Chapter 7- Merah Jambu

Romance Completed 14176

Genap tiga bulan sudah Melati bekerja, hubungan Melati dengan pekerja disitu tidak janggal lagi. Melati kini boleh beramah mesra dengan para-pekerja tanpa segan silu. Kegembiraanya bekerja disitu memang jelas terpancar. David pun menjadi salah satu faktor mengapa Melati begitu teruja datang ke pejabat setiap hari.

Sebagai seorang penyelia Melati, dia begitu kreatif memberi tugasan kepada Melati. Setiap tugasan menguji skill Melati yang berbeza. David juga tidak sekali pun pernah memarahi Melati jika Melati melakukan kesilapan. Sebaliknya, dia akan membimbing Melati sehinggalah dia faham. Kerja Melati juga memerlukan Melati berkomunikasi dengan Encik Daud dan Lucas.

Kedua-dua majikannya ini, sibuk bagaimana pun tetap akan melayan soalan-soalan Melati. Ada satu ketika itu, Melati berasa sedikit gemuruh. Dia mempunyai soalan yang sangat penting. Kerjanya tertunda kerana memerlukan pengesahan daripada Lucas. Setelah mengumpul keberanian, Melati pun menuju ke pintu bilik Lucas.

Lucas kelihatan sangat serius ketika fokus bekerja. Itu yang membuatkan Melati lagi takut ingin menganggu Lucas. Melati mengetuk pintu itu sebanyak dua kali untuk menarik perhatian Lucas. Tanpa sedar, Melati telah memberikan muka seposen kepada Lucas. Lucas mengangkat muka untuk melihat gerangan siapa yang mengetuk pintu dan apabila melihat wajah Melati. Spontan matanya bersinar dan mulutnya tersenyum manis. Lega rasanya hati Melati dan mungkin juga sedikit berbunga kerana tidak menyangka Lucas akan melihatnya dengan muka begitu. Does he seem happy to see me? Hmm...

Pendek kata, pengalaman latihan industri Melati sangatlah menyeronokkkan. Lagi-lagi pula dengan kehadiran Lucas di pejabat itu. Setiap hari dia menantikan kedatangan Lucas. Kalau Lucas tidak hadir, pasti Melati terasa sedikit sayu. Sudah seperti zaman sekolah pula, bagai ada crush.

Melati kini sedang berada di rumah neneknya. Maklumlah setiap hujung bulan dia tidak akan pernah lupa untuk menjenguk nenek dan Suria. Memandangkan kini Melati juga sudah mempunyai pendapatan, dapatlah dia menghulur duit bulanan pada nenek. Dia juga akan membeli apa sahaja makanan yang mereka terlintas ingin makan.

Pokok bunga kertas bewarna merah jampu yang ditanam nenek disiram cermat. Walaupun mulutnya tertutup, tetapi dapat didengari Melati sedang bersenandung. Aduhai, dirinya terasa malu memikirkan betapa fikirannya sering saja menyebut nama Lucas. Melati tersenyum seorang diri mengingati memorinya bersama Lucas.

Terdapat satu ketika, David, Lucas dan Melati perlu ke syarikat pelanggan. Selepas tamat bermesyuarat, mereka merancang untuk singgah makan tengahari. Sewaktu Melati ingin memasuki perut kereta Lucas, Lucas yang kebetulan berada di pintu pemandu membukakan pintu untuk Melati. Budiman betullah si Lucas ni. Hati Melati semakin lama semakin mencair. Tak perlu tunggu pemanasan global. Lucas pun dah cukup. Ketika sampai di meja makan, sekali lagi Lucas menarikkan kerusi buat Melati untuk duduk di sebelahnya.

"Wait, I forgot my purse.. In the car." Melati sedikit panik. Bagaimana pula hendak dia membayar makanan nanti.

"Jangan risau, Melati. Bila you dengan I, everything you need is here," kata Lucas sambil menepuk dadanya lalu mengisyaratkan matanya untuk Melati duduk di kerusi.

"Aku ni dah tahap perlukan freezer dah, Lucas. Parah dah hati ni cair. Hmm," Melati berkata sendirian namun biasa didengari Suria.

"Mengelamun ke kak?" Usik Suria sekali gus menghentikan lamunan Melati. Tiada lagi gambaran Lucas dan dirinya di meja makan. Yang ada hanyalah pokok bunga di hadapannya. Air yang disiram pun sudah tiada.

"Mana adalah. Tengah siram pokok je ni,"Melati cuba membela diri. Senyumannya cuba disorok.

"Pokok tu bercerita dengan akak ke sampai tersengih-sengih seorang diri," gurau Suria.

"Lucas lah tu," muncul pula suara Insyirah.

"Ecehhh... Sabar ya, lusa nanti akak dapatlah berjumpa dengan dia,"usik Suria membuatkan Insyirah turut ketawa terkekeh-kekeh. Semalam, segala cerita mengenai Lucas dan Melati dikongsikan kepada Suria. Pada mulanya Melati tidak membenarkan, tetapi setelah diasak oleh Suria. Maka terbongkarlah bibit-bibit manis yang selama ini dia simpan. Bukan Insyirah yang membocorkan rahsia tetapi Melati yang mengkantoikan dirinya sendiri.

"Maaf cik Suria dan cik Ira. Perbualan kita ternokhtah sampai disini. No comment," Melati berpura-pura protes dengan menyimpan kembali bekas siraman. Konon-kononnya hilang moodlah tu.

"Fuh.. Ternokhtah. Puitis betul," Suria menaikkan keningnya sambil memandang Insyirah.

"Sasterawan," kata Insyirah membuatkan Melati menjulingkan matanya.

Melati tidak mengendahkan gurauan Suria dan Insyirah kerana fikirannya melayang memikirkan Lucas. Memori yang dia putarkan sebentar tadi membuatkan dia sedar yang mungkin sebenarnya dia mempunyai perasaan terhadap Lucas. Mungkin suka? Yang pasti, sisi Lucas yang penuh lembut dan manis itu membuatkan Melati memandang Lucas dengan lensa yang berbeza. Mungkin ibarat warna di depannya, bunga kertas yang kelihatan sangat cantik. Ya..merah jambu.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。

Suria mencedokkan nasi ke dalam pinggan kemudian diberikan kepada Insyirah. Insyirah pula kemudian memberikan pinggan tersebut kepada nenek. Begitulah kitarannya sehingga semua orang di meja makan itu mempunyai pinggan tersendiri. Malam itu mereka akan menjamah lauk yang dimasak oleh tiga anak dara itu. Insyirah memasak lauk sayur manakala Melati memasak sambal ikan bilis. Suria pula membantu Melati menggoreng ayam berempah yang terlebih dahulu sudah disiapkan oleh Melati. Untuk memberi laluan kepada Melati menunaikan solat fardhu mahgrib, Suria pun menawarkan diri untuk menggoreng.

Insyirah pula terlebih rajin pada malam itu. Dia membuat keputusan untuk membancuh air 'fruit punch' gabungan air sirap dan oren. Nenek adalah insan yang paling gembira kerana celik mata sahaja, makanan sudah dihidangkan. Usai membaca doa makan yang diketuai Melati, mereka pun mula menjamah makanan.

Suria dan Insyirah seperti biasa berbual dan bergurau senda seperti tiada hari esok sementara nenek pula hanya tersenyum memerhatikan. Sesekali nenek akan membebel seperti tidak elok makan sambil minum air, atau tidak elok untuk anak dara ketawa terlalu kuat sangat. Namun, mereka tidak ambil peduli sangat dengan pesan nenek.

"So suria, sekolah macam mana? Pembelajaran okay tak?" Melati bertanya. Spontan semua mata tertumpu pada Suria.

"Alhamdulilah, okay. Kelas tambahan pun dah bermula. Pelajar tingkatan lima yang berminat akan pulang lewat. Pukul tiga macam tu," terang Suria.

"Haritu Suria pulang ke rumah dalam hujan. Nenek tunggu lah depan rumah sebab kerisauan. Selepas itu, nenek ternampak-"

"Nenek..shh," Suria menarik muka masam.

"Oh, nampak siapa? Amboi, siang tadi bukan main lagi mengusik akak. Dah ada yang teman balik ke?" Melati menyiku lengan Suria yang kini tertunduk memandang pinggan.

"Hujan ni. Biar saya teman awak balik. Saya payungkan awak, okay"ajuk Insyirah seolah-olah menjadi lelaki misteri itu.

"Tak apa ke? Nanti awak basah." Melati turut menjiwai watak sebagai Suria.

"Demi awak, demam pun saya sanggup." Serentak dengan itu, Melati dan insyirah ketawa riang. Aneh, Suria tidak merasakan perkara itu lucu. Dia hanya mengetap giginya sahaja.

"Bukan.. Lelaki tu bukan budak sekolah," kata nenek lagi. Spontan ketawa mereka mati. Melati memandang Suria dengan tajam.

"Siapa tu?" Tanya Melati tegas.

"Tak ada siapa," Suria kembali tertunduk.

"Siapa yang nenek nampak?" Pertanyaan Melati kini beralih kepada nenek. Insyirah pula membatukan diri kerana merasakan situasi mulai tegang.

"Er.. Nenek tak nampak sangat. Hujan lebat," tipu nenek. Sebenarnya, nenek sudah dapat menganggak kelibat siapa yang dia nampak. Tapi nenek sendiri juga enggan menerima kata hatinya.

"Suria..," Melati memanggil nama Suria. Terdengar nadanya bergetar.

"Bapa kita, akak," balas Suria sedikit tinggi.

"Bapa?! Mana Suria tahu dia bapa kita? Bahaya lah Suria. Bapa kita dah lama tinggalkan kita. Entah-entah mati dah," tebak Melati.

"Tak! Papa hidup lagi. Papa tunjuk IC dekat Suria," bentak Suria.

"Oh papa? Panggil dia papa sekarang?" Kedengaran suara Melati semakin keras. Insyirah lekas-lekas menghabiskan nasi di pinggannya.

"Sudahlah, depan rezeki ni." Nenek cuba meredakan pertengkaran.

"Nenek tahu ke selama ini?" Melati bertanya pada nenek. Matanya mula bergenang.

"Nenek hanya agak sahaja. Tidak sangka pula betul." Suara nenek mendatar.

"Dia ingat, dia boleh kembali macam tiada apa yang berlaku ke? Sesenang itu?" Suara Melati kembali kendur. Air matanya menitis. Melihat kawan baiknya menangis, Insyirah mendekati lalu mengusap belakang badan Melati. Suria pun turut mengalirkan air mata.

"Sampai bila Suria nak sorokkan perkara ni dengan akak?"

"Suria takut akak marah. Papa pun bersetuju,"

"Papa..." Melati melepaskan keluhan berat. Menyampah dia mendengar perkataan itu.

"Melati masuk tidur dulu," Setelah reda tangisan Melati, dia menarik diri daripada pertengkaran itu kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan. Dirinya dipenuhi pelbagai rasa. Sedih,kecewa, sakit dan marah semuanya bercampur dalam adunan yang sama.

Suria masih tidak berhenti menangis manakala nenek hanya bergenang mata. Mulutnya terkumat-kamit beristigfar panjang kepada Allah S.W.T.

Insyirah pula membiarkan sahaja kawan dia pergi. Dia tahu Melati memerlukan masa untuk menghadam perkara yang terjadi ini.

Pink is Sweetness. Pink is gentle.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience