Bab 2

Romance Completed 14176

"Assalamualaikum. Nenek...ohh.. nek," seru Melati sambil memeluk pagar rumahnya. Pintu rumah terbuka separuh memudahkan Melati melihat suasana rumah. Aroma melazatkan membuatkan Melati menjadi lagi teruja ingin masuk ke dalam rumah itu.

"Nenek, Melati di depan pintu ni. Terimalah Melati sebagai tetamu mu," rayu Melati dalam nada gurau sejurus melihat bayang muka neneknya tersembul di sebalik langsir dapur.

"Melati sayang. Sudah sampai rupanya cucu nenek," Perlahan nenek berjalan ke arah pintu lalu menggapai kunci.

"Masuk cepat,nak. Panas ni,"

Melati menyalami neneknya tanda hormat lalu memegang lembut kedua dua pipi neneknya.

"Rindunya dengan nenek," satu kucupan dihadiahkan pada pipi neneknya. Neneknya tergelak kecil. Terhibur dengan telatah cucunya.

" Cuti berapa lama?"tanya nenek sambil mereka bergerak ke ruang tamu.

"Sebulan je. Lepas tu, dah masuk internship,"

"Apa ship?"tanya nenek kembali.

"In-tern-ship, nenek. Latihan industri," Melati mula membuka pin tudungnya satu persatu selepas melabuhkan punggungnya di sofa.

"oh, kisahnya... Satu tempat dengan Insyirah ke?"

"Tak sama tempat. Tapi, dekat juga antara satu sama lain. Kiranya, bolehlah naik LRT sama-sama," ujar Melati panjang lebar. Nenek pula hanya mengangguk faham.

"Okay, perut Melati dah sedia untuk makan. Tak perlu jenguk, dah tahu dah apa yang nenek masak," Melati mengorak langkah menuju ke dapur. Nah, benar tekaannya. Nasi goreng daging. Makanan kegemarannya.

Pasti neneknya menggoreng nasi itu setelah mengetahui Melati bakal pulang ke rumah. Melati mencapai pinggan dan senduk nasi tanpa ragu dan mula mencedok nasi ke dalam pinggannya. Mulutnya sudah dapat membayangkan kelazatan masakan dihadapannya.

Tiba-tiba kedengaran bunyi salam diberi dari luar rumah. Kemudian, pintu terbuka luas dan menampakkan susuk tubuh seorang gadis.

"Oh.my.god. Akak?!" jerit Suria lalu berlari ke arah kakaknya. Melati pun apa kurangnya.Turut berlari dengan senduk di tangannya. Mereka berpelukan sambil diperhatikan oleh neneknya yang emosi marahnya mulai marak.

"Ya Allah, salam pun tak ada bagi. Apa nak jadi dengan kamu ni,Suria? Terkejut nenek. Kalau mati nenek tadi..," bebel nenek sambil mengurut dadanya yang sedang berombak laju.

"Hehe, sorrylah nenek. Assalamualaikum,"

"Waalaikum-"

"Sabar nenek. Suria belum habis lagi. Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh," lagak Suria seperti seorang pemidato. Melati pantas menyiku Suria untuk mengingatkan Suria bahawa neneknya masih lagi sedang marah.

"Kamu ni...hidup terasa panjang ya," neneknya menjegilkan mata ke arah suria lalu membuatkan Melati ketawa terkekeh-kekeh.

"Melati! Kamu pun sama," Giliran Melati pula menjadi sasaran. Ketawa melati menjadi terbantut.

"Kalau ya pun nak buat adegan jejak kasih. Senduk tu usahlah dibawa. Tengok tu. Habis berterabur nasi," nenek menggelengkan kepalanya sambil mencekak pinggang.

"Maaf puan. Kami kemas ya,". seloroh Melati sambil terbongkok-bongkok mengutip butir nasi yang jatuh sambil dibantu Suria.

"Budak dua orang ni, ada saja karenahnya. Kadang - kadang mencuit hati, kadang-kadang menguji kesabaran,"getus hati nenek. Nenek kemudian duduk kembali menarik nafas. Terasa sudah menggunakan banyak tenaga untuk membebel sebentar tadi.

Tak lama kemudian, dua beradik itu kembali ketawa. Mata nenek yang terpejam kita terbuka kembali. Haa, apa lagi masalah budak-budak ni?

"Nenek .."panggil Suria.

"Hmm," sahut nenek dengan malas.

"Nenek tak jawab salam lagi," kata Melati diikuti gelak ketawa Suria.

"Eh budak dua orang ini. Ha, Waalaikumussalam warahmatullahi.. wabarakatuh," giliran nenek pula berpidato. Melayankan saja cucu cucunya. Tanpa dia sedari, bibirnya mengukir senyuman. Tak dinafikan dia sebenarnya terhibur dengan gelagat mereka. Siapa lagi yang ada didalam hidupnya kalau bukan Melati dan Suria.

❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。

Melati mengelap peluh yang menitik di dahinya dengan hujung lengan bajunya. Tangannya kemudian meraba kembali kain jemuran dihadapannya. Mana yang kering, Melati akan masukkan ke dalam bakul manakala yang masih lembap, dia biarkan dahulu di ampaian.

Bakul yang dipenuhi baju itu kini dicapai untuk dibawa masuk ke dalam rumah. Sebaik menutup pintu rumah, dapatlah Melati membuka tudung di kepalanya. Lega rasanya apabila angin kipas menyirami badannya.

Setelah mengambil nafas, dia kemudian mencapai penyapu di dapur. Seluruh rumah itu disapu sehingga bersih. Setelah siap, dia mengerling ke arah jam yang kini menunjukkan pukul 12. Nenek masih lagi sedang berehat di dalam bilik. Suria masih di sekolah lagi.

Melati pun duduk di sofa setelah semua tugasannya selesai. Matanya liar memerhatikan rumah neneknya. Susun atur rumah ini masih kekal sama walaupun sedekad sudah berlalu. Melati dan Suria sudah lama menetap di rumah neneknya. Nenek lah yang menjadi ibu dan ayah mereka.

Jasa nenek menjaga mereka daripada kecil takkan Melati lupakan. Mungkin kerana itu, Melati berikrar untuk belajar rajin-rajin. Besar harapannya untuk membalas jasa neneknya.

"Melati.., tolong nenek kejap," panggil nenek daripada dalam bilik. Melati segera bergegas masuk ke dalam bilik.

"Kipas ni dah berhabuk. Kadang-kadang bila berpusing tu, habuk jatuh,"luah nenek sambil menuding ke arah kipas.

"No problem," Melati berjalan keluar bilik dan muncul kembali beberapa minit dengan sebuah tangga besi berlipat. Tangga yang dua kali ganda lebih besar daripada Melati itu didepakan.Suis kipas lekas dimatikan. Berbekalkan baldi kecik berisi air dan kain buruk, bilah kipas itu dibersihkan satu persatu dengan penuh cermat.

Nenek pula memerhatikan aja Melati kesana kemari, ke atas dan ke bawah bagai lipas kudung.

"Terima kasih, Melati. Syukur alhamdulilah, Allah kurniakan cucu rajin macam Melati. Terima kasih jaga nenek dan Suria ya," Nenek mula bergenang air mata. Hati tuanya memang cepat tersentuh. Cepat marah, cepat sedih dan cepat gembira. Itulah lumrah apabila kita semua bergelar warga emas nanti.

"Tak ada apalah, nenek. Melati bersihkan kipas aja. Semua orang boleh buat. Benda kecil je," Melati cuba menggelakkan nenek daripada terus terusan berduka. Neneknya memang begini orangnya. Sangat sensitif. Jadi, cucu-cucunya kena sentiasa berhati hati bila bertutur.

"Hmm, bukan semua orang. Satu-satunya anak lelaki -"

"Dah siap! Wah bersih kipas nenek sekarang. Mesti lagi sejuk ni. Kejap ya, Melati bersihkan dulu apa yang patut. Nenek duduk diam dulu ya. Jangan pergi mana-mana tau," gurau Melati sambil menuruni tangga perlahan.

Nenek pula hanya tersenyum kecil. Nenek tahu Melati cuba mengalihkan topik. Setiap kali nenek ingin menyebut perihal lelaki itu, lekas lekas Melati akan mengubah arah perbualan.

Namun begitu, nenek tahu lambat laun Melati harus juga berdepan dengan kenyataan. Cuma sekarang, mungkin Melati mahu fokus pada pembelajaran. Sampai masanya nanti, nenek pasti akan mengungkit lagi. Sampai bila harus Melati berlari daripada berhadapan dengan kenyataan, bukan? Suria pun turut mendapat nasib sama setiap kali bertanya masa lepas pada Melati.

Di dalam rumah ni, ibarat Melati sebagai ketua keluarga. Dialah yang menguruskan segala hal rumah. Kalau dahulu, nenek lah yang menggalas tanggungjawab. Namun apabila usia makin meningkat, terpaksa dia mengharapkan Melati.

Persekolahan Suria pun, Melati yang menguruskannya. Mujur Suria sudah tahun akhir. Selepas ini, tidak perlulah Melati risau perihal persekolahan Suria apabila selesai dia menduduki SPM nanti.

Bunyi tombol pintu dipulas kedengaran. Panjang umur budak itu. Pasti sudah pulang dari sekolah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience