Tangan Melati kedua-duanya disorokkan dibelakang ibarat digari dengan egonya sendiri tatkala dirinya menghampiri Encik Johan. Suria yang berbeza emosi dengan Melati menyalam tangan Encik Johan sebelum memeluk dengan penuh rasa kasih. Encik Johan kemudian menumpukan perhatian pada nenek pula yang menghulur tangannya ibarat gaya pemaisuri. Tangan nenek dicium kemudian salam turut diucapkan. Encik Johan memandang Melati sekilas yang jelas meletakkan jurang antara mereka.
" Jom pusing satu pusingan!" Ajak Suria bersemangat.
"Ish, tak larat lah nenek. Kalau separuh pusingan tu bolehlah," nenek membantah ajakan Suria laju.
"Takpa mak, kita nak jalan-jalan je. Kalau mak tak larat, kita berhenti." Encik Johan mengambil jalan tengah, memenangkan kedua-kedua belah pihak.
Melati akhirnya berjalan beriringan bersebelahan dengan nenek. Air pancut yang berada di tengah tasik Titiwangsa terpancut tinggi membuatkan sesiapa yang memandangnya menjadi terpesona. Setiba di kawasan lapang, terdapat ramai kanak-kanak bermain basikal. Suria pula sedang sibuk menangkap gambar nenek berlatar belakangkan suasana meriah itu dan meninggalkan Encik Johan dan Melati berdua-duaan.
Encik Johan berdehem untuk memberikan sedikit keyakinan untuk berbual dengan anak sulungnya. "Macam mana percutian ke Desaru haritu?" Encik johan membuka bicara.
"..Okay.." pendek saja Melati menjawabnya. Ini mesti Suria lah ni bercerita. Sudah sampai ke pengetahuan Encik Johan rupanya.
"Oh." Mati kutu Encik Johan hendak menyambung perbualan ini dengan topik apa lagi.
"Err.. Ada beli cenderahati ke? Macam fridge magnet atau -"
"Sekejap lagi Suria akan datang dan minta nak sewa basikal." Melati memotong kata-kata Encik Johan. Serentak mereka berdua memandang Suria yang ceria bergelak ketawa dengan nenek. Melati seperti sudah boleh mengagak permintaan Suria nanti.
"Ish, bazir sajalah." Bantah Encik Johan.
"Sepanjang dia hidup 17 tahun, ada ke dia minta apa-apa daripada Encik Johan?" Ujar Melati tenang memandang ke hadapan. Encik Johan hanya diam walaupun tidak puas hati. Melati kemudian menyeluk beg tangannya lalu meletakkan sekeping duit ke dalam poket baju Encik Johan tanpa berkata apa.
Encik Johan pula kebingungan apabila melihat poketnya berisi wang. Suria dan nenek kini menghampiri mereka berdua.
"Kalau naik basikal mesti best kan kak?" Suria tersengih-sengih memberikan maksud tersirat.
"Naik beca lagi best. Boleh bawa nenek sekali," cadang Melati yang kini bertukar suaranya menjadi lembut. Encik Johan yang kini mula mengerti perancangan Melati terus saja mengajak Suria ke tempat sewa beca.
"Berapa bang?" Tanya Encik Johan kepada lelaki yang menjawab beca-beca disitu.
"Rm40 setengah jam, boss."
"Okay boleh. Suria pilihlah nak beca yang mana," ujar Encik Johan sambil mengeluarkan duit Rm50 didalam poket bajunya lalu dihulurkan kepada lelaki tadi.
Nenek menarik lengan Melati untuk lebih mudah dia membisikkan ," Mesti duit kamu kan Melati?"
Melati hanya tersenyum dan tidak menjawabnya. Suria memilih beca berwarna merah untuk dinaiki. Nenek dan Melati duduk di belakang manakala Encik Johan dan Suria mengayuh dihadapan. Suasana petang yang redup membuatkan mereka dapat menikmati petang itu tanpa berpeluh.
"Macam ini nenek suka. Kaki pun tak penat." Nenek mendepakan tangan sambil memejamkan mata.
"Amboi nenek, Suria ni ha yang penat kaki."
"Siapa suruh kamu yang kayuh?" Nenek mencuit pinggang Suria daripada belakang. Spontan jeritan kecil dilepaskan oleh Suria. Meletus ketawa Melati dan nenek dibuatnya.
"Suria.. Janganlah rehat. Kayuh sekali dengan papa," gurau Encik Johan sambil berpura-pura mengayuh dengan susah-payahnya.
"Mak, mak makan apa tengahari tadi ni?" Encik Johan menoleh kebelakang dengan muka yang dibuat serius. Terlopong mulut Suria mendengar usikan berani Encik Johan yang menempah maut itu. Nenek terbeliak mata lalu menghantar pukulan bertubi-tubi. Kadang-kadang mendarat di bahu dan ada juga pukulan yang terkena kepala.
"Aduh-aduh, sakit. Gurau je mak." Encik Johan sudah berhenti mengayuh. Lengannya dijadikan perisai untuk melindungi kepalanya.
"Ha, kau nak cakap mak gemuk lah ya. Mak makan apa tu..nasi puti, sayur kangkung dengan ayam goreng saja."
Pukulan nenek sudah berhenti. Encik Johan mengintai di sebalik lengannya lalu bertanya "Berapa kali mak tambah nasi?"
"Kurang asam betul." Pukulan nenek tersasar kerana Encik Johan sudah lari keluar. Melati turut terhibur melihatnya.
"Akak jom kejar."
Dengan pantas Melati pergi ke kerusi hadapannya dan mula mengayuh mengejar Encik Johan. Mulut nenek pula tak habis-habis membebel. Geram betul rasanya apabila diusik begitu. Hati Melati mula terdetik, apakah ini rasanya apabila mempunyai seorang bapa yang memainkan peranan dalam hidup, menyelitkan senda dan gurauan setiap hari.
❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。 ❀°。❀。• *₊°。
Insyirah menyarungkan tudung sarung dan mengambil kunci dan telefonnya lalu menutup pintu. Tangga dituruni dengan cermat. Ikram sedang menunggunya di bawah untuk pergi makan petang bersama. Pada mulanya, Ikram malas hendak melayan tetapi Insyirah memujuk juga kerana bosan. Yalah, Melati tidak ada hujung minggu itu kerana dirumah nenek. Apabila melihat gambar yang Melati hantar bersama keluarganya membuatkan Insyirah lagi berasa keseorangan.
Usai memasuki kereta Ikram, Ikram terus menghulur air coklat hazelnut pada Insyirah. Apalagi keriangan lah Insyirah menerimanya. Terus saja dihirup air manis itu. Lega tekak rasanya dapat menghilangkan dahaga begini.
"Awak lambat sebab beli ni ke?" Tanya Insyirah prihatin. Ikram menganguk sahaja tanpa berkata.
"Bila Melati balik?"
"Esok." Insyirah menghirup sekali lagi air itu. Tanganya mengacau minuman itu menggunakan straw. Kedua-dua kakinya kini tidak lagi mencecah lantai kereta kerana sudah berada di atas kerusi menandakan keselesaannya bersama Ikram.
"Saya dah dapat kerja 7-Eleven dekat dengan area office dulu. Senang nanti boleh teruskan rehat sama-sama dengan Melati. Lepastu bila keputusan UPU dah keluar dan InshaAllah dapat tempat, berhenti kerja dan sambung belajar. Sebab tu sekarang saya kumpul duit dulu sebab nanti-"
"Insyirah.." Ikram memutuskan ayat Insyirah yang panjang lebar menerangkan perancangan masa hadapan.
"Apa dia?" Insyirah masih lagi tidak dapat membaca hati Ikram.
"Saya dah tak nak teruskan hubungan ini. Saya-"
"Hah? Awak ni merepeklah, Ikram." Giliran Insyirah pula memotong Ikram.
"Saya serius ni. Saya nak break up dengan awak." Badan Ikram yang tadi bersandar selesa kini tegak berdiri. Insyirah berhenti menikmati minumannya.
"Kenapa tiba-tiba ni? Saya ada buat salah ke?"
Ikram menggelengkan kepala. Matanya beralih memandang bawah kerana tidak sanggup memandang Insyirah.
" Saya penatlah. Saya nak masa untuk sendiri. Saya nak bebas."
"Apa ni, sayang? Dah dekat 3 tahun kita bercinta, tak pernah sekali pun awak merungut macam ni. Kalau nak masa sendiri, cakap jelah. Bukannya saya pernah halang awak keluar dengan mana-mana kawan awak." Insyirah sudah mula sebak.
"Dah.. Saya rimas. Saya nak bebas," suara Ikram makin mendatar.
"Ke awak ada perempuan lain ni?" Tuduh Insyirah tidak puas hati. Ikram mendengus kasar kemudian bersandar ke kerusinya kembali.
"Mana ada. Saya tak ada masa lah. Saya cuma rasa terkongkong je. Lepas tu, saya sedar.. Makin lama, cinta tu semakin pudar," luah Ikram yang kini sedang memandang ke luar tingkap sambil mengurut dahinya.
"Awak tak sayangkan saya dah ke?" Air mata Insyirah mula mengalir. Tak sangka begini rupanya apa yang Ikram sembunyikan padanya selama ini.
"Masih sayang ...tapi ... pada masa sama, macam dah pudar. Faham tak? Kita pun asyik bergaduh je. Awak tak penat ke?"
Insyirah akui mereka kerap bergaduh tetapi itu bukannya perkara baru dalam perhubungan.
"Janganlah buat macam ni Ikram. Awak main-mainkan? Saya sayang gila dekat awak. Takkan nak sia-sia kan hubungan kita ni? Kalau ada masalah, kita baiki sama-sama. Bukan terus mengalah macam ni." Insyirah masih tidak putus asa lagi memujuk. Hatinya tiba-tiba rasa bersalah. Dia tahu dia memang seorang yang manja dan ingin berkepit sahaja.
Adakah selama ini Ikram hanya bertahan sahaja dengan perangainya ini dan kali ini dia tidak tahan lagi? Salah Insyirah ke? Sungguh, Ikram jarang membuat perangai begini. Selalunya jika ada salah faham, mereka akan selesaikan secara baik.
Ikram hanya mendiamkan diri. Insyirah boleh melihat mata Ikram pun sudah mula bertakung dengan air mata.
"Kita boleh baiki ni lagi. Saya minta maaf kalau saya buat salah. Tolonglah jangan tinggalkan saya."
"Tak, Insyirah. Ni bukan salah awak. Salah saya, salahkan saja saya. Tapi saya nak bebas. Awak lepaskan lah saya. Saya minta maaf sangat-sangat. Terima kasih atas segala yang awak dah berikan pada saya. Saya hargai sangat-sangat"
Insyirah memegang lengan baju Ikram dan menangis semahunya. Dia bagai tidak percaya apa yang berlaku.
"Halalkan makan minum saya. Saya ...doakan awak berjumpa dengan lelaki … lebih baik daripada saya." Perit rasanya tekak Ikram ingin melontarkan kata-kata ini. Ucapan ini yang tidak pernah terlintas dia lontarkan, kini meluncur laju dibibirnya.
Saya adalah sesuatu yang awak tak boleh lihat, tetapi boleh dirasai. Apabila terjadi, susah ingin sembuh. Selalunya disebabkan cinta yang memudar, dan meninggalkan anda dengan rasa kehilangan. Siapakah saya?
Share this novel