Bab 44

Romance Completed 14176

Pintu bilik Melati diketuk oleh nenek beberapa kali lalu membuatkan lena Melati terhenti. Melati bingkas bangun dan menyahut panggilan neneknya. Jam di dinding menunjukkan sudah pukul 6:15 pagi. Awal betul ni. Melati menggeliat sebelum mencapai tudung sarungnya. Apabila dia ingin ke bilik air, pintu bilik air sudah terkunci.

"Morning!" Ucap Fajar ceria setelah keluar daripada bilik air. Nampaknya pemuda di hadapannya ini sudah siap mandi dan berwuduk sementara Melati pula masih mamai. Boleh lihat di sini siapa yang suka bangun pagi dan siapa yang lagi suka katil.

"Morning.." Sahut Melati perlahan lalu menguap. Dia memasuki bilik air sambil menggaru lengannya yang tiba-tiba gatal. Fajar pula memerhatikan sahaja Melati tanpa berkelip. Comel betul perangai Melati di awal pagi.

Apabila Melati sudah siap bertelekung, dia pun menapak ke ruang tamu dan mendapati nenek dan Fajar sedang menunggunya. Kening Melati terangkat sedikit melihat Fajar memakai baju melayu atuknya.

"Kacak kan? Besar sikit bajunya tapi nenek rasa elok je dia pakai." Nenek berjalan perlahan ke arah sejadah yang Fajar sudah tolong bentangkan tadi. Apabila mata Melati dan Fajar bertaut, masing-masing melarikan pandangan ke arah lain. Fajar kemudian berdehem perlahan sebelum mengangkat takbir.
Nenek pula hanya tersenyum melihat gelagat Melati dan Fajar yang seperti malu-malu kucing.

Selepas selesai solat, Fajar mengetuai bacaan doa sementara nenek dan Melati khusyuk mengaminkannya. Melati mencium tangan nenek seperti biasa selepas selesai berdoa manakala Fajar pula memandang sahaja sambil tangannya melipat sejadah.

"Tangan nenek ni teringin nak salam Fajar. Tapi nak buat macam mana,belum ada rezeki. Moga-moga suatu hari nanti kita dapat bersalam ya Fajar. " Nenek berkata dengan muka yang tiada reaksi. Dia bangun daripada duduknya dengan susah payah sambil dibantu oleh Melati.

"InshaAllah.." Sahut Fajar membuatkan Melati menjadi tidak keruan di dalam hatinya.

Nenek dan Melati kemudian pergi ke dapur untuk mula memasak. Nenek tidak larat sangat berdiri lama-lama. Jadi Melati yang menjadi tangan nenek ke sana ke mari membuat kerja sementara nenek memberikan arahan.

Kemudian muncul Fajar yang turut juga ingin membantu. Walaupun dihalau nenek, Fajar tetap berkeras ingin menolong. Maka Melati memintanya untuk membuatkan air teh o kosong sahaja. Tak sampai setengah jam, sudah siap bihun goreng resipi nenek. Mereka makan bersama-sama sambil berbual –bual kecil. Melati tidak melepaskan peluang untuk mencungkil lagi kisah antara Fajar dan nenek. Jika dikira, nenek sebenarnya mengenali Fajar lebih lama daripada Melati. Tak sangka bukan?

"Okaylah. I dah lambat ni. I pergi kerja dulu. Baju ni nanti I basuh dulu, baru I pulang kan." Fajar bangun daripada duduknya sambil membawa pinggan dan cawannya.

"You okay ke pergi kerja pakai baju melayu ni?" Tanya Melati sambil melihat atas bawah.

"Okay je. Asalkan menutup aurat. Alhamdulilah. Lagipun hari ni memang nak kena pergi solat jumaat pun. "

"Er terima kasih nenek sebab bagi saya tidur sini." Sambung Fajar lagi.

"Hmm.. Sama-sama." Ujar nenek yang masih lagi mengunyah makanannya.

"Terima kasih Melati masakkan brekafast." Ujar Fajar dengan senyuman manis sekali gus menonjolkan lesung pipitnya itu. Melati pula tertunduk malu dan segera mengangkat pinggan dan berlalu ke dapur.
Fajar pula tergelak kecil melihat Melati lari daripadanya. Lagilah seronok dia ingin mengusik Melati lagi. Alangkah indahnya kalau hari ni dia tidak perlu keluar bekerja. Meluangkan masa bersama nenek dan Melati pun sudah cukup bahagia.

Melati kemudian menghantar Fajar hingga ke depan pintu. Dalam diam, hati Melati tidak ingin melepaskan Fajar pergi. Kereta Fajar meluncur keluar dan terus lenyap daripada pemandangan Melati. Selepas mengunci pintu pagar luar rumah, Melati pun memasuki rumah.

"Tersenyum-senyum. Aku kahwinkan juga kau orang berdua ni." Nenek menggelengkan kepala sambil tersenyum lalu duduk melabuhkan punggung di sofa.

"Ish nenek ni. Ke situ pula."

"Betullah apa nenek cakap. Nenek ni makin hari , makin tua tau. Sebelum nak memejamkan mata ni, nenek nak pastikan hidup kamu berdua terjaga. Sekurang-kurangnya kamu yang sulung ni, dah berkahwin dulu. "

"Nenek ni. Janganlah cakap macam tu. Nenek sihat lagi je ni. "

"Melati..Melati.. Mana cermin mata nenek?"

Melati mengerutkan dahinya sambil matanya mula merayau melihat sekeliling rumah.

"Bukan nenek pakai ke tadi masa makan?" Melati sendiri yang menolong nenek mencapai cermin mata kerana tadi sewaktu makan, nenek ingin membaca mesej daripada Suria. Takkanlah sudah hilang pula.

Melati berjalan ke arah meja kopi dan mengintai di bawahnya. Apabila matanya menangkap wajah nenek, Melati pun mengukir senyuman.

"Nek, cermin mata tu nenek tengah pakai lah."

"Eh? Yeke?" Nenek segera meraba matanya dan jarinya terpegang bingkai cermin matanya. Ketawa kecil dilepaskan oleh nenek lalu nenek berbaring di atas sofa. Melati yang sudah tahu rutin harian nenek menolong membuka siaran kegemaran nenek. Pagi-pagi begini biasanya akan ditayangkan ceramah agama.

"Melati, tadi .. Siapa tu nama dia? " Nenek berusaha keras cuba mengingati nama cucunya.

"Fajar?" Teka Melati.

"Bukan, adik kamu."

"Oh suria ke?"

"Haa, Suria. Tadi dia kata minggu depan dia balik. Nanti kamu cakap dengan dia, jangan mesej nenek. Call je terus. Leceh nenek nak kena pakai cermin mata . Lepas tu buka mesej dan baca. Penatlah aku," kata nenek sambil meramas-ramas bantal kecil kegemarannya.

Melati pula hanya memandang ke arah nenek dengan sedikit kerisauan. Melati perasan sejak akhir-akhir ni, nenek sudah semakin kurang daya ingatannya. Tempoh hari nenek merengek kerana berus giginya hilang. Rupa-rupanya dia telah tidak sengaja meletakkan di dalam laci yang berisi sudu dan garfu. Pada waktu itu, Suria dan dia menganggap hal itu remeh dan jenaka. Namun apabila difikirkan kembali, hati Melati menjadi tidak sedap.

Namun cepat-cepat dia menghalau kerisauan itu dan berdoa semoga nenek diberikan kesihatan yang berpanjangan. Nenek kemudian mengadu kesejukan lalu Melati pun memakaikan stokin kaki untuk nenek. Mata nenek pun kemudian perlahan-lahan menjadi layu lalu terkatup rapat.

Bunyi telefon Melati berdering daripada dalam bilik, memanggil-mangil Melati dalam sayup. Melati pun segera berlari anak untuk mencapai telefon itu sebelum ia berhenti berbunyi. Apabila Melati membaca nama yang tertera di telefon bimbitnya, dia tiba-tiba berasa sungguh jengkel. Siapa lagi kalau bukan Ammar yang menelefon. Patutkah dia angkat? Tetapi kalau tidak angkat, takut pula Ammar tiba-tiba muncul di asmara pula. Bukankah dia sudah berkata ingin menjemput Melati di asrama tempoh hari? Nanti tak pasal-pasal Insyirah pula yang kena menguruskan si Ammar itu.

"Assalamualaikum Melati," ucap Ammar gembira apabila Melati menjawab panggilannya. Dia sudah mula putus harapan apabila terasa lama deringan telefon Melati.

"Waalaikumussalam. Ya kenapa?" Melati terus sahaja fokus pada tujuan Ammar menghubunginya. Malas rasanya dia ingin berdalih-dalih.

"Ha, saya nak datang ambil Melati ni. Duduk asrama mana satu ya?"

"Aik? Bila masa saya nak awak ambil saya ni?"

"Ala, kan haritu saya dah cakap saya nak ambil. Jadi tak perlulah awak susah-susah naik-"

"Takpa, Ammar. Terima kasih. Saya dah selamat sampai rumah nenek dah."

"Lah. Kenapa tak tunggu saya? Kan saya dah kata saya nak datang ambil. Awak balik rumah nenek awak bila? Naik apa?" Terdengar nada suara Ammar seperti dia sedang menahan geram. Ammar sebenarnya sudah berangan dah ingin meluangkan masa bersama Melati, membiarkan Melati mengenali dirinya. Dia tekad ingin mengambil hati Melati sebelum direbut Fajar. Sekarang dia benar-benar merasakan kehadiran Fajar mengancam niatnya yang ingin menjadikan Melati teman wanitanya.

Melati pula berkerut dahinya mendengar pertanyaan Ammar yang bertubi-tubi. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia mematikan sahaja panggilan itu. Namun sabar masih ada lagi dalam diri Melati.

"Saya naik apa, dengan siapa, pukul berapa, itu semua tiada kena mengena dengan awak. Sebab itu hal peribadi saya. Lain kali tolong hubungi saya hanya atas urusan kerja sahaja ya. Minta maaf ya."

Ammar terkelu seketika kerana tidak sangka Melati tegas orangnya. Sepanjang bekerja dengannya, Melati kelihatan patuh , peramah dan banyak mendengar berbanding Insyirah yang mempunyai personaliti lebih 'bising'.

"Kalau tiada apa lagi.. Kita jumpa ahad nanti. Assalamualaikum."

Usai Ammar menjawab salam, Melati cepat cepat menekan punat ikon berupa telefon merah. Dia menggelengkan kepala beberapa kali memikirkan perangai Ammar ini. Kalaulah dia ni tidak memerlukan wang untuk menampung makan dan minum, pasti dia akan terus berhenti kerja. Nak menghadap Ammar ahad nanti pun , Melati tidak tahu caranya.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊

Setelah meluangkan masa bersama nenek selama dua hari, Melati pun pulang ke asrama pagi ahad itu kerana dia perlu masuk bekerja selepas zohor. Seperti biasa, dia menumpang kereta Insyirah untuk ke tempat kerja. Insyirah seperti biasa mendesak Melati menceritakan segalanya yang berlaku sewaktu Fajar dirumah nenek.

Kemudian boleh pula sambil memandu, badan Insyirah ibarat sotong kerana terlalu teruja mendengar cerita Melati. Melati pula hanya memandang Insyirah dengan kehairanan tetapi ada juga rasa terhibur membuatkan dirinya ketawa kecil.

"Kau tahu Melati? Pagi jumaat tu, Ammar whatsapp aku." Insyirah berkata setelah dia kembali tenang memandu.

"Hah? Apasal dia tu?" Melati memeluk tubuhnya dengan rasa tidak puas hati. Dia sudah boleh meneka mengapa Ammar bermesej dengan Insyirah.

"Dia tanya aku pasal kau lah. Dia nak tahu kau pergi rumah nenek naik apa?"

Melati hanya beristigfar panjang untuk meredakan perasaan marahnya. Ya, kali ini dia sudah mula naik rimas.

"Kau tak bagitau dia ke yang kau naik kereta Fajar?"

"Tak." Melati menjawab pendek sahaja.

"Ish, patutnya cakap je. Biar dia sedar diri sikit."

"Aku tak nak dia tahu hal peribadi aku. Kalau aku bagitau, aku rasa dia akan menang. Ha, lepas tu kau cakap apa?"

"Er... hehehe. Aku cakap kau naik Fajar. Sorry..." Muka Insyirah disengihkan seperti anak kecil yang sedang rasa bersalah.

"Bertuah punya kawan."

Insyirah meneruskan sengihan kerang busuknya sambil mencari tempat letak kereta yang kosong. Hari ahad ternyata hari yang paling susah kerana semua petak meletakkan kenderaan, semua nya penuh.

"Ha depan kiri tu ada." Tunjuk Melati dan lekas-lekas Insyirah menekan pedal minyak. Setelah selamat sampai, Insyirah dan Melati pun berjalan beriringan ke tempat kerja masing-masing. Melati seboleh-boleh ingin melarikan pandangan daripada melihat wajah Ammar. Dia pun melakukan rutin kerjanya seperti biasa. Memastikan meja kosong dalam keadaan yang bersih dan apabila pelanggan memasuki kedai itu, Melati perlu melayan dengan mengambil pesanan mereka.

" Hai, boleh saya bantu?" Tanya Melati dengan ramah kepada seorang makcik yang turut juga membawa anak-anaknya.

"Aku nak lima set nasi ayam." Tegas sahaja nada makcik itu tanpa sedikit pun memandang wajah Melati.

"Okay boleh. Untuk set, kita ada beberapa jenis pilihan air. Puan boleh tengok dekat sini." Melati menggunakan ibu jari untuk menunjukkan gambar-gambar gelas cawan berisi air oren , sirap dan anggur.

"Air lain tak ada ke?"

"Ada tetapi kena tambah sikit duit mengikut harga air tu."

"Lecehlah. Ha, ambil semua air sirap."

Melati tetap memaniskan muka walaupun makcik itu melayan dia begitu. Setelah selesai mengesahkan pesanan, dia pun ke dapur. Tak lama kemudian , Melati muncul dengan set nasi ayam. Empat kali juga lah Melati berulang-alih ke meja untuk menghantar makanan dan minuman itu.

"Dik, apasal macam tak cukup satu ni?" Makcik itu bertanya dengan geram. Dipandangnya Melati seperti seekor harimau yang ingin membaham.

"Eh yeke? Kejap ya, saya check balik. Bukan pesan lima ke? " Melati sedikit panik lalu mula memeriksa kertas pesanan. Betullah lima set.

"Manalah aku tahu berapa? Kau fikir lah pakai otak. Kan tak cukup satu?"

"Betullah ni puan. Puan pesan lima je." Melati menunjukkan kertas pesanan.

"Habis tu, fikirlah logik! Kalau macam tu, kenapa tadi tak ingatkan aku? Jangan lah tuli sangat. Orang ada enam tapi nasi ada lima set. Cuba fikir sikit? Kau bodoh ke apa?"

"Baik, maaf ya puan. Nanti saya-"

Makcik yang sudah menunjukkan reaksi muram itu lekas bangun dan menyiram air sirap di atas kepala Melati. Oleh kerana tindakan makcik itu terlalu laju dan spontan, Melati tidak dapat mengelak. Anak-anak makcik itu kelihatan ada yang terkejut dengan perbuatan mak nya manakala selebihnya hanya tertunduk malu.

Insyirah dan Ammar pula berpandangan mata dan tanpa berkomunikasi, mereka terus mendekati Melati. Insyirah terus sahaja menarik lengan Melati untuk terus beredar daripada situ. Ammar pula cuba meredakan situasi dan meminta makcik itu bertenang. Dia juga mendengar dengan sabar penjelasan daripada makcik itu yang jelas kini sedang menimbulkan kekecohan. Pelanggan-pelanggan lain mula bercakap antara satu sama lain. Oleh kerana tidak mengetahui apa yang berlaku seratus peratus, mereka hanya dapat meneka punca Melati disiram.

" Ya Allah, Melati... Kau okay tak?" Tanya Insyirah sambil mencapai tisu dan mengelap lembut muka dan tudung Melati. Melati pula hanya terpana kerana tidak percaya apa yang berlaku.

"Nanti aku datang balik. Kau stay je sini." Insyirah segera mengambil mop untuk membersihkan lantai berdekatan meja makcik itu yang kini sudah dipenuhi dengan air sirap. Ammar pula sibuk menguruskan nasi ayam yang tidak cukup 1 set itu untuk diberikan kepada makcik itu.

Melati menahan tangisannya daripada keluar sambil dia menggeledah beg sandangnya untuk mencari tisu basah. Entah bagaimana, kebetulan pula telefon Melati berdering dan tertera nama Fajar. Melati berfikir sejenak perlukah dia mengangkat telefon itu namun jarinya sudah terlebih dahulu bergerak.

"Assalamualaikum Melati. Sorry to bother you but guess where I am? I fikir sebab hari ni-"

Mendengar suara Fajar di hujung talian membuatkan Melati terus tidak dapat membendung perasaannya lalu dia pun tanpa sedar mula menangis. Kaki Melati pun tidak mampu berdiri lagi. Kejadian tadi mula berputar didalam kepala Melati. Dia berasa malu dengan orang yang memandangnya dan dia juga berasa marah dan geram dengan pelanggan itu tadi. Teriakan dan herdikan makcik itu benar-benar menusuk hatinya.

"Melati? Melati? You okay tak? " Panik suara Fajar apabila Melati tidak menyahut. Yang dia hanya dapat dengar hanyalah tangisan Melati sahaja.

Terima kasih kerana sabar menunggu. oleh sebab itu, saya hadiahkan bab yang lebih panjang sikit untuk pembaca sekalian. <3

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience