Insyirah membaca mesej yang Melati hantar dengan mulutnya yang tersengih-sengih. Air dihadapannya diteguk sambil matanya tak lepas membaca perenggan demi perenggan yang Melati kirim padanya. Kemudian, jari jemarinya mula bergerak menaip apa yang dia sedang fikirkan kini.
"Aku rasa dia memang suka dekat kau lah Melati. Ada ke lelaki layan perempuan macam tu? Takkan lah tak ada sekelumit pun rasa suka? Budiman betul ni."- Insyirah.
"Aduh kau ni. Janganlah cakap macam ni. Dah, aku tak nak cakap pasal Lucas lagi."- Melati
Insyirah mencebik membaca mesej Melati. Yelah tu , tak nak bercakap pasal Lucas. Tetapi Insyirah tahu dalam hati Melati pasti sudah berbunga.
"Memanglah, sebab Lucas depan mata kan. Sudahlah kau. Pergi main jauh-jauh."- Insyirah
"Apa tu senyum-senyum sorang?" Tanya Ikram sambil menatang dulang berisi makanan yang mereka pesan. Sebentar tadi, mereka baru sahaja tamat menonton wayang. Kebetulan, perut sama-sama berbunyi minta di isi.Itulah mengapa sekarang mereka berada di restoran Boat Noodle.
" Oh taklah, Melati ni ha. Mesej dia ni kelakar. Dia bagitau saya apa yang berlaku. Tahu tak? Dia tertinggal bas." Terkekeh-kekeh Insyirah ketawa tetapi riak mukanya bertukar kelat apabila melihat Ikram tidak menumpukan perhatian padanya.
"Awak..," panggil Insyirah manja. Ikram menyahut tetapi matanya tiba lepas memandang telefon.
Muka Insyirah bertukar muram. Dia perasan sejak dua menjak ni, Ikram kadang-kadang seperti tidak ada bersamanya. Lantas segala angin ceria Insyirah terbang kemana. Dia makan sahaja mee di hadapannya tanpa menghiraukan Ikram.
"Kawan saya ajak main badminton malam ni. Lepas makan ni, awak ada nak pergi mana-mana tak?" Ikram meletakkan telefon di tepi dan mula menjamah makanannya. Insyirah pula menggeleng tanpa mengeluarkan suara.
"Kenapa ni?"
"Saya cakap awak tak layan pun," ujar Insyirah tanpa memandang Ikram.
"Ish, takkan tu pun nak mengajuk. Kalau jadi kat saya, saya tak mengajuk pun."
"Okay fine. Sorry." Insyirah malas ingin menyambung pergaduhan walaupun hatinya kesal yang Ikram tidak memahaminya. Ikram pula mengeluh perlahan memikirkan Insyirah yang semakin sensitif akhir-akhir ini.
Lama mereka berdiam diri dan hanya fokus menikmati makanan. Ikram berdehem sebelum membuka bicara untuk mengelakkan situasi menjadi lebih tegang, " Dah habis latihan industri ni, awak ada rancang apa-apa ke?".
"Saya rasa nak minta kerja dekat kedai berdekatan asrama. Dapat kerja 7-Eleven atau 99 SpeedMart pun jadilah kan?" Insyirah membalas soalan Ikram tanpa ada sekelumit perasaan negatif. Seolah pergaduhan kecil tadi tidak berlaku. Nampaknya, pasangan ini tidaklah bergayut pada satu konflik dan tidak bergerak ke mana-mana.
"Kenapa awak tak diserap macam Melati?"
"Syarikat tempat saya kerja tidak ada posisi pekerjaan tetap. Tak ada rezeki. Tak apalah, saya pun berniat nak sambung belajar." Jujur dia sedikit sedih apabila tidak mendapat tawaran untuk ditukar menjadi pekerja tetapi itu sudah menjadi lumrah biasa buat pelatih sepertinya.
"Awak pula?"tanya Insyirah kembali.
"Saya nak cari kerja terus. Penat dah nak belajar ni. Saya nak kumpul duit ni."
Mulut Insyirah mula tersenyum mendengar kata-kata Ikram.
"Kumpul duit untuk apa?" Insyirah berpura-pura tanya sedangkan hatinya mengharapkan jawapan Ikram adalah mengumpul duit untuk berkahwin dengannya.
"Saya nak beli laptop baru. Laptop yang ada sekarang dah mula cepat panas. Nak main game pun tak syok," ujar Ikram sambil membayangkan dirinya bersama komputer riba yang baharu. Berapa bulan agaknya dia harus kumpul duit?
" Ish awak ni. Ingatkan kumpul sebab saya. Dahlah, tak nak kawan."
Insyirah bingkas bangun dengan niat ingin berlalu pergi. Tiada selera rasanya ingin makan.
Ikram pula panik memujuk Insyirah untuk kekal duduk.
❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。
Melati menghempaskan badannya di katil bersaiz single yang sangat empuk. Dia sebilik dengan Nadia yang turut juga mendapat katil yang serupa. Mereka ditempatkan di bilik yang terdapat ruang tamu, dapur dan juga empat bilik tidur yang lain. Riya dan Anne juga turut berada di bilik yang sama. Pertama kali Melati melihat bilik sebesar ini. Selalunya dia berfikiran apabila memasuki bilik hotel, hanya terdapat katil dan tandas sahaja.
"Oh my god! Bath tub pun ada," jerit Riya keriangan di ruang tamu. Melati bangun daripada pebaringannya dan menjenguk daripada pintu biliknya sahaja.
"I'm gonna take a long and hot shower. Please excuse me," sambung Riya lagi membuatkan Melati ketawa. Dua bilik yang lain di isi oleh staf wanita yang Melati tidak berapa kenal sangat. Antaranya bekerja di jabatan pengurusan sumber manusia.
Jumlah kesemua staf wanita adalah 8 orang manakala lelaki seramai sebelas orang. Tidaklah ramai kakitangan kerana syarikat ini masih berjinak-jinak lagi untuk bertapak.
"Melati, malam ni nak pakai baju apa?" Tanya Nadia yang masih berbaring lagi.
"Tak tahulah. Pakai santai-santai je kot sebab bukan formal. Rasanya Encik Daud cakap, kita makan kedai makan biasa je." Melati menutup pintu lalu membuka tudungnya.
" Tolong kejut saya ya sebelum mahgrib. Nak tidur kejap," pesan Nadia dengan mata terpejam.
Melati pula memilih untuk bermalasan di atas katil sahaja memandangkan dia sudah tidur lama di dalam bas. Eh, bukankah Nadia pun turut sama tidur bersama dia ke? Takpalah, lain orang lain badannya.
Melati menghantar mesej pada Suria untuk memaklumkan dia sudah selamat sampai. Gambar-gambar bilik dan suasana resort dihantarkan sekali buat tatapan Suria. Melati memasang niat untuk membawa Suria dan nenek suatu hari nanti pergi berjalan begini.
Tak lama kemudian, Melati pun pergi mandi dan kemudian mengenakan tshirt dan seluar slack sahaja. Jaket sukan disarungkan ke badan kerana tshirt yang dipakainya berlengan tiga suku. Malas pula hendak memakai stokin tangan.
Nadia pun terus bersiap selepas dikejutkan. Mereka semua diminta untuk berkumpul di lobi resort sebelum berangkat menaiki bas yang sama. Kedai makan itu rupanya sudah menyediakan meja panjang untuk mereka. David awal-awal sudah memanggil Melati untuk duduk dengannya. Katanya, tugas dia sebagai penyelia adalah untuk menjaga Melati. Namun, cepat dibidas oleh Riya. Katanya, Melati bukannya pelatih. Sudah menjadi pekerja tetap. Sudah tiada istilah David menjadi penyelia pelatih.
"Kalau cemburu tu, cakap jelah. Tak payah nak marah-marah macam ni. Okay, I jaga you juga ya Riya," kata David sambil menongkat dagunya dengan kedua-dua tangannya.
"Oh god, dahlah. Talk to my hand," balas Riya membuatkan staf berhampiran ketawa.
"Aku kahwinkan juga David dengan Riya ni nanti." Seloroh Encik Daud sambil memandang wajah isterinya.
Apabila makanan tiba satu persatu di atas meja, Melati mengambil peluang untuk ke kaunter dan mengambil tisu dek kerana terpandang lauk-lauk makanan laut seperti udang,ikan dan ketam. Pasti akan comot sama ada di mulut mahupun di tangan.
Kemudian, Melati terserempak dengan Lucas yang turut mengambil tisu.
"Nah," ujar Lucas sambil menghulur garfu dan sudu. Tanpa sedar, tangan Melati menyambut huluran itu dan melihat saja Lucas berpatah balik ke meja bersebelahan kaunter untuk mengambil sudu dan garfu untuk dirinya pula.
Kening Melati hampir bercamtum kerana pelik memikirkannya. Satu persatu staf melepasi Melati dan Lucas untuk mengambil sudu dan garfu, tetapi tidak pula Lucas membantu mereka mengambil sudu dan garfu. Lucas dan Melati berjalan beriringan sebelum Lucas seperti biasa, menarikkan kerusi buat Melati sebelum duduk.
Ya Allah, tak kuatlah hati macam ni. Macam mana nak move on, kalau Lucas pun layan dirinya macam ini. Memberi sumber makanan pada khayalan Melati. Namun, pada penghujung harinya, Melati biarkan sahaja perasaan ini bermaharajalela. Jujur, dirinya terasa sedikit bahagia.
Share this novel