabila mata Melati menangkap rak buku kecilnya, dia terfikir untuk membaca buku.
"Jangan nak buat perangai. Tak pernah-pernah kau membaca buku sebelum tidur. Tiba-tiba malam ni nak membaca pula. Tak apa Melati. Calm down. Kenapa gelabah sangat ni?" Melati bercakap sendirian untuk menenangkan hatinya kemudian dia memutuskan untuk mengecas telefonnya dahulu sebelum tidur.
"Hai!" Suara Fajar yang tiba-tiba muncul daripada arah belakang itu membuatkan Melati terjerit kecil.
"Oh! Sorry, I didn't mean it." Cepat-cepat Fajar menutup pintu bilik mereka dan mendekati Melati. Mereka berdua berpandangan seketika sebelum masing-masing ketawa kecil.
"Apa ni.. Janganlah malu. Nanti I malu." Fajar menutup mulutnya sementara Melati menumbuk lembut perut Fajar.
"Arghh.." Fajar berpura-pura sakit lalu mencampak dirinya ke atas katil itu. Melati ketawa sekali lagi kerana terhibur melihat Fajar. Fajar sengaja melakon aksi itu untuk menghilangkan rasa kekok berduaan dengan Melati. Maklumlah, inikan kali pertama mereka sebilik. Eh sekejap? Kali kedua sebenarnya. Kali pertama sewaktu mereka terperangkap di bilik hotel. Ah tetapi itu lain kisahnya. Kali ini janggalnya memang terasa lain.
"You ni tak mengantuk ke? Dah pukul berapa kan?" Tanya Melati yang kini sudah berada di atas katil. Kakinya diselitkan dibawah selimut walaupun agak susah sedikit kerana Fajar sedang baring terlentang di atas.
"Haha, I don’t know why, but suddenly I’m so hyper!" Fajar memusingkan badannya agar dapat bertentang mata dengan Melati. Kedua-dua tangannya pula kini sedang menongkat dagunya.
"Mungkin you ni tengah excited kot."
Fajar menganggukkan kepala lalu merangkak mendekati Melati sambil mengeluarkan bunyi seperti sedang dalam kepayahan. Terlebih drama betul ya. Dia kemudian menadah sebelah tapak tangannya. Melati pula memandang tangan Fajar dengan rasa keliru.
"You nak apa?" tanya Melati sambil memandang tangan dan muka Fajar silih berganti.
"Can I hold your hand?" Fajar meminta izin bersama muka yang kelihatan suci.
"Oh..err... okay..." Melati menelan air liur apabila menghulurkan tangan kepada Fajar yang kemudian terus ketawa.
"Bukannya I nak makan pun. Kenapa takut ni?" Terhibur pula Fajar melihat Melati yang sedikit ragu ragu bercampur malu itu.
"Mana ada I takut!" Melati cuba menidakkan kenyataan Fajar kerana tidak mahu egonya tercalar. Kalau boleh, tidak mahu lah terlalu nampak sangat yang Melati sedang tidak keruan sebenarnya.
"Stay cool, Melati ..." bisik hati Melati pada dirinya sendiri.
"Melati.." Panggil Fajar lembut lalu tangan Melati yang tergantung daripada tadi akhirnya disambut dan dibelai.
"Hmm.." Sahut Melati perlahan bersama debaran jantung yang kian laju .
"I love you." Fajar mengenyitkan kedua-dua matanya serentak membuatkan hati Melati bertambah cair. Kalimah ini terasa lebih istemewa kerana sepanjang perkenalan mereka, tidak pernah sekali pun ungkapan cinta ini diucap. Ternyata Fajar benar-benar meletakkan harga yang mahal untuk ucapan itu dan hanya diberikan kepada wanita yang benar-benar sah menjadi isterinya.
"You tahu tak yang you berjuta kali ganda sangat cantik sekarang. It's an honor to call you mine." Tangan Melati yang dibelai tadi kini dikucup lembut.
"I ni apek biasa-biasa je." Sambung Fajar lagi membuatkan Melati ketawa kecil lalu badannya ditolak lembut oleh Melati.
"I pun..sama juga... Love you too." Kini giliran Melati pula mengenggam tangan Fajar lalu dibawa ke pipinya. Muka Fajar tidak semena-mena bertukar merah lalu cepat-cepat dia berdehem. Dia kemudian membetulkan posisinya untuk berbaring di samping isterinya. Tangannya tidak lepas daripada menggenggam tangan Melati.
"Thank you, Melati, for marrying me. I promise to take care of you the best I can." Suara Fajar kedengaran tekad dengan kata-katanya. Melati pula hanya menzahirkan kegembiraanya dengan senyuman yang tidak pernah lekang daripada tadi lalu pandangan matanya ditalakan ke wajah suaminya.
"Perjalanan kita sebagai suami isteri baru sahaja bermula. Selepas ni kalau ada apa-apa yang you nak atau tak puas hati atau tak faham atau apa-apa jelah-"
"Banyak nya 'atau'..." Sempat lagi Melati mengusik Fajar walaupun Fajar masih belum lagi menghabiskan ayatnya. Fajar pula terus memalingkan muka memandang Melati dengan muka yang dibuat-buat berkerut.
"Sabar lah, I tak habis cakap ni." Manja sahaja suara Fajar memprotes. Melati pula mengatup rapat bibirnya dan mengangguk kecil tanda faham namun tetap tidak dapat menyorokkan senyumannya.
"If anything happen...anything! Please let me know. I'm here for you as you are for me. Kita cuba bantu antara satu sama lain untuk menjadi ..um um.. Versi yang..lebih baik.." Bersusah payah Fajar cuba menterjemahkan ayat yang berada di fikirannya kepada lisan sementara Melati pula sabar menunggu.
"Sekarang akan tangan macam ni," kata Fajar sambil mengangkat tapak tangannya sedikit ke atas. Melati pula walaupun keliru tetapi tetap mengikut sahaja permintaan Fajar.
"Maka kami.." Suara Fajar kedengaran tegas namun tidak cukup tegas bagi Melati kerana tersembur ketawanya.
"You nak berikrar ke malam-malam ni?" Tanya Melati lalu menolak tangan Fajar yang diangkat tadi. Tangan Fajar pula cekap mengelak daripada serangan Melati dah sudahnya mereka bergelut seketika sambil diiringi gelak ketawa.
"Betul-betullah.." Nada Fajar separuh merajuk bersama bibir yang sudah muncung.
"Okay-okay... Maka Kami.." Dalam ketawa yang masih bersisa, Melati pun mengangkat tangan seperti sedang berikrar. Fajar sudah tersengih kecil kerana Melati sudah turut menyertai bacaan ikrarnya.
"Akan memberikan sepenuh tenaga dan usaha kami." Bersungguh-sungguh Fajar mengucapnya.
"Akan memberikan sepenuh tenaga dan usaha kami." Melati mengulangi kembali ayat Fajar sambil tersenyum memandang siling biliknya.
"Seratus peratus!"
"Sepuluh peratus.."
Fajar memandang muka Melati dengan muka yang dibuat tegang namun comel dimata Melati.
"Seratus peratus!" Melati berkata dengan serius.
"Untuk bangun pergi jogging esok."
"Ish you ni." Melati menampar lembut lengan Fajar kerana sedar dirinya sudah dipermainkan.
"Okay habis dah ikrar."
"I ingat ikrar apa lah tadi. Tapi I dengan Suria rajin lah pergi joging." Melati menurunkan kembali tangannya dan membetulkan pembaringnya untuk menghadap Fajar. Menyedari Melati sudah menukar posisi, Fajar juga turut baring mengiring agar dapat bersemuka dengan Melati.
"Joging waktu pagi bukan waktu petang." Fajar mencuba membetulkan rutin senaman Melati. Isterinya pula kini sudah menggelengkan kepala.
"No no. Jogging is jogging."
"Pagi –pagi lah baru segar. Udara bersih, sejuk dan nyaman." Fajar menutup mata dan menarik nafas panjang dan membayangkan dirinya sedang bersenam di pagi hari.
"Eii, yang penting esok I tak nak keluar mana-mana." .
"Oh tak nak keluar bilik ke?" Mata Fajar terbuka laju bersama lirikan nakal.
"Bukanlah! You ni kan..I nak rehat puas-puas." Muka Melati berubah merah sementara tangannya spontan menunjal dada Fajar. Fajar pula hanya ketawa melihat Melati yang sudah malu.
Minggu ini tidur Melati tidak pernah cukup 7 jam kerana sibuk menguruskan hal perkahwinan. Siang hari pula pasti tidak akan berada di rumah kerana perlu ke sana dan kemari, membeli keperluan mana yang tidak cukup. Oleh kerana itu, dia sudah tekad untuk berehat sahaja hari esok.
"Okay, baby."
"Baby?" Melati mengerutkan dahinya sambil ketawa.
"Okay, darling? Sweetheart? …. Honey? Sayang? Yang mana you nak. I dah lama tahan diri nak bermanja dengan you macam ni tau." Fajar memuntahkan pelbagai pilihan untuk Melati pilih tetapi Melati hanya menyambung ketawanya sahaja.
"It's okay. We have the rest of our lives to figure this out... Cool?"
Melati akhirnya berhenti ketawa lalu menatap sepuasnya wajah suaminya. Tidak dia sangka semakin mendalam cintanya kepada suaminya malam ini. Semoga Allah menjaga hubungannya dengan Fajar agar kekal terus saling mencintai dan kasih-mengasihi.
"Cool.." Melati menghadiahkan senyuman yang cukup manis buat Fajar.
Share this novel